Perbuatan menceroboh atau istilah yang sering digunakan sebagai godam membuktikan sistem data dan maklumat menerusi laman web tidak kebal dan boleh diceroboh bila-bila masa. Ancaman itu bukan saja berlaku ke atas laman web kerajaan kita, malah semalam dilaporkan laman web milik Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat turut diancam penceroboh internet. Dilaporkan sekurang-kurang 51 laman web milik agensi kerajaan digodam sekumpulan individu tidak bertanggungjawab sejak awal pagi kelmarin. Perbuatan menceroboh laman web itu pastinya membimbangkan kita kerana banyak maklumat sulit dan rahsia kerajaan, mahupun individu atau syarikat boleh diganggu-gugat pihak terbabit. Serangan lewat malam Selasa lalu itu dipercayai dilakukan sekumpulan penggodam antarabangsa berpangkalan di luar negara yang menggelar diri mereka ‘Anonymous’. Kumpulan terbabit melakukan serangan itu atas alasan kerajaan Malaysia terlalu ketat mengenakan tapisan internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.
Mereka bertindak demikian kerana turut mendakwa kerajaan Malaysia menyekat hak asasi dengan membuat sekatan, bukan saja internet malah tayangan filem dan siaran televisyen. Kita kesal kerana kumpulan penggodam ini bertindak melulu dan berani menggugut akan melakukan serangan lebih besar jika ‘kebebasan’ mereka beroperasi secara maya dihalang. Kita juga tidak mengetahui sejauh mana kemampuan itu untuk bertindak lebih agresif melakukan serangan terhadap laman web tertentu terutama portal kerajaan, www.malaysia.gov.my. Apakah kerajaan atau agensi berkaitan internet perlu tunduk kepada tuntutan kumpulan penggodam seolah-olah mereka begitu berkuasa dan menekan kerajaan agar melayan kemahuan mereka. Sehubungan itu sama ada kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan semua pihak berkaitan perlu merangka strategi berkesan untuk mendepani ancaman penggodam ini. Justeru, semua sistem talian internet dan laman web rasmi kerajaan perlu dilengkapi sistem keselamatan paling canggih untuk menangkis sebarang pencerobohan.
Malah, yang lebih penting kita juga wajar memiliki pakar komputer dan teknologi maklumat bagi menghalang kerakusan penggodam ini. Walaupun setakat ini, kesan tindakan mereka masih terkawal dan tidak begitu serius, tetapi ia tidak bermakna Malaysia bebas daripada penggodam pada masa akan depan. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memandang serius perkara itu dan berpendapat ia boleh memberi kesan besar ke atas sistem maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) negara. Bagaimanapun, ketika kerajaan memberi jaminan tidak akan menyaring internet, ia tidak bermakna sesiapa saja boleh menyalah guna kemudahan teknologi komunikasi itu sesuka hati sehingga melanggar peraturan dan undang-undang negara. Kejadian ini harus memberi pengajaran berguna kepada kita agar semua pihak melakukan pemantauan secara berterusan dan menyediakan sistem pertahanan siber yang lebih canggih yang mampu mematahkan ancaman kumpulan penggodam. Serangan terhadap sistem maklumat kerajaan boleh berlaku pada bila-bila masa dan jika berlaku ia mampu melumpuhkan seluruh sistem data serta maklumat negara.
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan