Isu pemberian biasiswa sering dibangkitkan setiap kali selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Ada pihak kurang berpuas hati kerana ada pelajar yang layak gagal mendapat biasiswa terutama dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Agihan biasiswa kepada pelajar cemerlang dikatakan tidak adil sehingga wujud dakwaan pilih kasih dan salah guna kuasa. Malah, lebih serius turut ada dakwaan wujud diskriminasi antara kaum yang dibangkitkan terutama oleh pemimpin politik kaum masing-masing. Kita percaya adalah mustahil agihan dibuat JPA dapat memuaskan hati semua pihak. Namun kita mahu pihak terbabit dan ibu bapa pelajar memahami bahawa peruntukan biasiswa disediakan adalah terhad dan sudah pasti ada pelajar tercicir daripada menerimanya. Kita percaya kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan membantu pelajar terbabit melanjutkan pelajaran pada peringkat tertinggi dengan sejumlah biasiswa yang disediakan kerajaan melalui JPA.
Justeru, penjelasan Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa mulai tahun depan pelajar cemerlang SPM tidak lagi diberikan biasiswa JPA untuk melanjutkan pengajian peringkat prauniversiti, termasuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi serta A-Level harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak. Perdana Menteri ketika memberi maklum balas seorang pemanggil dalam program temu bual dalam radio berbahasa Cina itu, menjelaskan bahawa pelajar hanya akan ditawarkan bantuan kewangan atau dermasiswa daripada kerajaan, manakala biasiswa JPA dikhaskan kepada pelajar prauniversiti yang cemerlang dan sudah mendapat tempat di universiti terkemuka. Kita percaya pengumuman Najib itu dibuat selepas kerajaan melakukan penelitian, kajian dan rasional kenapa tawaran biasiswa JPA dibuat hanya kepada pelajar cemerlang yang sudah mendapat tempat di universiti terbaik. Pada masa sama kerajaan tidak mengabaikan pelajar cemerlang SPM ini kerana mereka masih disediakan bantuan kewangan dan dermasiswa.
Apapun, kita tentunya tidak mahu pelajar yang menerima biasiswa JPA pada peringkat prauniversiti gagal menunjukkan kecemerlangan ketika berada di universiti. Kita mahu pemberian biasiswa ini menjadi pemangkin kepada pelajar cemerlang pada peringkat SPM dan prauniversiti ini berlumba-lumba mencapai kecemerlangan dalam pengajian di peringkat universiti dan seterusnya. Jumlah pelajar cemerlang pada peringkat SPM begitu ramai dan hanya terbaik akan mendapat tempat dan dianugerahkan biasiswa. Bagaimanapun, kita mahu kerajaan tetap mengambil kira seperti latar belakang keluarga, sosioekonomi, aktif dalam kegiatan kokurikulum dan ketrampilan. Selain itu, biasiswa juga hanya ditawarkan kepada pelajar yang mendapat mengikuti kursus bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, sains dan teknologi. Kita berharap isu biasiswa ini tidak terus dipolitikkan. Kita percaya kerajaan sentiasa cuba berlaku adil dan sedaya upaya mahu membantu pelajar yang memerlukan. Kecemerlangan pelajar kita sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau luar negara turut mencerminkan kewibawaan kerajaan.
BERITA HARIAN
25 JUN 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan