Baru-baru ini kita telah didedahkan dengan maklumat bahawa pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital awam telah meningkat ke 15.6%. iaitu seramai lebih 400,000 orang. Malah angka ini dikatakan telah meningkat berbanding dengan tahun sebelumnya. Membaca kenyataan ini rakan sekerja saya tersenyum lebar sambil berkata "hai sebenarnya banyak lagi diluar sana yang dok tunggu giliran nak masuk hospital mental ini, cuma dia orang tak sedar". Dan beliau terus ketawa terbahak-bahak. Walaupun kenyataannya itu nampak seperti bergurau, tetapi mengikut beberapa kajian yang dilakukan di negara kita, komen itu ada kebenarannya. Ini kerana ramai yang mengalami stres tetapi tidak menyedarinya.
Dwi kerjaya
Amnya ramai yang menghadapi masalah mental dikaitkan dengan masalah kekeluargaan dan ketidakpuasan di tempat kerja. Kini, 50% dari tenaga buruh adalah wanita dan 70% dari dari mereka sudah berumah tangga. Oleh yang demikian, salah satu golongan yang berhadapan dengan gejala penyakit mental ini ialah pasangan dwi kerjaya. Dwi kerjaya bermaksud individu itu mempunyai dua peranan iaitu di rumah dan di tempat kerja. Realitinya ialah pasangan dwi kerjaya kini adalah satu keperluan memandangkan kos hidup yang semakin meningkat. Benarkah wanita lebih stres? Mengimbas semula data kementerian kesihatan pada tahun 1996, didapati wanita secara umumnya menghadapi stres mental 1.5 kali lebih tinggi berbanding dengan lelaki.. Mungkinkah wanita lebih stres dari lelaki?
Status kesihatan
Antara punca stres di kalangan pasangan ini kerana terpaksa berkejaran untuk mengimbangkan antara kerjaya dan tanggungjawab dirumah. Dapatan kajian dari 1000 orang wanita kerjaya, didapati 55% peratus dari mereka mengalami lebih dari satu bentuk masalah kesihatan. Penyakit yang dihidapi adalah seperti kencing manis, sakit lutut, migrain, sengal sengal badan, insomnia, pening, sakit pinggang, kemurungan, sering selesema dan demam, rasa kebas pada bahagian badan tertentu dan darah tinggi. Selain dari itu seramai 40% mengatakan berat badan mereka telah meningkat disebabkan kecenderungan untuk makan bila stres dan penglihatan mereka semakin kabur (32%) disebabkan oleh penggunaan komputer. Secara keseluruhan 10% sahaja wanita yang mengaku mereka sihat, dan 71% merasakan mereka agak sihat, 16% bersetuju mereka tidak berapa sihat dan 3% mengatakan mengatakan mereka langsung tidak sihat. Ini adalah satu tanda amaran yang memerlukan tindakan segera. Menurut kajian yang dijalankan di Korea, wanita yang menanggung pelbagai jenis penyakit disebabkan oleh dwi kerjaya jika berterusan selama 10 tahun akan mengalami sindrom kemurungan yang digelar sebagai Whabyung. Apa yang membimbangkan ialah hampir 17% dari wanita dalam kajian ini mengatakan mereka telah mengalami kesemua penyakit ini lebih dari 7 tahun. Berkemungkinan ada wanita dari kajian ini mewakili sebahagian dari 400000 ribu yang mempunyai penyakit mental ini?
Konflik dalaman
Secara terperinci, wanita dwi kerjaya ini menghadapi konflik dalaman disebabkan oleh pelbagai permintaan dari ahli keluarga, iaitu suami, anak, ibu bapa dan tidak ketinggalan majikan di tempat kerja. Kajian menunjukkan hampir 70% mengatakan ia berlaku kerana berkejaran untuk menghabiskan kerja pejabat dan kerja rumah.
Masa tidur
Seramai 34% dari wanita tersebut terpaksa mengorbankan waktu tidur mereka untuk memastikan kerja rumah mereka dapat dibereskan. Malah ada yang bangun seawal lima pagi dan tidur lewat satu malam setiap hari. Mereka tidak terdaya menjadi superwomen yang perlu menggalas hampir semua tanggungjawab dirumah di samping mengejar kerjaya.
Kerja Rumah
Lebih 80% mengaku bahawa mereka terpaksa melakukan kesemua kerja rumah secara sendirian. Hanya 17% sahaja suami yang sedia membantu isteri membuat kerja-kerja rumah. Kerja yang dilakukan oleh suami adalah dikategorikan sebagai kerja sampingan atau "bantuan bila perlu". Maka tidak menghairankan jika seramai 78% merasakan kelesuan mental apabila berada di tempat kerja. Sehubungan dengan itu juga, apabila menghadapi masalah dirumah maka besar kemungkinan stres ini akan dibawa bersama di tempat kerja. Apa yang berlaku ialah rakan rakan di tempat kerja juga akan merasakan bahang dari stres individu tersebut.
Bersama Anak dan Ibu Bapa
Ramai wanita (70%) dalam kajian ini mengalami konflik dalam diri kerana merasakan tidak berlaku adil dalam menjaga kebajikan anak anak mereka. Beban ini lebih terasa kerana hampir 90% wanita dalam kajian ini tidak ada pembantu rumah atau keluarga terdekat untuk membantu menjaga anak anak mereka. Malah wanita ini juga mengalami dilema bukan sahaja mereka tidak dapat memberikan penjagaan yang secukupnya pada anak anak tetapi juga untuk ibu atau bapa mereka yang uzur. Wanita kerjaya seumpama ini dikenali sebagai "wanita generasi tersepit", kerana mereka terpaksa mengimbangkan antara tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan anak. Di negara China disebabkan terlalu banyak sangat kes pengabaian orang tua, maka satu polisi telah digubal dimana ibubapa dibenarkan untuk membawa anak-anak ke muka pengadilan jika mengabaikan kebajikan orang tua mereka. Namun jika dilaksanakan di negara kita, apakah cara ini dapat melahirkan sebuah masyarakat penyayang?
Masa untuk diri dan Bersama Kawan
Kajian turut mendapati 40 % wanita mengatakan mereka tidak ada masa untuk bersantai dengan kawan. Bukankah menonton drama terkini, malah mendengar berita pun sudah tidak kesempatan. Malah lebih 50% wanita mengatakan bahawa tidak ada masa untuk memanjakan diri dengan urutan, ke Spa ataupun pusat rawatan kecantikan. Sehinggakan ada wanita dalam kajian ini yang mengeluh kerana masa cuti minggu adalah paling stres bagi mereka. Cuti dua hari itulah mereka gunakan segala tenaga untuk membereskan kain baju belum bergosok atau dibasuh, mencuci tandas dan membeli barang keperluan dapur. Menurut kajian juga masa santai untuk diri adalah penting untuk kesihatan mental seseorang diri. Apakah pengalaman seumpama ini boleh dikatakan sebagai satu deraan fizikal tetapi juga mental bagi wanita tersebut?
Bersama suami
Dalam hal suami pula, seramai 55% bersetuju mempunyai masa yang terhad untuk bersama pasangan mereka, kerana terlalu banyak kerja rumah maupun urusan pejabat yang perlu di laksanakan. Seramai 15% menjawab mereka tidak ingat bila kali akhir mereka bermesra dengan suami mereka. Seperti kata salah seorang responden "terlalu banyak tugas overtimedi tempat kerja sehingga suami dirumah menjadi part time". Malah 3% dari responden menjawab mereka mula sangsi dengan perubahan tingkah laku pada suami mereka yang tidak semesra dulu. Antara perubahan yang dimaksudkan ialah suami mereka kurang berkomunikasi, suami lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersama kawan, kurang ucapan kata kata mesra mahupun hadiah "kejutan" untuk hari jadi, hari ulang tahun berbanding dengan sebelum ini. Belaian mesra dan gurau senda juga amat kurang dalam hubungan harian mereka dan kecewa dari segi hubungan intim dengan suami mereka. Sebuah lagi kajian yang dilakukan di kalangan 160 orang professional juga mendapati di hampir 11% mengalami konflik nafkah batin di kalangan pasangan kerja yang sudah berkahwin. Masalah dalam perkahwinan seumpama ini boleh mengganggu emosi dan boleh memberi kesan ke atas kerja mereka.
Benarkah pekerja wanita adalah toksik di tempat kerja.
Dengan adanya ramai graduan wanita, kini di tempat kerja kebanyakan jawatan pengurus atau pentadbir mula dipenuhi dengan wanita. Sebuah kajian yang dijalankan pegawai kerajaan menunjukkan bahawa jika ada pilihan, 90% dari responden, tidak kira lelaki atau perempuan lebih suka berkerja dengan bos lelaki. Antara sebabnya ialah bos lelaki dipandang sebagai lebih memahami masalah pekerja, tidak atau "angin pasang surut" boleh berkomunikasi secara berhemah. Tidak kurang juga yang memberikan pelbagai gelaran pada bos wanita mereka seperti singa betina, Hitler dan seumpamanya. Apakah ini petanda wanita lebih stres di tempat kerja? Atau permintaan ditempat kerja yang menjadikan mereka stres?
Wanita dan kerja
Seterusnya 50% wanita dalam kajian ini menyatakan hasrat mereka untuk berhenti kerja jika diberi peluang kerana kesukaran untuk mengimbangi tanggungjawab antara kerja dan keluarga. Tetapi pada hakikatnya 80% mengatakan mereka merasa gembira jika mempunyai kerjaya serta dapat membantu dalam ekonomi keluarga. Lebih lebih lagi yang mempunyai anak, kerana perlu mengasingkan sekurang kurangnya 7% dari pendapatan untuk perbelanjaan anak-anak. Jelas sekali menunjukkan bahawa wanita akan mengalami stres kerana tersepit antara dua keadaan Pendek kata wanita dwi kerjaya berhadapan dengan pelbagai cabaran iaitu penjagaan anak-anak, menjaga ibu bapa, beban kerja rumah, masalah dalam perkahwinan dan prestasi kerja.
Mengatasi pesakit mental tanggung jawab siapa?
Menurut Institut Kesihatan Mental di Amerika Syarikat dianggarkan 17 juta penduduk atau seramai 10% dari penduduk golongan dewasa mengalami kemurungan setiap tahun. Namun jika mereka diberi bantuan seramai 70% menunjukkan perubahan yang positif dalam masa beberapa minggu sahaja. Malaysia adalah salah sebuah Negara yang memperuntukkan belanjawan untuk tujuan kesihatan yang besar untuk rakyatnya. Namun pesakit mental bukan tanggungjawab kerajaan ataupun majikan sahaja, malah setiap ahli keluarga. Ini kerana kerajaan dan majikan boleh mewujudkan pelbagai bentuk bantuan untuk kesejahteraan pekerja seperti perubatan, bantuan kaunseling, pusat penjagaan anak-anak, potongan cukai untuk ibu bapa dan sepertinya. Tetapi satu perkara penting yang perlu diingat ialah bahawa setiap keluarga itu berbeza. Oleh itu adalah tanggungjawab setiap individu dalam keluarga untuk mencari resipi tersendiri dalam mencari penyelesaian bagi keluarga. Umpamanya kerajaan hanya boleh memastikan kesemua rakyat mendapat bekalan beras yang cukup, tetapi untuk memastikan nasi tidak menjadi hangit, keras ataupun bubur bergantung pada individu itu sendiri.
Oleh Dr. Sabitha Marican
MINGGUAN MALAYSIA
23 JANUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan