JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Ogos 2011

ISU PENGGUNA : TRIBUNAL PENGGUNA MALAYSIA DIKAGUMI DUNIA

Oleh ZULKIFLI JALIL


Mana ada negara di dunia yang dengan hanya 1 pound sterling atau RM5, seorang rakyatnya yang teraniaya boleh mengadu apa sahaja kepada sebuah tribunal pengguna. Dan seterusnya dia menikmati pula ganjaran daripada ketidakadilan yang diterimanya. Bukan itu sahaja. Aduan yang diterima oleh tribunal berkenaan, diambil tindakan sepantas kilat. Dalam hanya 40 hari dari tarikh pemfailan kes, keputusan pun dibuat setelah melalui perbicaraan bagi jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000. Itulah pujian negara-negara dunia yang diterima Kuala Lumpur daripada komitmen dan prestasi yang ditunjukkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) setakat ini. Pengerusi TTPM sejak Julai 2010 sehinggalah beliau meninggalkan kerusi itu kerana bersara wajib berkuatkuasa 3 Julai lalu, Pretam Singh Darshan Singh tidak melupakan bagaimana negara dihamburkan pujian dan penghormatan kerana pergerakan tribunal tuntutan penggunanya. Jun lalu beliau membentangkan satu kertas kerja pada satu forum kepenggunaan di Universiti Brunell, Britain dan memaklumkan perkembangan TTPM.

"Rata-rata profesor di universiti itu dan yang datang dari seluruh dunia takjub dengan kewujudan, kebolehan dan kewibawaan TTPM kita. "Hasilnya, kita menerima permintaan daripada beberapa negara antaranya Fiji dan Indonesia yang meminta kita membantu untuk membangunkan tribunal tuntutan pengguna di negara mereka," kata beliau pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabat akhbar ini di Presint 15 (Diplomatik), Putrajaya, kelmarin. TTPM yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkuat kuasa 15 November 1999. Ia merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999. Sebelum penubuhan Tribunal itu, segala tuntutan ganti rugi oleh seorang pengguna terhadap seorang pembekal atau pengilang terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil di mana ia melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Di bawah Pretam Singh, 58, banyak peningkatan dan kemajuan dicapai oleh TTPM meskipun hanya setahun beliau menjadi terajunya.

Dalam tempoh 10 tahun usia tribunal, kesedaran orang-ramai terhadap kes-kes kepenggunaan semakin hari semakin berkurang. Ia secara purata menurun 1,000 kes yang diadukan atau dituntut setiap tahun. Pada 2007, terdapat 8,000 kes dan kemudian menyusut kepada 5,000 kes pada 2010. Justeru sesuatu perlu dibuat kerana kalau tidak dalam tempoh empat tahun akan datang ini, TTPM pasti akan 'tutup' kedai. Dalam tempoh empat bulan sahaja mengetuainya, Pretam Singh di atas kepercayaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya menggerakkan strategi dengan menyuntik kesedaran dan memberi sokongan moral kepada TTPM. Impaknya, sehingga bulan lalu, kes yang diterima mencecah 6,003 dan dijangka mencecah 10,000 kes pada hujung tahun ini. Banyak kemajuan yang terlihat pada TTPM ketika ini. Antaranya, menerusi memorandum persefahaman (MoU), yang ditandatangani antara TTPM dengan Majlis Peguam dan pertubuhan peguam di Sabah dan Sarawak, pengguna yang telah memenangi ganjaran di TTPM boleh melawan balik peniaga atau pihak penentang yang ada haknya pula untuk membuat semakan kehakiman di mahkamah.

"Peniaga ada banyak wang dan boleh memperoleh peguam terbaik, justeru dengan adanya peguam-peguam daripada Majlis Peguam dan Sabah serta Sarawak ini, pengguna tidak perlu membayar wang guaman sebaliknya berkaitan pembiayaan guaman akan diuruskan oleh Bank Rakyat," kata beliau sambil memberitahu setakat ini sejumlah tiga kes berada dalam kategori semakan kehakiman. Pretam Singh menarik perhatian mengenai sikap ambil berat mengenai hak-hak kepenggunaan yang perlu ada pada diri individu. Antaranya, meskipun wujud perjanjian antara peniaga dan pengguna dalam aspek barang yang dibeli tidak boleh dipulangkan dalam bentuk wang ringgit, kandungan perjanjian itu masih boleh dicabar meskipun ia ditandatangani secara sukarela. Ini kerana Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu menerusi Seksyen 6, mencakupi pelindungan pengguna ke atas perjanjian yang dikategorikan sebagai tidak adil. Meskipun sudah lebih seminggu Pretam Singh meninggalkan kerusinya di TTPM, beliau mengakui ada kalanya rasa rindu yang teramat ingin mengepalai lagi tugas itu yang dianggapnya belum selesai. "Saya suka memperjuangkan hak-hak pengguna, ditambah pula saya mendapat sokongan penuh daripada menteri dan para pegawai kementerian," kata beliau yang kehidupan berwarna-warninya bermula sebagai seorang pengawal di Chartered Bank, Petaling Jaya pada 1970-an, penguat kuasa kastam dan kemudian sebagai majistret di Rawang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OGOS 2011

Tiada ulasan: