Masih terngiang-terngiang di telinga penulis, khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di salah sebuah masjid berdekatan Malau, Jitra semasa menunaikan solat Jumaat, pada minggu lalu. Beliau dengan nada tegas menyatakan, "rakyat Malaysia mati kerana terlebih makan, sedangkan rakyat negara lain mati kerana kebuluran". Ayat ini menunjukkan betapa di Malaysia, kita bertuah kerana dapat menjalani kehidupan dengan begitu mewah. Segala-galanya mudah diperoleh sehinggakan negara kita menjadi lubuk untuk warga negara lain mencari rezeki. Disebabkan kemewahan inilah, kita boleh lihat banyak pembaziran berlaku di sana sini di Malaysia. Antaranya, ketika kenduri kahwin, pembaziran sering kali berlaku. Makanan yang dijamu untuk tetamu terlalu banyak. Memang niat awal untuk menjamu tetamu sebaik mungkin, tetapi apabila terlalu banyak membuatkan makanan terbuang begitu sahaja.
Tujuan asal mengadakan kenduri adalah untuk mendapatkan keberkatan, tetapi lain pula yang berlaku jika ia sudah menjangkau ke tahap membazir. Alangkah eloknya, jika sekiranya kenduri kahwin tersebut dapat diadakan dalam bentuk yang sederhana tanpa pembaziran tetapi pada masa yang sama meriah. Keberkatan adalah perkara paling utama, bukannya berusaha menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada dan akhirnya pembaziran berlaku. Kemewahan yang dirasai selama ini sepatutnya mengingatkan kita betapa ramai manusia di luar sana sedang kebuluran. Justeru itu, bagi bakal pengantin yang akan mengadakan kenduri kahwin sempena cuti sekolah tidak lama lagi, adakanlah kenduri tersebut dengan sederhana tanpa pembaziran. Itu baru satu bab, belum lagi kerana terlalu mewah dengan pelbagai makanan, rakyat Malaysia menghidap pelbagai penyakit yang berpunca daripada terlebih makan seperti obesiti.
Inilah penangan terlebih makan. Bayangkan, meskipun kos sara hidup semakin tinggi, sikap rakyat Malaysia yang bermewah-mewah dan membazir tetap kekal sama. Tetap tidak berubah, membazir di sana dan sini. Kalau diadakan majlis, sambutannya sudah tentu besar-besaran. Kononnya, jika diadakan sederhana, tidak gah. Sindrom mengadakan sesuatu majlis secara besar-besaran menyebabkan wang yang digunakan dibazirkan begitu sahaja. Sedangkan, wang yang sama boleh digunakan untuk pelbagai manfaat untuk orang yang memerlukan. Sedarlah wang itu merupakan amanah dan ia seharusnya digunakan untuk perkara yang sepatutnya. Kadangkala majlis itu hanya diadakan tidak sampai sejam, tetapi dek kerana terikut-ikut dengan budaya menunjuk-menunjuk dengan mengadakan majlis secara besar-besaran, maka segala-galanya mesti sempurna. Apabila mengejar kesempurnaan, wang adalah jawapannya.
Tentatif aturcara diperbanyakkan agar nampak lebih menarik. Lagi banyak aturcara lebih mewahlah majlis tersebut. Kalau kita tengok balik, kebanyakan pembaziran tersebut boleh dielak. Dengan mengurangkan aturcara, kuranglah wang yang dibelanjakan. Ada aturcara yang jika tidak diadakan sekalipun tetap tidak menjejaskan atau mengurangkan kehebatan majlis tersebut. Itu bagi majlis yang diadakan untuk orang ramai. Bagi individu pun tidak kurang hebatnya. Merungut kos sara hidup semakin meningkat, tetapi budaya membazir tetap diteruskan. Lumrah hidup, apabila harga barangan naik, ramailah yang merungut di sana sini menuding jari ke arah pihak lain. Paling menarik situasi di Malaysia, harga barangan ditentukan oleh kenaikan harga minyak. Memang benar, di pihak kerajaan, kerajaan yang menjalankan amanahnya, bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat terutamanya dari segi ekonomi.
Penulis yakin kerajaan yang ada sekarang telah mempelajari sesuatu apabila harga minyak dinaikkan pada tahap tertinggi pada 2008 telah menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga. Walhal, selepas itu, harga minyak dunia telah turun semula ke paras terendah. Malangnya, keputusan menaikkan harga minyak dan menurunkan harga minyak selepas itu tidak langsung memberi kesan positif kepada pengguna. Harga barangan dan perkhidmatan kekal tinggi. Lantaran itu, keputusan kerajaan untuk mengekalkan harga minyak RON95 meskipun terpaksa membayar lebih subsidi merupakan langkah yang tepat dalam mengawal kadar inflasi. Dari konteks ini, ia bukanlah satu pembaziran akibat terpaksa menanggung subsidi yang tinggi tetapi lebih bertujuan mengawal sektor ekonomi agar tidak terjejas. Paling penting, nasib rakyat dapat dibela.
Keputusan tidak menaikkan harga minyak seharusnya memberi peringatan kepada rakyat agar tidak melakukan pembaziran. Beringatlah, kemewahan yang kita kecapi selama ini boleh ditarik begitu sahaja jika kita tidak bersyukur. Bayangkan apa yang terjadi di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi melanda, penduduknya terpaksa berjimat menggunakan air dek kerana kekurangan bekalan air. Senario sebeginilah yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua agar mengelak diri daripada melakukan pembaziran pada setiap masa. Percayalah, jika pembaziran dapat dielakkan, banyak faedah yang bakal diterima bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.
Rohami Shafie
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.
UTUSAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan