18 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : UBAH PENDEKATAN AJAR BAHASA INGGERIS

Oleh FAUZY HALIM

PENULIS ialah Pengarah Centre of Modern Languages (CML). Beliau pernah bertugas lebih 12 tahun di Amerika Utara, Eropah, Asia, dan Afrika sebagai jurulatih guru pelbagai bahasa.


Pada zaman Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar menjadi Perutusan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu New York, apabila ada persidangan di peringkat wilayah atau antarabangsa, wakil-wakil dari Malaysia selalu diberi penghormatan untuk mempengerusi dan mengetuai perbincangan, berbagai-bagai jenis jawatankuasa kajian untuk pelbagai agensi antarabangsa. Itu dulu. Itu cerita lama. Sejak sedekad dua kebelakangan ini, keadaan amat berbeza. Kini acapkali kita mendengar sesetengah graduan kita, antara mereka pemegang PhD, bertutur bahasa Inggeris dengan sebutan dan tatabahasa tunggang-langgang. Mereka masih takut-takut dan kurang yakin menyuarakan pendapat dalam forum atau mesyuarat pejabat. Alangkah rugi buah fikiran cerdik pandai kita tidak dapat dikongsi, dimanfaat bersama dan mengakibatkan terencat kerjaya mereka hanya kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya kekangan pertuturan. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bertanyakan "kenapa setelah 13 tahun bahasa Inggeris diajar, kita masih tidak mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik."

Soalan itu merupakan satu cabaran kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan, lebih-lebih lagi kepada kalangan pengajar bahasa atau sebagai ibu bapa. Masalah yang timbul sekarang adalah dari sudut penguasaan bahasa Inggeris komunikasi atau pertuturan. Dari segi bahasa Inggeris penulisan, kita sememangnya patut berbangga dengan ramai pelajar kita yang memperoleh A plus dan A atau B dalam peperiksaan SPM dan A di tahap O-Level. Pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an, Tun Hamdan Tahir berbincang dengan penulis perihal penguasaan bahasa Inggeris. Beliau juga bertanya bagaimana kaedah American Peace Corps berupaya dan sanggup menjadi perintis untuk memulakan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu di Sekolah-sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih; walhal mereka belajar bahasa Melayu dalam masa 11 minggu sahaja. Jawapan penulis ialah kami dilatih untuk mengajar American Peace Corps menggunakan pendekatan mendengar dan bertutur (Aural-oral) dengan kederasan di antara 120 - 160 perkataan seminit. Kami tidak mencampur-adukkan bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan.

Ini disebabkan nilai bunyi bahasa sebutan walaupun menggunakan huruf rumi yang sama tetapi mempunyai nilai bunyi yang amat berlainan seperti p dengan b, t,d, k, dan g. Nilai bunyi 'u' hanya satu sama ada 'unggu' atau 'buku' dalam bahasa Inggeris nilai bunyi 'u' seperti dalam perkataan berikut cut, cute, church, bury, quay, clue, audio. Jika kita masih ingat, Kementerian Pelajaran pernah memulakan pembelajaran Bahasa Inggeris menggunakan kaedah 'Communication English' di sekolah rendah malangnya oleh kerana tenaga pengajar yang kurang terlatih dan kurang arif dan faham tentang pendekatan itu, kaedahnya berjalan hanya beberapa tahun sahaja. Sekarang yang masih ada saki-baki pendekatan 'Communication English' itu hanya tentang cara mengatur tempat duduk pelajar-pelajar secara berkumpulan 4, 6 atau 8 orang setiap kumpulan. Bagaimanapun, di Sarawak program ini terus berjalan dan semasa penulis bertugas dengan US Peace Corps dan Canadian CUSO, pernah melawat kelas-kelas ini di SK & SJK di Miri, Sibu & Kuching, ia dijalankan dengan sempurna dan berkesan.

Sebab itu kita dapati pelajar-pelajar di Sarawak lebih yakin dan fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris. Penulis pernah diminta oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang berasal dari Sarawak untuk membuat demonstrasi dan seminar tentang pendekatan 'Aural-oral' yang diguna pakai oleh American Peace Corps, di Kementerian Pelajaran di Jalan Duta. Maklum balas yang penulis dapati dari hasil demonstrasi dan seminar sejam setengah itu secara ringkasnya, 'susah hendak dijalankan di sekolah kita' (di Semenanjung Malaysia). Dengan itu, berakhirlah riwayat 'Communication English' atau pendekatan 'Aural-oral.' Sebenarnya, penggunaan pendekatan 'Aural-Oral' ini dapat menjimatkan masa untuk menyempurnakan sesuatu sukatan pelajaran itu di antara 20 hingga 50 peratus (%). Masa yang dijimat tersebut boleh digunakan membuat latih tubi, mengulang kaji untuk peperiksaan dan latihan amali pengukuhan menerusi pelbagai aktiviti kegemaran pelajar sesama atau antara darjah dan aliran. Aktiviti seperti perbahasan, peraduan menyanyi, drama dan sebagainya. Rekaan pelajar atau guru patut digalakkan.

Kejayaan pendekatan 'Aural-Oral' ini yang digunakan sebagai pelengkap dalam pembelajaran Bahasa Inggeris adalah ketara sekali di Filipina di mana guru-guru TESOL yang kami latih di Pusat Latihan Peace Corps di Universiti Hawaii meneruskan program ini, melatih tenaga pelatih terpilih tempatan yang akan melatih guru-guru bahasa Inggeris rakan sejawat mereka untuk terus menggunakan pendekatan ini apabila guru-guru TESOL dari Peace Corps tamat tempoh perkhidmatan mereka di wilayah-wilayah tersebut. Hasilnya kita dapati pembantu rumah yang didatangkan dari Filipina agak lebih baik penguasaan bahasa Inggeris mereka dari sesetengah graduan kita. Memang benar terdapat kelemahan-kelemahan lain seperti guru bahasa Inggeris sendiri tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris seperti 'ketam mengajar anak berjalan lurus'. Masih ada guru-guru TESL yang mempunyai tahap MUET 5, masih membuat kesalahan dalam sebutan, tatabahasa seperti I didn't went there dan sebutan atau tajwid yang salah tekanan dan intonasinya seperti sebutan 'lettuce', 'mayonaise', 'quay', 'audit' dan sebagainya.

Penggunaan 'malapropism' iaitu kosa kata yang tidak betul penggunaannya terutama seperti 'sensitive', 'bored', 'boring' dan lain-lain. Jika mereka yang pencapaian MUET tahap 5 melakukan kesalahan seperti itu, bagaimana pula nasib pelajar apabila guru-guru mereka yang hanya mencapai tahap dibawah 4. Sekarang seramai lebih kurang 30,000 guru yang tidak terlatih dibenarkan mengajar bahasa Inggeris. Mereka ini tidak pernah atau tidak cukup latihan untuk membaca phonetic seperti yang terdapat pada semua kamus. Jadi bagaimana mereka nak tahu sesuatu sebutan itu salah atau betul. Dan bagaimana pula mereka boleh membuat analisis perbezaan dan cara-cara sebutan bagi pelajar majmuk dari berpuluh bahasa dan loghat. Istilah guru TESL (mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa ke-2) juga adalah kurang tepat. Penggunaan yang lebih tepat adalah TESOL (Teaching of English to Speakers of Other Languages). Ini adalah kerana latihan untuk guru-guru TESL mempunyai perbezaan asas berbanding latihan guru-guru TESOL. Latihan guru TESL penekanan adalah untuk mengajar, guru-guru yang mendapat latihan TESOL akan melatih (conditioning) muridnya secara bersepadu, spontan hingga sesuatu kemahiran itu menjadi kebiasaan atau 'habit' yang tidak mudah hendak dilupai.

Saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan agar pendekatan yang digunakan oleh American Peace Corps di Universiti Hawaii amat tepat sekali dan perlu ditangani dengan betul berasaskan kepada fakta dan bukan mengikut perasaan atau agakan. Oleh itu, saya ingin mencadangkan pendekatan 'Aural-Oral' yang digunakan dalam latihan bahasa-bahasa di Pusat Latihan Peace Corps di Universiti Hawaii diguna pakai sebagai pelengkap kepada pembelajaran bahasa Inggeris, dan sembilan bahasa asing yang diajar di SBP dan beberapa sekolah harian terpilih. Seandainya pendekatan 'Aural-Oral ' ini diguna pakai sebagai pelengkap dalam pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing, penulis berkeyakinan tahap pencapaian pelajar-pelajar kita akan meningkat bukan setakat dalam bahasa penulisan. Malah, mereka boleh berkomunikasi atau bertutur dalam sesuatu bahasa dengan lebih cepat, mudah, dan berkesan untuk diguna pakai apabila di universiti, semasa menghadiri temu duga dan lebih penting lagi untuk mempertingkatkan keberkesanan serta kejayaan dalam kerjaya mereka di mana juga di dunia ini.

Apabila graduan kita fasih berkomunikasi dengan berkesan dalam berbagai-bagai bahasa yang dilatih sekolah, maka impian dan cita-cita pejuang-pejuang kemerdekaan dan pendidikan terdahulu untuk melihat anak bangsa kita belajar dan menimba ilmu di universiti di serata dunia, berdagang dengan lebih meluas, membawa pulang ilmu, mempertingkatkan perdagangan dan modal antarabangsa ke Malaysia tercinta ini akan menjadi kenyataan.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 OGOS 2011

ISU SOSIAL : TANGANI PATI DAN PEMERDAGANGAN MANUSIA

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)


Hampir 2 juta atau 1.92 juta pekerja asing yang sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/PATI atau Program 6P sehingga 15 Ogos menerusi pejabat Imigresen dan syarikat pengurus di seluruh. Program 6P merangkumi enam tindakan iaitu pendaftaran pekerja serta PATI, pemutihan PATI, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran PATI. Kerajaan mengadakan program pendaftaran bagi mengambil data PATI, membenarkan mereka bekerja di dalam sektor tertentu melalui program pemutihan tertakluk kepada polisi semasa dan membenarkan PATI pulang ke negara asal tanpa proses perundangan melalui program pengampunan. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berpendapat Program 6P tersebut merupakan satu program yang perlu dilaksanakan demi kepentingan keselamatan dalam negara. 


Melalui program itu pihak berkuasa memperolehi data mengenai jumlah warga asing di Malaysia di samping mengadakan kawalan keluar masuk dan mengesan keberadaan warga asing. Dari sudut hak asasi manusia, program tersebut dapat memberi kelonggaran kepada PATI untuk pulang ke negara asal. Pelaksanaan Program 6P adalah perlu untuk membanteras jenayah yang melibatkan PATI di negara kita. Jika sebelum ini, pihak berkuasa menghadapi masalah bertindak dan menangkap pesalah orang asing kerana kekurangan maklumat dan bukti, tetapi dengan adanya Program 6P di mana PATI dapat didaftarkan, adalah lebih mudah pihak berkuasa mengambil tindakan yang sesuai terhadap PATI berkenaan. Sungguhpun hampir 2 juta pekerja asing dapat didaftarkan, tetapi kemungkinan ada yang belum berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu. Jadi keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melanjutkan tempoh pendaftaran Program 6P sehingga 22 Ogos adalah sesuai dan boleh memberi peluang kepada saki-baki yang belum daftar berbuat demikian. Banyak pihak telah mengkritik program tersebut atas sebab-sebab tertentu. 


Tetapi, saya berpendapat kita harus memberi peluang kepada Program 6P ini dijalankan untuk mencapai tujuan tertentu. Sokongan harus diberikan kepada Jabatan Imigresen yang telah berusaha gigih dan berkesan dalam menjalankan pendaftaran tersebut. Mengenai sindiket pemerdagangan manusia, tindakan KDN mengisytiharkan perang terhadap sindiket terlibat adalah suatu tindakan wajar. Aktiviti pemerdagangan manusia adalah fenomena antarabangsa yang juga melibatkan Malaysia. Maka, kerajaan Malaysia perlu berusaha keras bagi membanteras jenayah tersebut termasuk menerusi perjanjian dengan kerajaan Australia baru-baru ini dan tak lama lagi dengan kerajaan China. Jenayah pemerdagangan manusia, dipercayai didalangi oleh sindiket profesional dan ia harus dibanteras segera kerana melibatkan soal imej, integriti dan nama baik Malaysia.

SUMBER
BERITA HARIAN
18 OGOS 2011

17 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : RAMAI PELAJAR GAGAL BAHASA MELAYU

ISU YANG KURANG 
DIBINCANGKAN BERBANDING 
BAHASA INGGERIS

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my


Persoalan kegagalan penguasaan bahasa Inggeris yang baik oleh kebanyakan pelajar Malaysia selepas 13 tahun mempelajarinya, ikut mencetuskan pelbagai soalan, selain mengundang banyak komen. Ada yang menyoal keberkesanan kurikulum bahasa Inggeris sedia ada, kesesuaian dasar baru untuk memartabatkan bahasa Melayu, memperkukuh bahasa Inggeris dan kebijaksanaan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada awal tahun ini. Ada juga yang mencadangkan pengembalian sekolah aliran Inggeris, menyalahkan guru yang dikatakan tidak cekap, mengaitkan sikap negatif pelajar dengan pen-capaian yang lemah dan menuduh Kementerian Pelajaran enggan mewajibkan kelulusan mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Kita boleh terus menyoal dan mengulas persoalan ini, lebih-lebih lagi untuk mempromosikan bahasa Inggeris. Sebetulnya pada masa sama, kebanyakan pelajar kita termasuk Melayu sendiri, apatah lagi yang bukan Melayu juga tidak menguasai bahasa Melayu iaitu bahasa negara ini dengan baik. Namun, hal ini tidak banyak diperkata dan kalau cuba diperkata, ia tidak mendapat sambutan serta tempat untuk dibincangkan dengan rinci.

Ikut bersikap begini ialah pihak media, antaranya akhbar bukan bahasa Melayu yang kurang bersedia untuk memberi liputan adil mengenai bahasa ini. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa leluhur, etnik dan ibunda orang Melayu, dianggap sebagai kualiti bangsa Melayu. Justeru, ia adalah tanggungjawab dan kewajipan bangsa Melayu saja.  Dalam kes bahasa Melayu di Malaysia, ideologi begini adalah salah. Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sehubungan ini, martabatnya hendaklah dipertahan setiap masa oleh semua warga negara. Sebenarnya, persoalan ketiadaan kecekapan berbahasa Inggeris, pengetahuan dan penguasaan rendah terhadap bahasa Melayu, termasuk kegagalan memahami sejarah tanah air oleh kebanyakan pelajar antara tanda dan gejala kemerosotan sistem pendidikan kita. Hal ini dapat dilihat pada bahkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang. Kebanyakan mereka tidak mampu menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris, tidak cekap berbahasa Melayu persuratan ketika bercakap dalam situasi formal, dan tidak memahami hubung kait peristiwa lampau negara yang penting dengan masa kini baik dalam konteks tempatan mahupun sejagat.

Kelemahan sistem pendidikan kita disedari kerajaan dan sedang dikaji semula untuk diperbaiki.  Dalam konteks kecekapan berbahasa Inggeris, kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa kecekapan yang bakal generasi muda kita peroleh, mungkin tidak dapat menandingi tahap yang diperlihatkan golongan lama. Ini antaranya adalah pada masa dulu, bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar, manakala kini ia hanya satu mata pelajaran. Walaupun begitu, dengan penekanan serius kerajaan melalui pelbagai usaha pendidikan untuk memastikan generasi muda cekap berbahasa antarabangsa yang paling penting ini, golongan ini dengan sikap belajar yang betul serta bimbingan dedikasi guru, pasti memperlihat kecekapan yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang.  Dalam pada kita berikhtiar untuk menguasai bahasa Inggeris pada tahap baik, kita tidak boleh sekali-kali mengetepikan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik oleh rakyat Malaysia bukan saja penting, tetapi wajib.  Bahasa Melayu adalah maruah dan citra, selain jati diri bangsa dan negara.

Maruah bahasa Melayu terletak pada martabatnya. Oleh itu, ia perlu diperlakukan dengan penuh tertib, sesuai dengan syiarnya sebagai bahasa utama di negara ini. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah selalu diutamakan dan tidak boleh diketepikan dalam sebarang ranah penggunaan yang sememangnya menjadi hak dan kuasanya. Perilaku kita semua terhadap bahasa Melayu, khususnya yang bertentangan dengan syiarnya, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tanggapan. Oleh itu, tindakan yang boleh merendahkan citra bahasa Melayu hendaklah dihindari kerana ia boleh ikut merendahkan citra kita semua sebagai bangsa berharga diri dan negara berdaulat. Sesungguhnya dalam bahasa Melayu tersimpan nilai, salasilah serta akar kita sebagai bangsa Malaysia. Dengan ini, hanya bahasa Melayu mampu memberi capaian langsung kepada warisan budaya serta pandangan dunia kita sebagai bangsa Malaysia, untuk melengkapi dan juga menolak perspektif yang disaji oleh tamadun lain.  Bahasa Melayu juga satu-satunya warisan budaya yang dengan penuh keyakinan dan pengertian, boleh bukan saja mempertahan tetapi menjamin kemuliaan kita sebagai satu bangsa bermaruah dan negara yang berdaulat di dunia ini.

SUMBER
BERITA HARIAN
17 OGOS 2011

ISU SOSIAL : MANFAAT STRATEGIK PROGRAM 6P

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN

PENULIS ialah pemerhati sosio-politik


Terlampau banyak yang diperkatakan mengenai Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau dikenali sebagai Program 6P yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. Ada laporan yang positif. Namun, ada juga cerita dan perspektif negatif yang diberikan kepada program pendaftaran pekerja asing dan tanpa izin yang amat besar dan rumit ini. Program 6P bukanlah satu program yang boleh dilihat dalam konteks 'untung dan rugi' kepada kerajaan. Ia lebih besar dan komprehensif daripada banyak perspektif negatif yang cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu. Pujian mestilah diberikan kepada kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia yang bekerja keras hampir beberapa minggu kebelakangan ini bagi melaksanakan program yang sedemikian besar dan menyeluruh. Setakat ini, hampir 2 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah pun didaftarkan. Apakah pernah kita bayangkan bahawa seramai 2 juta pendatang tanpa izin yang ada di halaman negara kita; tanpa sebarang pengenalan diri? Sejauh mana kita pasti bahawa tidak ada waima seorang pun daripada mereka ini mempunyai niat yang serong dan mampu menganggu gugat keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara?

Semua ini menimbulkan soal 'keselamatan' yang amat serius. Justeru, sememangnya amat tepat bahawa 'rasional keselamatan' menjadi faktor teras kepada pelaksanaan program 6P. Kita tidak boleh terus-terusan membiarkan sempadan negara menjadi terlalu poros dengan kehadiran pendatang tanpa izin. Benar, kita bukanlah terlalu kejam sehingga mahu meletakkan tembok kebal kepada mereka daripada mencari rezeki di negara ini. Namun kita juga tidak rela soal keselamatan negara menjadi taruhan dan permainan mana-mana pihak sekalipun. Jangan kita ambil mudah, saat ada kumpulan tertentu yang kemaruk kuasa, kelemahan-kelemahan ini boleh mendatangkan masalah jangka panjang. Oleh yang demikian, 'rasional keselamatan' yang diungkapkan dalam niat pelaksanaan Program 6P ini adalah sangat strategik dan wajar. Kita sememangnya memerlukan suatu platform pengurusan data warga asing yang lebih mampu mengawal selia kehadiran mereka di negara ini. Soal ini tidak boleh diambil mudah. 


Kita tidak perlu menjadi terlalu defensif dan takut untuk menegakkan kebenaran dan sesuatu yang menjadi keperluan negara. Cerita-cerita sensasi seperti isu 'Mismah' akhirnya gugur dengan sendirinya apabila cerita sebenar didedahkan kepada media. Ini sekali gus membawa makna, sememangnya wujud niat media tertentu untuk merosakkan imej Program 6P dengan mempakejkannya dengan isu-isu lain. 6P, biometrik, Mismah, pendaftaran warga asing, pendaftaran pemilih - dipakejkan sebagai satu 'cerita konspirasi' yang berniat meruntuh imej institusi kerajaan. Tidak sukar untuk kita mengesan 'keuntungan politik' yang boleh diperoleh sekiranya 'pakej dan agenda merosakkan imej' ini dapat dicerna oleh minda rakyat. Soal integriti sempadan, soal keselamatan, soal 'jenayah rentas sempadan' tidak menjadi penting kepada kelompok ini. Rakus kuasa lebih menarik selera. Mereka yang cuba meletakkan apa sahaja keraguan kepada pelaksanaan Program 6P adalah mereka yang tidak melihat gambaran lebih besar kepada suasana sebenar yang berlaku. 


Sampai bila kita mahu terus berteka-teki dengan jumlah sebenar pendatang tanpa izin; sekiranya sebuah program seperti 6P tidak dilaksanakan sebaiknya? Apakah kita boleh memperjudikan isu keselamatan dan menganggap semuanya akan berada di bawah kawalan anggota keselamatan? Untuk itu, Program 6P ini bukan sahaja soal majikan dan pekerja. Program 6P bukan juga soal statistik dan mengisi keperluan industri semata-mata. Masanya sudah tiba untuk kita melihat Program 6P sebagai suatu tindakan proaktif dalam memastikan integriti sempadan kita tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak sekalipun. Inilah matlamat yang lebih perlu menjadi prioriti. Pengenalan sistem biometrik adalah sesuatu yang sesuai dengan masa dan zaman. Ya, kalaupun memang wujud kelemahan tertentu yang melambatkan sedikit pendaftaran; ia tidak boleh menjadi alasan untuk kita meruntuhkan segala-galanya. Apa yang menjadi ironi, kumpulan sama adalah mereka yang selalu menjerit-jerit dan mempertikai kononnya kerajaan tidak mengurus warga asing dengan tuntas dan baik. 


Hari ini, kumpulan sama yang membuat dan menjual pelbagai tohmahan kepada program yang mempunyai niat yang sangat murni. Dengan data yang lebih komprehensif, mantap dan kebal daripada pembohongan dan penipuan, kita dapat memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh kumpulan-kumpulan ekstrem dan cuba untuk mengganggu gugat keamanan. Jangan kita ambil mudah perkara yang asas dan penting ini. Kita perlu faham bahawa penjenayah antarabangsa tidak lagi bergerak dalam model lama. Mereka sendiri juga melakukan 'kerjasama strategik' dalam memastikan risiko ditangkap oleh pihak berkuasa berada di tahap yang paling minimum. Kita bukan sahaja berbicara tentang pemerdagangan orang; malahan ia boleh menerjah kepada jenayah-jenayah yang lebih dahsyat, termasuk pengedaran dadah dan kegiatan militan! Biometrik ini bukanlah satu program yang istimewa buat Malaysia sahaja. Ia sudah menjadi teknologi dunia dalam memastikan mobiliti manusia dapat dikawal dengan lebih baik dan tersusun. Masing-masing kerajaan punya niat dan rasional tersendiri dalam melaksanakan pendaftaran identiti biometrik. 


Di India, projek yang dinamakan sebagai Unique Identification Authority of India (UIDAI) sedang dilaksanakan dengan belanja hampir AS$500 juta dolar. Hampir 500 juta rakyat India akan didaftarkan di bawah projek UIDAI - berbanding jumlah keseluruhan rakyat India yang dikatakan hampir 1.2 bilion! UIDAI mempunyai rasional yang bersifat domestik. UIDAI diharap dapat menyelesaikan isu ketirisan bantuan sosial - agar dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan. UIDAI juga mahu dijadikan platform bagi menyelesaikan banyak isu yang melibatkan penipuan perbankan di India. Malahan, UIDAI dikatakan lebih canggih kerana turut melibatkan imbasan iris mata kepada semua rakyat! Amerika Syarikat (AS) turut melaksanakan program pendaftaran biometrik di bawah projek khas United States Visitor and Immigrant Status Indicator Technology (US-VISIT). Pendaftaran ini dilakukan bagi memastikan sempadan AS tidak sewenang-wenangnya dicerobohi oleh mana-mana pihak. Fobia AS terhadap keganasan militan masih lagi terasa.  Oleh yang demikian, US-VISIT jarang sekali berhadapan dengan serangan 'politik'! 


Rasanya, ahli-ahli politik di Amerika faham bahawa soal integriti sempadan ini bukanlah satu isu yang boleh 'dipolitikkan' dengan sesuka hati. US-VISIT adalah pangkalan data komprehensif yang akhirnya boleh diakses melalui apa yang dipanggil sebagai Interagency Border Inspection System yang dijadikan rujukan kepada usaha mengenal pasti pelawat ke AS. Dengan pangkalan data yang sedemikian lengkap, risiko untuk Amerika berdepan dengan cabaran keselamatan akan berada di tahap yang minimum. Tidak kiralah atas nama apa sekalipun, UIDAI, US-VISIT ataupun Program 6P; semua ini dilakukan di atas niat mahu menjaga keselamatan negara dalam erti kata yang sebenar. Sikap ambil mudah, mempolitikkan semua perkara, sebenarnya akan meletakkan negara dalam tekanan keselamatan jangka panjang. Risiko ini tidak boleh diambil enteng; kecuali mereka yang gemar dan mahu sempadan negara yang poros demi kepentingan politik jangka panjang. Siapa tahu, jika sentimen 'anti-kerajaan' boleh disemai benihkan kepada kumpulan yang tidak mempunyai ikatan kenegaraan - sekali gus meletakkan negara di dalam risiko yang tinggi. Sekurang-kurangnya, 6P lebih fokus dan menjurus kepada golongan sasar yang tepat. 


Kita perlukan pangkalan data pekerja asing yang lengkap dan berintegriti. Tidak ada jalan lain untuk ini, kecuali menggunakan teknologi yang terkini. Program 6P tidak boleh terus diserang dan diburukkan dengan niat 'politik'. Kita perlu melihat kepentingan strategik Program 6P dalam konteks keselamatan negara dan bukannya soal akhiran 'untung rugi' yang sangat kecil berbanding tujuannya yang sebenar. Inilah masanya majikan tampil ke hadapan dan menyelesaikan masalah mereka; yang akhirnya nanti boleh menjadi masalah negara. Jabatan Imigresen mesti diberikan sokongan dalam mengisi matlamat 6P yang menjaga kepentingan negara dalam jangka masa panjang. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen tidak perlu tertekan dengan apa sahaja laporan negatif yang diberikan kepada 6P. Keputusan telah diambil oleh kerajaan dan majoriti rakyat merasakan ia tindakan yang tepat dan berpandangan jauh. Pelaksanaan 6P wajar diteruskan tanpa perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OGOS 2011

ISU SOSIAL : FITNAH DAN KHABAR ANGIN PENULIS BLOG PERLU DIHENTIKAN

Oleh 
DATUK ABDUL GHANI ABDULLAH


Seolah-olah sesetengah penulis blog tidak pernah belajar sedangkan mengetahui bahawa apa yang mereka terbitkan adalah tidak benar, sebaliknya mereka mengambil pendirian yakin untuk menerbitkannya. Apakah mereka tidak boleh mengambil contoh kes baru-baru ini apabila seorang penulis blog terpaksa membayar ganti rugi RM300,000 dan kos mahkamah sebanyak RM100,000 kerana menerbitkan sesuatu yang tidak benar. Sesungguhnya penulis blog bertanggungjawab untuk mengesahkan fakta-fakta mereka. Anda tidak boleh memfitnah orang. Sesungguhnya juga penulis blog tidak mempunyai jumlah wang sebegitu banyak untuk membayar satu-satu saman, apatah lagi bayaran-bayaran yang termasuk kos. Adakah mereka mahu diisytihar muflis seperti yang berlaku di negara jiran? Apakah seseorang ahli politik atau sesebuah pertubuhan yang diwakili oleh penulis blog yang berani memalukan seseorang yang ternama (VIP), mampu membayar semua kos ganti rugi kelak? Saya tidak pasti apakah penulis blog yang menyatakan pembelian sebentuk cincin oleh seorang ternama sebanyak RM24 juta itu mempunyai fakta-fakta yang kukuh.

Jika ya, sila nyatakan kerana penulis blog ini telah menerbitkan kepada pihak awam. Sudah tentu orang ternama tersebut menafikan perkara itu dan anggap ia sebagai fitnah dan berniat jahat. Sebagai rakyat Malaysia, adakah kita harus berdiam diri dan membenarkan ini berlaku berulang kali? Apakah motif penulis blog tersebut? Adakah penulis ini ada sesuatu niat atau sengaja berniat untuk melontar keraguan atau kekeliruan dalam sudut fikiran orang awam? Kerap kali kita mendengar teriakan dari pihak-pihak tertentu atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mengapa tiada tindakan undang-undang diambil terhadap portal berita dan penulis blog yang tulisan mereka menyusahkan dan berbentuk fitnah. Berdasarkan kenyataan menteri berkenaan, telah banyak kes dirujuk kepada Peguam Negara untuk pendakwaan, tetapi seolah-olah tindak balas dari Pejabat Peguam Negara ialah "Tiada Tindakan Lanjut" (No Further Action - NFA). Dalam hal ini beberapa andaian boleh dibuat berkaitan dengan NFA, ia mungkin badan pengawal seliaan yang berkenaan telah gagal untuk menjalankan siasatan secara rapi, gagal untuk mengeluarkan bukti yang ketara lagi kukuh yang boleh berdiri di mahkamah, atau undang-undang yang berkaitan tidak lengkap atau tidak jelas atau tidak mencukupi untuk membawa kes ke pendakwaan.

Saya tidak faham mengapa kita memberi muka kepada penulis-penulis blog yang mendakwa bahawa mereka adalah sebagai juara media alternatif. Tiba-tiba saja media alternatif telah memberi mereka peluang untuk berbohong, memfitnah, mencemuh, membuat tuduhan, memalukan orang semata-mata untuk menunjukkan mereka juga berkuasa dan boleh mempengaruhi pendapat umum. Kerajaan hari ini tidak perlu berdiam diri dan menganggap pembohongan dalam internet sebagai "perniagaan seperti biasa" atau menganggap "ia adalah perkara biasa". Sektor awam, kerajaan perlu bertindak sekarang jika mahu memelihara kedaulatan "tanpa penapisan". Maka kerajaan perlu mewujudkan sebuah jabatan khusus yang dianggotai oleh penjawat yang berkelayakan dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan mahir dalam semua aktiviti yang berkaitan dengan IT. Jabatan ini hendaklah dilengkapkan dengan kuasa undang-undang untuk memasuki premis, menahan dan mengambil komputer untuk tujuan siasatan dan menemu ramah orang yang difitnah. Sudah tentu sesetengah orang akan menuduh kerajaan bertindak secara autoritarian, tetapi mesejnya perlulah jelas bahawa kita tidak mahu orang yang berdusta dan menipu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OGOS 2011

ISU PENGGUNA : TRIBUNAL PENGGUNA MALAYSIA DIKAGUMI DUNIA

Oleh ZULKIFLI JALIL


Mana ada negara di dunia yang dengan hanya 1 pound sterling atau RM5, seorang rakyatnya yang teraniaya boleh mengadu apa sahaja kepada sebuah tribunal pengguna. Dan seterusnya dia menikmati pula ganjaran daripada ketidakadilan yang diterimanya. Bukan itu sahaja. Aduan yang diterima oleh tribunal berkenaan, diambil tindakan sepantas kilat. Dalam hanya 40 hari dari tarikh pemfailan kes, keputusan pun dibuat setelah melalui perbicaraan bagi jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000. Itulah pujian negara-negara dunia yang diterima Kuala Lumpur daripada komitmen dan prestasi yang ditunjukkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) setakat ini. Pengerusi TTPM sejak Julai 2010 sehinggalah beliau meninggalkan kerusi itu kerana bersara wajib berkuatkuasa 3 Julai lalu, Pretam Singh Darshan Singh tidak melupakan bagaimana negara dihamburkan pujian dan penghormatan kerana pergerakan tribunal tuntutan penggunanya. Jun lalu beliau membentangkan satu kertas kerja pada satu forum kepenggunaan di Universiti Brunell, Britain dan memaklumkan perkembangan TTPM.

"Rata-rata profesor di universiti itu dan yang datang dari seluruh dunia takjub dengan kewujudan, kebolehan dan kewibawaan TTPM kita. "Hasilnya, kita menerima permintaan daripada beberapa negara antaranya Fiji dan Indonesia yang meminta kita membantu untuk membangunkan tribunal tuntutan pengguna di negara mereka," kata beliau pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabat akhbar ini di Presint 15 (Diplomatik), Putrajaya, kelmarin. TTPM yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkuat kuasa 15 November 1999. Ia merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999. Sebelum penubuhan Tribunal itu, segala tuntutan ganti rugi oleh seorang pengguna terhadap seorang pembekal atau pengilang terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil di mana ia melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Di bawah Pretam Singh, 58, banyak peningkatan dan kemajuan dicapai oleh TTPM meskipun hanya setahun beliau menjadi terajunya.

Dalam tempoh 10 tahun usia tribunal, kesedaran orang-ramai terhadap kes-kes kepenggunaan semakin hari semakin berkurang. Ia secara purata menurun 1,000 kes yang diadukan atau dituntut setiap tahun. Pada 2007, terdapat 8,000 kes dan kemudian menyusut kepada 5,000 kes pada 2010. Justeru sesuatu perlu dibuat kerana kalau tidak dalam tempoh empat tahun akan datang ini, TTPM pasti akan 'tutup' kedai. Dalam tempoh empat bulan sahaja mengetuainya, Pretam Singh di atas kepercayaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya menggerakkan strategi dengan menyuntik kesedaran dan memberi sokongan moral kepada TTPM. Impaknya, sehingga bulan lalu, kes yang diterima mencecah 6,003 dan dijangka mencecah 10,000 kes pada hujung tahun ini. Banyak kemajuan yang terlihat pada TTPM ketika ini. Antaranya, menerusi memorandum persefahaman (MoU), yang ditandatangani antara TTPM dengan Majlis Peguam dan pertubuhan peguam di Sabah dan Sarawak, pengguna yang telah memenangi ganjaran di TTPM boleh melawan balik peniaga atau pihak penentang yang ada haknya pula untuk membuat semakan kehakiman di mahkamah.

"Peniaga ada banyak wang dan boleh memperoleh peguam terbaik, justeru dengan adanya peguam-peguam daripada Majlis Peguam dan Sabah serta Sarawak ini, pengguna tidak perlu membayar wang guaman sebaliknya berkaitan pembiayaan guaman akan diuruskan oleh Bank Rakyat," kata beliau sambil memberitahu setakat ini sejumlah tiga kes berada dalam kategori semakan kehakiman. Pretam Singh menarik perhatian mengenai sikap ambil berat mengenai hak-hak kepenggunaan yang perlu ada pada diri individu. Antaranya, meskipun wujud perjanjian antara peniaga dan pengguna dalam aspek barang yang dibeli tidak boleh dipulangkan dalam bentuk wang ringgit, kandungan perjanjian itu masih boleh dicabar meskipun ia ditandatangani secara sukarela. Ini kerana Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu menerusi Seksyen 6, mencakupi pelindungan pengguna ke atas perjanjian yang dikategorikan sebagai tidak adil. Meskipun sudah lebih seminggu Pretam Singh meninggalkan kerusinya di TTPM, beliau mengakui ada kalanya rasa rindu yang teramat ingin mengepalai lagi tugas itu yang dianggapnya belum selesai. "Saya suka memperjuangkan hak-hak pengguna, ditambah pula saya mendapat sokongan penuh daripada menteri dan para pegawai kementerian," kata beliau yang kehidupan berwarna-warninya bermula sebagai seorang pengawal di Chartered Bank, Petaling Jaya pada 1970-an, penguat kuasa kastam dan kemudian sebagai majistret di Rawang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OGOS 2011

16 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : MENGAPA SUKAR MENGUASAI BAHASA INGGERIS?


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Sejak dulu, isu bahasa Inggeris tidak pernah surut mencipta kontroversi hingga menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat selain mewujudkan polemik tidak berkesudahan. Biarpun banyak cara dilakukan bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa ini, kejayaannya masih samar dan gagal memuaskan hati pihak tertentu hingga menjadikannya sentiasa panas. Sejarahnya bermula apabila bahasa ini terpaksa ‘ditamatkan’ bagi memberi laluan kepada bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. Selepas itu timbul konflik apabila ia digunakan dalam subjek Sains dan Matematik dengan harapan mampu mempertingkatkan lagi penguasaannya di kalangan pelajar. Bagaimanapun, ia tetap mencetuskan pelbagai insiden pro dan kontra hingga akhirnya memaksa kerajaan mengembalikan semula penggunaan ke bahasa Melayu. Terbaru, bahasa ini dipersalahkan pula dalam insiden kegagalan pelajar menguasainya dengan baik biarpun mempelajarinya di institusi pendidikan. Persoalannya, sampai bila masyarakat terpaksa menerima pelbagai ‘cerita’ kurang menarik mengenai bahasa Inggeris?

Apakah tiada jalan penyelesaian efektif untuk menanganinya?  Mantan pensyarah pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tajol Ariffin Nordin, berkata isu itu tetap sensasi sampai bila-bila jika kekeliruan yang melanda masyarakat tidak ditangani. Beliau berkata, kekeliruan itu bukan hanya wujud pada pengenalan atau perubahan dasar semata-mata, malah mencakupi pelbagai aspek remeh atau tidak diselesaikan hingga menjadikannya satu polemik besar. Hakikatnya ia bukanlah isu besar yang tiada jalan penyelesaian cuma sering diprovokasi pihak tertentu. Dan, setiap kali ia timbul pasti menjadi panas. Dengan kata lain, masyarakat tetap keliru dan mempersoalkan apa jua aspek jika disogokkan dengan isu bahasa Inggeris kerana pemikiran mereka masih lagi dibayangi dasar pendidikan lama. Dasar pendidikan kebangsaan kini berpaksikan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar juga menjadikan pihak tertentu beranggapan pelajar gagal berbahasa Inggeris. Melalui dasar pendidikan kebangsaan ini, katanya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, justeru kebergantungan terhadap bahasa Inggeris tidak kukuh.

Masalahnya, ramai beranggapan bahasa Inggeris ‘wajib’ dan sangat istimewa hingga perlu diberi penekanan secara menyeluruh sedangkan ia bukan bahasa utama. Sistem pendidikan kebangsaan kita adalah bahasa Melayu. Jadi sudah tentu bahasa itu diberi keutamaan kerana ia bahasa rasmi. Hakikatnya, sudah termaktub bahasa Melayu adalah bahasa penghantar utama, justeru lebih penting jika pelajar dapat menguasainya dengan lebih baik berbanding bahasa Inggeris meskipun ia bertaraf antarabangsa. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini berkata, Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah. Langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Ditanya adakah benar tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar masih di takuk lama, beliau berkata perbandingan tidak boleh dilakukan secara rawak.

Dibandingkan kemampuan pelajar luar bandar dengan bandar, ada bezanya, begitu juga mahasiswa yang mengambil Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan yang lain. Kemampuan mereka tidak sama. Pasti ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum membuat rumusan muktamad,” katanya mengakui komen yang tidak membina juga boleh melunturkan semangat guru bahasa Inggeris untuk terus berkhidmat lebih dedikasi. Katanya, alasan kegagalan itu ibarat mencerminkan kelemahan guru bahasa Inggeris sewaktu menjalankan tugas. Ini mencalar kredibiliti, integriti serta profesionalisme golongan itu. Masyarakat juga akan mempersoalkan adakah guru berkenaan melaksanakan tugasan dengan baik atau apakah mereka memiliki kriteria sesuai. Ini akan menimbulkan polemik atau konflik lain sedangkan isunya tetap sama iaitu kegagalan menguasai bahasa Inggeris. Mengulas kegagalan segelintir pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik, beliau berkata puncanya bahasa itu subjek manakala latihan tidak dilakukan secara intensif. Untuk fasih, katanya, pelajar bukan saja perlu rajin malah memerlukan satu mekanisme atau latihan intensif yang agresif serta berterusan.

Katanya, subjek bahasa Inggeris diajar dalam tempoh singkat justeru sukar pelajar yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa percakapan. Untuk mengatasinya, tukar konsep pengajaran kepada komunikasi intensif kerana boleh membantu. Corak pembelajaran sekarang lebih menumpukan kepada latihan penulisan semata-mata menjadikan mereka boleh menulis tapi gagal berkomunikasi.  Yang menjadi masalah ialah pelajar tidak boleh bercakap dengan baik, justeru ubah corak pembelajaran kepada komunikasi intensif. Saya percaya ia mampu membantu kerana majikan juga hanya mementingkan aspek ini terutama ketika temu duga. Beliau juga mengakui sistem pendidikan kebangsaan tidak gagal dengan kejayaan melahirkan ramai bijak pandai yang cemerlang mengemudi dunia kerjaya. Jika ada pihak menyatakan ia puncanya, saya tidak bersetuju kerana kejayaannya sudah ada. Hanya kerana isu bahasa Inggeris, kita tidak boleh memukta–madkan sebagai tidak berjaya. Realitinya, masalah bahasa Inggeris bukan saja berlaku di negara kita malah seluruh dunia. Menyalahkan sistem pendidikan sedia ada bukan jalan penyelesaian. Yang penting, mesej ingin disampaikan berjaya, itu lebih baik daripada melakukan perubahan drastik atau menyalahkan pihak tertentu akibat kegagalan yang boleh diperbaiki.

INFO:

Penyata Razak 1956 adalah cadangan yang dibuat satu jawatankuasa oleh kerajaan Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini ditubuhkan pada September 1955 dan dipengerusikan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein. Cadangan yang dikemukakan Penyata Razak ini diluluskan kerajaan persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

SUMBER
HARIAN METRO
15 OGOS 2011

ISU UMUM : ALAHAI, KEK LAPIS SARAWAK, IMEJ TERJEJAS AKIBAT ISU MENTEGA GOLDEN CHURN

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my



“MAK saya dah lebih 30 tahun pakai Golden Churn Butter Creamy, sejak saya belum lahir lagi.” Itu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar secara tiba-tiba oleh seorang rakan berasal dari Perak kelmarin, berhubung mentega yang disahkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana mengandungi DNA babi.  Penggunaan mentega jenis itu yang selama ini mempunyai tanda halal pada pembungkusannya, sememangnya berleluasa di seluruh negara ini kerana kek atau roti yang diperbuat daripada mentega Golden Churn itu bukan saja lebih enak, basah dan lemak, malah tahan lama. Tidak hairanlah ada pengusaha kek lapis di Sarawak sebelum ini, meletakkan nama mentega itu pada risalah kek lapis yang mereka edarkan bagi menarik pelanggan, apa lagi mentega jenis itu sememangnya lebih mahal harganya berbanding jenis lain, dengan penggunaannya dianggap sebagai ‘jaga standard’. Malangnya hanya kerana industri kek lapis popular di Sarawak sehingga melahirkan ramai jutawan kek lapis di Bumi Kenyalang sehingga kini, maka tempias pengharaman mentega jenis itu lebih memberi kesan kepada perusahaan kek lapis di Sarawak, sehingga ada yang bertindak keterlaluan memberi jolokan kek lapis Sarawak sebagai ‘kek babi’.

Gambaran yang diberikan juga seolah-olah mentega jenis itu hanya digunakan di Sarawak, pada hal ia dipasarkan di seluruh negara sejak puluhan tahun yang lalu, serta pernah digunakan oleh kebanyakan suri rumah dan tukang masak di seluruh negara.  Malah tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan rata-rata kek dan pastri yang dihasilkan di hotel dan kedai kek terkenal di seluruh negara turut menggunakan mentega jenama Golden Churn selama ini, kerana ia sangat popular.  Justeru, tindakan melabelkan kek lapis Sarawak sebagai ‘kek babi’ amat kurang wajar dan ibarat sengaja mahu membunuh industri kek lapis di negeri itu, apa lagi penggunaan mentega jenis itu sudah lama dihentikan oleh pengusaha kek lapis di Bumi Kenyalang, selain ada yang sememangnya tidak pernah memakai mentega jenama itu.  Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS) sendiri mengakui kesemua ahlinya tidak menggunakan Golden Churn, sebaliknya mereka menggunakan Butter Lite dan Golden Fern yang dijamin halal oleh JAKIM.  Pada masa sama, pengusaha kek lapis Sarawak yang mendapat pengiktirafan dan pengesahan jenama Sarawak Best disahkan halal oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan JAKIM, termasuk jenama terkenal seperti Rabiah Amit, Di'Wannie Cake House, Mariam Cake House, D'Rieza Enterprise dan Kek Lapis Siti Payung.

Menyingkap sejarah, kek lapis Sarawak atau lebih dikenali sebagai kuih lapis di Sarawak, mula dipopularkan pada akhir 1980-an dan mempunyai keunikan tersendiri berbanding kek tradisional lain, sehingga mereka yang berkunjung ke Bumi Kenyalang pasti membawa pulang kek lapis ini.  Bezanya dulu kek lapis Sarawak yang mempunyai motif dan corak yang unik serta digabungkan dengan keenakan rasa, di samping teksturnya yang lembap namun pejal, hanya digunakan bagi hantaran kahwin dan kenduri kendara, selain dijadikan hidangan di Aidilfitri, namun kini ia sudah dikomersialkan sehingga ke luar negara termasuk ke Singapura dan Brunei Darussalam.  Asal usulnya kek lapis ini dikatakan daripada bangsa Melayu Sambas yang berhijrah dan menetap di Sarawak dan ia semakin popular pada 1990-an, sehingga jumlah pengusaha kek lapis juga tumbuh bagai cendawan, bukan saja yang membuka kedai kek, malah lebih ramai yang mengusahakannya di rumah dan menjana pendapatan sehingga ratusan ribu ringgit.


Biar pun berasal dari Indonesia, tetapi kek lapis Sarawak jauh lebih sedap berbanding keluaran negara jiran itu, kerana bahan yang digunakan lebih pelbagai dan mutunya juga lebih baik selain coraknya lebih cantik. Malangnya, isu Golden Churn memberi kesan buruk kepada industri kek lapis Sarawak dengan tempahan sehingga 10 Ramadan yang kebiasaannya mencecah RM600,000, kini menjunam kepada hanya sekitar RM150,000 saja. Mereka kehilangan ramai pelanggan biarpun sudah diberi jaminan bahawa pengusaha kek lapis Sarawak tidak menggunakan bahan jenama yang diharamkan itu. Ini kerana sudah lumrah sikap ragu dan was-was memang ada pada diri setiap manusia, jika timbul isu halal haram seperti sekarang. Malah dalam kalangan umat Islam di Sarawak juga, sudah ada kedengaran mereka yang nekad untuk tidak lagi menjadikan kek lapis sebagai hidangan wajib pada Aidilfitri yang berbaki dua minggu dari sekarang, sebaliknya mahu menukar kepada juadah kek tradisional.  Tidak hairanlah sejak dua tiga hari lalu, ada pengusaha kek lapis Sarawak semakin ligat menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk mempamerkan sijil halal dan kandungan kek lapis yang mereka keluarkan, bagi memenangi kembali keyakinan pembeli.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Sarawak

SUMBER
BERITA HARIAN
16 OGOS 2011