Oleh Johardy Ibrahim
Banyak telah ditulis mengenai Sir Richard Branson sebagai seorang ahli perniagaan yang luar biasa. Malah kisahnya pernah disiarkan dalam ruangan ini pada Januari 2010. Kita tahu dia bermula dalam sektor penerbitan sebelum melangkah ke industri hiburan dan kemudian menjadi sebutan ramai dengan konsep penerbangan murah menerusi syarikat Virgin Airlines. Branson diiktiraf sebagai lelaki kelima terkaya di United Kingdom dan yang ke-254 di dunia menurut senarai bilionair majalah Forbes 2011, yang menganggarkan kekayaan bersih beliau sebanyak AS$4.2 bilion (RM126 bilion). Branson memiliki pendekatan tersendiri dalam mengendalikan konglomerat miliknya, The Virgin Group yang mengandungi 400 syarikat dalam semua bidang. Dengan kekayaan sebegitu besar, saya tertanya-tanya juga kenapa bilionair yang berasal dari London ini tidak membeli kelab bolasepak yang menjadi seakan trend perniagaan hari ini. Mungkin ‘Richard Branson Malaysia’, Tan Sri Tony Fernandes boleh mengajak sahabatnya itu turut sama berkecimpung menjadi pemilik kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris sepertinya yang memiliki Queens Park Rangers. Tidak pernah percaya kepada kaedah tradisional, Branson tahu bagaimana hendak ‘menggoncang’ keinginan orang ramai untuk membaca mengenai cerita terbarunya.
Satu kisah yang tidak terduga baru-baru ini apabila kediamannya yang dianggar bernilai AS$70 juta (RM210 juta) terbakar pada bulan lalu setelah dipanah petir. Lebih mengharukan, beliau ketika itu menjadi tuan rumah kepada beberapa rakan selebriti seperti Kate Winslet. Namun begitu, ia tidak menyamai ‘kehangatan’ kesan daripada ulasannya mengenai hal ehwal dalaman Malaysia, baru-baru ini. Mujurlah ramai yang memilih untuk tidak mengambil hati terhadap ulasan berbaur politik yang menyentak perasaan sebilangan pihak. Kelmarin, Branson muncul lagi dalam berita. Kali ini, ia lebih menyeronokkan. Ia berkaitan projek meganya untuk menyediakan penerbangan komersial pertama seumpamanya ke angkasa lepas dan membina lapangan angkasa di gurun Mojave di New Mexico. Branson mengumumkan sasaran syarikatnya iaitu Virgin Galactic untuk melakukan penerbangan sulung dalam tempoh 12 bulan akan datang. Tapak yang dipanggil Spaceport America seluas 720 hektar di Las Cruces, New Mexico adalah pangkalan bagi Virgin Galactic yang merupakan usaha niaga paling besar pernah diceburi oleh Branson. Pangkalan itu sudah siap dilengkapi landasan sepanjang hampir 3.3 kilometer, hangar terminal dengan seni bina futuristik dan sebuah Pusat Operasi Angkasa Lepas berbentuk kubah atau dari udara seperti ikan pari.
Kerja pembinaan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, memberi tempoh yang cukup selesa untuk penerbangan sulung Virgin Galactic yang dijangka berlepas pada 2013. Selain membawa penumpang komersial, Virgin Galactic juga merancang untuk melancarkan satelit dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding NASA atau mana-mana negara, serta menawarkan penerbangan berkelajuan tinggi dari satu benua ke satu benua. Bunyi macam cerita Star Wars atau Star Trek? Mungkin. Tetapi di tangan Branson, impian atau fiksyen seumpamanya kini perlahan-lahan menghampiri realiti. Beliau bercerita mengenai usaha untuk membawa penumpang dari Los Angeles ke London dalam masa sejam penerbangan. Mustahil? Sekarang memang mustahil. Mungkin 20 tahun lagi teknologi seumpamanya akan wujud dan bolehlah pesawat berat serta perlahan diganti dengan yang lebih pantas. Mungkin ketika itu, pesawat yang banyak berjasa kepada negara seperti Hercules C-130 sudah boleh disimpan di muzium dan saya boleh ketawa mengingatkan perjalanan dramatik tiga hari tiga malam dalam Hercules dari Kuala Lumpur ke Kaherah awal tahun ini. Kerana ketika itu kelak (masa hadapan), teknologi penerbangan sudah maju.
Tetapi seandainya kita masih juga menggunakan Hercules ketika itu kelak, seseorang kena memberi penjelasan di Parlimen. Daripada satu aspek, seandainya ia hanya impian kosong Branson, tidak akan ada sesiapa yang menghiraukan projek itu. Sebaliknya, Virgin dilaporkan telah menjual kira-kira 430 tiket bagi penerbangan ke angkasa lepas pada harga AS$200,000 (RM600,000) untuk satu tiket dengan jualan setakat ini berjumlah AS$86 juta (RM258 juta). Menggunakan pesawat kembar tiga yang mempunyai saiz menyamai sebuah jet perniagaan (20 meter panjang) mampu memuatkan enam penumpang dan dua juruterbang. Pada penerbangan itu nanti, SpaceShipTwo akan diangkut oleh pesawat ibu, WhiteKnightTwo sehingga ketinggian 16,000 meter sebelum roket SpaceShipTwo meneruskan penerbangan sub-orbital. Penerbangan sub-orbital adalah penerbangan melebihi paras ketinggian 100 km atau dikenali sebagai garisan Karman iaitu sempadan antara ruang udara bumi dengan angkasa lepas. Sebaik memasuki ruang angkasa, ekor berkembar SpaceShipTwo akan dilipat ke atas bagi menambah tempoh waktu di angkasa sebelum menjunam ke bumi seperti bulu tangkis. Branson pernah menyebut bahawa beliau berhasrat membina hotel di angkasa lepas.
Mungkin juga inilah fokus Branson pada masa ini. Meneroka angkasa lepas. Memiliki kelab bolasepak bukan menjadi minatnya. Branson adalah antara bilionair yang kini berusaha mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh NASA, yang menamatkan program kapal angkasanya yang berusia 30 tahun pada Julai lalu, seiring dengan tamatnya misi terakhir kapal Atlantis ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Usaha sedemikian sebenarnya menerima dorongan daripada NASA yang menyalurkan dana sebanyak AS$270 juta (RM810 juta) kepada empat syarikat iaitu Boeing, SpaceX, Sierra Nevada dan Blue Origin bagi mendorong usaha mereka untuk menjadi yang pertama dalam era baru penerokaan angkasa lepas. Alangkah bagusnya usaha meneroka angkasa lepas turut menjadi fokus kepada Malaysia. Kita sudah mempunyai angkasawan sendiri Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan bakal angkasawan, Mejar Dr. Faiz Khaleed. Maaf jika saya kurang peka, apakah perkembangan terkini program angkasawan negara kita? Apakah setelah berjaya menghantar Dr. Sheikh Muszaphar ke ISS maka tercapai sudah matlamat kita?
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
18 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan