JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 Jun 2011

ISU ANTARABANGSA : IMF PERANGKAP GREECE

Greece sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila masih gagal menyelesaikan masalah hutangnya yang berjumlah 340 bilion Euro (RM1.48 trilion) walaupun selepas menerima bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah (EU) berjumlah 110 bilion Euro (RM478.7 bilion) tahun lalu. Kini, satu pakej bantuan kedua berjumlah 120 bilion Euro (RM521.94 bilion) sedang dibincangkan untuk mengelak Greece gagal membayar hutang-piutang dan muflis. Dengan jumlah hutang bersamaan 150 peratus keluaran tahunannya, Greece kini memegang dua rekod dunia yang tidak dikehendaki iaitu kadar kredit paling rendah untuk sebuah negara berdaulat dan hutang paling mahal diinsuranskan. Dengan populasi semasa berjumlah 11.3 juta orang, ekonomi Greece sebelum ini membangun pesat sejak menyertai zon Eropah lebih satu dekad lalu. Bagaimanapun, negara itu dibelenggu masalah rasuah, birokrasi dan penipuan cukai, sehinggalah Greece dilanda kemelesetan ekonomi pada 2009 dan defisit bajetnya mencecah 15.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di Athens, Perdana Menteri Greece, George Papandreou yang dihimpit protes rakyat dan bantahan dalam partinya sendiri meneruskan rayuan agar rakyat menyokong pembaharuan untuk berjimat bagi mengelakkan negara itu muflis. Beliau yang mempertaruhkan masa depan kerjaya politiknya dalam mengambil tindakan tidak popular sebenarnya tiada pilihan lain jika mahu mendapatkan bantuan daripada IMF dan EU. Selepas Papandreou berucap di Parlimen awal minggu ini, lebih 10,000 orang mengadakan protes di depan bangunan Parlimen kerana marah kerajaan memotong gaji dan pencen pekerja dahulu sebelum memotong gaji para pemimpin Greece. Sehubungan itu, beliau mengusulkan undi tidak percaya bagi berdepan dengan tentangan dalaman parti dan protes yang menjejaskan popularitinya. Bagaimanapun, beliau terselamat daripada undi tidak percaya Parlimen dengan memperoleh 155 undi daripada 143 undi, tidak termasuk dua ahli Parlimen tidak hadir. Kabinet baru Greece yang dikenali sebagai 'Kabinet kecemasan' juga telah menyatakan komitmen terhadap pembaharuan (potongan) lebih ketat mengikut tuntutan IMF itu.

Dalam pada itu, pemimpin pembangkang, Antonis Samaras menuntut Papandreou meletakkan jawatan untuk pilihan raya baru diadakan, seterusnya membolehkan perbincangan diadakan semula untuk syarat-syarat bantuan tersebut. Papandreou bagaimanapun menyeru pembangkang supaya tidak berbalah dengan kerajaan dalam waktu kritikal ini dan berhenti memberi mesej seolah-olah negara itu kucar-kacir. Kabinetnya berharap mereka berjaya meneruskan pembaharuan itu menjelang hujung bulan ini tetapi mungkin terpaksa berhadapan ketidakpastian politik selepas beberapa minggu perarakan protes termasuk yang bertukar ganas berlaku pada Rabu lalu. Situasi ini juga mungkin akan menyebabkan pelabur lari kerana bimbang kemarahan orang ramai akan menggoncang keazaman kerajaan dalam membuat pembaharuan yang perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan Greece.

Walaupun menteri-menteri kewangan zon Eropah dijangka bersetuju meneruskan bayaran berikutnya untuk membantu Greece, namun Menteri Kewangan Jerman menegaskan semuanya akan bergantung kepada komitmen yang ditunjukkan kerajaan di Athens dalam memenuhi tuntutan EU dan IMF. Lebih utama, krisis kewangan Greece juga menunjukkan kelemahan struktur mata wang Euro yang kini digunakan di 17 negara anggota EU. Kemampuan Greece menyelesaikan masalah hutang mungkin menentukan sama ada mata wang Euro akan terus digunakan atau memalukan EU, sehingga ke tahap kesatuan itu sendiri mungkin runtuh sama ada dengan Greece ditendang keluar atau Jerman (ekonomi paling kaya dalam EU) menarik diri. Canselor Jerman, Angela Merkel kini menghadapi tekanan besar daripada rakyat negaranya yang geram kerana mereka yang terpaksa membayar akibat pembaziran yang dilakukan Greece.

Perdana Menteri United Kingdom (UK), David Cameron pula menegaskan negaranya tiada tanggungjawab membantu menyelamatkan Greece kerana negaranya tidak menggunakan mata wang Euro. UK dijangka hanya akan menyalurkan bantuan melalui pinjaman melalui IMF sementara IMF pula menegaskan Greece perlu mengetatkan lagi langkah berjimat-cermat sebelum bantuan tambahan diluluskan. Selain itu, kegagalan Greece membayar hutang juga mungkin membuka pintu kepada malapetaka kewangan global seperti yang berlaku selepas kejatuhan bank pelaburan Lehman Brothers di Amerika Syarikat pada 2008. Rakyatnya kini telah hilang sabar dengan gerakan berjimat-cermat yang semakin teruk sehinggakan gaji sektor awam dipotong sebanyak 20 peratus dan pencen dipotong sebanyak 10 peratus. Gerakan jimat-cermat juga semakin meluas melalui peningkatan cukai, potongan manfaat dan gaji serta sekatan persaraan awal yang telah menyebabkan semakin banyak mogok dan protes.

Kadar pengangguran pula dilaporkan semakin meningkat dan tinjauan terbaharu menunjukkan 80 peratus rakyat enggan mengorbankan apa-apa lagi walaupun demi mendapatkan bantuan tambahan daripada EU dan IMF. Rata-rata pekerja sektor swasta menyalahkan situasi semasa kemewahan sektor awam, manakala kakitangan awam pula menyalahkan penipuan cukai, selain kebanyakan rakyat menyalahkan ahli politik yang korup sebagai punca masalah kewangan Greece. Tinjauan terbaharu menunjukkan 47.5 peratus rakyat mahu Parlimen menolak pakej pembaharuan yang dicadangkan itu, di samping mahu pilihan raya awal diadakan sebelum penghujung mandat Papandreou pada 2013. - AGENSI

UTUSAN MALAYSIA
25 JUN 2011

Tiada ulasan: