JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Mac 2011

ISU HAK ASASI MANUSIA : YBGK INSTITUSI PINTAR REALISASIKAN HAK ASASI


Seluruh masyarakat Malaysia menyambut baik penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu. Secara peribadi penulis amat teruja dengan penubuhan yayasan ini. Kita percaya penubuhan yayasan ini didorong oleh sikap prihatin kerajaan dan Majlis Peguam (dan pertubuhan bukan kerajaan secara umumnya) terhadap kebajikan orang yang ditahan pihak berkuasa dan pengakuan salah yang dibuat tanpa diwakili peguam.  YBGK diharapkan dapat membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapat pembelaan sewajarnya dan dapat membuat representasi yang lebih baik di dalam prosiding di mahkamah. Sememangnya ini adalah usaha yang mulia dan patut mendapat sokongan semua pihak kerana seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Disebabkan pentadbiran keadilan, termasuk undang-undang dan prosedurnya yang rumit, orang ramai tidak dapat mewakili diri mereka dengan berkesan.

Mereka memerlukan peguam sebagai wakil bagi menuntut keadilan bagi pihak mereka. Mungkin juga disebabkan tuntutan bayaran guaman yang tinggi, mereka tidak dapat melantik peguam dan lebih rela mengaku salah. Kerajaan dan Majlis Peguam masing-masing sudah mempunyai prasarana tertentu di dalam menjalankan kerja amal sebegini. Kerajaan mempunyai Jabatan Bantuan Guaman di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Peguam mempunyai Pusat Bantuan Guaman. Kedua-duanya mempunyai cawangan di seluruh negara. Namun begitu, kedua-dua prasarana ini mempunyai reputasi dan masalah tertentu.  Penubuhan yayasan ini sudah tentu merupakan satu lagi penambahbaikan terhadap kerja kebajikan dan ia juga menjelaskan lagi komitmen kerajaan dan badan bukan kerajaan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law).  Dengan penubuhan YBGK ini, pasukan polis, adalah agensi yang terkesan secara langsung.

Secara umumnya, keberkesanan YBGK amat bergantung kepada kerjasama polis. Pasukan polis perlu proaktif dalam melaksanakan misi YBGK ini.  Seperti yang dilaporkan akhbar, pihak polis hendaklah menghubungi peguam panel yang dilantik YBGK sekiranya sesuatu tangkapan (terhadap orang tertentu dan layak mendapat perkhidmatan YBGK) dibuat. Walaupun kita belum begitu pasti dengan mekanisme yang akan diambil oleh YBGK dalam merealisasikan matlamatnya, menurut laporan akhbar, YBGK boleh memainkan peranan bermula dari masa tangkapan dibuat dan di dalam setiap proses seterusnya, seperti permohonan reman dan perbicaraan.  Banyak keputusan mahkamah sebelum ini yang memberi keutamaan dan kepentingan kepada siasatan polis berbanding hak seseorang untuk diwakili peguam. Mahkamah juga pernah memutuskan bahawa kegagalan pihak polis untuk membenarkan seseorang berunding dengan peguam seberapa segera tidak menjadikan tangkapan atau tahanan itu tidak sah.

Namun begitu, dalam merealisasikan mekanisme dan tujuan YBGK, kelewatan/kegagalan ini sudah tentu tidak digalakkan. Oleh itu, pasukan polis perlu melakukan siasatan secara pantas dan membenarkan orang yang ditahan berunding dan diwakili peguam dengan kadar segera.  Sekiranya pihak polis mahu meneruskan tindakan menangkap seseorang dan mahu membawa mereka ke mahkamah bagi tujuan reman atau pertuduhan, siasatan perlu disiapkan dalam jangka masa singkat (mungkin kurang 24 jam). Mungkin ini tidak menjadi masalah sekiranya pasukan polis tidak mempunyai beban tugas yang berat dan mereka mempunyai anggota dan pegawai penyiasat yang mencukupi. Ini kerana proses siasatan bukan sesuatu yang mudah. Ia adalah proses rumit yang memerlukan penelitian. Saya tidak menyatakan beban tugas dan kekurangan pegawai penyiasat sebagai satu justifikasi untuk membenarkan polis menahan seseorang tanpa berunding atau diwakili peguam kerana hakikatnya, Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang untuk dibenarkan berunding dan dibela peguam pilihannya dengan seberapa segera.

Namun, sekiranya pasukan polis mempunyai anggota dan pegawai penyiasat yang mencukupi, sudah tentu siasatan dapat disempurnakan dengan berkesan dalam masa yang singkat tanpa perlu menahan orang yang disyaki lebih lama. Keadaan ini bukan saja dapat menjaga hak orang yang ditahan, tetapi juga hak ahli masyarakat keseluruhannya. Dengan meningkatkan bilangan pegawai penyiasat, ia dapat menyeimbangkan antara tuntutan hak asasi seseorang yang ditangkap (dan ditahan) dan hak orang awam yang terkesan daripada perlakuan jenayah yang disyaki. Oleh itu, secara tidak langsung, penambahan bilangan pegawai penyiasat akan dapat menyumbangkan kepada situasi dan amalan hak asasi yang lebih baik di negara ini. Selain daripada perkara berkaitan pasukan polis, kita mengharapkan perkhidmatan yang diberikan oleh peguam di bawah skim YBGK ini adalah sama dan seumpama perkhidmatan yang diberikan oleh peguam yang dilantik dan dibayar oleh pelanggan.

Peguam diharapkan dapat mencurahkan perkhidmatan mereka sebaik mungkin walaupun dengan bayaran yang rendah atau atas dasar pro-bono atau sukarela.  Saya pernah membaca di akhbar tempatan mengenai peguam yang tidak begitu prihatin terhadap kerja pro-bono kerana terikat dengan tugas dan perniagaan di firma guaman masing-masing. Saya tidak mahu bersikap skeptikal mengenai perkara ini kerana setiap kita mempunyai tugas dan peranan masing-masing tetapi pengamal undang-undang mungkin menyedari hakikat ini dengan permasalahan yang ada di Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam.  Semoga YBGK menjadi institusi pintar yang dapat merealisasikan hak asasi orang yang disyaki tanpa menjejaskan hak asasi ahli masyarakat, dan semoga peguam dapat menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BERITA HARIAN
1 MAC 2011

Tiada ulasan: