23 Januari 2011

RANGKA KARANGAN : KEBAIKAN AKTIVITI GOTONG-ROYONG


SOALAN KARANGAN

Aktiviti berbentuk kebajikan seperti membersihkan sekitar kawasan tempat tinggal, mengadakan rondaan pada waktu malam dan menyertai aktiviti rukun tetangga memberikan kebaikan kepada penduduk setempat. Jelaskan kebaikan-kebaikan aktiviti tersebut.

PENDAHULUAN

·           masyarakat setempat perlu melibatkan diri dalam sebarang aktiviti kebajikan 
·           membersihkan kawasan sekitar tempat tinggal
·           mengadakan rondaan pada waktu malam
·           menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh rukun tetangga
·           perlu hidup sandar-menyandar bagai “aur dengen tebing”
·          wujud masyarakat yang prihatin “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”

ISI PERTAMA

·          kebaikannya – aktiviti gotong-royong akan menyebabkan kawasan tempat tinggal menjadi bersih
·          terhindar daripada sebarang penyakit berjangkit
·          wabak demam denggi, malaria, taun, dan sebagainya
·          masyarakat yang tidak sihat – menjejaskan ekonomi negara – tidak dapat bekerja

ISI KEDUA

·           menguatkan hubungan kejiranan
·          dapat berkenal-kenalan dengan jiran yang baru – “tak kenal maka tak cinta”.
·          memupuk budaya tolong-menolong dan bantu-membantu
·          menanam sikap bekerjasama  dan bertolenransi antara satu sama lain
·          menganggap jiran bagai keluarga sendiri yang mesti disayangi, dikasihi, dan dihormati

ISI KETIGA

·          mengelakkan kawasan tempat tinggal daripada kes-kes kecurian, pecah rumah, dan penculikan kanak-kanak
·          satu masalah sosial yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini
·          memerlukan kerjasama antara jiran untuk mengatasinya
·          “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”
·          setiap jiran akan menjaga kebajikan jiran yang lain

ISI KEEMPAT

·           membentuk masyarakat penyayang
·           menghormati jiran berlainan bangsa
·           mewujudkan perpaduan kaum
·           masyarakat yang aman dan harmoni
·           dapat mengelakkan pergaduhan kaum – peristiwa 13 Mei 1969 berulang lagi

ISI KELIMA

·          mudah mendapat pertolongan daripada jiran-jiran apabila diperlukan
·          semasa majlis kenduri dan kecemasan – banyak yang menghulurkan tangan untuk membantu
·      sanak-saudara kita yang tinggal berjauhan – mengambil masa yang lama untuk membantu
·          jiranlah tempat untuk kita mengadu dan berkongsi segala masalah

PENUTUP

·          meluangkan masa dengan melibatkan diri dengan aktiviti kebajikan
·          tidak mementingkan diri sendiri – “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”
·          cogan kata “jiran sepakat membawa berkat”
·          aktiviti kebajikan banyak memberikan faedah

ISU WANITA : WANITA LEBIH BANYAK ALAMI STRESS METAL?


Baru-baru ini kita telah didedahkan dengan maklumat bahawa pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital awam telah meningkat ke 15.6%. iaitu seramai lebih 400,000 orang. Malah angka ini dikatakan telah meningkat berbanding dengan tahun sebelumnya. Membaca kenyataan ini rakan sekerja saya tersenyum lebar sambil berkata "hai sebenarnya banyak lagi diluar sana yang dok tunggu giliran nak masuk hospital mental ini, cuma dia orang tak sedar". Dan beliau terus ketawa terbahak-bahak. Walaupun kenyataannya itu nampak seperti bergurau, tetapi mengikut beberapa kajian yang dilakukan di negara kita, komen itu ada kebenarannya. Ini kerana ramai yang mengalami stres tetapi tidak menyedarinya.

Dwi kerjaya

Amnya ramai yang menghadapi masalah mental dikaitkan dengan masalah kekeluargaan dan ketidakpuasan di tempat kerja. Kini, 50% dari tenaga buruh adalah wanita dan 70% dari dari mereka sudah berumah tangga. Oleh yang demikian, salah satu golongan yang berhadapan dengan gejala penyakit mental ini ialah pasangan dwi kerjaya. Dwi kerjaya bermaksud individu itu mempunyai dua peranan iaitu di rumah dan di tempat kerja. Realitinya ialah pasangan dwi kerjaya kini adalah satu keperluan memandangkan kos hidup yang semakin meningkat. Benarkah wanita lebih stres? Mengimbas semula data kementerian kesihatan pada tahun 1996, didapati wanita secara umumnya menghadapi stres mental 1.5 kali lebih tinggi berbanding dengan lelaki.. Mungkinkah wanita lebih stres dari lelaki?

Status kesihatan

Antara punca stres di kalangan pasangan ini kerana terpaksa berkejaran untuk mengimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab dirumah. Dapatan kajian dari 1000 orang wanita kerjaya, didapati 55% peratus dari mereka mengalami lebih dari satu bentuk masalah kesihatan. Penyakit yang dihidapi adalah seperti kencing manis, sakit lutut, migrain, sengal sengal badan, insomnia, pening, sakit pinggang, kemurungan, sering selesema dan demam, rasa kebas pada bahagian badan tertentu dan darah tinggi. Selain dari itu seramai 40% mengatakan berat badan mereka telah meningkat disebabkan kecenderungan untuk makan bila stres dan penglihatan mereka semakin kabur (32%) disebabkan oleh penggunaan komputer. Secara keseluruhan 10% sahaja wanita yang mengaku mereka sihat, dan 71% merasakan mereka agak sihat, 16% bersetuju mereka tidak berapa sihat dan 3% mengatakan mengatakan mereka langsung tidak sihat. Ini adalah satu tanda amaran yang memerlukan tindakan segera. Menurut kajian yang dijalankan di Korea, wanita yang menanggung pelbagai jenis penyakit disebabkan oleh dwi kerjaya jika berterusan selama 10 tahun akan mengalami sindrom kemurungan yang digelar sebagai Whabyung. Apa yang membimbangkan ialah hampir 17% dari wanita dalam kajian ini mengatakan mereka telah mengalami kesemua penyakit ini lebih dari 7 tahun. Berkemungkinan ada wanita dari kajian ini mewakili sebahagian dari 400000 ribu yang mempunyai penyakit mental ini?

Konflik dalaman

Secara terperinci, wanita dwi kerjaya ini menghadapi konflik dalaman disebabkan oleh pelbagai permintaan dari ahli keluarga, iaitu suami, anak, ibu bapa dan tidak ketinggalan majikan di tempat kerja. Kajian menunjukkan hampir 70% mengatakan ia berlaku kerana berkejaran untuk menghabiskan kerja pejabat dan kerja rumah.

Masa tidur

Seramai 34% dari wanita tersebut terpaksa mengorbankan waktu tidur mereka untuk memastikan kerja rumah mereka dapat dibereskan. Malah ada yang bangun seawal lima pagi dan tidur lewat satu malam setiap hari. Mereka tidak terdaya menjadi superwomen yang perlu menggalas hampir semua tanggungjawab dirumah di samping mengejar kerjaya.

Kerja Rumah

Lebih 80% mengaku bahawa mereka terpaksa melakukan kesemua kerja rumah secara sendirian. Hanya 17% sahaja suami yang sedia membantu isteri membuat kerja-kerja rumah. Kerja yang dilakukan oleh suami adalah dikategorikan sebagai kerja sampingan atau "bantuan bila perlu". Maka tidak menghairankan jika seramai 78% merasakan kelesuan mental apabila berada di tempat kerja. Sehubungan dengan itu juga, apabila menghadapi masalah dirumah maka besar kemungkinan stres ini akan dibawa bersama di tempat kerja. Apa yang berlaku ialah rakan rakan di tempat kerja juga akan merasakan bahang dari stres individu tersebut.

Bersama Anak dan Ibu Bapa

Ramai wanita (70%) dalam kajian ini mengalami konflik dalam diri kerana merasakan tidak berlaku adil dalam menjaga kebajikan anak anak mereka. Beban ini lebih terasa kerana hampir 90% wanita dalam kajian ini tidak ada pembantu rumah atau keluarga terdekat untuk membantu menjaga anak anak mereka. Malah wanita ini juga mengalami dilema bukan sahaja mereka tidak dapat memberikan penjagaan yang secukupnya pada anak anak tetapi juga untuk ibu atau bapa mereka yang uzur. Wanita kerjaya seumpama ini dikenali sebagai "wanita generasi tersepit", kerana mereka terpaksa mengimbangkan antara tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan anak. Di negara China disebabkan terlalu banyak sangat kes pengabaian orang tua, maka satu polisi telah digubal dimana ibubapa dibenarkan untuk membawa anak-anak ke muka pengadilan jika mengabaikan kebajikan orang tua mereka. Namun jika dilaksanakan di negara kita, apakah cara ini dapat melahirkan sebuah masyarakat penyayang?

Masa untuk diri dan Bersama Kawan

Kajian turut mendapati 40 % wanita mengatakan mereka tidak ada masa untuk bersantai dengan kawan. Bukankah menonton drama terkini, malah mendengar berita pun sudah tidak kesempatan. Malah lebih 50% wanita mengatakan bahawa tidak ada masa untuk memanjakan diri dengan urutan, ke Spa ataupun pusat rawatan kecantikan. Sehinggakan ada wanita dalam kajian ini yang mengeluh kerana masa cuti minggu adalah paling stres bagi mereka. Cuti dua hari itulah mereka gunakan segala tenaga untuk membereskan kain baju belum bergosok atau dibasuh, mencuci tandas dan membeli barang keperluan dapur. Menurut kajian juga masa santai untuk diri adalah penting untuk kesihatan mental seseorang diri. Apakah pengalaman seumpama ini boleh dikatakan sebagai satu deraan fizikal tetapi juga mental bagi wanita tersebut?

Bersama suami

Dalam hal suami pula, seramai 55% bersetuju mempunyai masa yang terhad untuk bersama pasangan mereka, kerana terlalu banyak kerja rumah maupun urusan pejabat yang perlu di laksanakan. Seramai 15% menjawab mereka tidak ingat bila kali akhir mereka bermesra dengan suami mereka. Seperti kata salah seorang responden "terlalu banyak tugas overtimedi tempat kerja sehingga suami dirumah menjadi part time". Malah 3% dari responden menjawab mereka mula sangsi dengan perubahan tingkah laku pada suami mereka yang tidak semesra dulu. Antara perubahan yang dimaksudkan ialah suami mereka kurang berkomunikasi, suami lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersama kawan, kurang ucapan kata kata mesra mahupun hadiah "kejutan" untuk hari jadi, hari ulang tahun berbanding dengan sebelum ini. Belaian mesra dan gurau senda juga amat kurang dalam hubungan harian mereka dan kecewa dari segi hubungan intim dengan suami mereka. Sebuah lagi kajian yang dilakukan di kalangan 160 orang professional juga mendapati di hampir 11% mengalami konflik nafkah batin di kalangan pasangan kerja yang sudah berkahwin. Masalah dalam perkahwinan seumpama ini boleh mengganggu emosi dan boleh memberi kesan ke atas kerja mereka.

Benarkah pekerja wanita adalah toksik di tempat kerja.

Dengan adanya ramai graduan wanita, kini di tempat kerja kebanyakan jawatan pengurus atau pentadbir mula dipenuhi dengan wanita. Sebuah kajian yang dijalankan pegawai kerajaan menunjukkan bahawa jika ada pilihan, 90% dari responden, tidak kira lelaki atau perempuan lebih suka berkerja dengan bos lelaki. Antara sebabnya ialah bos lelaki dipandang sebagai lebih memahami masalah pekerja, tidak atau "angin pasang surut" boleh berkomunikasi secara berhemah. Tidak kurang juga yang memberikan pelbagai gelaran pada bos wanita mereka seperti singa betina, Hitler dan seumpamanya. Apakah ini petanda wanita lebih stres di tempat kerja? Atau permintaan ditempat kerja yang menjadikan mereka stres?

Wanita dan kerja

Seterusnya 50% wanita dalam kajian ini menyatakan hasrat mereka untuk berhenti kerja jika diberi peluang kerana kesukaran untuk mengimbangi tanggungjawab antara kerja dan keluarga. Tetapi pada hakikatnya 80% mengatakan mereka merasa gembira jika mempunyai kerjaya serta dapat membantu dalam ekonomi keluarga. Lebih lebih lagi yang mempunyai anak, kerana perlu mengasingkan sekurang kurangnya 7% dari pendapatan untuk perbelanjaan anak-anak. Jelas sekali menunjukkan bahawa wanita akan mengalami stres kerana tersepit antara dua keadaan Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.

Mengatasi pesakit mental tanggung jawab siapa?

Menurut Institut Kesihatan Mental di Amerika Syarikat dianggarkan 17 juta penduduk atau seramai 10% dari penduduk golongan dewasa mengalami kemurungan setiap tahun. Namun jika mereka diberi bantuan seramai 70% menunjukkan perubahan yang positif dalam masa beberapa minggu sahaja. Malaysia adalah salah sebuah Negara yang memperuntukkan belanjawan untuk tujuan kesihatan yang besar untuk rakyatnya. Namun pesakit mental bukan tanggungjawab kerajaan ataupun majikan sahaja, malah setiap ahli keluarga. Ini kerana kerajaan dan majikan boleh mewujudkan pelbagai bentuk bantuan untuk kesejahteraan pekerja seperti perubatan, bantuan kaunseling, pusat penjagaan anak-anak, potongan cukai untuk ibu bapa dan sepertinya. Tetapi satu perkara penting yang perlu diingat ialah bahawa setiap keluarga itu berbeza. Oleh itu adalah tanggungjawab setiap individu dalam keluarga untuk mencari resipi tersendiri dalam mencari penyelesaian bagi keluarga. Umpamanya kerajaan hanya boleh memastikan kesemua rakyat mendapat bekalan beras yang cukup, tetapi untuk memastikan nasi tidak menjadi hangit, keras ataupun bubur bergantung pada individu itu sendiri.

Oleh Dr. Sabitha Marican

MINGGUAN MALAYSIA
23 JANUARI 2011

21 Januari 2011

ISU SOSIAL : TRANSFORMASI PEMBERSIHAN GEJALA KORUPSI SEKTOR AWAM


Proses transformasi dan penambahbaikan dalam sektor awam sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa bagi menjamin kestabilan, kesejahteraan dan kelancaran proses pentadbiran negara. Ideologi perjuangan dan sistem tadbir urus dan pembanterasan korupsi merupakan matlamat perjuangan yang dominan dalam kepimpinan politik pada hari ini. Amalan korupsi ini merupakan tarikan utama dalam pentadbiran Tun Hussein Onn bagi memastikan urus tadbir sektor awam berjalan dengan lebih efektif dan berwibawa. Begitu juga dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperkenalkan pelbagai dasar dalam kerajaan dengan menyempurnakan dasar-dasar pembangunan yang diketengahkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, seperti Dasar Ekonomi Baru. Tun Mahathir tampil memperkenalkan dasar baru seperti Dasar Pembangunan Nasional atau dikenali sebagai Wawasan 2020. Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pula menekankan aspek yang sama dalam Pelan Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada awal tahun 2010.

Jika disingkap sedikit sebanyak pentadbiran barisan Perdana Menteri Malaysia yang lepas sangat menitikberatkan 'pembersihan gejala korupsi' dalam sektor awam. Sewaktu Tun Mahathir memulakan tempoh awal pentadbiran, beliau telah melancarkan kempen Kepimpinan Melalui Tauladan pada 19 Mac 1983 yang menggalakkan pekerja sektor awam memotivasikan diri mereka sebagai manusia yang mempunyai keperibadian dan mutu kerja yang sentiasa baik. Manakala pada tahun 1998, Tun Mahathir telah melancarkan Gerakan Pemantapan Keutuhan Dalam Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia tentang sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang berkhidmat dalam kerajaan. Elemen integriti yang ditekankan oleh beliau sangat berkait rapat dengan etika yang baik. Elemen yang mengukuhkan lagi integriti dalam sektor kerajaan ini adalah sifat amanah dalam pengurusan. Sekiranya pekerja awam tidak memiliki sifat-sifat ini, mereka lebih cenderung terlibat dalam gejala korupsi dan lebih sinonim dengan perbuatan mengambil rasuah. Pembaharuan politik sebagaimana yang ditekankanTun Abdullah Ahmad Badawi dilihat dari sudut keterbukaan politik yang diperkenalkan olehnya menerusi pelbagai transformasi yang dilakukan sama ada terhadap badan kehakiman, pasukan polis, keterbukaan dan pengamalan media serta penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengikut corak pendekatan Abdullah yang tersendiri dan sebagainya.

Melalui pendekatan-pendekatan yang digunakan, ia telah merintis ke arah pembaharuan politik yang lebih ideal dan rasional sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dalam menilai keupayaannya memimpin negara, tidak dinafikan bahawa nilai demokrasi yang menjadi praktis dalam sistem politik Malaysia mula menampakkan keberkesanannya. Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mengendalikan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional adalah untuk mempertahankan dan memperkukuh sistem politik yang dilihat begitu signifikan bagi kestabilan, keharmonian dan pembangunan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama di Malaysia. Bahkan dari satu sudut, Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan turut mensasarkan matlamat untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang timbul dalam jentera pentadbiran negara. Antara kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti melibatkan unsur politik wang, politik cantas mencantas, politik kronisme, politik nepotisme dan sebagainya (Saifuddin 2007: 172). Secara tidak langsung, pelaksanaan Pelan Integriti Nasional ini dirasakan tepat sebagai wadah bagi menangani sebarang permasalahan yang timbul dengan memupuk pengamalan politik atau aspek-aspek lain dengan lebih berintegriti serta mengembangkan satu budaya politik yang sihat, matang dan beretika mengikut acuan sendiri.

Bahkan, penekanan kepada aspek integriti telah membuka peluang kepada beberapa perkara untuk dilaksanakan dengan lebih telus, demokratik dan terbuka. Antara situasi yang paling ketara adalah langkah pembasmian rasuah besar-besaran sehingga beberapa kes berprofil tinggi telah dibawa ke muka pengadilan, integriti badan kehakiman bagi mengendalikan kes-kes mahkamah tanpa wujudnya kepentingan konflik, integriti Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menganjurkan siri pilihan raya dengan nilai etika dan ketelusan yang tinggi, peningkatan mutu perkhidmatan awam bagi mengurangkan kerenah birokrasi, pengamalan media yang bersifat berkecuali serta lebih liberal dan sebagainya. Dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia sedikit sebanyak menjadi pengimbang dan penyemak kepada pekerja-pekerja awam dan masyarakat Malaysia daripada terjerumus dalam kancah korupsi ini. Perkara yang membimbangkan bukanlah angka atau peratusan rasuah yang dilaporkan kepada pihak SPRM, mahupun pihak polis. Pendekatan yang perlu diambil oleh semua pihak ternyata dapat mempengaruhi indeks persepsi rasuah itu.

Antaranya, kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin politik dan tokoh korporat dihebahkan secara meluas, dasar-dasar kerajaan yang telus, kesedaran masyarakat tentang rasuah dan peningkatan kes-kes aduan rasuah banyak menyumbang kepada gejala ini daripada menjadi parasit negara. Malah kempen-kempen yang dijalankan oleh SPRM perlu diberi kepujian dalam usaha menyedarkan rakyat tentang dosa terjebak dengan rasuah. Sejajar dengan Pelan Transformasi Negara yang diperkenalkan oleh Najib, ia memfokuskan beberapa program, pelan dan strategi untuk menghapuskan budaya korupsi ini dalam sektor awam dan swasta dengan berorientasikan kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Di samping itu juga, matlamat ini dapat membentuk sebuah masyarakat 1Malaysia yang lebih berhemah tinggi, bermaruah, berilmu dan mengamalkan amalan hidup yang lebih berakhlak dan mulia. Tanpa kerjasama semua pihak, gejala korupsi ini akan menular sehingga menjadi makanan rutin yang menjana kepada ekonomi negara kita. Laporkan kes rasuah di tempat anda demi maruah dan masa depan anak bangsa Malaysia!

DR. NOOR SULASTRY YURNI AHMAD
Pensyarah Kanan 
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Universiti Malaya.

UTUSAN MALAYSIA
21 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : JANGAN DIBIAR AYAM DI KEPUK MATI KELAPARAN


Dalam dunia hari ini yang lebih mewah dan kaya raya, kita sedang mengalami berbagai krisis. Baik dari segi ekologi, geopolitik, sosio budaya mahupun ekonomi. Percaturan yang ada menunjukkan anggaran 60 peratus penduduk dunia hidup melarat pada kadar kurang AS$3 dolar sehari. Ia merangkumi kira-kira empat bilion umat manusia di seluruh pelosok dunia. Kebanyakannya sudah tentu berada di dunia membangun dan kurang membangun. Istilah ini dikenakan kepada mereka mengikut perkiraan ekonomi yang meletakkan hampir semua negara Barat sebagai negara maju sekali gus merupakan contoh pembangunan yang 'paling baik' untuk diteladani. Kedudukan tidak seimbang ini disedari sejak beberapa lama dan pada 1992 masyarakat antarabangsa mengambil langkah mengatasinya melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) di Rio de Janeiro. Di bawah tema Pembangunan Lestari dan Alam Sekitar, hampir semua ketua negara bersetuju untuk membuat perubahan.

Namun selepas 10 tahun iaitu pada 2002, pada Persidangan Rio+10 yang diadakan di Johannesburg, ternyata sedikit sekali pembaharuan yang terhasil. Antara lain, hal ini terjadi disebabkan sektor pendidikan tidak diambil kira dengan mendalam dalam perhitungan untuk melaksanakan agenda global tersebut. Maka wujud satu kelompangan yang begitu ketara dari aspek kesedaran untuk berubah, apalagi menjayakannya. Ekoran itu, PBB mengambil keputusan mengumumkan bahawa mulai 2005 sehingga 2014, pertubuhan itu memperkenalkan 'Dekad PBB bagi Pendidikan untuk Pembangunan Lestari'. Ia bertujuan memusatkan usaha ke arah matlamat Rio dalam satu jangka masa yang ditetapkan iaitu pada tahun 2014. Sekali lagi ia dipersetujui oleh ketua-ketua negara seluruh dunia, dan sekali gus mengiktiraf bahawa tanpa pendidikan maka perubahan, apa lagi keseimbangan yang diinginkan tidak akan berlaku. Namun begitu, ia bukan untuk sebarang bentuk pendidikan. Jika tidak menjurus kepada prinsip kelestarian sebagaimana yang dianjurkan oleh PBB, maka ia pasti tidak akan berlaku.

Jelas ini adalah 'pra-syarat' utama yang perlu difikirkan dalam kita mengolah pendidikan yang lebih bermakna untuk masa dan generasi hari muka. Tambahan pula, ciri-ciri Model Baru Ekonomi telah termaktub unsur kelestarian, di samping keterangkuman dan pendapatan tinggi. Malah kelestarian dan terangkuman mempunyai kaitan rapat dalam model tersebut, asalkan pelaksanaannya tepat dan betul. Oleh itu, kedua-dua ini merupakan dimensi penting yang wajar difikirkan dalam pendidikan formal dan tidak formal. Bagi Malaysia, kefahaman ini penting dalam usaha merapatkan jurang antara kumpulan 20 peratus teratas dengan 40 peratus ke bawah (mengikut kadar pendapatan kurang RM1,500), mahupun 40 peratus pertengahan (pendapatan kurang RM3,000). Pendek kata, apabila pendapatan meningkat ke paras yang lebih tinggi, seharusnya bukan hanya satu-satu golongan yang terlibat tanpa merangkumi kesemuanya dalam satu wadah yang lestari. Perkara ini bukannya mudah sekiranya tidak didahului dengan mengubah nilai set minda yang ada dalam usaha mengelakkan apa yang pernah diramalkan Allahyarham Aminuddin Baki iaitu 'Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan'. Jika tidak, keadaannya akan berterusan seperti mana yang ada sekarang ini.

Bak kata pendeta Gandhi, "Bumi ini memadai untuk memenuhi kehendak semua, tetapi bukan untuk yang tamak haloba dalam kalangan mereka"! Kata-kata Gandhi ini tepat menyasari pendidikan hari ini kerana sifatnya semakin mengejar kehidupan yang bergelumang dengan sifat tamak yang tiada berkesudahan. Pendidikan hari ini dipenuhi dengan berbagai tuntutan industri dan pasaran, sehinggakan ada yang telah mula menggadai etos pendidikan itu sendiri dan menjadi pelajar sebagai 'produk' yang boleh ditawar menawar dan pendidikan dijual beli. Bertambah hebat lagi dengan tumbuhnya bagaikan cendawan selepas hujan, institusi pendidikan swasta yang jelas lebih mirip bersifat kilang dan bersandarkan perdagangan. Oleh itu, tidak dapat tidak, pendidikan kini berada di persimpangan dan menuntut satu renungan amat mendalam dari semua peringkat yang prihatin bukan sahaja tentang untung nasib sistem pendidikan itu sendiri, tetapi juga tenggelam timbulnya generasi akan datang dan budaya bangsanya. Ia sekali gus membayangkan kegagalan pendidikan tanpa kelestarian kerana tidak mampu mengamalkan prinsip berkaitan. 

Dengan kata lain, lambat laun ia akan membawa kepada pemudaran, kemelesetan dan pemusnahan yang kini beransur-ansur berlaku di hadapan mata kita. Namun dari kaca mata umum, kita diberi faham bahawa ini adalah harga kepada apa yang dipanggil pembangunan, sedangkan sebenarnya ia berpunca daripada pendidikan yang pincang. Hakikat ini cukup menyerlah dengan keruntuhan ekonomi dunia yang berpunca dari dunia Barat, khasnya Amerika Syarikat. Bahkan ada yang mempersoal di manakah pendidikan kelas dunia yang sering dilaungkan negara tersebut apabila para sarjananya gagal menelah dan mengawal rebahan keruntuhan berkenaan. Apa pun yang penting diingatkan kembali adalah konsep kelestarian ini sebenarnya mempunyai akar umbinya dalam budaya bangsa kebanyakan tradisi sejak lama lagi. Sebab itu, pembangunan dahulu tidak meracun alam sekitar atau kehidupan seperti sekarang. Sebagai sebuah masyarakat pelayar dan petani, kelestarian adalah prinsip asas yang memelihara persekitaran dan nilai kemanusiaan. Ia satu cara pemikiran yang ampuh yang memberi pengertian mendalam tentang manusia dan persekitaran serta kehidupan masa hadapannya.

Prof. Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

UTUSAN MALAYSIA
21 JANUARI 2011

20 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENGAJIAN TINGGI KE ARAH TRANSFORMASI NEGARA


Dalam konteks negara kita Malaysia, sektor pengajian tinggi merupakan faktor kritikal dalam mentransformasi negara melalui sumbangan pengeluaran modal insan yang berkualiti. Kita perlu bersama menjayakan transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan seterusnya menggalas amanah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Model Baharu Ekonomi (MBE) dengan meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara. Bagi menentukan agar Malaysia berjaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan mempunyai peranan penting dalam ekonomi global, satu-satunya pilihan kita ialah menggerak aktifkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat Malaysia. Apabila kita sedar bahawa negara China dan India mampu melahirkan empat juta graduan setahun, negara kita yang kecil ini tidak mungkin dapat meminggirkan potensi setiap seorang anak Malaysia dan mengabaikan bakat anak-anak muda kita. Kita mesti memastikan setiap orang, tidak kira latar belakang etnik, agama, ekonomi dan daerah mendapat peluang bukan sahaja dalam menguasai ilmu di bidang pendidikan, tetapi juga melibatkan diri dalam program-program yang mengetengahkan bakat dan potensi mereka di mana ianya selari dengan konsep keterangkuman. Universiti pada dekad ini, arah tujunya banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh proses globalisasi dan kuasa pasaran. Semua ini menuntut pengorbanan dan pembaharuan malah keberanian melakukan rejuvenasi, mengembali dan menyuburkan semula budaya akademia sebenar dalam universiti.

Sebagai sebuah organisasi yang berteraskan pendidikan, universiti harus menjadi medan di mana semua idea dan pemikiran dapat diperdebatkan secara ilimiah dan terbuka, dan juga memberi ruang kepada idealisme positif berkembang memandangkan komitmen mencari kebenaran sememangnya mendasari kewujudan sesebuah universiti. Selain itu, komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan dan kepelbagaian juga perlu diperkukuhkan. Tiada kejayaan yang bermakna jika sesuatu itu tidak mencapai tahap kecemerlangan. Oleh itu, kecemerlangan harus membudaya dan dibudaya terutamanya dalam kalangan masyarakat universiti. Pengurusan universiti mesti peka yang mereka adalah institusi yang mengurus pekerja berilmu dan pendekatan pengurusan perlulah memenuhi aspirasi ini. Mereka mesti membangunkan budaya bekerja secara berkumpulan, mampu menguruskan bakat yang ada dan bersedia serta terbuka dalam soal peralihan kuasa kepemimpinan. Dalam menjayakan hasrat kerajaan agar ada nilai dalam perbelanjaan (value for money), semua peruntukan yang diberikan kepada universiti mesti diuruskan sebaik mungkin, telus dan impaknya mesti dirasakan. Pimpinan utama universiti perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, memahami budaya dan kehendak universiti masing-masing, mempunyai kesungguhan dan semangat, dan berlumba-lumba untuk meningkatkan kemajuan prestasi dan kreadibiliti universitinya. 

Kesemua pemimpin terutama Naib Canselor mestilah mampu menonjolkan kepemimpinan akademik yang berupaya mendapat penghormatan, menjadi rujukan, dan mendapat sanjungan ahli akademik yang lain. Dalam masa yang sama, Naib-naib Canselor mesti mampu membangun dan menjalinkan jaringan dan hubungan intelektual termasuk di peringkat antarabangsa terutamanya dalam usaha mengumpul dana bagi mengukuhkan pendapatan dan kedudukan kewangan universiti. Pendek kata, Naib Canselor dan kepemimpinannya mesti berani melagang perubahan untuk memastikan universiti mereka mampu bersaing dalam mendapatkan pelajar paling berbakat, menjadi fakulti paling tersohor dan mendapat geran penyelidikan paling ternama. Sudah sampai masanya pemimpin utama di universiti memainkan peranan yang lebih luas dari lingkungan universiti masing-masing terutamanya bagi universiti penyelidikan untuk menjayakan peranan yang lebih global sifatnya. Sehubungan dengan itu, sebahagian universiti kita juga mesti memiliki pengiktirafan antarabangsa jika kita ingin mengekalkan daya saing Malaysia. Sektor pengajian tinggi terutamanya di peringkat universiti, sudah menjadi perkara universal. Bila kita bercakap mengenai Universiti Oxford atau Harvard, kita tidak melihatnya sebagai sebuah universiti milik negara atau bertaraf kebangsaan semata-mata tetapi mereka dilihat sebagai universiti milik antarabangsa yang diiktiraf dunia.

Oleh itu, universiti kita harus berani mengambil cabaran untuk meningkatkan kedudukan masing-masing di peringkat antarabangsa. Naib-naib Canselor dan pasukan kepemimpinannya mestilah bersedia mengorak langkah untuk meletakkan universiti mereka sebagai entiti yang memiliki pengiktirafan antarabangsa melangkaui lingkungan kebangsaan atau negara. Justeru, saya ingin menyeru agar kedudukan dan pencapaian universiti diukur berasaskan kepada sama ada mereka kekal 'Relevant' (relevan), 'Referred' (dirujuk) dan 'Respected' (dihormati). Dan ukuran 3R ini mestilah diasaskan kepada tiga (3) peringkat persekitaran yang mengelilinginya iaitu di peringkat kebangsaan, serantau dan juga global. Setiap universiti perlu berusaha membangun dan mencapai kedudukan itu secara berperingkat. Dan ukuran tersebut pula perlu diasaskan kepada hubungan dan peranan setiap universiti dengan semua pemegang taruhnya iaitu kerajaan, pelajar, industri dan masyarakat, di mana setiap pemegang taruh akan melihat dan menilai setiap institusi kita sama ada ia kekal relevan, dirujuk dan dihormati. Mungkin bagi memenuhi keperluan ini, maka setiap universiti perlu untuk membangunkan niche area mereka masing-masing lantaran terus menjadikannya sebagai satu kekuatan. 

Kalau bidang tujahan kita adalah dalam pengurusan atau keusahawanan atau pengurusan dalam kewangan Islam atau perubatan tropikal, kita mesti yakin dan tahu di tahap manakah kita berada dalam jangkauan status universiti kita, adakah kita telah diterima dan diiktiraf di peringkat kebangsaan, serantau dan global, atau universiti kita masih tidak mencapai mana-mana peringkat yang diikitiraf. Ruang lingkup dan sumber persediaan kita tidak harus bersifat terlalu kecil sebaliknya mestilah melangkaui ruang lingkup yang besar agar kita dapat bergerak dan bertindak dengan berkesan di kesemua peringkat. Tidak dinafikan, universiti pada hari ini, bukanlah semata-mata menjadi menara gading dan gedung ilmu tetapi ia juga sepatutnya menjadi tempat penjana tenaga masyarakat yang dinamik, sentiasa membangun dan maju. Bagi memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan universiti untuk memimpin masyarakat dan negara, kementerian akan memperkenalkan satu lagi Projek Agenda Kritikal (Critical Agenda Project-CAP) iaitu Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme, KTP), menjadikan jumlah CAP di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) kepada 23 kesemuanya. Selain dari menjayakan usaha pemindahan ilmu, bersesuaian dengan kesejagatan kerjaya ahli akademik, mereka perlu digalakkan untuk terlibat dengan mobiliti untuk menyumbang kepakaran kepada sektor-sektor perkhidmatan awam yang lain sama ada melalui kaedah peminjaman, berkhidmat secara pentadbiran dan sebagainya.

Bagi menjayakan mobiliti akademik ini, beberapa perkara perlu diberikan penekanan, antaranya pengurusan universiti perlu membina dasar baharu yang mendukung "peranan ahli akademik untuk pembangunan negara". Kepimpinan universiti perlu mempunyai pemikiran terbuka serta mempercayai bahawa sumber akademik yang bernilai universal, perlu dimanfaatkan untuk pembangunan negara dalam kerangka pelan mobiliti akademik yang baharu. Walaupun penting bagi ahli akademik untuk menjalankan tugas asas di institusinya, mereka perlu digalakkan menyumbang merentasi fakulti/institusi, universiti atau agensi luar (kerajaan mahupun swasta) berasaskan kepakaran dan keupayaan mereka. Justeru, konsep pelantikan bersama (double-triple, multi appointment) boleh dikaji dan dipertimbangkan. Selain itu juga, bagi mengiktiraf tenaga akademik yang terlibat dalam mobiliti akademik ini, penilaian tahunan, penghormatan, kenaikan pangkat dan penilaian pencapaian perlu mengambil kira keseluruhan sumbangan mereka di semua peringkat di luar fakulti selain universitinya.

Hari ini misalnya, terdapat ramai tenaga akademik daripada IPTA khususnya, dipinjamkan untuk mengisi jawatan-jawatan terbuka atau open post di pelbagai kementerian dan jabatan, sama ada di dalam atau di luar negara. Peminjaman mereka pastinya berasaskan kepada kemampuan dan kepakaran yang dimiliki oleh mereka, justeru itu, kementerian dan jabatan-jabatan yang terlibat amat menghargai kesediaan dan komitmen mereka untuk bersama-sama menggembleng tenaga membantu negara dalam kapasiti yang berbeza. Kepulangan mereka nanti ke IPTA masing-masing iaitu selepas tempoh peminjaman tamat, diharapkan pengiktirafan dan kedudukan yang bersesuaian wajarlah diberikan kepada mereka dengan mengambil semangat kerangka mobiliti akademik yang akan kita perkenalkan ini. Seperti yang kita semua sedia maklum, kerajaan telah memperkenalkan konsep cross-fertilization di mana beberapa ahli akademik boleh dilantik berkhidmat di pelbagai kementerian dan agensi dan saya berhasrat untuk melihat pengalaman mereka dapat dimanfaatkan oleh kerajaan dan swasta dan pengalaman baharu itu pula dapat di bawa pulang semula ke universiti masing-masing. Universiti hendaklah bersedia menerima mereka dalam kapasiti baharu sesuai dengan pengalaman dan pengiktirafan yang telah diberikan.

Justeru, universiti diminta meneliti semula perkara ini agar bakat mereka dapat dimanfaat di pelbagai peringkat untuk membantu negara, serta dalam masa yang sama dapat mengekalkannya untuk kembali berkhidmat dengan universiti apabila kemudiaan kelak. Jika ini gagal dilaksanakan, saya bimbang universiti akan kehilangan lebih ramai bakat pada masa hadapan dan hasrat negara untuk perkongsian ilmu tidak akan tercapai.


ARTIKEL ini dipetik daripada Amanat Tahun Baharu 2011 Kementerian Pengajian Tinggi oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 17 Januari 2011.

BERITA HARIAN
20 JANUARI 2011

ISU SOSIAL : SINDIKET JUAL BAYI


Beberapa kes penjualan bayi yang berjaya dikesan pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu amat membimbangkan. Ia menunjukkan ada pihak sanggup memperdagangkan manusia, termasuk bayi baru lahir semata-mata untuk mengaut hasil lumayan. Kegiatan mereka menggunakan sindiket yang mempunyai rangkaian besar melepasi sempadan negara membuktikan ia dilakukan secara terancang. Antara kes ketara dikesan, termasuk serbuan polis Sarawak pada 12 Julai tahun lalu yang berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 23 hari yang cuba dijual wanita warga Indonesia pada harga RM10,000. Siasatan lanjut membawa kepada penahanan sepasang tokoh perniagaan terkemuka bergelar Datuk dan Datin di Kuching. Berikutan kejayaan itu, polis juga berjaya menyelamatkan tiga lagi bayi dan kanak-kanak di sebuah rumah mewah, juga di Kuching. Pada 1 November tahun lalu pula, akhbar ini mendedahkan satu kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, selepas anggota polis yang menyamar sebagai pembeli menahan enam suspek sebaik saja selesai menjalankan urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000. Kes terbaru Selasa lalu, polis menumpaskan satu sindiket menjual bayi di Selayang dan Subang Jaya, apabila menahan empat wanita termasuk dua warga asing yang menjadi dalang kegiatan itu. Dalam kebanyakan kes dikesan, pihak terbabit bukan saja dipercayai menjalankan kegiatan mencari pembeli, tetapi juga dapat menguruskan dokumen kelahiran, lengkap dengan nama pembeli sebagai ibu dan bapa kepada bayi berkenaan dalam sijil kelahirannya. Ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa bantuan ‘orang dalam’ di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pegawai JPN difahamkan memperoleh upah separuh daripada harga setiap penjualan bayi oleh sindiket yang didalangi pihak tertentu, tidak kira rakyat tempatan mahupun warga asing. Justeru, JPN mesti mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan terbabit dengan segera seperti yang dijanjikan Ketua Pengarahnya, Datuk Alwi Abdul Rahman kelmarin, sekali gus membersihkan nama baik jabatan berkenaan. 

Siasatan susulan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman juga mendapati sindiket penjualan bayi itu dipercayai mempunyai rangkaian di luar negara, yang membolehkan mereka mencari pelanggan di beberapa negara asing, termasuk Singapura. Memandangkan kegiatan menjual bayi ini membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Kesihatan, adalah wajar satu tindakan bersepadu diambil bagi menanganinya dengan lebih cekap dan berkesan. Walaupun suspek ditahan reman kini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, penelitian lanjut juga perlu dilakukan untuk melihat sama ada mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang lain. Ini penting bagi memastikan mereka tidak terlepas hukuman kerana kekurangan bukti bagi mensabitkan mereka dengan kesalahan dilakukan. Melihat operasi penjualan bayi dan sindiket kehamilan wanita dengan tujuan memperdagangkan bayi semakin berleluasa, terutama di Lembah Klang, Sarawak dan Johor, adalah wajar kerajaan memikirkan satu bentuk hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan ini, seterusnya mengelak Malaysia dianggap pusat utama sindiket penjualan bayi bagi pasaran antarabangsa. Sebarang tindakan penguatkuasaan tidak lengkap dan mungkin sukar ditangani sehingga ke akar umbi tanpa kerjasama dan bantuan orang awam.

BERITA HARIAN
20 JANUARI 2011