26 Jun 2011

ISU ANTARABANGSA : PENGAJARAN BERGUNA DARI GREECE

Ku Seman Ku Hussain


Ketika Athens dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2004, Greece sebuah negara maju, mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh. Greece menjadi impian negara-negara lain khususnya dalam Kesatuan Eropah (EU) untuk berada pada kedudukan ekonomi setanding Greece. Malah negara ini menjadi lambang kekayaan dan kehidupan mewah apabila berada di tangga ke 31 kedudukan ekonomi tertinggi di dunia. Untuk Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece membelanjakan RM34 bilion termasuk RM3.6 bilion untuk keselamatan selepas fobia tragedi serangan pengganas di New York pada 11 September 2001. Malah Sukan Olimpik juga diasaskan di Athens yang kemudiannya acara sukan paling berpengaruh di dunia. Kegemilangan sejarah Olimpik dan kecemerlangan penganjuran Sukan Olimpik 2004 kini terpadam apabila empayar ekonomi Greece berkecai, meneruskan hidup dengan berhutang dan beban hutang terlalu tinggi seolah-olah tidak terbayar.

Sebagai negara yang dikagumi dalam EU, Greece memang dicemburui oleh rakan-rakan. Tetapi keadaan yang menjurus kepada kemusnahan sebuah negara yang bertamadun tinggi ini tentunya memberikan banyak iktibar. Selepas Amerika Syarikat (AS) dilanda kemelesetan ekonomi yang teruk pada 2008 era awal Presiden Barack Obama, iaitu yang kedua teruk selepas 1930-an, kini Greece menjadi tumpuan dunia kerana keruntuhan empayar ekonominya. Greece diambang muflis dan rakyat menyalahkan kerajaan membuat keputusan silap mendapatkan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak RM478.7 bilion. Greece juga masih menanggung beban hutang lain yang tinggi iaitu RM1.48 trilion. Kegawatan ekonomi di peringkat yang paling bahaya membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

Berpuluh ribu penunjuk perasaan keluar ke jalan-jalan raya dalam keadaan negara yang terumbang ambing di ambang muflis. Rakyat percaya krisis ekonomi yang teruk itu bukan disebabkan oleh kegawatan ekonomi global walaupun sebuah lagi negara dalam EU, Sepanyol mendepani nasib yang sama. Rakyat yang pernah hidup mewah walaupun sebelum ini negara menanggung beban hutang yang tinggi tidak boleh menerima hakikat yang sebenarnya. Greece membuat kesilapan besar sebelum ini apabila memilih pendekatan popular untuk menyenangkan hati rakyat yang bermewah dengan hutang. Rakyat tidak diberi maklumat sebenar kedudukan ekonomi dan kemampuan kewangan kerajaan kerana menjadi percaturan politik.

LEBUR

Dari sebuah negara yang menduduki tangga ke 22 pembangunan manusia yang mempunyai kehidupan yang berkualiti di dunia, Greece kini menunggu masa untuk lebur dan ternyata IMF bukan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam kes Greece, satu lagi yang membuktikan sistem kewangan yang dilaksanakan oleh IMF lebih kepada menindas berbanding membantu meringankan beban. Greece terperangkap dengan IMF yang sebelum ini telah memudaratkan banyak negara di Asia yang mendapatkan pinjaman untuk keluar dari belenggu krisis ekonomi global pada 1997 lalu. Banyak negara terus menanggung beban hutang, pada masa yang sama tidak menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi. Greece kini berada dalam keadaan yang sama, bayaran balik kepada IMF dan pendapatan yang kurang dari perbelanjaan negara terus menjerumuskan Greece dalam keadaan sangat genting.

Tindakan drastik kerajaan memotong gaji di sektor awam dan bayaran pencen serta menaikkan kadar cukai mencetuskan kemarahan rakyat. Kempen berjimat cermat yang dianjurkan oleh kerajaan mendapat tentangan hebat. Tetapi untuk masa terdekat, ini saja tindakan segera yang boleh dibuat, sekurang-kurang untuk mendapatkan sedikit “nafas”. Bagaimanapun rakyat sedikit pun tidak mahu berganjak, mereka mahu hidup mewah seperti sebelum 2009. Greece menjadi sebuah negara malang apabila rakyat tidak sanggup berkorban sedikit pun selepas sekian lama hidup mewah. Selepas 2009, Greece menjadi negara kedua paling rendah dalam Indeks Kebebasan Ekonomi selepas Poland dan menduduki tangga ke 81 di dunia. Semua ini adalah kesan daripada penyelewengan politik dan ekonomi yang tidak ditangani dengan betul oleh kerajaan. Sebelum ini kerajaan mengambil pendekatan untuk kekal berkuasa dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat.

Hakikatnya kedudukan ekonomi tidak mengizinkan dan kerajaan gagal mengatasi peningkatan kadar pengangguran yang menyumbang kepada krisis ekonomi. Rakyat mesti menerima hakikat kedudukan Greece pada masa ini. Tanggungjawab kerajaan pula mesti menjelaskan tentang hakikat sebenar. Tetapi keadaan ini tidak berlaku ketika krisis ekonomi mula terasa pada 2009, malah rakyat digula-gulakan dengan kemewahan, hakikat itu semuanya dari hutang. Greece memilih gaya hidup “biar papa asal bergaya”. Tinjauan yang dibuat oleh The Groningen Growth and Development Centre yang dikeluarkan pada Mei lalu menunjukkan 62 peratus responden mempersoalkan kewajaran Greece membuat pinjaman IMF. Mereka menganggap itu tindakan salah dan menghancurkan negara, sementara 80 peratus pula hilang kepercayaan terhadap Menteri Kewangan Giorgos Papakonsstantinou menangani krisis ini, 97 peratus pula melahirkan kebimbangan peningkatan serius kadar pengangguran.

KETIDAKSTABILAN

Kadar inflasi yang tinggi iaitu 4.5 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2009 dan kadar pengangguran meningkat menjadi 16.2 peratus juga menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi. Keluaran Dalam Negara Kasar mencatatkan RM943.4 bilion tetapi defisit belanjanya mencatatkan RM73.2 bilion. Pergolakan politik telah memburukkan lagi keadaan ketika kerajaan sedang bertungkus lumus menyelamatkan keadaan yang sangat genting ketika ini. Oportunis politik kalangan pembangkang menyemarakkan kemarahan rakyat dan mendesak Perdana Menteri George Papandreou meletakkan jawatan. Papandreou sebelum ini mengambil pendekatan popular dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat. Ternyata ini bukanlah tindakan bijak, apa lagi mendapatkan pinjaman dari IMF untuk meneruskan “kegemilangan” palsu sebuah negara yang dulunya gemilang.

Oleh sebab  itu apabila ada kerajaan yang awal-awal lagi mengaku kedudukan kewangan yang tidak kukuh, rakyat harus menerima hakikat ini. Apabila kerajaan mengurangkan subsidi misalnya, rakyat juga perlu sedar bahawa ada ketikanya mereka perlu berkorban sedikit untuk menikmati kesenangan yang berpanjangan. Bagi oportunis politik, keadaan tidak stabil terutama ekonomi adalah ruang untuk menawan hati rakyat. Mereka menyalakan kemarahan dan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya. Di Greece, banyak yang terperangkap dalam permainan politik seperti ini, padahal tindakan mereka sedikit pun tidak menyumbang menyelesaikan keadaan genting yang hampir memufliskan negara. Banyak yang boleh diambil iktibar daripada tamadun Greece yang kini sudah berada di penghujungnya.

SUMBER :
MINGGUAN MALAYSIA
26 JUN 2011

ISU UMUM : MATI TINGGALKAN NAMA DAN HARTA

Oleh Hafizahril Hamid


Kematian adalah sesuatu yang pasti. Walau sehebat dan sekaya mana seseorang itu apabila ajal menjemput tiba tidak ada apa yang boleh dilakukan, hanya pasrah terhadap ketentuan yang maha Esa. Namun yang pasti, sepanjang hidup di muka bumi ini setiap insan akan cuba menjadi atau melakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang diceburi. Bagaimanapun bukan semua bertuah untuk berjaya dan menjadi kaya raya. Tetapi terdapat segelintir mereka ini yang sangat bertuah menjadi kaya dan ternama ketika masih hidup. Namun ada juga yang hanya mencipta nama selepas kematiannya walaupun terpaksa hidup menderita malah tidak diiktiraf jasa dan sumbangannya ketika masih hidup.

LEGENDA

Kenapa perkara ini berlaku sedangkan sepatutnya hasil karya dan ciptaan mereka ini mendapat pengiktirafan sewajarnya ketika hidup. Ada yang berpandangan sesuatu karya itu akan meningkat nilainya setelah penciptanya mati berdasarkan itu adalah karya-karyanya yang terakhir. Oleh itu nilainya akan meningkat berkali ganda seperti mana yang berlaku kepada artis-artis yang lagu-lagunya begitu dicari setelah ketiadaannya. Ada juga yang melihat bahawa kebanyakan pengkarya ini begitu mendambakan ketelitian dan kesempurnaan dan mereka berpandangan karya mereka tidak layak diiktiraf kerana masih belum sempurna. Namun hakikatnya tiada karya yang boleh dinilai sebagai begitu sempurna kerana tiada istilah kesempurnaan dalam berkarya atas alasan terlalu subjektif untuk dinilai. Selain itu kebanyakan mereka ini dilihat begitu takutkan kritikan dan sanggup menyimpan karya mereka daripada dikritik. Bagi mereka adalah lebih baik karya itu disimpan dari mendapat malu di kemudian hari.

PENGIKTIRAFAN

Berikut dinyatakan beberapa tokoh yang telah berjaya menghasilkan karya dan ciptaan ketika hidupnya tetapi telah dikesampingkan dan tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya. Namun akhirnya mereka menjadi ternama dan menerima habuan yang bukan sedikit nilainya tetapi malangnya ia berlaku setelah tiada di muka bumi ini.

1. Galileo Galilei

Tokoh yang dilahirkan pada 1564 ini sangat dikenali sebagai seorang saintis, ahli astronomi dan pakar matematik. Jasa beliau yang paling diingati adalah mencipta teleskop untuk meninjau planet sekaligus membuktikan bahawa bulan mengelilingi bumi dan bukan sebaliknya. Malangnya penemuan berharga beliau tidak diterima malah dianggap sesat oleh gereja Katholik yang sangat berpengaruh ketika itu. Akibatnya beliau dipenjara sebelum menjalani tahanan rumah sepanjang hidupnya. Meninggal dunia pada usia 77 tahun Galileo digelar sebagai Bapa Sains Moden oleh Albert Einstein yang mana beliau bertanggungjawab melakukan revolusi saintifik dan mengubah pandangan dunia terhadap sains.

2. Edgar Allan Poe

Dikenali sebagai penulis pertama menulis kisah mengenai penyiasatan detektif fiksyen selain kisah-kisah misteri yang hanya mendapat sambutan hangat selepas kematiannya. Lahir pada 1809 di Massachusetts dalam dunia kemiskinan dan pernah berharap untuk menjadi penulis berjaya dan hidup senang lenang, malangnya ia tidak berlaku ketika hayatnya. Karya terbaiknya The Raven hanya dibayar AS$9 (RM27) malah kebanyakan karyanya yang lain langsung tidak dibayar. Kehidupannya semakin terhimpit selepas kematian isterinya dan mula terlibat dalam ketagihan alkohol. Meninggal dunia ketika hanya berusia 40 tahun tetapi beliau dianggap bapa kepada penulisan moden dan misteri tapi malangnya mati dalam keadaan yang sangat daif.

3. Vincent van Gogh

Namanya tidak perlu lagi diperkenalkan lagi sebagai antara pelukis prolifik pernah wujud di sebalik semua masalah berkaitan emosi dirinya. Berasal dari Belanda serta dilahirkan pada 1853, beliau membesar dengan perasaan malu serta rendah diri yang keterlaluan. Pernah bercita-cita menjadi paderi namun menemui minat sejati terhadap lukisan pada awal usia 20-an. Memulakan karier seni dengan bermain warna-warna suram sebelum berhijrah ke Paris dan bergaul dengan karya-karya berasaskan impresionisme dan neo-impresionisme dimana warna-warnanya lebih cerah dan gaya lukisannya dikembang menjadi unik dan mudah dikenali. Menghasilkan lebih 2,000 karya dan kebanyakannya hanya ditemui selepas kematiannya. Saat akhir hidupnya penuh kekeliruan akibat epilepsi dan kemurungan sebelum membunuh diri ketika menjalani rawatan di Hospital Sakit Jiwa Paul-de-Mausole, Perancis.

4. Alfred Wegener

Dikenali sebagai ilmuwan alam sekitar dan pakar geologi dan meteorologi, dilahirkan pada 1880 di Jerman. Beliau memperkenalkan teori pengapungan benua satu pandangan bahawa permukaan bumi ini bergerak secara perlahan tanpa disedari. Wegener berpandangan satu ketika dahulu hanya terdapat satu benua sahaja sebelum ia terbahagi kepada beberapa benua pada 200 juta tahun lalu. Beliau telah mengajukan persoalan ini pada tahun 1915 akan tetapi dia tidak dapat menjelaskan mengenai mekanisme pergerakan akibat kekurangan bukti. Hanya selepas 20 tahun kematiannya ketika menyertai satu ekspedisi ke Greenland, bukti-bukti kukuh ditemui sekaligus mendiamkan mereka yang pernah ketawa dengan teori gilanya itu.

5. Emily Dickinson

Beliau akan dikenang sepanjang hayat atas karya-karya puisinya yang begitu menyentuh perasaan apatah lagi ketika itu peranan wanita tidak diiktiraf dalam masyarakat. Namun beliau dianggap sebagai penulis puisi yang pra-modenis dan inovatif. Bagaimanapun beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang gemar mengasingkan diri dan dikatakan pernah mengalami kekecewaan dalam percintaan. Dilahirkan pada 1830 di Massachussetts, beliau telah mengarang lebih 1,800 puisi berkisar mengenai kehidupan, kematian dan alam sekitar berdasarkan pengalaman hidupnya. Pernah mengarahkan semua puisinya dibakar selepas kematiannya namun kakaknya Lavinia tetap menyimpan karya tersebut sebelum diterbitkan pada 1890.

6. James Dean

Pelakon yang dilihat sangat berpotensi untuk pergi lebih jauh namun malangnya terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya pada 1955 ketika berusia 24 tahun. Karisma serta ketampanan wajahnya yang dilabel sebagai lelaki ‘cool’ telah memberi peluang kepada pihak pengiklan untuk terus menggunakan wajahnya atas tujuan komersial. Walaupun telah lebih 50 tahun meninggal dunia, majalah Forbes menganggarkan beliau secara konsisten mengutip AS$2 juta (RM5.9 juta) setiap tahun atas tujuan iklan.


7. Marilyn Monroe

Dilahirkan pada 1926 dengan nama Norma Jeane Mortenson telah diangkat sebagai antara bintang paling menyinar pada zamannya. Membesar sebagai remaja bermasalah, beliau mula mencipta nama di Hollywood sebagai penyanyi, pelakon dan model paling hangat di pasaran pada 1946. Di sebalik pelbagai anugerah dan kejayaan, beliau dikatakan berhadapan masalah peribadi yang teruk antaranya hiper seksualiti, gangguan tidur, penyalahgunaan dadah dan masalah dalam hubungan cinta menjadi antara punca kematiannya pada 1962. Setelah kematiannya, beliau menerima lebih AS$2 juta (RM5.9 juta) setahun melalui pelbagai tujuan iklan, lebih lumayan ketika beliau masih hidup.

8. Kurt Cobain

Legenda muzik ketika zamannya tetapi membunuh diri akibat penyalahgunaan dadah pada 1994 ketika berusia 27 tahun, semasa namanya mula di puncak bersama kumpulan Nirvana. Beliau dikatakan memperoleh AS$25 juta (RM75 juta) setahun melalui pelbagai iklan dan royalti muzik dan yang paling beruntung adalah isterinya, Courtney Love.


SUMBER :
MINGGUAN MALAYSIA
26 JUN 2011

25 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : BANGSA BUKAN PENENTU KECEMERLANGAN AKADEMIK, MOHON DIFAHAMI!

Oleh Ruhaiza Rusmin

Sudah sekian lama, institusi pengajian tinggi awam negara dihadapkan pelbagai cabaran dan dugaan malah ada mempersoalkan kewibawaan institusi berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya. Ada beranggapan institusi itu anak emas kerana sering mendapat sokongan penuh kerajaan, ada pula mendakwa institut pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan ketinggalan zaman kerana menawarkan program lapuk sehingga meningkat bilangan graduan menganggur. Malah, ada suka membandingkan dengan institusi pengajian tinggi swasta yang dilihat lebih dinamik merencanakan pelbagai perancangan untuk mahasiswa. Kritikan demi kritikan bukan saja mencalarkan reputasi IPTA malah ibarat tidak mengenang jasa terhadap budi dicurahkan dulu. Persoalannya, mengapakah kritikan ini masih kedengaran sedangkan institusi terbabit sudah melakar nama di puncak dunia. Apakah dengan ‘berdiam diri’ boleh menyelesaikan masalah atau mereka takut dikritik bimbang mencalarkan reputasi?

Naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata sebagai institusi yang mendokong aspirasi serta cita-cita pendidikan negara, IPTA perlu terus memperjuangkan agendanya tanpa perlu takut kepada kritikan. Beliau berkata, IPTA perlu tegas dan kalis pada pendiriannya serta menjadikan kritikan itu sebagai satu lonjakan penambahbaikan kualiti sedia ada ke tahap lebih baik. Seharusnya setiap institusi perlu mempunyai pendirian teguh dalam mempertahankan perjuangan mendidik anak bangsa tanpa perlu gentar terhadap apa jua kritikan. Dalam konsep memberi pendidikan, kritikan harus dilihat sebagai cabaran besar untuk mengubah pandangan atau kelemahan institusi. Ia bukanlah satu ‘perangkap’ untuk mendedahkan kepincangan sebaliknya satu teguran bagi memperbaikinya. Ia perlu diperhalusi supaya tidak timbul salah faham apatah lagi jika membabitkan reputasi mahasiswa dan institusi sendiri.  Isu kritikan membabitkan IPTA bukan baru apatah lagi institusi terbabit paling ramai mengeluarkan graduan saban tahun.

Dengan 20 IPTA, jumlah graduan dilahirkan menjangkau puluhan ribu menjadikan pasaran kerjaya cukup sempit bagi mereka memperoleh keputusan cukup makan atau bukan daripada program profesional. Kesukaran memperoleh pekerjaan ditambah tanggapan program ditawarkan tidak relevan atau menepati keperluan semasa menyebabkan graduan terpaksa menganggur. Akibatnya institusi ditempelak kerana tidak peka hingga menyebabkan mahasiswa menjadi mangsa. Beliau berkata, tanggapan itu tidak benar kerana setiap institusi pasti memikirkan kebajikan mahasiswanya dan tidak sewenang-wenangnya menawarkan program tanpa kualiti. Malah, katanya, setiap program ditawarkan adalah sejajar dengan keperluan semasa selain tidak boleh diperlekehkan kerana di antaranya mendapat pengiktirafan profesional dan antarabangsa. Mereka yang melontarkan pendapat itu tidak faham dan enggan membuka minda. Sekarang zaman alaf baru, jadi program ditawarkan mesti selari dengan permintaan semasa.

Institusi awam tidak sesekali memperjudikan masa depan mahasiswa semata-mata untuk memuaskan hati pihak tertentu sebaliknya berusaha menyediakan mereka asas untuk pasaran kerjaya dan masa depan. Setiap program bukan picisan namun mempunyai fungsi tertentu menjana dan merangka kesinambungan negara untuk jangka masa panjang sekali gus mengisi permintaan kerjaya bukan saja bertaraf tempatan sebaliknya merentasi global.  Mengulas pandangan skeptikal mengatakan hanya graduan tertentu memperoleh peluang pekerjaan, beliau menafikannya kerana graduan Bumiputera banyak mengisi ruang kerja profesional yang dikhususkan bangsa asing. Menurutnya, pertikaian sama ada graduan boleh melakukannya atau tidak bukan terletak pada sesuatu bangsa namun kehendak, semangat berdaya saing serta keinginan untuk berubah. Malangnya ramai yang meletak dan melabelkan kemampuan mahasiswa mengikut bangsa. Tambah menyedihkan apabila bangsa sendiri mudah memperlekehkan mereka.

Bukankah ini tidak adil kerana seperti merendah-rendahkan kemampuan sedangkan yang perlu dilakukan adalah menyokong supaya mereka tidak patah semangat mahupun rebah. Jika asyik mempertikaikan, bagaimana mahu berjaya. Bukan semua mampu bertahan dengan kritikan dan mengambilnya sebagai positif.  Ia juga sekali gus bagai mempersoalkan kewibawaan sesebuah institusi bertaraf pengajian tinggi yang tenaga pengajarnya terdiri daripada kalangan ahli akademik, profesional serta berkepakaran.  Beliau kecewa kerana ramai menghentam kerana dikuasai perasaan tidak puas hati bukan berpihak di bumi nyata. UiTM mampu melahirkan graduan yang menepati pasaran malah setiap programnya mendapat pengiktirafan dunia. Apakah pengiktirafan ini kerana institusi hanya pandai mengangkat diri semata-mata atau orang luar sememangnya nampak kemampuan itu?

INFO

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menumpukan kepada 10 misi utama yang disasarkan kepada institusi pengajian tinggi negara iaitu:

Memperkasakan institusi pengajian tinggi
Kualiti tenaga akademik
Memartabatkan akademik dan penubuhan Majlis Profesor Negara
Peningkatan kegiatan penyelidikan dan pembangunan
Program pengantarabangsaan
Pembangunan kualiti pelajar
Kebolehpasaran graduan
Pelan transformasi politeknik
Transformasi kolej komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat
Program transformasi institut pengajian tinggi swasta

HARIAN METRO
25 JUN 2011

ISU NUKLEAR : MENGUBAH PERSEPSI RAKYAT TENTANG RADIOAKTIF

Apabila mendengar saja perkataan ‘radioaktif’, secara automatik akan terlintas di fikiran bahawa radioaktif adalah sesuatu bahan yang sangat berbahaya, tidak boleh didekati apatah lagi disentuh. Ada yang mengatakan, barangkali radioaktif itu boleh meletup, menyebabkan kematian atau boleh menyebabkan seseorang individu itu terkena penyakit seperti kanser dan sebagainya.  Itu adalah persepsi umum masyarakat terhadap radioaktif. Bukan itu saja, radioaktif turut dikaitkan dengan peristiwa hitam yang berlaku di seluruh dunia, antaranya seperti letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1954, kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986 dan terkini ialah peristiwa kebocoran radiasi yang berlaku di loji kuasa nuklear di Fukushima akibat gempa bumi dan bencana tsunami pada 11 Mac 2011 lalu, di Jepun.

Peristiwa seperti inilah yang menyebabkan masyarakat semakin berasa bimbang dan gusar kerana mereka beranggapan radioaktif adalah punca kepada segala-galanya iaitu kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, pencemaran terhadap alam sekitar dan menghidap penyakit berbahaya seperti kanser. Sememangnya stigma masyarakat terhadap radioaktif sukar untuk diubah. Namun, pada hakikatnya dan tanpa kita sedari, radioaktif sebenarnya wujud secara semula jadi di sekeliling kita yang mengeluarkan sinarannya secara semula jadi dan kita terdedah kepadanya dalam kehidupan seharian. Umpamanya pendedahan sinaran dari tanah dan batu-batan yang kita duduki, dari angkasa seperti kosmik, bahkan kita turut memakannya melalui makanan dan minuman kita seharian seperti dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.  Tubuh badan kita sendiri mempunyai bahan radioaktif semula jadi seperti potassium-40 (K-40).

Data yang diperoleh daripada UNSCEAR 2000 (United Nation Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation to the General Assembly) menyatakan purata dedahan dos setahun yang kita terdedah kepada sinaran semula jadi di sekeliling kita ialah 2.4 milliSievert (mSv) setahun.  Malah, di dalam semua tanah di dunia mengandungi bahan radioaktif semula jadi (Naturally Occurring Radioactive Materials – NORM) terutama kandungan uranium-238 iaitu dalam julat 16-110 Becquerrel/kg[Bq/kg] (bersamaan 0.016-0.1 Bq/gm) dan kandungan thorium-232 dalam julat 11-64 Bq/kg (bersamaan 0.011 - 0.064 Bq/kg). Di Malaysia, kandungan uranium dan thorium semula jadi ini adalah dalam julat 49-86 Bq/kg (bersamaan 0.049 - 0.086 Bq/gm) untuk uranium dan dalam julat 63-110 Bq/kg (bersamaan 0.063-0.1 Bq/g).

Apa itu radioaktif?

Radioaktif atau sinaran yang terhasil daripada bahan radioaktif ialah satu bentuk tenaga yang dipancarkan oleh atom atau molekul yang disebarkan melalui ruang atau jirim sebagai partikel/zarah ataupun gelombang elektromagnet. Sinaran mempunyai pelbagai istilah, antaranya seperti gelombang cahaya, gelombang radio, sinar infra-red (haba), gelombang mikro dan sinar X. Antara sinaran mengion yang wujud ialah zarah Alfa, zarah Beta, sinar Gamma, sinar X dan juga Neutron.  Bahan radioaktif ini terhasil melalui dua pendekatan iaitu ada bahan radioaktif semula jadi seperti uranium dan thorium dalam alam sekitar (tanah, pokok, air dan udara) dan bahan radioaktif ‘buatan’ manusia seperti Technitium-99m yang digunakan dalam perubatan dan Iridium-192 yang digunakan dalam industri termasuk penjanaan kuasa nuklear.

Isu Lynas

Isu terkini yang membabitkan bahan radioaktif di Malaysia dan heboh diperdebatkan ialah mengenai projek Lynas. Secara ringkasnya, Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah syarikat subsidiari milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia. Perniagaannya berkaitan dengan pengeluaran serta penjualan nadir bumi.  Hasil daripada pemprosesan nadir bumi sebenarnya digunakan oleh ratusan aplikasi industri, contohnya bateri bagi komputer riba, telefon mudah alih serta kereta hibrid, tiub ‘cathode-rays’ bagi monitor televisyen dan komputer, wayar gentian optik, aplikasi aeroangkasa sehingga magnet bagi penghasilan tenaga daripada sumber angin.  Syarikat Lynas di Kuantan dijangka dapat menghasilkan hampir 30 peratus daripada bekalan dunia (di luar China) apabila mula beroperasi nanti.  Punca utama kebimbangan orang awam khususnya bagi masyarakat Pahang ialah Lynas bercadang untuk membawa masuk bijih Lathanid dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan bijih itu akan diproses dan diekstrak di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.

Sisa sampingan yang bakal dihasilkan daripada proses pengesktrakan nadir bumi itu telah menyebabkan orang awam mempertikaikan ketelusan kerajaan dan agensi yang terbabit dalam menjamin keselamatan rakyat. Malah, isu ini digembar-gemburkan oleh segelintir pihak yang sebenarnya bermotifkan politik semata-mata. Apa yang dikesalkan, orang awam menjadi mangsa keadaan kerana mereka dihidangkan dengan maklumat yang mengelirukan sehingga menyebabkan mereka berfikir bahawa pemprosesan rare earth atau nadir bumi oleh Lynas adalah sama dengan pemprosesan syarikat Asian Rare Earth (ARE) dan peristiwa yang berlaku di syarikat Asian Rare Earth pada awal tahun 80-an akan berulang kembali.

Tindakan kerajaan

Kerajaan Malaysia sudah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ARE berulang. Pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta mutu alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan baik dan terpulihara. Orang awam mempersoalkan kredibiliti agensi bertanggungjawab yang terbabit, antaranya tindakan AELB dalam mengeluarkan lesen serta sejauh mana ketelusan panel pakar bebas yang dijemput dalam memberi keputusan berhubung projek Lynas. Sebenarnya, dalam projek membabitkan pengilangan bahan radioaktif, kelulusan pembinaan akan diberi, tetapi pemberian lesen operasi hanya akan diberi selepas syarikat Lynas mematuhi semua langkah serta syarat keselamatan yang dinyatakan dalam syarat lesen dan juga dokumen Program Perlindungan Sinaran yang dibangunkan oleh syarikat berdasarkan keperluan yang termaktub dalam Akta 304 dan peraturan subsidiarinya.

BERITA HARIAN
24 JUN 2011

ISU PENDIDIKAN : PELAJAR CEMERLANG DI IPT CERMIN KEWIBAWAAN KERAJAAN

Isu pemberian biasiswa sering dibangkitkan setiap kali selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Ada pihak kurang berpuas hati kerana ada pelajar yang layak gagal mendapat biasiswa terutama dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Agihan biasiswa kepada pelajar cemerlang dikatakan tidak adil sehingga wujud dakwaan pilih kasih dan salah guna kuasa. Malah, lebih serius turut ada dakwaan wujud diskriminasi antara kaum yang dibangkitkan terutama oleh pemimpin politik kaum masing-masing. Kita percaya adalah mustahil agihan dibuat JPA dapat memuaskan hati semua pihak. Namun kita mahu pihak terbabit dan ibu bapa pelajar memahami bahawa peruntukan biasiswa disediakan adalah terhad dan sudah pasti ada pelajar tercicir daripada menerimanya. Kita percaya kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan membantu pelajar terbabit melanjutkan pelajaran pada peringkat tertinggi dengan sejumlah biasiswa yang disediakan kerajaan melalui JPA.

Justeru, penjelasan Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa mulai tahun depan pelajar cemerlang SPM tidak lagi diberikan biasiswa JPA untuk melanjutkan pengajian peringkat prauniversiti, termasuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi serta A-Level harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak. Perdana Menteri ketika memberi maklum balas seorang pemanggil dalam program temu bual dalam radio berbahasa Cina itu, menjelaskan bahawa pelajar hanya akan ditawarkan bantuan kewangan atau dermasiswa daripada kerajaan, manakala biasiswa JPA dikhaskan kepada pelajar prauniversiti yang cemerlang dan sudah mendapat tempat di universiti terkemuka. Kita percaya pengumuman Najib itu dibuat selepas kerajaan melakukan penelitian, kajian dan rasional kenapa tawaran biasiswa JPA dibuat hanya kepada pelajar cemerlang yang sudah mendapat tempat di universiti terbaik. Pada masa sama kerajaan tidak mengabaikan pelajar cemerlang SPM ini kerana mereka masih disediakan bantuan kewangan dan dermasiswa.

Apapun, kita tentunya tidak mahu pelajar yang menerima biasiswa JPA pada peringkat prauniversiti gagal menunjukkan kecemerlangan ketika berada di universiti. Kita mahu pemberian biasiswa ini menjadi pemangkin kepada pelajar cemerlang pada peringkat SPM dan prauniversiti ini berlumba-lumba mencapai kecemerlangan dalam pengajian di peringkat universiti dan seterusnya. Jumlah pelajar cemerlang pada peringkat SPM begitu ramai dan hanya terbaik akan mendapat tempat dan dianugerahkan biasiswa. Bagaimanapun, kita mahu kerajaan tetap mengambil kira seperti latar belakang keluarga, sosioekonomi, aktif dalam kegiatan kokurikulum dan ketrampilan. Selain itu, biasiswa juga hanya ditawarkan kepada pelajar yang mendapat mengikuti kursus bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, sains dan teknologi. Kita berharap isu biasiswa ini tidak terus dipolitikkan. Kita percaya kerajaan sentiasa cuba berlaku adil dan sedaya upaya mahu membantu pelajar yang memerlukan. Kecemerlangan pelajar kita sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau luar negara turut mencerminkan kewibawaan kerajaan.

BERITA HARIAN
25 JUN 2011

ISU ANTARABANGSA : IMF PERANGKAP GREECE

Greece sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila masih gagal menyelesaikan masalah hutangnya yang berjumlah 340 bilion Euro (RM1.48 trilion) walaupun selepas menerima bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah (EU) berjumlah 110 bilion Euro (RM478.7 bilion) tahun lalu. Kini, satu pakej bantuan kedua berjumlah 120 bilion Euro (RM521.94 bilion) sedang dibincangkan untuk mengelak Greece gagal membayar hutang-piutang dan muflis. Dengan jumlah hutang bersamaan 150 peratus keluaran tahunannya, Greece kini memegang dua rekod dunia yang tidak dikehendaki iaitu kadar kredit paling rendah untuk sebuah negara berdaulat dan hutang paling mahal diinsuranskan. Dengan populasi semasa berjumlah 11.3 juta orang, ekonomi Greece sebelum ini membangun pesat sejak menyertai zon Eropah lebih satu dekad lalu. Bagaimanapun, negara itu dibelenggu masalah rasuah, birokrasi dan penipuan cukai, sehinggalah Greece dilanda kemelesetan ekonomi pada 2009 dan defisit bajetnya mencecah 15.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di Athens, Perdana Menteri Greece, George Papandreou yang dihimpit protes rakyat dan bantahan dalam partinya sendiri meneruskan rayuan agar rakyat menyokong pembaharuan untuk berjimat bagi mengelakkan negara itu muflis. Beliau yang mempertaruhkan masa depan kerjaya politiknya dalam mengambil tindakan tidak popular sebenarnya tiada pilihan lain jika mahu mendapatkan bantuan daripada IMF dan EU. Selepas Papandreou berucap di Parlimen awal minggu ini, lebih 10,000 orang mengadakan protes di depan bangunan Parlimen kerana marah kerajaan memotong gaji dan pencen pekerja dahulu sebelum memotong gaji para pemimpin Greece. Sehubungan itu, beliau mengusulkan undi tidak percaya bagi berdepan dengan tentangan dalaman parti dan protes yang menjejaskan popularitinya. Bagaimanapun, beliau terselamat daripada undi tidak percaya Parlimen dengan memperoleh 155 undi daripada 143 undi, tidak termasuk dua ahli Parlimen tidak hadir. Kabinet baru Greece yang dikenali sebagai 'Kabinet kecemasan' juga telah menyatakan komitmen terhadap pembaharuan (potongan) lebih ketat mengikut tuntutan IMF itu.

Dalam pada itu, pemimpin pembangkang, Antonis Samaras menuntut Papandreou meletakkan jawatan untuk pilihan raya baru diadakan, seterusnya membolehkan perbincangan diadakan semula untuk syarat-syarat bantuan tersebut. Papandreou bagaimanapun menyeru pembangkang supaya tidak berbalah dengan kerajaan dalam waktu kritikal ini dan berhenti memberi mesej seolah-olah negara itu kucar-kacir. Kabinetnya berharap mereka berjaya meneruskan pembaharuan itu menjelang hujung bulan ini tetapi mungkin terpaksa berhadapan ketidakpastian politik selepas beberapa minggu perarakan protes termasuk yang bertukar ganas berlaku pada Rabu lalu. Situasi ini juga mungkin akan menyebabkan pelabur lari kerana bimbang kemarahan orang ramai akan menggoncang keazaman kerajaan dalam membuat pembaharuan yang perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan Greece.

Walaupun menteri-menteri kewangan zon Eropah dijangka bersetuju meneruskan bayaran berikutnya untuk membantu Greece, namun Menteri Kewangan Jerman menegaskan semuanya akan bergantung kepada komitmen yang ditunjukkan kerajaan di Athens dalam memenuhi tuntutan EU dan IMF. Lebih utama, krisis kewangan Greece juga menunjukkan kelemahan struktur mata wang Euro yang kini digunakan di 17 negara anggota EU. Kemampuan Greece menyelesaikan masalah hutang mungkin menentukan sama ada mata wang Euro akan terus digunakan atau memalukan EU, sehingga ke tahap kesatuan itu sendiri mungkin runtuh sama ada dengan Greece ditendang keluar atau Jerman (ekonomi paling kaya dalam EU) menarik diri. Canselor Jerman, Angela Merkel kini menghadapi tekanan besar daripada rakyat negaranya yang geram kerana mereka yang terpaksa membayar akibat pembaziran yang dilakukan Greece.

Perdana Menteri United Kingdom (UK), David Cameron pula menegaskan negaranya tiada tanggungjawab membantu menyelamatkan Greece kerana negaranya tidak menggunakan mata wang Euro. UK dijangka hanya akan menyalurkan bantuan melalui pinjaman melalui IMF sementara IMF pula menegaskan Greece perlu mengetatkan lagi langkah berjimat-cermat sebelum bantuan tambahan diluluskan. Selain itu, kegagalan Greece membayar hutang juga mungkin membuka pintu kepada malapetaka kewangan global seperti yang berlaku selepas kejatuhan bank pelaburan Lehman Brothers di Amerika Syarikat pada 2008. Rakyatnya kini telah hilang sabar dengan gerakan berjimat-cermat yang semakin teruk sehinggakan gaji sektor awam dipotong sebanyak 20 peratus dan pencen dipotong sebanyak 10 peratus. Gerakan jimat-cermat juga semakin meluas melalui peningkatan cukai, potongan manfaat dan gaji serta sekatan persaraan awal yang telah menyebabkan semakin banyak mogok dan protes.

Kadar pengangguran pula dilaporkan semakin meningkat dan tinjauan terbaharu menunjukkan 80 peratus rakyat enggan mengorbankan apa-apa lagi walaupun demi mendapatkan bantuan tambahan daripada EU dan IMF. Rata-rata pekerja sektor swasta menyalahkan situasi semasa kemewahan sektor awam, manakala kakitangan awam pula menyalahkan penipuan cukai, selain kebanyakan rakyat menyalahkan ahli politik yang korup sebagai punca masalah kewangan Greece. Tinjauan terbaharu menunjukkan 47.5 peratus rakyat mahu Parlimen menolak pakej pembaharuan yang dicadangkan itu, di samping mahu pilihan raya awal diadakan sebelum penghujung mandat Papandreou pada 2013. - AGENSI

UTUSAN MALAYSIA
25 JUN 2011

23 Jun 2011

RENCANA : PELAN PENGURUSAN BENCANA STRATEGIK MAMPU ELAK RISIKO

Oleh Hasliza Hassan




JIKA takut bermain ombak jangan berumah di tepi pantai. Jika takut tanah runtuh, jangan berumah di lereng bukit. Tetapi jika itu memang sudah jadi kediaman sejak dulu atau hanya tanah di lereng bukit yang ada untuk didirikan bangunan, apakah kita ada pilihan. Adakah mereka yang sekian lama tinggal berdekatan lereng bukit perlu mengambil tindakan drastik untuk berpindah bagi mengelak bencana tanah runtuh. Bagaimana pula yang tinggal di kawasan banjir, adakah mereka juga perlu mencari rumah di kawasan lain jika tidak mahu berdepan dengan banjir? Andainya mereka ingin terus tinggal di kediaman sedia ada, adakah ini bermakna mereka perlu berdepan dengan risiko kemalangan dan jika berlaku tragedi, siapa perlu dipertanggungjawabkan? Yang pasti, apabila berlaku bencana alam tiada siapa akan mengaku itu tanggungjawab mereka. Lebih-lebih lagi yang membabitkan kehilangan nyawa. Sebaliknya berlakulah drama tuduh menuduh atau tuding-menuding.

Terbaru ialah tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 nyawa. Nampaknya, isu itu pun sudah sejuk atau terus ditangani pihak tertentu tanpa publisiti besar-besaran.  Kejadian tanah runtuh yang berlaku memperlihatkan sikap ‘gempar, kesal, prihatin dan simpati’ yang bersifat sementara kerana keadaan akan kembali ‘reda’ selepas beberapa ketika dan hanya hangat apabila berlaku lagi tragedi menggemparkan.  Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Prof Dr Alias Abdullah, berkata negara memerlukan pelan pengurusan bencana yang strategik untuk menangani isu membabitkan keselamatan rakyat, selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan risiko. Katanya, dalam keadaan sekarang adalah sukar untuk meminta pemilik rumah atau premis terletak di kawasan berisiko berpindah terutama apabila tiada tempat lain hendak dituju.  “Masyarakat sendiri akan berdegil, khususnya pemilik tanah dan rumah. Pastinya mereka tidak mahu berpindah kerana sudah lama menetap di situ.

Tetapi kita tidak boleh salahkan mereka kerana itulah saja harta mereka ada.  “Lagipun, pemberian tanah zaman dulu tidak terancang dan tanah status pertanian memang dibenarkan dibina rumah separuh kekal. Sebab itu kita lihat rumah dibina tidak mempunyai pelan. Jika dari dulu mereka tinggal di situ, tiba-tiba disuruh pindah, ke mana mereka hendak pergi,” katanya.  Bagaimanapun katanya, masih ada cara bagi mengurangkan risiko serta membantu mereka yang tinggal di kawasan terdedah kepada bencana alam memastikan keselamatan terjamin. Katanya, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan satu pelan kawasan penempatan merangkumi lokasi penempatan lama, baru serta mengenal pasti kawasan berisiko terhadap bencana alam dengan mengkategorikannya mengikut kelas risiko seperti A untuk kawasan berisiko tinggi terhadap tanah runtuh, banjir, tanah mendap atau bencana alam lain sementara B untuk berisiko sederhana dan seterusnya.

Pada peringkat Persekutuan pula, perlu ada kerangka lebih besar bagaimana hendak menukar kawasan penempatan berisiko sedia ada kepada keadaan lebih baik, selain pelan strategik dirangka dengan jelas supaya risiko dapat dikurang atau dielakkan pada masa depan. “Kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko, kita kena maklumkan kepada penduduk supaya mereka lebih berhati-hati. Tidak boleh beritahu kawasan ini berisiko dan awak kena pindah. Hendak pindah ke mana, siapa hendak beri tanah?,” katanya. Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu bekerja lebih jika tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku kerana mereka tidak boleh pergi dan tengok tanpa melakukan usaha pencegahan atau penambahbaikan. Dr Alias berkata, masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan persekitaran premis mereka dan jika berlaku perubahan hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera diambil.  Katanya, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil langkah proaktif untuk memantau kawasan sedia ada yang terdedah kepada risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, pokok tumbang atau bencana lain.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
23 JUN 2011

ISU ANTARABANGSA : KEMELUT SPRATLYS KEKACAUAN MASA DEPAN

Oleh Abdul Halim Saad


Tiada siapa dapat mempertikaikan bahawa kepulauan Spratlys akan menjadi pusat kekacauan pada masa depan. Kawasan laut itu kini dianggap oleh pemerhati politik sebagai sebuah kolam peliharaan yang ada kehidupan di dalamnya yang sentiasa aman damai.  Suasana damai ini hanya di bawah permukaan air kerana di paras laut keadaannya sangat berbeza. Negara yang menuntut iaitu Brunei, China, Filipina, Malaysia, dan Vietnam menggunakan pelbagai strategi untuk melayakkan tuntutan kewilayahan mereka ke atas Spratlys. Kepulauan Spratlys terdiri daripada sejumlah 750 terumbu, pulau dan batu laut dengan kawasan tanah hanya lima kilometer persegi. Walau bagaimanapun, keluasan samudera lebih kurang 425,000 km persegi dilingkungi oleh Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei. Tuntutan ke atas Spratlys bermula sejak 1930. Setakat ini, sebanyak 45 pulau dan terumbu Spratlys diduduki oleh China, Filipina, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Sebarang pendudukan tentera memberi kelebihan kepada sesebuah negara untuk menuntut kedaulatan dan kewilayahan, di samping menuntut zon ekonomi eksklusif (EEZ) yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.  Spratlys ialah satu laluan laut yang amat strategik yang kedua sibuknya di dunia. Kawasan ini membawa 25 peratus perjalanan minyak dunia ke Timur Jauh dan Pasifik serta 90 peratus minyak dari Asia Barat ke Jepun dan Korea. Sejumlah 80 peratus perdagangan Timur Jauh melalui laut Spratlys.  Sebagai antara pelantar benua terbesar di dunia, Spratlys mempunyai banyak sumber minyak, gas dan galian. Sejak 1950, negara yang menuntut sudah membina lebih 30 telaga minyak dan lima telaga gas. Malah satu kajian China menunjukkan simpanan minyak dan gas di Spratlys melebihi simpanan minyak dan gas Kuwait. Spratlys mempunyai 17.7 bilion tan, manakala Kuwait mempunyai 13 bilion tan minyak dan gas.

Di samping sumber minyak dan gas, Spratlys terkenal dengan kehidupan marin yang mana kepulauan itu menghasilkan ribuan tan ikan setahun. Spratlys juga mempunyai banyak habitat laut lain. Spratlys terkenal dengan terumbu karang yang berjumlah 600 semuanya. Kawasan yang ada permukaan tanah subur ditanam dengan kelapa, betik dan pisang. Selain itu, hutan liar seperti hutan tropika, bakau dan pokok pesisir pantai.  Kawasan Spratlys juga menjadi bahan tarikan pelancong kerana ia mempunyai potensi aktiviti sukan laut seperti skuba, pasir bersih, pelayaran dan chalet untuk penginapan. Pelancong dapat menikmati suasana kehidupan samudera bersama bayu laut dengan suara burung dan pukulan ombak. Keupayaan tentera adalah mustahak bagi negara yang menuntut oleh kerana kawasan Spratlys adalah luas. Tidak hairanlah kawasan itu mempunyai tiga pelabuhan perikanan, beberapa dermaga, tiga lapangan helikopter, pejabat wilayah, 10 lapangan terbang, menara telekomunikasi, pejabat pos, balai polis, kediaman awam dan berek tentera.  

Pada 1992, persetujuan dicapai antara ASEAN dan China berhubung pengwujudan kod kelakuan yang mana semua negara yang menuntut bersetuju membekukan sebarang tindakan ketenteraan di Spratlys. Mereka juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang pendudukan terbaru.  China seterusnya mengadakan kontrak cari gali dengan firma Amerika Crestone Energy Corp pada 1992, diikuti Vietnam pada 1994 mengadakan kontrak cari gali dengan Exxon di utara Pulau Natuna dan pada 1996, Vietnam mengadakan kontrak cari gali dengan firma minyak Amerika Conoco.  Bagaimanapun, pada 1992, tentera Vietnam dan China bertempur yang mana China menduduki terumbu Da Lac yang dikuasai Vietnam. China, pula pada 1995, menduduki terumbu Mischief yang dituntut Filipina. Pertempuran ini menyebabkan kod damai yang dipersetujui di antara ASEAN dan China pada 1992 dipertikaikan.  

Sesebuah pulau atau terumbu itu dianggap diduduki apabila ada anggota tentera di atasnya atau ada rakyat sesebuah negara yang mendudukinya secara tetap.  Selain itu, sesebuah negara itu dianggap menduduki sebuah pulau atau terumbu yang berada dalam jarak sembilan kilometer dari pulau yang didudukinya. Jumlah pendudukan setakat ini ialah tujuh bagi China, Filipina (9), Malaysia (5), Taiwan (1) dan Vietnam (21) pulau atau terumbu. Pada 2002, ASEAN dan China sekali lagi bersetuju di Phnom Penh untuk menyelesaikan isu Spratlys secara aman tanpa menggunakan kekerasan dan mengelakkan daripada membuat sebarang pendudukan baru. Kod kelakuan sebenarnya satu persefahaman saja kerana ia tidak mempunyai sebarang pegangan undang-undang.  Situasi di Spratlys mengundang ‘campur tangan’ Amerika apabila Setiausaha Negara, Hillary Clinton pada 2010 menyatakan Amerika mempunyai kepentingan untuk menentukan kawasan Spratlys dalam keadaan aman.

Pada sidang keselamatan Asia di Singapura tahun ini, Setiausaha Pertahanan Amerika, Robert Gates pula menyatakan rasa bimbang mengenai kedudukan di Spratlys masa kini.  Ada tiga cara penyelesaian terbaik ketika ini. Pertama, mengantarabangsakan isu Spratlys menerusi satu debat dalam PBB, kedua, bersetuju supaya isu Spratlys dibawa ke Mahkamah Dunia dan ketiga mengadakan usaha cari gali bersama di kawasan Spratlys tanpa menghiraukan status kewilayahan atau kedaulatan.

Penulis ialah pensyarah jemputan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

ISU PENDIDIKAN : CERITA IPTS DENGAN PELAJAR ASING



Negara kita memang unik. Selain kita ada pelbagai kaum, budaya, makanan dan sebagainya, kini Malaysia juga ada wajah-wajah dari seluruh dunia. Tak payah ke daerah pedalaman China untuk melihat raut wajah 'amoi' yang putih gebu. Tak perlu beli tiket kapal terbang ke Mumbai, India kalau nak berjumpa pria ala-ala hero Bollywood. Begitu juga, tak usah susah-susah ke Afrika kalau nak lihat bagaimana rupa orang dari benua itu. Hari-hari kita boleh lihat wanita China di pusat-pusat hiburan dan refleksologi. Tiada hari di seluruh pekan dan bandar kita tanpa kelibat pria Bangladesh dan Pakistan. Paling kita pelik, apa kerja Awang Hitam yang berkeliaran di kawasan perumahan tertentu. Bagaimana warga asing yang kian berlonggok-longgok ini dapat masuk ke Malaysia. Bukan datang ikut tempoh malah sudah bagaikan jadikan negara kita seperti negara mereka pula. Tak payah tanya mereka bagaimana masuk ke Malaysia.

Kita sendiri pun tahu. Selain permintaan guna tenaga pekerja asing untuk membantu segala bentuk ekonomi negara, kita juga mengalu-alukan pelancong dan pelajar asing. Masalah berkaitan dengan warga asing nampaknya tidak ada episod akhir. Ceritanya akan terus bersambung. Skrip, plot dan pelakon utama dan pelakon tambahannya pun hampir sama. Selepas riuh seketika kebanjiran pekerja asing tanpa izin dan kegemparan penyalahgunaan visa pelancong, putaran cerita kembali kepada pas pelajar asing. Adakah kita terkejut dengan laporan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyenaraihitamkan lebih 20 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana menyalahgunakan pas lawatan pelajar asing. Cuba kita menegur warga asing di mana-mana kompleks beli-belah, kalau dia tak mengaku sebagai pekerja, dia akan kata pelajar kolej swasta. Tak kiralah yang berkulit putih, kuning, cokelat ataupun hitam, ada kalangan mereka memiliki pas pelajar.

Semua ini berlaku sebab salah kita juga. Ada IPTS bukan benar-benar mahu tarik pelajar asing menuntut ilmu di negara kita. Entahlah ada sindiket atau tidak dalam kemasukan warga asing sebagai pelajar. Kalau kita nafikan tidak ada sindiket, macam mana pula IPTS terbabit boleh memberi maklumat kurang tepat berkaitan diri pelajar asing. Kalau diteliti kenyataan Ketua Sektor Operasi Unit Pemerdagangan Manusia Jabatan Imigresen, Abdul Hamid Ahmad, dalam siasatan unitnya ada IPTS yang mempunyai rekod pendaftaran pelajar asing lebih daripada 1,000 orang, sedangkan premis pengajian hanya mampu memuatkan 80 orang, maka apa motif penerimaan pelajar asing itu? Pintar sungguh IPTS berkenaan cari duit mudah. Dengan mengimport pelajar asing, IPTS meluaskan skop bisnes melalui pemerdagangan manusia yang menguntungkan. Tak perlu mengajar dan sediakan tempat, daftarkan sahaja sebagai pelajar asing, mereka kaut untung dan biarkan warga asing 'belajar hidup' sendiri di negara ini.

Pihak terbabit pandai-pandai menukar status pas pelajar kepada pas untuk mencari kerja. Melihat perkembangan tidak sihat ini, ada baiknya permohonan kemasukan pelajar asing ke IPTS dikendalikan oleh satu jabatan khas di Kementerian Pengajian Tinggi. Pastikan yang benar-benar ada kelayakan akademik yang sesuai dibenarkan menyambung pelajaran di IPTS. Kalau terus diberi kepada pihak pengurusan IPTS, cerita ini tidak akan selesai.

UTUSAN MALAYSIA
23 JUN 2011