02 Mac 2011

ISU BAHASA : BAHASA IBUNDA MEDIUM WARISAN BUDAYA BANGSA

Oleh Teo Kok Seong
BERITA HARIAN, 02 MAC 2011


Sejak tahun 2000, tanggal 21 Februari diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia oleh UNESCO, sebuah badan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pendidikan, sains dan budaya. Hari ini diperkenal untuk memperingati selain menegaskan betapa pentingnya peranan bahasa sebagai warisan bangsa. Bahasa ibunda antaranya adalah istilah yang merujuk kepada bahasa leluhur sesuatu kelompok etnik. Sama ada ia bahasa besar atau sebaliknya, bahasa ibunda penting dalam kehidupan sesuatu kelompok itu, khususnya dalam konteks budaya diamalkan. Dalam konteks ini, ia adalah salah satu daripada beberapa kaedah utama, yang membolehkan kelompok berkenaan menyebar serta mewariskan budayanya kepada generasi muda. Sehubungan ini, dialek Melayu Kelantan adalah penanda identifikasi kepada budaya kelompok Melayu di Kelantan.

Identifikasi ini antaranya boleh wujud dalam kata, makna, idiom dan nahu dialek Melayu itu, serta amalan bahasa dipraktikkan oleh Orang Melayu Kelantan.  Cara menyebar dan mewariskan budaya melalui bahasa, boleh mengambil pelbagai bentuk. Antaranya termasuk lagu, puisi, cerita, dan seni. Penyebar dan pewarisnya pula boleh terdiri daripada orang perseorangan, kumpulan, pertubuhan kebudayaan dan kesenian, dan institusi rasmi, seperti yayasan. Dalam hal ini, bahasa ibunda sebenarnya adalah wahana penting, untuk memastikan elemen budaya, seperti sejarah, sistem nilai, kepercayaan dan sosial, terus tersebar dan diwarisi.  Untuk Malaysia, dalam menyambut Hari Ibunda Sedunia ini, kita boleh antaranya meraikan kepelbagaian bahasa ibunda dan budaya kaum yang ada dalam negara ini. Sambutan sebegini sudah tentu dapat mempromosikan peranan dan kepentingan bahasa dalam pembangunan dan kewujudan budaya mapan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang etnik.

Pendekatan begini juga bertepatan dengan keadaan sosiobudaya yang pelbagai di negara ini.  Apabila berbicara mengenai budaya mapan, dan dalam kes Malaysia sebagai pelbagai budaya yang terus mantap dan kekal, selain tidak akan pupus, dalam konteks peranan bahasa untuk menjamin pelestariannya, kita sebetulnya perlu memastikan bahasa ibunda kita, terus dituturkan, khususnya oleh generasi muda. Sehubungan ini, ramai antara kita selalu beranggapan bahawa bahasa ibunda kita, sama ada dialek Melayu Kelantan, bahasa Cina suku Hokkien, ataupun bahasa Orang Asli Semai, tidak mempunyai banyak nilai, jika dibandingkan dengan bahasa besar, seperti bahasa Melayu Standard, bahasa Mandarin, dan bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Justeru, ramai ibu bapa tidak lagi mewariskan bahasa leluhur kepada anak mereka.  Sesungguhnya pandangan begini adalah salah sama sekali.

Ia antaranya dilihat dari segi peranan bahasa Cina suku Hokkien misalnya, yang didapati tidak mempunyai banyak sumbangan terhadap kehidupan dunia moden, khususnya dalam memperoleh ganjaran kebendaan.  Dalam konteks bahasa leluhur, kehilangan walaupun satu daripadanya di muka bumi ini, misalnya bahasa Temuan dalam kalangan Orang Asli, bukan saja menjadi musibah kepada komuniti bahasa berkenaan. Tetapi ia adalah juga kerugian besar kepada kita di Malaysia khasnya, selaku rakyat Malaysia, dan juga kepada dunia amnya, yakni kita semua sebagai umat dunia. Setiap bahasa itu didapati berkait rapat dengan objek, nilai, kebijaksanaan, hubungan kekeluargaan, pertalian interpersonal, dan sifat persekitaran yang merangkumi sumber asli, flora dan fauna. Semua ini dikenal pasti dan dibentuk oleh penutur natifnya sebagai tradisi serta keunikan budaya mereka.

Hubung kait antara bahasa dan cara hidup harian inilah yang menjadi satu ciri kehidupan yang akan hilang apabila bahasa hilang. Apabila ini berlaku, komuniti bahasa berkenaan akan menjadi kelompok yang kehilangan arah bahasa. Ini antaranya bermakna mereka tidak lagi mengetahui kata yang sepatutnya digunakan, untuk mengungkapkan sesuatu yang ingin dan perlu diperkata.  Dengan kata lain, bahasa lain yang dikuasai untuk menggantikan bahasa ibunda yang hilang itu, akan menjadikan komuniti bahasa berkenaan satu kelompok yang tidak mempunyai hala tuju, dari segi identiti kebahasaan, untuk seketika waktu. Apabila dan selepas bahasa lain dipelajari dan dikuasai, budaya asal komuniti berkenaan akan berubah. Ia tidak lagi diamal dalam bentuk dan cara asalnya.  Dengan ini, kata dan istilah yang lazim digunakan tidak diguna pakai lagi. Banyak kata, rangkai kata, dan kalimat daripada bahasa lama menjadi ganjil dan tidak sesuai digunakan dalam latar dan konteks baharu yang menggunakan bahasa lain itu.

Dalam keadaan begini, banyak kata dan istilah baharu akan menggantikan yang lama. Sebenarnya kata dan istilah baharu itu hanya pandangan yang hampir saja, justeru tidak pun tepat maksudnya. Makna tepat serta pengertian sepunya, tidak akan dikongsi dan difahami bersama-sama lagi oleh seluruh komuniti berkenaan, seperti yang berlaku pada kata dan istilah lama dalam bahasa ibunda yang hilang itu.  Satu masa yang agak lama diperlukan bagi komuniti berkenaan, untuk berkongsi dan memahami kata dan istilah baharu itu, secara bersama-sama sebagai satu komuniti bahasa. Walaupun, pada akhirnya ia dapat dilakukan selepas mengambil beberapa waktu, budaya asal itu tidak terungkap lagi, yakni tidak mampu dinyatakan lagi dalam bahasa lain, dengan menggunakan konteks bahasa lama.  Atas kesedaran inilah, Malaysia perlu memperingati Hari Bahasa Ibunda ini. Tujuannya adalah untuk menyedarkan rakyat Malaysia, mengenai peri pentingnya bahasa ibunda kita, yang pada lazimnya adalah bahasa kecil.

Sesungguhnya bahasa kecil ini perlu senantiasa dipelihara dan dipupuk, agar sejarah kita dapat selalu dikenang oleh generasi muda. Sehubungan ini, kita tidak boleh sama sekali membiarkan walaupun satu bahasa leluhur di Malaysia ini hilang. Sambutan ini akan bukan saja memperlihatkan, tetapi memperkasakan hubung kait antara bahasa dan budaya, dalam konteks kepelbagaian bahasa dan budaya rakyat Malaysia.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

01 Mac 2011

ISU HAK ASASI MANUSIA : YBGK INSTITUSI PINTAR REALISASIKAN HAK ASASI


Seluruh masyarakat Malaysia menyambut baik penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu. Secara peribadi penulis amat teruja dengan penubuhan yayasan ini. Kita percaya penubuhan yayasan ini didorong oleh sikap prihatin kerajaan dan Majlis Peguam (dan pertubuhan bukan kerajaan secara umumnya) terhadap kebajikan orang yang ditahan pihak berkuasa dan pengakuan salah yang dibuat tanpa diwakili peguam.  YBGK diharapkan dapat membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapat pembelaan sewajarnya dan dapat membuat representasi yang lebih baik di dalam prosiding di mahkamah. Sememangnya ini adalah usaha yang mulia dan patut mendapat sokongan semua pihak kerana seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Disebabkan pentadbiran keadilan, termasuk undang-undang dan prosedurnya yang rumit, orang ramai tidak dapat mewakili diri mereka dengan berkesan.

Mereka memerlukan peguam sebagai wakil bagi menuntut keadilan bagi pihak mereka. Mungkin juga disebabkan tuntutan bayaran guaman yang tinggi, mereka tidak dapat melantik peguam dan lebih rela mengaku salah. Kerajaan dan Majlis Peguam masing-masing sudah mempunyai prasarana tertentu di dalam menjalankan kerja amal sebegini. Kerajaan mempunyai Jabatan Bantuan Guaman di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Peguam mempunyai Pusat Bantuan Guaman. Kedua-duanya mempunyai cawangan di seluruh negara. Namun begitu, kedua-dua prasarana ini mempunyai reputasi dan masalah tertentu.  Penubuhan yayasan ini sudah tentu merupakan satu lagi penambahbaikan terhadap kerja kebajikan dan ia juga menjelaskan lagi komitmen kerajaan dan badan bukan kerajaan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law).  Dengan penubuhan YBGK ini, pasukan polis, adalah agensi yang terkesan secara langsung.

Secara umumnya, keberkesanan YBGK amat bergantung kepada kerjasama polis. Pasukan polis perlu proaktif dalam melaksanakan misi YBGK ini.  Seperti yang dilaporkan akhbar, pihak polis hendaklah menghubungi peguam panel yang dilantik YBGK sekiranya sesuatu tangkapan (terhadap orang tertentu dan layak mendapat perkhidmatan YBGK) dibuat. Walaupun kita belum begitu pasti dengan mekanisme yang akan diambil oleh YBGK dalam merealisasikan matlamatnya, menurut laporan akhbar, YBGK boleh memainkan peranan bermula dari masa tangkapan dibuat dan di dalam setiap proses seterusnya, seperti permohonan reman dan perbicaraan.  Banyak keputusan mahkamah sebelum ini yang memberi keutamaan dan kepentingan kepada siasatan polis berbanding hak seseorang untuk diwakili peguam. Mahkamah juga pernah memutuskan bahawa kegagalan pihak polis untuk membenarkan seseorang berunding dengan peguam seberapa segera tidak menjadikan tangkapan atau tahanan itu tidak sah.

Namun begitu, dalam merealisasikan mekanisme dan tujuan YBGK, kelewatan/kegagalan ini sudah tentu tidak digalakkan. Oleh itu, pasukan polis perlu melakukan siasatan secara pantas dan membenarkan orang yang ditahan berunding dan diwakili peguam dengan kadar segera.  Sekiranya pihak polis mahu meneruskan tindakan menangkap seseorang dan mahu membawa mereka ke mahkamah bagi tujuan reman atau pertuduhan, siasatan perlu disiapkan dalam jangka masa singkat (mungkin kurang 24 jam). Mungkin ini tidak menjadi masalah sekiranya pasukan polis tidak mempunyai beban tugas yang berat dan mereka mempunyai anggota dan pegawai penyiasat yang mencukupi. Ini kerana proses siasatan bukan sesuatu yang mudah. Ia adalah proses rumit yang memerlukan penelitian. Saya tidak menyatakan beban tugas dan kekurangan pegawai penyiasat sebagai satu justifikasi untuk membenarkan polis menahan seseorang tanpa berunding atau diwakili peguam kerana hakikatnya, Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang untuk dibenarkan berunding dan dibela peguam pilihannya dengan seberapa segera.

Namun, sekiranya pasukan polis mempunyai anggota dan pegawai penyiasat yang mencukupi, sudah tentu siasatan dapat disempurnakan dengan berkesan dalam masa yang singkat tanpa perlu menahan orang yang disyaki lebih lama. Keadaan ini bukan saja dapat menjaga hak orang yang ditahan, tetapi juga hak ahli masyarakat keseluruhannya. Dengan meningkatkan bilangan pegawai penyiasat, ia dapat menyeimbangkan antara tuntutan hak asasi seseorang yang ditangkap (dan ditahan) dan hak orang awam yang terkesan daripada perlakuan jenayah yang disyaki. Oleh itu, secara tidak langsung, penambahan bilangan pegawai penyiasat akan dapat menyumbangkan kepada situasi dan amalan hak asasi yang lebih baik di negara ini. Selain daripada perkara berkaitan pasukan polis, kita mengharapkan perkhidmatan yang diberikan oleh peguam di bawah skim YBGK ini adalah sama dan seumpama perkhidmatan yang diberikan oleh peguam yang dilantik dan dibayar oleh pelanggan.

Peguam diharapkan dapat mencurahkan perkhidmatan mereka sebaik mungkin walaupun dengan bayaran yang rendah atau atas dasar pro-bono atau sukarela.  Saya pernah membaca di akhbar tempatan mengenai peguam yang tidak begitu prihatin terhadap kerja pro-bono kerana terikat dengan tugas dan perniagaan di firma guaman masing-masing. Saya tidak mahu bersikap skeptikal mengenai perkara ini kerana setiap kita mempunyai tugas dan peranan masing-masing tetapi pengamal undang-undang mungkin menyedari hakikat ini dengan permasalahan yang ada di Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam.  Semoga YBGK menjadi institusi pintar yang dapat merealisasikan hak asasi orang yang disyaki tanpa menjejaskan hak asasi ahli masyarakat, dan semoga peguam dapat menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BERITA HARIAN
1 MAC 2011

ISU SOSIAL : USAHA KUKUHKAN PERPADUAN BERMULA DARI RUMAH


Malaysia, sebagai sebuah negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa telah lama menjadi contoh terbaik di pentas dunia dalam mengamalkan hidup bermasyarakat yang bertoleransi, saling menghormati dan memahami antara satu kaum dengan kaum lain. Apa yang negara kita nikmati sekarang amat jauh berbeza dengan negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum tetapi rakyatnya tidak pernah hidup aman lantaran perbezaan tersebut. Malah, ada negara yang memiliki penduduk daripada satu kaum sahaja tetapi masih gagal mengekalkan keamanan yang diingini kerana perpaduan rakyatnya yang rapuh. Justeru, keunikan negara kita yang mempunyai penduduk pelbagai kaum yang dapat hidup dalam keadaan aman damai sentiasa menjadi perbualan masyarakat dunia. Itulah yang kita banggakan selama ini, tetapi soalnya apakah keadaan itu dapat dikekalkan? Jawapan yang pasti adalah ia boleh dikekalkan dengan syarat setiap rakyat terutama pemimpin politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin kumpulan yang ditubuhkan berasaskan kaum saling bekerjasama erat dengan kerajaan dalam memastikan keamanan dan perpaduan yang dikecapi hari ini dapat kekal selamanya.

Itulah juga yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu apabila beliau menyeru setiap warga negara ini agar saling bekerjasama dalam mengeratkan perpaduan antara kaum. Najib ketika berucap pada majlis bertemu pengundi Cina, India dan Orang Asli di pekan Kerdau, Pahang, semalam, menegaskan betapa perpaduan perlu diperkukuhkan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara yang hebat dan disegani pada abad ke-21. Usaha mengukuhkan perpaduan perlu bermula di rumah dan sekolah rendah. Ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya, selain kanak-kanak itu diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mana segala corak pada kain itu ditentukan oleh ibu bapa, penjaga dan guru-guru di sekolah. Tidak kira sama ada anak-anak itu mengikuti persekolahan aliran kebangsaan, Cina, Tamil, Inggeris atau sekolah antarabangsa, tugas memperkukuhkan perpaduan terletak pada bahu ibu bapa dan guru. Merekalah yang bertanggungjawab sepenuhnya membentuk sikap anak- anak agar saling menerima perbezaan dan akhirnya membesar sebagai rakyat yang sanggup bertolak ansur, bertoleransi dan menghormati perasaan antara satu kaum dan kaum lain.

Memang diakui sukar untuk memuaskan hati semua kaum lantaran ledakan teknologi maklumat dan jaringan yang hebat sekarang, sehinggakan ada dalam kita lebih mempercayai apa yang ditulis blogger. Tetapi jika jiwa setiap rakyat sudah terdidik supaya menerima perbezaan yang ada, maka apa saja yang dipaparkan akan dianggap sebagai bahan bacaan ringan sahaja. Dalam pada itu, kita sedih kerana perpaduan erat yang telah lama dijalin mahu dirosakkan oleh tindakan segelintir kumpulan kaum yang ekstrem. Berlakulah demonstrasi haram, tetapi kita bernasib baik kerana anggota polis bertindak pantas membendung gejala yang tidak diingini itu daripada merebak menguasai kota raya, bandar raya dan setiap ceruk pekan dan desa. Maka dengan itu, marilah kita saling bekerjasama mengukuhkan perpaduan, bertindak reaktif, proaktif dan ikhlas menerima perbezaan di antara kaum.

UTUSAN MALAYSIA
01 MAC 2011

ISU PENDIDIKAN : DURIAN RUNTUH GURU BESAR CEMERLANG


Kerajaan hari ini mengotakan janjinya dengan memberi ganjaran Anugerah Tawaran Baru serta-merta sebanyak RM7,500 seorang kepada 586 guru besar sekolah rendah yang mencapai prestasi cemerlang dalam membangunkan kualiti murid dan sekolah, melibatkan peruntukan RM18.4 juta. Sebanyak 12,141 guru yang mencatat prestasi serupa di semua sekolah berkenaan turut menikmati ganjaran RM1,800 seorang, manakala guru selebihnya menerima RM900 seorang. Mengumumkan demikian di SMK Tun Syed Zahiruddin, Merlimau di sini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut membawa khabar gembira kepada 2,800 kakitangan sokongan di semua 586 sekolah berkenaan. Ini kerana mereka juga akan menerima ganjaran meskipun pada peringkat awal kategori itu tidak dimasukkan dalam skim Tawaran Baru. Ganjaran untuk para pengetua sekolah menengah pula dijangka diumumkan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keluar pada minggu ketiga bulan depan, mungkin pada April atau Mei ini.

Untuk Anugerah Tawaran Baru hari ini, oleh kerana ia turut melibatkan kakitangan sokongan, peruntukan keseluruhan dijangka melebihi RM18.4 juta. Kerajaan tiada halangan untuk menambah peruntukan tersebut dan saya telah maklumkan kepada Perdana Menteri jika sasaran selepas ini mencecah sehingga 17 peratus layak pun kita akan bayar. Takkan kita nak tunggu hingga 2012 atau 2013 baru nak bayar. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, daripada 586 sekolah berkenaan, 437 atau 74.3 peratus merupakan penerima daripada sekolah-sekolah luar bandar. Malah, kata beliau, ia turut melibatkan guru besar daripada sekolah-sekolah SK (Asli), SK (Khas)dan SR Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Daripada keseluruhan bilangan sekolah rendah yang berada dalam senarai kedudukan (ranking), 193 (2.53 peratus) adalah sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus. Manakala, 138 (1.81 peratus) sekolah pula yang berjaya melonjakkan kedudukan sekurang-kurangnya sebanyak 2,050 tempat dan 257 (3.37 peratus) adalah sekolah yang berjaya meningkatkan skor komposit sekurang-kurangnya 6.3 peratus.

Sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran pada penilaian 2010 ialah sebanyak dua peratus. Namun demikian, pencapaian sebenar bagi tahun penilaian 2010 di luar jangkaan kita sehingga mencapai 7.7 peratus. Ini antara lain disebabkan oleh peningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan tahap pengajaran dan pembelajaran guru. Dalam hal ini, Muhyiddin berkata, pemimpin sekolah yang berada dalam kelompok pertengahan atau tidak menepati sasaran iaitu tidak mencapai sasaran komposit melepasi 84 peratus untuk sekolah rendah atau sekolah yang tidak mengalami lonjakan dari aspek kedudukan juga tidak diabaikan. Ini kerana, kata beliau, kementerian akan memastikan guru besar terbabit diberi peluang mengikuti kursus penambahbaikan berdasarkan keperluan masing-masing dan diberikan bimbingan dari semasa ke semasa. Kata Timbalan Perdana Menteri: "Sesungguhnya ganjaran Anugerah Tawaran Baru ini tidak sedikit pun dapat membayar jasa dan budi yang telah ditaburkan mereka. Hanya Allah sahajalah kita serahkan bagi membalas kesungguhan, komitmen dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh para pemimpin sekolah dan guru-guru. Anggaplah penganugerahan ini sebagai titik mula untuk kita menggapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan.

28 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : MEMILIH BUKU SEBAGAI HADIAH SEMPURNA


Seseorang yang penting dalam hidup bakal menyambut ulang tahun kelahiran, tetapi anda masih teragak-agak untuk mendapatkan hadiah hari jadi paling sesuai untuknya. Jadi bagaimana anda membuat keputusan? Biasanya kita mahu memberi hadiah istimewa yang akan benar-benar dihargai penerima. Penunjuk yang baik ialah hobi atau minat penerima. Sukar untuk mencarinya dalam bentuk barang, jalan terbaik ialah buku mengenai subjek hobi seseorang itu. Buku-buku hobi berilustrasi seperti memasak, memancing, pelbagai jenis sukan, pelancongan, haiwan peliharaan, jahitan dan kraftangan mudah dicari dan dijadikan koleksi bahkan boleh diturunkan ke generasi akan datang sebagai harta ilmu. Katakanlah penerima gemar menanam bunga, nashkah tentang penjagaan orkid mungkin merupakan hadiah yang dicari-cari.
Jika anda tidak pasti akan cita rasa bahan bacaan penerima, tajuk-tajuk buku popular di seluruh dunia boleh dijadikan pilihan. Misalnya ‘Rich Dad Poor Dad’ mengenai pengurusan wang yang bijak, atau ‘Who Moved My Cheese’ yang membantu pembaca berdepan dengan perubahan drastik atau buku misteri konspirasi ‘The Da Vinci Code’ yang mampu membuatkan pembaca mempertikai sejarah meskipun ia hanya novel fiksyen.

HADIAH YANG PRAKTIKAL

Buku juga hadiah paling sempurna dan relevan untuk sebarang situasi. Misalnya untuk seseorang yang terbatas pergerakannya seperti hanya di atas katil atau berkerusi roda di ruang litup kawasan yang terhad, buku menemani di kala kesepian, membuka minda di kala tiada teman berbicara dan boleh membantu mengatasi masalah sukar untuk tidur. Komik atau buku cerita berilustrasi boleh menjadi rahmat buat ibu bapa kepada kanak-kanak yang sakit, misalnya, dan terpaksa melalui pengalaman rawatan hospital yang kurang menyenangkan. Ia bukan sahaja menghiburkan jika dibaca bersama-sama malah boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan anak. Lebih baik lagi imaginasi yang dijana semasa membaca boleh mengalih perhatian kanak-kanak daripada kesakitan yang ditanggung sekaligus menjadikannya kurang meragam. Berbanding dengan barang mainan yang akan dibuang selepas rosak, buku juga boleh disimpan hingga menginjak usia dewasa sekaligus menjadi memento kenangan abadi apabila pemberi meninggal dunia.

MENGHADIAHKAN SEMUA BUKU

Kelebihan lain buku sebagai hadiah yang mungkin agak kurang menyenangkan seseorang ialah menghadiahkannya semula. Katakanlah anda menerima sebuah buku yang terlalu teknikal atau sangat membosankan, ia boleh dihadiahkan semula ke mana-mana perpustakaan yang sesuai dengan genrenya. Di situ, ia boleh dipinjam berkali-kali dan ilmunya dapat digunakan oleh orang lain menjadikan anda secara tidak langsung, berjasa kepada masyarakat setempat.

MEMBACA LAPAN BUKU SETAHUN    
    
Berbicara tentang buku dan perpustakaan, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Ruslin Abu Bakar ditanya BERNAMA mengenai penerimaan masyarakat Malaysia terhadap buku. Kajian terkini menunjukkan rakyat Malaysia yang berusia di antara 10 hingga 40 tahun membaca sebanyak lapan hingga 12 buah buku setahun. Dalam kajian yang sama iaitu kajian olahan semula profil membaca Malaysia 2010, turut mendapati mereka yang lebih berusia membaca secara purata enam buah buku, katanya. Secara amnya, angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding putara hanya dua buah buku seorang yang dicatatkan dalam kajian 2005.

RUTIN SATU JAM SETIAP HARI

Ruslin berpendapat jumlah buku yang patut dibaca oleh seseorang itu sebenarnya terpulang kepada individu itu sendiri. Namun beliau menyarankan agar setiap orang meluangkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk membaca. "Sekiranya anda membaca satu jam sehari, secara purata, anda boleh menghabiskan satu buku setiap minggu. "Jika amalan ini berterusan, anda akan dapat menghabiskan empat buku sebulan atau 48 buah buku dalam masa setahun, satu jumlah yang agak mengkagumkan," katanya. Tidak dinafikan angka itu mencerminkan tabiat membaca yang cemerlang sekaligus membentuk minda masyarakat yang bijak dan terbuka. "Bentuk bahan bacaan terpulang kepada diri kita sendiri tetapi sebaiknya pilih atau baca buku ilmiah yang berkaitan dengan bidang anda dan juga bahan-bahan yang boleh membangunkan nilai diri anda sendiri. "Lagipun, nilai diri seseorang itu lebih dicerminkan melalui kualiti bahan bacaan bukan hanya menerusi jumlah buku yang dibaca," katanya.

STATUS NEGARA MAJU    

Ruslin turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk berusaha menghasilkan karya sendiri bagi meningkatkan jumlah buku terbitan negara. ”Pada masa ini, industri penerbitan negara hanya mampu menerbitkan sekitar 15,000 judul bahan bacaan setahun yang dikira masih jauh di bawah paras standard negara maju,” tegasnya. Unesco menetapkan bahawa penerbitan buku sesebuah negara yang paling wajar adalah satu peratus daripada jumlah populasi penduduk. Syarat ini antara elemen yang dinilai untuk penstatusan negara maju. ”Ini bermakna, memandangkan jumlah populasi terkini negara ialah 28 juta orang, negara perlu aktif menghasilkan 28,000 judul dalam setahun,” jelasnya yang turut berharap agar angka itu dapat dicapai sebelum tahun 2020.

DORONGAN KEPADA BAKAL PENULIS

Bagi mencapai tujuan itu, PNM merancang untuk mengadakan Festival Penulis 1Malaysia tidak lama lagi yang bertujuan mengasah potensi penulisan buku rakyat Malaysia. Ruslin berkata selain program seperti bengkel e-book, festival itu nanti akan turut memberi tumpuan khas kepada golongan remaja yang berhasrat menjadi penulis. Selain itu, kata Ruslin, sebagai usaha merancakkan lagi industri penerbitan buku, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan bahan penulisan dibeli secara terus daripada penulis, sekaligus memudahkan penulis menerbitkan karya mereka.       Sumber daripada Majlis Industri Buku Malaysia menunjukkan nilai penjualan buku di Malaysia pada tahun 2009 ialah RM2.1 bilion yang boleh dianggap satu pencapaian yang memberansangkan. Kita juga boleh menyumbang kepada penerbitan buku dan penjualan yang lebih tinggi dengan membeli dan menghadiahkan buku kepada seseorang. Jadi cuba-cubalah fikirkan hari lahir siapa paling hampir selepas ini?

SUMBER : BERNAMA, 28 FEBRUARI 2011

ISU KESIHATAN : ELAKKAN PEMBAZIRAN PADA SETIAP MASA

"Rakyat Malaysia mati kerana terlebih makan, sedangkan rakyat negara lain mati kerana kebuluran"


Masih terngiang-terngiang di telinga penulis, khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di salah sebuah masjid berdekatan Malau, Jitra semasa menunaikan solat Jumaat, pada minggu lalu. Beliau dengan nada tegas menyatakan, "rakyat Malaysia mati kerana terlebih makan, sedangkan rakyat negara lain mati kerana kebuluran". Ayat ini menunjukkan betapa di Malaysia, kita bertuah kerana dapat menjalani kehidupan dengan begitu mewah. Segala-galanya mudah diperoleh sehinggakan negara kita menjadi lubuk untuk warga negara lain mencari rezeki. Disebabkan kemewahan inilah, kita boleh lihat banyak pembaziran berlaku di sana sini di Malaysia. Antaranya, ketika kenduri kahwin, pembaziran sering kali berlaku. Makanan yang dijamu untuk tetamu terlalu banyak. Memang niat awal untuk menjamu tetamu sebaik mungkin, tetapi apabila terlalu banyak membuatkan makanan terbuang begitu sahaja.

Tujuan asal mengadakan kenduri adalah untuk mendapatkan keberkatan, tetapi lain pula yang berlaku jika ia sudah menjangkau ke tahap membazir. Alangkah eloknya, jika sekiranya kenduri kahwin tersebut dapat diadakan dalam bentuk yang sederhana tanpa pembaziran tetapi pada masa yang sama meriah. Keberkatan adalah perkara paling utama, bukannya berusaha menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada dan akhirnya pembaziran berlaku. Kemewahan yang dirasai selama ini sepatutnya mengingatkan kita betapa ramai manusia di luar sana sedang kebuluran. Justeru itu, bagi bakal pengantin yang akan mengadakan kenduri kahwin sempena cuti sekolah tidak lama lagi, adakanlah kenduri tersebut dengan sederhana tanpa pembaziran. Itu baru satu bab, belum lagi kerana terlalu mewah dengan pelbagai makanan, rakyat Malaysia menghidap pelbagai penyakit yang berpunca daripada terlebih makan seperti obesiti.

Inilah penangan terlebih makan. Bayangkan, meskipun kos sara hidup semakin tinggi, sikap rakyat Malaysia yang bermewah-mewah dan membazir tetap kekal sama. Tetap tidak berubah, membazir di sana dan sini. Kalau diadakan majlis, sambutannya sudah tentu besar-besaran. Kononnya, jika diadakan sederhana, tidak gah. Sindrom mengadakan sesuatu majlis secara besar-besaran menyebabkan wang yang digunakan dibazirkan begitu sahaja. Sedangkan, wang yang sama boleh digunakan untuk pelbagai manfaat untuk orang yang memerlukan. Sedarlah wang itu merupakan amanah dan ia seharusnya digunakan untuk perkara yang sepatutnya. Kadangkala majlis itu hanya diadakan tidak sampai sejam, tetapi dek kerana terikut-ikut dengan budaya menunjuk-menunjuk dengan mengadakan majlis secara besar-besaran, maka segala-galanya mesti sempurna. Apabila mengejar kesempurnaan, wang adalah jawapannya.

Tentatif aturcara diperbanyakkan agar nampak lebih menarik. Lagi banyak aturcara lebih mewahlah majlis tersebut. Kalau kita tengok balik, kebanyakan pembaziran tersebut boleh dielak. Dengan mengurangkan aturcara, kuranglah wang yang dibelanjakan. Ada aturcara yang jika tidak diadakan sekalipun tetap tidak menjejaskan atau mengurangkan kehebatan majlis tersebut. Itu bagi majlis yang diadakan untuk orang ramai. Bagi individu pun tidak kurang hebatnya. Merungut kos sara hidup semakin meningkat, tetapi budaya membazir tetap diteruskan. Lumrah hidup, apabila harga barangan naik, ramailah yang merungut di sana sini menuding jari ke arah pihak lain. Paling menarik situasi di Malaysia, harga barangan ditentukan oleh kenaikan harga minyak. Memang benar, di pihak kerajaan, kerajaan yang menjalankan amanahnya, bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat terutamanya dari segi ekonomi.

Penulis yakin kerajaan yang ada sekarang telah mempelajari sesuatu apabila harga minyak dinaikkan pada tahap tertinggi pada 2008 telah menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga. Walhal, selepas itu, harga minyak dunia telah turun semula ke paras terendah. Malangnya, keputusan menaikkan harga minyak dan menurunkan harga minyak selepas itu tidak langsung memberi kesan positif kepada pengguna. Harga barangan dan perkhidmatan kekal tinggi. Lantaran itu, keputusan kerajaan untuk mengekalkan harga minyak RON95 meskipun terpaksa membayar lebih subsidi merupakan langkah yang tepat dalam mengawal kadar inflasi. Dari konteks ini, ia bukanlah satu pembaziran akibat terpaksa menanggung subsidi yang tinggi tetapi lebih bertujuan mengawal sektor ekonomi agar tidak terjejas. Paling penting, nasib rakyat dapat dibela.

Keputusan tidak menaikkan harga minyak seharusnya memberi peringatan kepada rakyat agar tidak melakukan pembaziran. Beringatlah, kemewahan yang kita kecapi selama ini boleh ditarik begitu sahaja jika kita tidak bersyukur. Bayangkan apa yang terjadi di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi melanda, penduduknya terpaksa berjimat menggunakan air dek kerana kekurangan bekalan air. Senario sebeginilah yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua agar mengelak diri daripada melakukan pembaziran pada setiap masa. Percayalah, jika pembaziran dapat dielakkan, banyak faedah yang bakal diterima bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Rohami Shafie
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.

UTUSAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2011

ISU KESENIAN : MUZIK DAN PERJUANGAN

Oleh Ku Seman Ku Hussain


Banyak orang melihat muzik tidak lebih daripada produk hiburan yang dijaja oleh artis-artis popular. Di semua negara, muzik menjadi antara penyumbang kepada industri hiburan dan negara ini juga tidak terkecuali. Kalau melihat jauh melampaui tuntutan budaya popular, kita dapati pengaruh muzik kepada manusia bukan sahaja hiburan. Lihat sahaja bagaimana sebuah kumpulan muzik dari Ireland, Cranbberies di mana muzik mereka melampaui hiburan dalam hubungannya dengan budaya popular yang kita fahami. Lagu Zombie yang dianggap lagu wajib kumpulan Cranbberies misalnya diilhamkan daripada peristiwa ledakan bom di London pada awal 1990-an yang turut mengorbankan kanak-kanak. Cranbberies, sebuah kumpulan muzik rock tetapi memilih untuk berbicara mengenai ‘kemabukan’ manusia hingga lupa peri pentingnya nyawa manusia lain. Menurut penganalisis, kekuatan Cranbberies bukan sahaja terletak kepada muzik tetapi kejituan lirik yang menjurus kepada antiketidakadilan.

Kumpulan ini pernah menghasilkan lagu War Child yang menyuarakan nyawa kanak-kanak telah menjadi mangsa keangkuhan politik puak-puak tertentu. Cranbberies sebenarnya mendapat sokongan moral daripada beberapa kumpulan muzik hebat dunia antaranya kumpulan U2 dan The Corrs serta penyanyi Sinead O’ Connors yang kesemuanya dari Ireland. Pak Gesang yang mencipta lagu keroncong Bengawan Solo pernah berkata, beliau berjuang mencapai kemerdekaan dengan lagu-lagunya. Jangan berasa lucu kalau dikatakan lagu-lagu keroncong antara yang menyumbang kepada kemerdekaan Indonesia, selain daripada buluh runcing yang menjadi kebanggaan Sukarno. Dari sudut antropologi, keperluan muzik kepada kehidupan manusia sangat tinggi dan muzik menjadi elemen penting dalam kehidupan tradisi bagi semua kaum. Maknanya dalam hubungannya dengan masyarakat Asia, muzik ada kuasa mistiknya apabila acara ritual mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan muzik.

Beberapa fakta di atas menguatkan hujah bahawa memberi hiburan hanya sebahagian daripada peranan muzik yang sangat besar kepada manusia. Tetapi kerana yang kecil itu menonjol dan membangunkan industri hiburan, maka nilai hiburan dianggap menguasai muzik. Kita tentunya boleh berbangga kerana memiliki karyawan muzik seperti M. Nasir, Zubir Ali, Dr. Zawawi, Sohaimi Mior Hassan dan beberapa lagi yang mempunyai kecenderungan menjadikan muzik sebagai pentas membicarakan perihal sosial. Mereka berperanan sama seperti penyanyi rock veteran, Bruce Springsteen yang turut bertanggungjawab memperbaiki hubungan Jerman – Amerika menerusi lagu-lagunya terutama dari album Rising. Lagu Born in the USA dianggap sebagai sebuah lagu antiperang yang diilhamkan daripada Perang Vietnam. Sementara lagu My City of Ruins sebagai mengenang tragedi duka serangan pejuang berani mati ke atas New York dan Washington DC pada 11 September 2001. Maka bolehlah ditanya, selain mengimpikan berjaya di Juara Lagu, apakah lagi impian pencipta-pencipta lagu kita?

UTUSAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2011

27 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : KEHEBATAN MUAMMAR GADDAFI : KHEMAH, UNTA, DAN 40 PENGAWAL WANITA YANG MASIH DARA

Dialah 
“Raja Segala Raja” 
di Benua Afrika


Pada Jun 2009, pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tiba di Rom, Itali dengan 300 ahli rombongan. Mereka menggunakan tiga buah pesawat Airbus. Seperti kebiasaan apabila melakukan lawatan ke luar negara, Gaddafi akan membawa bersama khemah gergasi Badwi yang didirikan di tengah-tengah bandar. Beliau lebih suka tidur bahkan bertemu pemimpin negara asing di khemah itu berbanding hotel mewah. Pada tahun 2007, Gaddafi bukan sahaja memacakkan khemah di kawasan lapang sebuah hotel lima bintang di Paris malah mempamerkan untanya di situ. Senarai sisi eksentrik Gaddafi seperti yang dilaporkan akhbar Britain, Daily Mail termasuklah tindakannya membawa unta gurun Sahara sebagai sebahagian daripada rombongan pengiringnya semasa beliau melawat Perancis. Gaddafi memerlukan lima buah kapal terbang untuk mengangkut semua ahli rombongannya.

Gaddafi memacakkan khemahnya di estet milik jutawan Amerika, Donald Trump di New York semasa menghadiri Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2009. Gaddafi mengembara dengan membawa khemah bagi menonjolkan asal-usul Badwi. Masyarakat Badwi merupakan kumpulan puak yang tinggal di kawasan padang pasir di Afrika. Apabila mereka berkelana merentas padang pasir, mereka akan mendirikan khemah bagi bermalam atau berlindung daripada cuaca buruk termasuk ribut pasir. Kain khemah itu biasanya diperbuat daripada bulu biri-biri yang ditenun dengan tangan. Dengan memakai gel dan rambut yang diwarnakan semasa tiba di Itali dua tahun lalu, Kolonel itu disifatkan media Barat mirip gaya Raja Pop, Michael Jackson. Di tengah dadanya tersemat sekeping gambar pemimpin pemberontak Libya yang telah dihukum gantung oleh penjajah Itali pada tahun 1931.

Beliau diberi sambutan negara oleh Perdana Menteri Silvio Berlusconi. Pakaian Gaddafi sememangnya sering menarik perhatian. Beliau gemar memakai jubah yang panjang berjela dan mengenakan cermin mata seperti seorang juruterbang. Beliau yang memakai topi tentera, kelip merah dan pakaian lengkap seorang kolonel tentera masih mencuri tumpuan. Namun, pasukan pengawal peribadi Gaddafi, kini berusia 68 tahun, lebih memukau. Mereka memakai uniform khaki dan beret merah sambil menggalas senapang Kalashnikov buatan Rusia. Kira-kira 42 tahun lalu, Gaddafi menggulingkan raja terakhir Libya, Raja Idris atas nama revolusi Islam. Beliau juga mengisytiharkan dirinya sebagai pelopor sosialisme Islam. Bagaimanapun, pengawal peribadi wanitanya itu tidak menyorokkan wajah mereka di sebalik burqa. Menurut Gaddafi, mereka adalah simbol kepercayaannya pada emansipasi wanita. Wanita patut dilatih untuk berlawan, jadi mereka tidak mudah dipermainkan oleh musuh, kata Gaddafi.

Semua wanita itu dikatakan telah mengangkat sumpah taat setia kepada Gaddafi dan sanggup menyerahkan seluruh hidup mereka untuk lelaki itu. Ternyata, dikatakan tiada seorang pun daripada mereka pernah meninggalkan Gaddafi baik siang mahupun malam. Gaddafi juga menegaskan semua pengawalnya masih dara iaitu syarat wajib sebelum dibenarkan bertugas dalam pasukan elit itu. Malah, pekerjaan yang dianggap berprestij itu sentiasa menjadi buruan wanita Libya. Mereka dilatih di sebuah kolej khas dan mengikuti program fizikal yang lasak. Mereka dilatih untuk menjadi pembunuh, pakar senjata api dan mahir dalam seni mempertahankan diri. Gaddafi akan membuat sendiri pemilihan terakhir, namun ada khabar angin kononnya pengawal peribadi itu turut dikehendaki melayan kehendak seksual Gaddafi. Wanita-wanita itu memakai lipstik, barang kemas, kuku yang dikilatkan bahkan kasut tumit tinggi tetapi ketangkasan mereka telah diuji berulang kali.

Pada tahun 1998, salah seorang daripada mereka terbunuh dan tujuh yang lain cedera selepas kumpulan fundamental Islam di Libya menyerang kenderaan Gaddafi. Gadis yang mati itu dikatakan merupakan pengawal kesukaan Gaddafi. Dia 'menerbangkan' dirinya untuk melindungi tubuh Gaddafi. Dia rela mati ditembusi peluru berbanding membiarkan peluru itu mengenai tuannya. Kehebatan Gaddafi adakalanya dipuji lawan dan kawan. Malah, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Gaddafi, yang pernah dianggap oleh Barat sebagai bapa keganasan dan lelaki di sebalik pengeboman Lockerbie pada tahun 1988, diberi layanan istimewa oleh Berlusconi. Sebenarnya, tidak ramai pemimpin dunia seperti Gaddafi mengekalkan kuasa dan mengharungi pelbagai tekanan sepanjang 40 tahun pemerintahannya. Beliau menulis sendiri buku Green Book yang memaparkan pandangan politik dan teori sosialnya.

Apabila beliau berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan. Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam. Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung. Kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika. Dua tahun lalu, Gaddafi menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen 'Penyatuan Afrika' Gaddafi. "Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika," beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni. Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar 'Raja Segala Raja' di Afrika. 

SUMBER : KOSMO ONLINE

ISU LUAR NEGARA : SEORANG LAGI PEMIMPIN KEJI YANG DIBENCI


Dalam senyap-senyap, pemerintah Libya, Muammar Gaddafi telah mengumpul kekayaan mencecah AS$60 bilion (RM183 bilion) dengan beberapa bilion dolar wang miliknya selamat disimpan dalam beberapa akaun rahsia di negara Asia Tenggara. Jumlah tersebut meletakkan Gaddafi sebaris dengan bilionair terkaya dunia seperti taikun telekomunikasi, Carlos Slim Helu dan pengasas Microsoft, Bill Gates dengan masing-masing memiliki kekayaan AS$53.5 bilion (RM163.2 bilion) dan AS$50 bilion (RM161.7 bilion). Sebuah akhbar Britain melaporkan jumlah aset Gaddafi bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau telah mengumpulnya sejak memerintah Libya selama lebih 40 tahun. Akhbar Belanda, De Volkskrant, melaporkan sekitar AS$40 bilion (RM122 bilion) asetnya berada di Libya manakala bakinya disembunyikan di luar negara. Menurut beberapa sumber di London dan Tripoli, wang tunai yang disimpan di luar negara itu adalah khusus untuk kegunaan keluarganya.

Sebuah banglo berharga AS$16.1 juta dolar (RM49 juta) 
milik anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam 
(gambar kecil) di London.

Gaddafi sebenarnya bijak, jika tidak masakan beliau boleh bertahan selama lebih empat dekad. Walaupun apa pun yang berlaku kepada dirinya, beliau telah memiliki simpanan tunai dan hartanah di seluruh dunia, terutama Asia tenggara dan rantau Teluk sebagai jaminan masa depan sembilan anaknya. Sumber-sumber tersebut berkerja dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang menguruskan dana negara berjumlah sekitar AS$50 bilion (RM152.5 bilion). Gaddafi mengambil beberapa langkah bijak bagi mengelak kekayaannya dibekukan seperti yang menimpa bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Bin Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak. Antaranya, Gaddafi menyimpan wangnya dengan menggunakan akaun bank milik beberapa 'orang kepercayaannya' yang menerima 'habuan' lumayan. Hanya Gaddafi dan keluarganya yang tahu identiti kroni mereka. Kunci kepada semua ini adalah kerahsiaan dan orang kepercayaan.

Beliau memiliki beberapa kroni yang membantunya menyembunyikan kekayaannya. Gaddafi tahu orang kepercayaannya itu akan memulangkan wang miliknya selagi mereka diberi bahagian yang lumayan. Apabila anda memiliki wang berbilion-bilion dolar, perkara ini adalah mudah. Di Asia Tenggara, wang Gaddafi itu dipercayai disimpan di beberapa akaun pesisir. Hampir semua wang itu datangnya daripada pendapatan hasil minyak negara. Selain wang tunai, pemimpin berusia 68 tahun itu turut memiliki beberapa hartanah di kawasan strategik di London. Beliau membeli bangunan Portman House di London pada harga AS$249 juta (RM762 juta) dan membayar AS$193.4 juta (RM590 juta) untuk membeli sebuah bangunan yang terletak bertentangan dengan bank pusat England. Gaddafi juga memiliki kepentingan dalam UniCredit, yang merupakan antara bank terbesar di Itali, mengikut laporan sebuah stesen radio Belanda.

Dalam keghairan rakyat Libya untuk menjatuhkannya, Gaddafi dilaporkan telah mendeposit wang tunai berjumlah AS$4.8 bilion (RM14.7 bilion) kepada seorang pengurus dana peribadi di London. Seorang pengurus dana warga Switzerland yang bekerja dengan Gaddafi berperanan sebagai orang tengah dalam transaksi itu. Walau bagaimanapun,  percubaan serupa oleh Gaddafi ditolak oleh seorang pegawai kanan di sebuah firma saham di London. Pegawai berkenaan menolak untuk menguruskan dana itu setelah mengetahui sumbernya. Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan Britain bertindak membekukan aset Gaddafi di negara masing-masing. Presiden AS, Barack Obama menandatangani perintah eksekutif untuk membekukan semua aset milik Gaddafi dan empat orang anaknya di AS. Jabatan Perbendaharaan menyatakan, sekatan terhadap Gaddafi, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya itu turut melibatkan pentadbiran Libya.

Tindakan tersebut dilakukan selepas London mengumumkan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersepakat mengecam keganasan rejim pemerintah di Libya. Dalam satu kenyataan bersama, EU menyifatkan bahawa tindakan Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri sebagai "langsung tidak boleh diterima". Sementara itu, Gaddafi memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya. Amaran tersebut disampaikannya dalam satu ucapan di Dataran Hijau di sini semalam yang disiarkan oleh televisyen negara itu. Di hadapan saki baki penyokongnya, diktator Libya itu berkata, beliau tidak gentar untuk mati dan menyeru para penyokongnya supaya bersedia untuk mempertahankan negara. Malah, ujarnya: "Rakyat Libya sayangkan saya." Gaddafi juga turut mengumumkan bahawa orang awam yang menyokongnya akan diberikan senjata api untuk memerangi dan membunuh para penunjuk perasaan.

Tindakan tersebut dijangka akan mencetuskan pertumpahan darah besar-besaran di Tripoli. Askar-askar yang setia kepada Gaddafi dengan dibantu beberapa kereta kebal menyerang Pangkalan Udara Misrata berhampiran Tripoli. Pangkalan udara itu sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang. Setakat ini, mereka berjaya merampas sebahagian pangkalan tersebut selepas bertempur dengan penduduk tempatan dan unit-unit tentera yang berpaling tadah. Setakat ini, lebih 2,000 orang terbunuh manakala ribuan yang lain cedera sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Gaddafi tercetus hampir dua minggu lalu.

SUMBER : KOSMO AHAD, 27 FEBRUARI 2011