JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Januari 2011

ISU SOSIAL : TRANSFORMASI PEMBERSIHAN GEJALA KORUPSI SEKTOR AWAM


Proses transformasi dan penambahbaikan dalam sektor awam sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa bagi menjamin kestabilan, kesejahteraan dan kelancaran proses pentadbiran negara. Ideologi perjuangan dan sistem tadbir urus dan pembanterasan korupsi merupakan matlamat perjuangan yang dominan dalam kepimpinan politik pada hari ini. Amalan korupsi ini merupakan tarikan utama dalam pentadbiran Tun Hussein Onn bagi memastikan urus tadbir sektor awam berjalan dengan lebih efektif dan berwibawa. Begitu juga dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperkenalkan pelbagai dasar dalam kerajaan dengan menyempurnakan dasar-dasar pembangunan yang diketengahkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, seperti Dasar Ekonomi Baru. Tun Mahathir tampil memperkenalkan dasar baru seperti Dasar Pembangunan Nasional atau dikenali sebagai Wawasan 2020. Kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pula menekankan aspek yang sama dalam Pelan Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada awal tahun 2010.

Jika disingkap sedikit sebanyak pentadbiran barisan Perdana Menteri Malaysia yang lepas sangat menitikberatkan 'pembersihan gejala korupsi' dalam sektor awam. Sewaktu Tun Mahathir memulakan tempoh awal pentadbiran, beliau telah melancarkan kempen Kepimpinan Melalui Tauladan pada 19 Mac 1983 yang menggalakkan pekerja sektor awam memotivasikan diri mereka sebagai manusia yang mempunyai keperibadian dan mutu kerja yang sentiasa baik. Manakala pada tahun 1998, Tun Mahathir telah melancarkan Gerakan Pemantapan Keutuhan Dalam Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia tentang sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang berkhidmat dalam kerajaan. Elemen integriti yang ditekankan oleh beliau sangat berkait rapat dengan etika yang baik. Elemen yang mengukuhkan lagi integriti dalam sektor kerajaan ini adalah sifat amanah dalam pengurusan. Sekiranya pekerja awam tidak memiliki sifat-sifat ini, mereka lebih cenderung terlibat dalam gejala korupsi dan lebih sinonim dengan perbuatan mengambil rasuah. Pembaharuan politik sebagaimana yang ditekankanTun Abdullah Ahmad Badawi dilihat dari sudut keterbukaan politik yang diperkenalkan olehnya menerusi pelbagai transformasi yang dilakukan sama ada terhadap badan kehakiman, pasukan polis, keterbukaan dan pengamalan media serta penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengikut corak pendekatan Abdullah yang tersendiri dan sebagainya.

Melalui pendekatan-pendekatan yang digunakan, ia telah merintis ke arah pembaharuan politik yang lebih ideal dan rasional sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dalam menilai keupayaannya memimpin negara, tidak dinafikan bahawa nilai demokrasi yang menjadi praktis dalam sistem politik Malaysia mula menampakkan keberkesanannya. Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mengendalikan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional adalah untuk mempertahankan dan memperkukuh sistem politik yang dilihat begitu signifikan bagi kestabilan, keharmonian dan pembangunan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama di Malaysia. Bahkan dari satu sudut, Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan turut mensasarkan matlamat untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang timbul dalam jentera pentadbiran negara. Antara kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti melibatkan unsur politik wang, politik cantas mencantas, politik kronisme, politik nepotisme dan sebagainya (Saifuddin 2007: 172). Secara tidak langsung, pelaksanaan Pelan Integriti Nasional ini dirasakan tepat sebagai wadah bagi menangani sebarang permasalahan yang timbul dengan memupuk pengamalan politik atau aspek-aspek lain dengan lebih berintegriti serta mengembangkan satu budaya politik yang sihat, matang dan beretika mengikut acuan sendiri.

Bahkan, penekanan kepada aspek integriti telah membuka peluang kepada beberapa perkara untuk dilaksanakan dengan lebih telus, demokratik dan terbuka. Antara situasi yang paling ketara adalah langkah pembasmian rasuah besar-besaran sehingga beberapa kes berprofil tinggi telah dibawa ke muka pengadilan, integriti badan kehakiman bagi mengendalikan kes-kes mahkamah tanpa wujudnya kepentingan konflik, integriti Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menganjurkan siri pilihan raya dengan nilai etika dan ketelusan yang tinggi, peningkatan mutu perkhidmatan awam bagi mengurangkan kerenah birokrasi, pengamalan media yang bersifat berkecuali serta lebih liberal dan sebagainya. Dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia sedikit sebanyak menjadi pengimbang dan penyemak kepada pekerja-pekerja awam dan masyarakat Malaysia daripada terjerumus dalam kancah korupsi ini. Perkara yang membimbangkan bukanlah angka atau peratusan rasuah yang dilaporkan kepada pihak SPRM, mahupun pihak polis. Pendekatan yang perlu diambil oleh semua pihak ternyata dapat mempengaruhi indeks persepsi rasuah itu.

Antaranya, kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin politik dan tokoh korporat dihebahkan secara meluas, dasar-dasar kerajaan yang telus, kesedaran masyarakat tentang rasuah dan peningkatan kes-kes aduan rasuah banyak menyumbang kepada gejala ini daripada menjadi parasit negara. Malah kempen-kempen yang dijalankan oleh SPRM perlu diberi kepujian dalam usaha menyedarkan rakyat tentang dosa terjebak dengan rasuah. Sejajar dengan Pelan Transformasi Negara yang diperkenalkan oleh Najib, ia memfokuskan beberapa program, pelan dan strategi untuk menghapuskan budaya korupsi ini dalam sektor awam dan swasta dengan berorientasikan kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Di samping itu juga, matlamat ini dapat membentuk sebuah masyarakat 1Malaysia yang lebih berhemah tinggi, bermaruah, berilmu dan mengamalkan amalan hidup yang lebih berakhlak dan mulia. Tanpa kerjasama semua pihak, gejala korupsi ini akan menular sehingga menjadi makanan rutin yang menjana kepada ekonomi negara kita. Laporkan kes rasuah di tempat anda demi maruah dan masa depan anak bangsa Malaysia!

DR. NOOR SULASTRY YURNI AHMAD
Pensyarah Kanan 
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Universiti Malaya.

UTUSAN MALAYSIA
21 JANUARI 2011

Tiada ulasan: