21 Jun 2011

ISU SOSIAL : RESOLUSI MENGIKTIRAF HUBUNGAN SEJENIS PERLU DITEPIS



PADA 17 Jun lalu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Hak Asasi (UNHRC) meluluskan resolusi mengiktiraf hak asasi lesbian, gay, bisexual, transsexual (LGBT). Resolusi ini mengiktiraf hak berkaitan orientasi seksual dan kesamarataan jantina dan gender. Ia seterusnya mengiktiraf perkahwinan sejenis.  Saya sebenarnya tidaklah begitu terkejut dengan resolusi itu. Ini kerana, ‘promosi’ terhadap ‘hak asasi’ ini sudah lama mendapat tempat. Resolusi ini sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam dan fitrah manusia. Ajaran Islam tidak akan sekali-kali mengiktiraf hubungan sejenis atau perkahwinan sejenis. Ini amat jelas kedudukannya di dalam al-Quran yang memberi peringatan berkaitan penghapusan kaum Nabi Lut. Menurut perspektif Islam apa yang dikatakan ‘hak asasi’ dalam resolusi ini bukan hak dalam erti kata sebenar. Negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), termasuk Malaysia tetap tegas menentang resolusi ini.

Negara Afrika dan Russia juga berpendirian sama. Lantas, resolusi terbabit diluluskan dengan 23 negara menyokong, 19 menentang dan tiga lagi negara mengambil pendirian berkecuali (termasuk China).  Amerika Syarikat pada mulanya menentang atas alasan cadangan resolusi itu bertentangan dengan prinsip hak kebebasan negara terbabit walaupun tidak dihuraikan dengan jelas. Namun, pada peringkat akhir, Amerika Syarikat menjadi pemangkin kepada kelulusan resolusi ini. Cadangan resolusi hak-hak golongan LGBT ini dibawa kepada perhatian PBB pada Disember 2008 oleh Belanda dan Perancis. Terdahulu, pendirian UNHCR dapat dilihat di dalam keputusan kes Toonen lawan Australia pada 1994. Jawatankuasa Hak Asasi PBB menyatakan bahawa undang-undang Tasmania (satu wilayah Australia) yang menjenayahkan homosexual adalah satu diskriminasi yang bertentangan dengan Perkara 2, 17 dan 26 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR).

Ekoran keputusan itu, Tasmania diarah memansuhkan undang-undang itu kerana Australia hendaklah sentiasa patuh kepada peruntukan ICCPR yang sudah ditandatanganinya. Inilah kesan sekiranya kita menandatangani ICCPR – segala undang-undang yang bertentangan dengan instrumen ini akan mudah untuk diarah mansuh, walaupun ia amat bertentangan dengan nilai agama, budaya, falsafah dan ideologi negara. Oleh itu, kita tidak harus termakan pujukan untuk mengiktiraf instrumen ini. Berbalik kepada resolusi LGBT, Brazillian Resolution 2003 dan Yogyakarta Principles 2006 boleh dikatakan dasar kepada cadangan 2008 itu. Kedua-dua ini mempunyai objektif yang sama, iaitu mengiktiraf orientasi seksual dan kesamarataan. Sejak itu pelbagai ‘promosi’ dibuat seluruh dunia, bagi menyokong usul terbabit. Negara kita juga tidak terkecuali daripada menerima ‘promosi’ PBB itu.

Sebagai makluman kepada pembaca, negara kita mempunyai beberapa peruntukan undang-undang yang menghukum perlakuan seumpama itu di dalam Kanun Keseksaan, sebagai contoh, lihat seksyen 377A, 377C serta 377D. Undang-undang jenayah Syariah juga menjadikan hubungan sejenis seperti liwat dan musahaqah (lesbian) sebagai satu kesalahan. Sementara itu Seksyen 69 Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perkahwinan) 1976 menegaskan bahawa perkahwinan hendaklah antara pasangan lelaki dan perempuan saja. Ini dengan jelas menolak perkahwinan sejenis. Kedudukan undang-undang keluarga Islam berkaitan syarat sah perkahwinan ini juga begitu jelas. Perlu ditegaskan bahawa resolusi PBB ini tidak boleh memaksa kita untuk tunduk kepadanya. 


Namun begitu, walaupun Malaysia tidak menyokong resolusi ini dan dari segi perundangan ia tidak mengikat negara kita, kebimbangan saya ialah resolusi ini akan dijadikan tiket untuk mengembang ‘hak asasi’ LGBT di negara ini. Asas kebimbangan saya ialah, ada sesetengah golongan yang menganggap resolusi PBB sebagai pegangan majoriti masyarakat dunia yang bersifat universal dan harus diterima Malaysia. Golongan ini akan seterusnya memberi hujah dan tekanan kepada negara untuk mengambil perhatian kepada resolusi itu dan membuat perbandingan berkenaan kedudukan ‘hak asasi’ dengan negara lain.  Selain itu kebimbangan saya ialah, kemungkinan pihak yang mendokong fahaman ini akan meneruskan perjuangan mereka sehingga akan terhasilnya satu triti antarabangsa di PBB mengenai perkara ini.


Sekiranya ini berlaku ia akan mengukuhkan lagi pendirian mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘hak asasi’ yang universal ini. Walaupun proses ini mungkin akan memakan masa yang lama, Malaysia akan terus berhadapan dengan ‘promosi’ berkaitan dan ini sesungguhnya memerlukan kekuatan hujah undang-undang dan nilai agama, budaya, falsafah dan ideologi negara yang konsisten. Maksud saya, kita harus terus bekerja keras menghadapi persoalan dan tekanan untuk menangani isu ini. Suka saya sebut bahawa, saya amat yakin dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi negara kita serta kedudukan nilai agama, moral, budaya, falsafah dan ideologi negara tidak akan membolehkan ‘hak asasi’ ini diterima pakai di negara kita. Namun, saya tidak memandang mudah perkara ini kerana sesungguhnya pengaruh ‘hak asasi’ ini akan terus menghimpit kita dan ‘promosi’nya akan berlanjutan.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BERITA HARIAN
21 JUN 2011

19 Jun 2011

ISU DISIPLIN : GURU PERLU MAHIR MENAKLUKI EMOSI PELAJAR



Resah masyarakat terhadap masalah disiplin pelajar cukup berasas apatah lagi pelbagai insiden luar jangkaan mampu disumbangkan mereka meskipun umur hanya setahun jagung. Peningkatan kadar jenayah atau disiplin ini bukan saja membimbangkan institusi persekolahan malah masyarakat turut keliru serta tercari-cari apakah mekanisme terbaik boleh diguna pakai bagi menanganinya. Meskipun banyak lambakan kempen menerusi sesi ceramah dan pameran, ia masih belum ampuh untuk melembutkan hati pelajar. Akibatnya, masyarakat tertanya-tanya apakah pendekatan selama ini salah atau pelajar semakin naik lemak hingga sukar dinasihati lagi. Masih adakah lagi jalan penyelesaiannya? Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’ sikap degil pelajar.

Beliau berkata, kemampuan pelajar hari ini sukar dijangka hingga ada ketikanya mampu mencapai tahap tertinggi dengan keberanian luar biasa. “Melihat rentak sebilangan pelajar hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu melahirkan keberanian tanpa batasan. “Memang wajar masyarakat melahirkan kebimbangan namun jalan penyelesaian masih ada, jangan mudah berputus asa,” katanya. Bukan hairan lagi apabila masyarakat menganggap pelajar hari ini terutama peringkat menengah, penyumbang masalah disiplin. Biarpun hanya segelintir, mereka yang melanggar disiplin bagaikan memberi persepsi buruk kepada pelajar lain. Yang bermasalah pula terus ‘bermaharajalela’ hingga menyebabkan masyarakat semakin muak untuk membantu sebaliknya membiarkan guru dan sekolah mengatasinya. Beliau berkata, meskipun disiplin pelajar menjadi antara isu hangat, tidak bermakna setiap pihak hanya mampu berdiam diri atau melepaskannya kepada golongan minoriti.

Pelajar, katanya, adalah kelompok yang memerlukan bimbingan berterusan selain pendekatan sesuai untuk menyedarkan tindakan dilakukan adalah salah. “Kebanyakan hanya pandai menuding jari atau melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain tanpa mahu duduk semeja mencari jalan penyelesaian. “Pada masa sama, menganggap pelajar bermasalah sudah tiada masa depan dan terus memberi tekanan hingga menyebabkan nasib pelajar semakin terumbang-ambing. “Mencari penyelesaian dengan bertunjangkan konflik akan memburukkan lagi keadaan dan pelajar melihat pertelingkahan itu sebagai medium melepaskan diri” katanya. “Ada kalanya, masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit semata-mata. “Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang ingin dibuat.

“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,” katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk tentangan pelajar. “Jika menggunakan pendekatan lama, sudah tidak sesuai kerana zaman ini pelajar lebih bijak mencipta alasan. Untuk itu, guru perlu ada ilmu psikologi yang hebat bagi menakluki emosi mereka. “Kebiasaannya, tindakan atau hukuman diselarikan dengan pendekatan berbentuk fizikal seperti rotan dan denda namun terlupa menyentuh emosi sedangkan ia aspek paling mudah untuk menjinakkan pelajar. “Pendekatan salah bukan saja tidak menyelesaikan masalah malah mengundang lebih banyak konflik kedua pihak hingga mampu mewujudkan jurang selain perasaan tidak puas hati,” katanya. Beliau berkata, guru perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan ikhlas tanpa niat menghukum atau sindiran supaya pelajar rasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan.

Menurutnya, ada guru hanya tahu mengajar namun tidak mendidik menyebabkan hasrat menjadikan pelajar hari ini sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berperibadi mulia sukar. “Ini bukan tuduhan namun ada kalanya guru tidak pandai berdiplomasi dan hanya mengajar berpandukan nota semata-mata sedangkan matlamat sebenar adalah memberi pendidikan. “Antara mengajar dan mendidik memang jauh perbezaannya. Bayangkan jika guru pun boleh terasa dan melenting jika ditegur, apatah lagi pelajar yang masih muda dan teraba-raba mencari arah. “Sebab itu penting guru bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai sebelum mengenakan hukuman supaya pelajar memahami apa dilakukan itu bukan disebabkan benci namun peringatan menjadikan mereka lebih baik,” katanya. Ditanya adakah cara itu seolah-olah membuatkan pelajar seperti besar kepala dan semakin manja, beliau menafikannya kerana pelajar pasti faham yang dilakukan itu sekadar hukuman membetulkan kesilapan. “Malangnya, ramai guru terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat hukuman itu seolah-olah misi ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka terus memberontak.  “Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.

Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar : Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik anak. Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebab­kan pelajar ingin meniru dan mencuba. Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau berdampi­ngan dengan anak. Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku. Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.

SUMBER
HARIAN METRO
19 JUN 2011



ISU KESIHATAN : BUAT APA CANTIK, BUAT APA TAMPAN, JIKA BADAN MERANA

Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my



Semua orang hendak kurus dan cantik atau sekurang-kurangnya sedap mata memandang kerana selalunya yang langsing dan sasa dipuji, yang gemuk dikeji. Yang cantik dan kacak didekati, yang tak berapa nak jelita dan tampan dijauhi. Itu adalah sifat semula jadi manusia yang gemar mengukur kesempurnaan itu melalui bentuk fizikalnya.  Malangnya, lumrah alam dan kehidupan tidak semua bertuah dilahirkan sempurna. Hakikatnya juga, kita dikelilingi kalangan yang terlalu mengagungkan bentuk berbanding hati dan isi. Lalu dek tanggapan sebegini bukan sedikit yang berlumba-lumba mahu masuk dalam senarai yang kacak, yang jelita dan yang sempurna segala-galanya. Program realiti di kaca TV seperti The Next Top Model, The Biggest Looser atau yang sama konsep dengannya mahupun klip video MTV, menguatkan lagi tanggapan bahawa untuk kelihatan semasa, trendy dan diterima, seseorang itu mestilah kurus melidi, sasa dan mampu membangkitkan aura seksi.

Dalam filem atau drama, yang gemuk dan mengalami obesiti sekadar muncul hanya untuk dijadikan bahan jenaka. Lalu kehendak untuk nampak cantik, segak dan langsing, mendorong kita untuk melakukan apa saja. Biar sakit kulit dan isi dirobek, ditoreh, ditampal, disedut, disuntik atau apa sajalah atas nama kecantikan tidak mengapa, asalkan puas hati. Pantang mendengar apa saja produk kecantikan yang baru, ia pasti diburu. Apatah lagi apabila pengeluar produk lebih cenderung menggunakan wajah artis atau testimonial mereka untuk melariskan produk itu.  Perkara biasalah itu kerana pengaruh artis bukan sedikit. Mereka juga kalangan yang begitu prihatin soal imej dan rupa diri agar sentiasa nampak cantik dan bergaya. Bukan sesuatu yang pelik pun kerana nampak cantik adalah sebahagian bisnes mereka. Artis adalah produk, hendak pastikan produk itu laris, pakejnya mesti menarik.  

Itu sebab teman tak hairan langsung jika mereka sentiasa berusaha untuk kekal nampak muda dan jelita. Paling tidak pun untuk rasa muda dan semasa. Namun bukan sedikit yang mula tidak senang melihat fenomena selebriti mengubah wajah. Bukan sekadar mengundang bualan tetapi ada yang mula mengejek dan dijadikan bahan jenaka.  Kata kalangan ini, dulu jumpa hidung tak berapa nak mancung. Dua bulan kemudian, hidung dah tercacak macam gunung. Bibir elok-elok nipis tetapi sekarang sudah terlebih juih. Semua hendak nampak macam Angelina Jolie yang terkenal dengan bentuk bibir seksi yang kononnya menjadi kegilaan lelaki. Tetapi di Malaysia, apabila terlalu ramai artis, selebriti dan personaliti wanita yang mahu memiliki bibir bak bintang Hollywood, rasa kelakarlah pula. Sejak akhir-akhir ini pula, memiliki dagu bak sarang lebah tergantung sudah menjadi kegilaan.  Yang tua satu hal kerana apabila usia meningkat, graviti pun susah nak lekat.

Kalau dulu segala-galanya tegang, sekarang kalau tengok mesti bengang. Tetapi orang muda pun cenderung untuk mengubah itu, ini seolah-olah tak bersyukur dengan apa yang Tuhan beri. Sementelah pula teknologi dunia kecantikan cepat berubah, sama naik dengan teknologi gajet komputer dan elektronik. Lambakan iklan dalam internet dan media massa yang menawarkan rawatan kecantikan dan bedah plastik bagaikan tarikan besi berani.  Almaklumlah kos hendak cantik juga bukan murah. Bagaimanapun, bukan tak ada yang sanggup mengeluarkan belanja dua, tiga ribu ringgit sebulan untuk memastikan wajah menawan. Tak dapat wajah macam Erra Fazira, Umie Aida atau Nasha Aziz pun tak apalah, asalkan ada iras mereka - hidung, bibir, mata atau liuk lintuk tubuh.MBegitulah kegilaan orang zaman sekarang. Tak payah tunggu jadi artis atau selebriti untuk nampak macam bintang kerana kononnya kecantikan adalah hak milik semua insan. Akan tetapi yang tak berapa hendak seronok apabila ada yang ditimpa musibah gara-gara hendak cantik. 

Bukan kisah terpinggir apabila ada yang wajahnya bertukar hodoh gara-gara rawatan yang tak berapa hendak menjadi. Cantik didamba, hodoh menerpa.  Baru-baru ini pula seorang kerani yang hanya dikenali sebagai Tham, 30, terpaksa menanggung derita gara-gara mahu membesarkan payudara dengan pembedahan plastik. Ceritanya akibat terlalu mengikut kehendak teman lelaki yang malu kerana payudaranya kecil dia tekad menjalani pembedahan. Janji orang dikasihi gembira. Malangnya empat bulan selepas pembedahan, payudaranya bernanah dan bertukar kehitaman. Lebih malang lagi ketika dia terpaksa menanggung derita, lelaki yang membuatkan dia sanggup mengambil risiko pembedahan plastik itu hilang entah ke mana. Wajah atau tubuh jadi cacat satu hal. Lebih parah lagi apabila hendak cantik punya pasal, ada yang hilang nyawa. Berhati-hatilah kerana dalam keghairahan untuk cantik melawa, usah abaikan aspek keselamatan dan kesihatan diri. Namun paling afdal dalam soal ini, sematkanlah di minda bahawa memiliki tubuh badan yang sihat itu penting. Buat apa nampak cantik dan sasa jika tubuh badan merana. Tak payahlah, jika terpaksa seksa untuk menjadi seksi.

SUMBER
BERITA HARIAN
19 JUN 2011

ISU UMUM : "SAYA BANGGA SEBAGAI MELAYU"


Baru-baru ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membukukan kertas kerja siri Syarahan Raja Ali Haji bertajuk Pantun dan Kebijaksanaan Akan Budi Melayu tulisan Profesor Diraja Ungku Aziz. Buku 58 halaman itu menyingkapkan tentang pantun Melayu mengenai tema “pedagang”. Ungku Aziz kini telah mengumpul lebih 16,000 pantun Melayu lama pelbagai tema dan akan diterbitkan pada awal tahun depan. Uniknya ahli ekonomi dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini kerana mempunyai minat mendalam dalam seni dan budaya. Di ruang tamu kediamannya di Petaling Jaya, banyak lukisan pelukis terkenal tempatan, ada yang digantung dan banyak juga yang disusun di lantar. Ungku Aziz menganggap sastera rakyat iaitu pantun mempunyai keunikan dan lebih 500 tahun lebih awal daripada karya William Shakespeare.

Kebijaksanaan dan pemikiran Melayu dipancarkan dalam pantun. Beliau menemui kehebatan orang Melayu berdagang sebelum kedatangan penjajah daripada pantun-pantun yang dikumpul. Dalam wawancara kali ini Ungku Aziz bercakap mengenai hubungan pantun dengan sikap serta kecemerlangan orang Melayu dulu serta membandingkan dengan sesetengah kalangan Melayu masa kini yang lebih memburu kebendaan. “Bagi saya pantun menunjukkan kebijaksanaan dan kreativiti orang Melayu ketika itu. Ini membuktikan keupayaan orang Melayu jauh lebih baik dari sekarang,” kata Ungku Aziz ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID di kediamannya Rabu lalu.

Bagaimana Pak Ungku melihat pantun sebagai cermin pemikiran Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya boleh katakan pantun orang lama sekitar 100 atau 200 tahun lalu dianggap sebagai cerminan pemikiran Melayu. Ini sastera rakyat yang berbeza dengan sastera feudal. Minat saya tertumpu kepada sastera rakyat. Zaman sekarang orang buat pantun bebas, sastera bebas tetapi saya mengikut peraturan lama dalam mengumpulkan pantun. Tentang hukum pantun termasuk nahu dan sebagainya telah banyak buku mengenainya serta banyak teorinya. Saya sendiri mempunyai teori mengenai ini yang akan saya huraikan dalam buku yang lebih tebal pada masa akan datang. Buku kecil ini adalah sebagai perisa sebelum saya keluarkan buku lain nanti. Saya lebih fokus dalam buku ini mengenai pantun yang mempunyai kaitan dengan pedagang. Zaman dulu sebelum orang Melayu dijajah, pantun adalah amalan tetapi bila penjajah datang dan memusnahkan pusat perdagangan seperti Melaka dan di Ujung Padang dan ia diganti dengan Singapura, Jakarta dan sebagainya. Dengan itu sistem pedagang asal seperti yang saya tulis dalam buku pantun ini habis hilang semua sekali. Tetapi semangat itu berdasarkan teori saya timbul semula sekarang. Namun sekarang tidak dipanggil pedagang tetapi usahawan.

Maknanya sejak dahulu orang Melayu sudah ada sifat pedagang?

UNGKU AZIZ: Sifat ini sudah wujud sejak dahulu. Seperti yang saya nyatakan dalam muka surat empat mengenai sifat pedagang orang Melayu sudah biasa berdikari, berani dan perkasa, cerdik ilmu dagang dan sedia menanggung risiko. Inilah empat kualiti yang ada pada pedagang Melayu. Kalau kita ada empat sifat ini kita boleh menjadi pedagang tetapi kalau tidak ada atau kurang satu atau dua sifat ini mungkin perniagaan anda akan bangkrap atau tidak begitu maju. Hari ini dalam perkara yang selalu saya kritik mengenai orang Melayu baru sifat mereka lebih kepada kiasu yang diambil dari perkataan Hokkien. Sifat ini yang banyak pada Melayu baru contohnya kalau ada satu kereta mereka mahu dua kereta atau kalau ada kereta kecil mereka mahu kereta besar. Mereka mahu lebih lagi dan tidak cukup serta tidak peduli tentang hal ehwal orang lain seperti masyarakat sudah semakin rosak dan lain-lain. Ini kerana mereka berpegang kepada sifat kiasu. Bagi orang Cina mereka boleh berjaya kerana mengamalkan sifat ini sejak lebih 4,000 tahun dahulu. Jadi sekarang dalam konteks Melayu baru mereka sudah mengenal sifat kiasu ini dan mereka tidak berapa peduli orang lain, atau dari keturunan mana. Mereka hanya bertumpu kepada kejayaan sendiri sahaja.

Apakah orang Melayu sebegini tidak peduli untuk menolong orang Melayu lain?

UNGKU AZIZ: Mereka berpandangan orang Melayu lain yang perlu membantu atau menjaga mereka. Namun hakikatnya masing-masing hanya pentingkan diri mereka sendiri. Kita tidak cerita tentang nilai agama yang baik dan sebagainya, itu cerita lain. Saya melihat ini sebagai pembuka cerita tentang sifat orang Melayu. Kalau mereka jujur dan ikhlas mereka ini berani menanggung risiko. Namun mereka banyak mengharap pada subsidi sahaja dan terus bergantung pada subsidi untuk hidup. Maka saya perlu tekankan orang Melayu tidak boleh bergantung kepada subsidi, tidak perlu mentaliti mengharap subsidi lagi dan mereka perlu berdikari. Kalau kita lihat dahulu ketika zaman Melaka, orang Melayu berdagang tanpa bantuan. Mereka masuk hutan sendiri mencari kayu-kayu seperti damar dan sebagainya dan kemudian menjualnya sendiri kepada pedagang luar yang datang dari Arab, Parsi, China, Venice dan sebagainya. Ketika itu perdagangan berlaku secara barter trade.

Kita boleh lihat bagaimana aktiviti perdagangan ini meningkatkan kualiti dan taraf hidup orang Melayu ketika itu tanpa sebarang bantuan dari pemerintah dan orang lain. Berdasarkan pada buku ini saya kumpulkan pantun yang digubah oleh keluarga pedagang sama ada lelaki atau perempuan. Pantun-pantun ini menggambarkan emosi kaum pedagang contohnya pedagang dari Aceh yang berdagang ke Melaka dan kemudian terpaksa menunggu sehingga enam bulan kerana menanti angin bertukar arah. Maka dalam tempoh itu mereka akan saling mengenali penduduk tempatan dan apabila sampai masa untuk berpisah akan ada pantun untuk menyatakan emosi seperti pantun rindu, atau pantun sayang atau marah.

Bagaimana boleh timbul minat pada pantun Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya ada beberapa perkara yang menjadi minat besar dalam hidup saya. Pertama dalam bidang seni sastera dan membaca novel sama ada terjemahan atau tidak daripada bahasa Perancis, Rusia dan pelbagai lagi. Saya biasa dengan cerita pendek Chekov misalnya. Pada saya Chekov adalah penulis cerita pendek paling hebat. Kemudian novel bahasa Perancis dan Inggeris. Kemudian saya meminati seni lukis dan mempunyai banyak koleksi lukisan dan saya juga mengumpul banyak buku tentang Picasso. Saya juga meminati sastera dan penulis bahasa Inggeris yang saya minati adalah Ernest Hemingway selain buku-buku politik Karl Marx. Sama ada bersetuju atau tidak dengan fahaman mereka, itu cerita lain. Saya membaca sekurang-kurangnya dua buku seminggu dan sekarang saya ada koleksi buku lebih 4,000 buah. Pada zaman sekarang saya juga mengumpul cakera padat tentang filem klasik seperti Lawrence of Arabia. Pada usia 89 tahun saya secara teorinya mempunyai banyak masa lapang untuk berbuat apa saja. Saya lain sikit dari orang yang mempunyai latar belakang ekonomi yang kebanyakannya tidak suka perkara-perkara seni. Saya sudah dilatih sebegini oleh arwah bapa saya.

Bagaimana Pak Ungku melihat semangat generasi sekarang terhadap pantun Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya sudah mengumpul barangkali ada dua tiga ribu pantun tentang kasih, cinta dan sayang. Pantun-pantun ini ada kumpulannya termasuklah seperti pantun kanak-kanak. Pada masa depan akan ada satu bahagian yang akan menghurai mengenai pantun kanak-kanak. Dalam buku pantun ini saya hanya menulis tentang pantun pedagang. Insya Allah pada Februari atau Mac tahun depan saya akan terbitkan buku baru mengenai pantun Hikmah Melayu. Saya sedang mengumpul tentang perkara itu sekarang. Dalam komputer saya sudah ada sebanyak 16,000 pantun. Kalau mengikut sejarah sejak 800 tahun dahulu sudah wujud pantun Melayu sebelum wujud Shakespeare. Bagi saya tidak ada perasaan segan dan malu untuk saya memuji bahasa Melayu, kerana ia sudah wujud sebelum ada sasterawan terkenal Inggeris. Ketika itu orang Melayu sudah menghafal pantun-pantun ini kerana ketika itu mereka minda mereka tidak berkeladak dengan perkara-perkara lain. Mereka tidak perlu datang mesyuarat atau main golf dan sebagainya. Sama ada lelaki atau wanita mereka sangat pandai mengubah pantun.

Bagi saya pantun ini menunjukkan kebijaksanaan dan kreativiti orang Melayu ketika itu. Ini membuktikan keupayaan orang Melayu jauh lebih baik dari sekarang yang sudah tidak tahu ke mana. Sekarang ini kalau kita hendak maju atau mencipta sesuatu kita perlu menguasai bahasa Inggeris. Saya tidak faham kenapa ini berlaku kerana orang lain yang tidak berbahasa Inggeris seperti Jerman, Jepun dan sebagainya boleh mencipta dan menguasai pelbagai perkara. Saya berpandangan jika kita mengkaji semula pantun dan apa saya tulis dalam buku ini, kita akan tahu bahawa orang Melayu dahulu bijak dan adil tetapi oleh sebab penjajahan yang kemudian mewujudkan keadaan kucar-kacir, semua ini hilang. Akhirnya yang rugi tetap orang Melayu kerana bangsa lain seperti India dan Cina mempunyai bahasa mereka sendiri yang telah wujud sejak sekian lama. Adalah sesuatu yang sangat merugikan kerana kita tidak menyimpan dan menghargai apa yang kita miliki. Akhirnya kita rugi. Apa yang saya lakukan ini bukan mendapat apa-apa bayaran dan sebagainya, ini hanya kerana kerja sendiri. Sebelum ini saya sudah mengkaji sejak 50 tahun dahulu tentang isu kemiskinan Melayu dan ia masih banyak berlaku dan saya akan tulis lagi mengenai perkara ini.

Tapi dalam soal pantun Melayu saya sudah mula mengumpulnya sejak 20 tahun lepas kerana saya berpandangan ia sesuatu yang sangat menarik. Saya boleh membaca syair dan puisi dalam bahasa Perancis dan Jepun. Pantun Melayu adalah sesuatu yang unik dan tidak terdapat pada pantun lain. Kalau ada pun puisi Inggeris yang mana rimanya hanya terdapat pada hujung barisnya sahaja tetapi pantun Melayu pada awalnya sudah ada dan pada tengah barisnya sudah ada rimanya. Pada saya pembayang itu tidak penting kerana empat-empat baris itu adalah pembayang kalau kita periksa dengan halus. Saya berharap kalau ada umur panjang saya dapat membuat buku mengenai pantun dengan lebih mendalam dan diperhalusi lagi. Pantun Melayu kalau ada bab yang erotik sikit mereka berasa ia lucu. Tapi kini ia tidak boleh lagi dan sudah ditapis. Bagi saya ada sesuatu yang tidak betul dan itulah yang saya rasa.

Kalau melihat pada pantun zaman dahulu jelas orang Melayu bijak tetapi sekarang Melayu tidak begitu, kenapa?

UNGKU AZIZ: Dari segi semangat sekarang orang Melayu dilihat tidak berbangga berbahasa Melayu. Mereka yang pergi belajar di luar negara kalau balik sudah tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Dalam bab sastera dan pantun pula seakan mereka ini tidak ada minat. Kalau yang berminat pun hanya mereka yang belajar dalam jurusan atau kajian Melayu. Dahulu orang Melayu berbangga dapat menyumbang untuk kebaikan Melayu. Itulah yang saya rasa tentang budaya dan dunia Melayu. Pada saya tidak ada terlintas pun di minda saya hendak berpindah ke London, Paris atau mana-mana negara luar. Malaysia adalah negara yang cukup sempurna bagi saya. Iklimnya baik, ekonomi dan sosialnya baik, malah kalau buruk sekalipun saya tetap berbangga tinggal di Malaysia. Kalau dilihat saya ini bukan Melayu sepenuhnya kerana datuk saya berasal dari Turki. Namun jiwa saya sangat berbangga sebagai Melayu dan dan saya sangat berpuas hati.

Apa masalah sikap orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Masalah sikap ini kita kena lihat mereka dari mana desa atau bandar kerana ia berbeza. Kalau orang Melayu bandar ini mereka sudah biasa dengan sikap kiasu yang mana mereka nak lebih. Kalau mereka hendak lebih sebagai seorang usahawan itu bagus dan patut digalakkan tetapi tidak boleh menerima terlalu banyak subsidi nanti dia jadi lemak. Kalau mereka dari kampung ia sesuatu yang betul sekadar cukup makan dan mengusahakan ladang tetapi tidak kayalah. Namun keadaan sekarang generasi baru lebih bertumpu di bandar dan mereka merasa berhak untuk membuat pilihan. Namun walau bagaimanapun mereka mesti berbangga menjadi orang Melayu dan mempunyai semangat Melayu yang tinggi. Walau dilambung ombak setinggi manapun mereka mesti kekal dan bangga sebagai orang Melayu. Ada orang bertanya sama ada Melayu dahulu atau Malaysia dahulu. Tapi bagi saya walau macam mana pun mesti Melayu dahulu, tidak ada kompromi tentang hal ini. Mungkin ada orang kata ia bersifat perkauman, tapi cuba buka mana-mana surat khabar, Cina Inggeris atau India, akan ada kenyataan orang Cina mahukan ini, orang India pula mahu itu dan ini.

Kita tidak pernah dengar kenyataan bahawa “orang Malaysia” mahukan itu dan ini. Mesti orang Cina akan kata pendidikan atau sekolah Cina dan begitu juga orang India. Jadi di mana kita? Mungkin saya salah dan boleh betulkan. Saya rasa dalam perkara ini terdapat keadaan kucar-kacir kerana ramai orang meletakkan harapan dan kehendak yang bermacam-macam. Bermacam-macam janji yang cuba dipenuhi tetapi akhirnya hanya tinggal janji. Saya ambil contoh dalam hal novel Interlok, keadaan yang timbul sangat kucar-kacir sehingga hendak dijadikan buku teks sudah timbul macam-macam masalah. Pada hal ia sudah terbit sejak 40 tahun dahulu. Sekarang pun masih menjadi isu hendak cabut itu dan ini lama-lama apa akan jadi pada novel tersebut? Lebih baik tidak diterbitkan buku itu sebagai buku teks.

Apakah ini kerana orang Melayu selalu mengalah?

UNGKU AZIZ: Memang kalau dilihat berterusan begini orang Melayu itu lemah. Bila orang Melayu minta orang lain akan kata kita rasis tetapi bila kaum lain yang minta macam-macam ia tidak dilihat sebagai rasis pula. Kenapa? Orang Melayu tetap orang Melayu, tidaklah pula mereka ini nak mengamuk dan bunuh orang kerana mempertahankan hak. Ini tidak berlaku. sekarang ini kalau kita baca dalam surat khabar mengenai ketua baru IMF mereka mencalonkan Fisher. Dia ini adalah dari bank negara Israel dan kalau dicalonkan, kenapa dia yang dipilih dan tidak pula timbul soal rasis. Sedangkan orang yang paling rasis sekali adalah Yahudi. Mereka mahu negara Israel hanya diduduki oleh bangsa Yahudi sahaja. Mereka berasakan mereka bangsa terpilih dan saya sangat tidak boleh menerima perkara ini. Tidaklah saya tergamak nak cakap hapuskan semua bangsa Yahudi seperti yang dikatakan oleh Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. Dalam keadaan sekarang yang berlaku di negara ini bila ada sesuatu perkara yang sesuai dengan mereka tidaklah mereka kata ia perkauman tetapi jika tidak sesuai dengan mereka maka mereka bangkitkan soal rasis.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
19 JUN 2011



17 Jun 2011

ISU ICT : KITA TIDAK PERLU TUNDUK DENGAN PENGGODAM




Perbuatan  menceroboh atau istilah yang sering digunakan sebagai godam membuktikan sistem data dan maklumat menerusi laman web tidak kebal dan boleh diceroboh bila-bila masa. Ancaman itu bukan saja berlaku ke atas laman web kerajaan kita, malah semalam dilaporkan laman web milik Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat turut diancam penceroboh internet. Dilaporkan sekurang-kurang 51 laman web milik agensi kerajaan digodam sekumpulan individu tidak bertanggungjawab sejak awal pagi kelmarin. Perbuatan menceroboh laman web itu pastinya membimbangkan kita kerana banyak maklumat sulit dan rahsia kerajaan, mahupun individu atau syarikat boleh diganggu-gugat pihak terbabit. Serangan lewat malam Selasa lalu itu dipercayai dilakukan sekumpulan penggodam antarabangsa berpangkalan di luar negara yang menggelar diri mereka ‘Anonymous’. Kumpulan terbabit melakukan serangan itu atas alasan kerajaan Malaysia terlalu ketat mengenakan tapisan internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.

Mereka bertindak demikian kerana turut mendakwa kerajaan Malaysia menyekat hak asasi dengan membuat sekatan, bukan saja internet malah tayangan filem dan siaran televisyen. Kita kesal kerana kumpulan penggodam ini bertindak melulu dan berani menggugut akan melakukan serangan lebih besar jika ‘kebebasan’ mereka beroperasi secara maya dihalang. Kita juga tidak mengetahui sejauh mana kemampuan itu untuk bertindak lebih agresif melakukan serangan terhadap laman web tertentu terutama portal kerajaan, www.malaysia.gov.my.  Apakah kerajaan atau agensi berkaitan internet perlu tunduk kepada tuntutan kumpulan penggodam seolah-olah mereka begitu berkuasa dan menekan kerajaan agar melayan kemahuan mereka. Sehubungan itu sama ada kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan semua pihak berkaitan perlu merangka strategi berkesan untuk mendepani ancaman penggodam ini.  Justeru, semua sistem talian internet dan laman web rasmi kerajaan perlu dilengkapi sistem keselamatan paling canggih untuk menangkis sebarang pencerobohan.

Malah, yang lebih penting kita juga wajar memiliki pakar komputer dan teknologi maklumat bagi menghalang kerakusan penggodam ini. Walaupun setakat ini, kesan tindakan mereka masih terkawal dan tidak begitu serius, tetapi ia tidak bermakna Malaysia bebas daripada penggodam pada masa akan depan. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memandang serius perkara itu dan berpendapat ia boleh memberi kesan besar ke atas sistem maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) negara. Bagaimanapun, ketika kerajaan memberi jaminan tidak akan menyaring internet, ia tidak bermakna sesiapa saja boleh menyalah guna kemudahan teknologi komunikasi itu sesuka hati sehingga melanggar peraturan dan undang-undang negara. Kejadian ini harus memberi pengajaran berguna kepada kita agar semua pihak melakukan pemantauan secara berterusan dan menyediakan sistem pertahanan siber yang lebih canggih yang mampu mematahkan ancaman kumpulan penggodam. Serangan terhadap sistem maklumat kerajaan boleh berlaku pada bila-bila masa dan jika berlaku ia mampu melumpuhkan seluruh sistem data serta maklumat negara.

SUMBER
BERITA HARIAN
17 JUN 2011







MARI BERSAMA 
SOKONG FILEM MALAYSIA