21 November 2010

ISU PELANCONGAN : UBAH PERSEPSI MELANCONG DALAM NEGARA TIADA KELAS

Trend ini meningkat sejak wujud penerbangan tambang murah yang mampu dibayar sesiapa saja. Malah, ada syarikat menawarkan tambang percuma, hanya perlu membayar cukai lapangan terbang. Harga ditawarkan bukan saja hampir sama tetapi lebih murah berbanding kos melancong dengan kenderaan sendiri dalam negara. Ini ditambah pakej menarik ditawarkan agensi pelancongan terutama destinasi serantau yang nilai mata wangnya lebih rendah. Namun, kita tidak boleh menyalahkan sektor penerbangan tambang murah kerana ia adalah trend terkini yang semakin berkembang dan memudahkan orang ramai bergerak ke mana saja.

Faktor harga mahal hotel dan resort tempatan juga mendorong melancong ke negara orang. Pakej percutian di luar negara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam serendah RM600 termasuk tiket penerbangan, penginapan dan lawatan. Pakej pelancongan domestik yang ditawarkan ada hingga 30 peratus lebih mahal daripada jumlah itu bergantung kepada taraf bintang hotel yang dipilih.

Adakah perkhidmatan dan kemudahan pelancongan di negara ini tidak menarik?

Jika kita bercakap isu pelancong tempatan lebih suka ke luar negara, kita tidak boleh hanya lihat kepada kelemahan perkhidmatan dan kemudahan di negara ini saja. Dari segi perkhidmatan dan kemudahan pelancongan, sebenarnya Malaysia lebih baik berbanding negara serantau, namun tarikan dari segi kos menyebabkan kita suka ke Bandung, Vietnam dan Thailand. Kita juga perlu faham bukan semua ke luar negara untuk bercuti kerana ada yang mahu membeli-belah berikutan kadar mata wang lebih rendah. Contohnya, ramai ke Bandung mahu membeli barangan tekstil yang didakwa lebih murah dengan kualiti terbaik. Di Malaysia, mungkin harganya mahal sedikit kerana kos membawa barang. Semua ini ada kaitan dengan mentaliti pelancong juga yang berasakan tidak kisah berbelanja lebih sedikit jika ke luar negara berbanding membeli di dalam negara. Mereka juga merasakan melancong ke luar negara lebih class. Pakej pelancongan di negara serantau juga dilihat murah dan hampir sama dengan kos melancong dalam negara. Misalnya, ada mendakwa pakej tiga hari dua malam di Bandung sama pakej ke Pulau Pinang, sedangkan peluang ke Bandung bukan selalu berbanding ke Pulau Pinang yang boleh dilakukan bila-bila masa. Mungkin situasi sama berlaku di negara lain, mungkin pelancong di Indonesia merasakan harga di Malaysia lebih murah.

Mengapa pakej pelancongan dalam negara lebih mahal?

Ini semua ada kaitan dengan kadar mata wang. Selain itu, biasanya percutian di luar negara menggunakan ejen pelancongan yang mendapat bayaran berbeza berbanding secara individu. Percutian di luar negara juga dilakukan secara berkumpulan yang harganya pasti lebih murah kerana ada tawaran menarik daripada perkhidmatan dan kemudahan pelancongan. Di negara ini, tiada polisi seperti di Indonesia dan Thailand. Kerajaan mereka membantu hotel dan resort dengan menetapkan pelancong perlu menggunakan khidmat ejen jika mahu mendapatkan harga murah. Di sana jika melancong secara walk in harga bilik ditawarkan lebih mahal dan perkara sebaliknya berlaku di Malaysia. Malah, di negara ini, tawaran harga melalui talian atau internet juga jauh lebih murah. Di Indonesia dan Thailand juga bilik penginapan untuk pelancong tempatan lebih murah. Faktor lain, biasanya hotel mengenakan bayaran penginapan lebih mahal pada musim cuti berbanding waktu biasa berikutan permintaan tinggi.

Apakah destinasi yang menjadi pilihan pelancong tempatan jika bercuti di luar negara?

Destinasi yang sering dikunjungi adalah Indonesia dan Vietnam. Namun, untuk Bandung sejak meletusnya Gunung Merapi, ramai yang mengelak ke sana. Sejak kebelakangan ini, ramai mengunjungi China kerana pakej dan tambang murah ke beberapa wilayah seperti Beijing dan Huangzhou. Singapura pula kembali dikunjungi kerana tarikan seperti Universal Studio.

Apakah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk memastikan rakyat terus melancong di dalam negara?

Sebenarnya, sudah banyak dilakukan Kementerian Pelancongan untuk menarik pelancong di dalam negara melalui promosi Cuti-cuti Malaysia yang kini dikenali sebagai Zoom Malaysia, begitu juga pakej inap desa (homestay). Namun, proses mendidik rakyat melancong dalam negara perlu dilakukan lebih keras lagi.

Pelancongan pengembara juga perlu dipromosikan terutama kepada golongan muda kerana ia lebih murah dan menarik. Selain itu, insentif tertentu perlu diberikan kepada agensi pelancongan yang berjaya menarik pelancong domestik bercuti dalam negara manakala hotel pula perlu menawarkan harga bilik yang murah kepada pelancong tempatan. Jika boleh harga untuk pelancong tempatan dibezakan dengan harga untuk pelancong asing.

Promosi dan kempen mengenai pakej pelancongan inap desa perlu ditingkatkan kerana pelancong tempatan kurang meminatinya berikutan mentaliti mahukan keselesaan dan kemewahan menginap di hotel dan resort. Saya rasa inilah masa sesuai untuk menukar persepsi generasi Malaysia mengenai percutian dalam negara. Kini, ramai sering melabelkan pelancongan domestik sebagai kelas kedua berbanding ke luar negara sedangkan kita mempunyai tarikan dan kawasan menarik lebih baik serta bertaraf antarabangsa berbanding negara serantau.
 
Sumber : Berita Minggu
21 November 2010

ISU PELANCONGAN : STRATEGI BERTERUSAN MAMPU PIKAT PELANCONG

 
Aktiviti pelancongan secara amnya dapat membuka minda dan menambah pengalaman serta dapat mempertingkatkan keinsanan seseorang individu berkenaan. Pelancongan serantau oleh rakyat Malaysia semakin popular pada masa kini dan dijangka akan lebih pesat pada masa depan. Banyak destinasi sudah pun menjadi kegemaran pelancong Malaysia seperti Hanoi dan Ho Chi Minh di Vietnam, Bandung dan Bali di Indonesia serta Bangkok dan Phuket di Thailand.

Rakyat Malaysia juga dikenali dengan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti utama pelancongan mereka. Tidak hairanlah jika peniaga di sesetengah destinasi pelancongan di rantau ini dapat berbahasa Melayu kerana mereka sering menerima kunjungan pelanggan Malaysia. Destinasi berkenaan amat popular dengan aktiviti membeli-belah kerana ia menawarkan produk unik, murah dan berkualiti serta destinasi berkenaan juga mempunyai mata wang yang rendah berbanding ringgit, sekali gus memberi kelebihan kepada pelancong Malaysia. Namun, apabila pelancong Malaysia membeli-belah di luar negara, ini akan menyebabkan pengaliran wang keluar ke negara asing dan boleh menyebabkan keseimbangan ekonomi menuju ke arah negatif.

Malaysia sudah pun berkembang dengan pesat dari segi sosioekonominya dan ramai rakyatnya mempunyai kehidupan selesa dan mengalami peningkatan dalam pendapatan boleh guna atau ‘disposable income.’ Ia satu daripada faktor penting dalam membuat keputusan untuk membeli produk pelancongan. Pada masa sama, setiap hari, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai iklan yang menjual tiket kapal terbang dan pakej pelancongan ke luar negara dengan harga rendah dan menarik. Harga itu mungkin serendah atau lebih tinggi berbanding harga tiket dan pakej untuk pelancongan dalam negara. Fenomena ini dapat dilihat dengan pembabitan syarikat penerbangan bajet di Malaysia pada 2001. Kejayaan yang dikecapi syarikat penerbangan itu sudah pun menjadi inspirasi beberapa negara jiran di rantau ini untuk menubuhkan syarikat penerbangan bajet mereka sendiri dan ini menggalakkan persaingan dan sekali gus menurunkan harga servis yang ditawarkan.

Persaingan ini juga membabitkan syarikat penerbangan konvensional yang ingin mencapai kepada pasaran pelancongan bajet. Persaingan itu sudah membentuk pasaran yang cenderung kepada manfaat pengguna. Jika dilihat kepada barang yang dibeli pelancong Malaysia, ada di antaranya yang dapat dibeli di Malaysia sendiri, tetapi pada harga lebih tinggi. Oleh itu, bukan saja rakyat Malaysia, malah pelancong secara umum lebih suka membeli barang atau produk di negara asal, yang mana harga adalah lebih jauh murah dan memberi kesenangan kepada minda pelancong itu dalam isu keaslian produk serta kualitinya. Ia juga memberi kepuasan dalam minda pelancong yang berpendapat bahawa mereka sudah berbelanja atau membeli-belah secara bijak. Oleh kerana konsep pelancongan adalah berdasarkan kepuasan pengalaman, oleh itu, membeli-belah di luar negara adalah satu pengalaman membolehkan pelancong mendapat kepuasan yang boleh dikongsi dengan keluarga dan sahabat handai.

Selain itu, sesetengah barang adalah cenderamata yang unik untuk destinasi itu seperti barangan laker (lacquer ware) serta batu permata dan manikam di Vietnam, kraf tangan halus dan hasil seni dari Indonesia dan juga sutera serta barangan perak dari Thailand. Setiap destinasi pelancongan mempunyai pengkhususan dalam pembuatan dan pengeluaran barang tertentu dan ini turut menjadi satu daripada tarikan bagi pelancong Malaysia ke destinasi itu. Semestinya, juga rakyat Malaysia memang berminat membeli-belah dengan kuantiti yang banyak kerana mereka selalunya tidak lupa membeli cenderahati untuk keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja. Perlu diingat, industri pelancongan beroperasi di atas konsep penawaran dan permintaan. Sehubungan itu, tindakan mewujudkan halangan atau sekatan aliran pelancong, adalah tidak praktikal walaupun ia bermaksud wang mengalir keluar daripada lingkungan ekonomi negara.

Ada beberapa strategi yang boleh kerajaan laksanakan bagi ‘menyekat’ pelancong domestik ke luar negara. Justeru, usaha kerajaan menarik pelancong ke Malaysia dari negara lain melalui beberapa kempen termasuk kempen ‘Malaysia Truly Asia’ yang sangat terkenal di luar negara, dapat mengimbangi semula aliran wang keluar dengan aliran wang masuk ke Malaysia. Kempen percutian domestik secara besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik juga dapat meningkatkan rakyat Malaysia untuk memilih destinasi dalam negara dan berbelanja di destinasi itu. Malaysia sendiri mempunyai aset pelancongan bertaraf antarabangsa dan serupa dengan aset pelancongan di rantau ini dengan kos berpatutan. Antara destinasi terkenal seperti Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Sipadan misalnya, sudah dapat menandingi destinasi di rantau ini yang turut dikunjungi pelancong antarabangsa seperti Pulau Phuket dan Bali.

Begitu juga Kuala Lumpur, sebuah kota yang menawarkan aktiviti pelancongan termasuk membeli-belah setanding dengan Jakarta dan Bangkok. Destinasi seperti Kota Kinabalu dan Kuching juga terkenal dengan kraf tangan dan cenderahati yang unik dengan harga berpatutan. Kementerian Pelancongan sudah pun membina imej pelancongan domestik yang kukuh dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia dan sudah diberi sentuhan penjenamaan semula dengan Zoom Malaysia. Malah, Malaysia kini menjadi saingan kepada destinasi serantau untuk rakyatnya sendiri. Pada masa akan datang, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju dengan taraf kehidupan penduduknya akan lebih meningkat. Rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan boleh guna atau belanja lebih tinggi dan ini akan memberikan lebih peluang dan opsyen untuk pergi melancong ke luar negara.

Syarikat penerbangan bajet dan konvensional akan terus berkembang dan akan menambah destinasi baru sepanjang masa dan persaingan akan merendahkan harga untuk tiket penerbangan dan pakej pelancongan. Ini menjadikan industri pelancongan pada masa depan sebagai industri tanpa sempadan. Justeru, pembentukan strategi berterusan adalah penting untuk memastikan industri ini sentiasa memberi manfaat kepada negara Malaysia.  
 
Oleh 
Dr Awangku Hassanal Bahar 
Pangeran Bagu
Pensyarah Kanan, 
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, 
Universiti Malaysia Sabah 

Perunding Utama, 
Tinjauan Pasaran Domestik, 
Lembaga Pelancongan Sabah.

Berita Minggu
21 November 2010

KUMPULAN PERIBAHASA MELAYU


Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

STPM 2005 SIRI 3


AYAT TUNGGAL

01. Beberapa orang pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan pidato.
02. Pertandingan bola sepak antara kelas terpaksa ditangguhkan selama dua jam.

AYAT MAJMUK PANCANGAN PERTENTANGAN

01. Ahmad tidak berputus asa walaupun kerap kali gagal
02. Sayalah yang diherdiknya, padahal yang melakukan kesilapan itu ialah orang lain.

PROSES PEMANCANGAN AYAT (RELATIVISASI)

Ayat 1 : Saya membaca buku itu.
Ayat 2 : Buku itu dibeli oleh Ahmad.
Relativisasi : Saya membaca buku yang dibeli oleh Ahmad.

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN CARA

01. Rombongan ke pantai timur itu bertolak dengan kereta api malam.

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN TUJUAN

01. Demi negara tercinta, para perajurit sanggup berkorban.
02. Kami belajar bersungguh-sungguh untuk ke menara gading.

KLAUSA UTAMA

Ayat : Janganlah bising keraan nenek sedang tidur.

Klausa utama : Janganlah bising.

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN HARAPAN

01. Cuba minta kebenaran daripada pengetua, kalau-kalau beliau mengizinkannya.
02. Kita seharusnya sentiasa berwaspada agar negara tidak mudah diancam oleh musuh.

PENGGUGURAN SELURUH FRASA PREDIKAT YANG SERUPA

Ayat 1 : Ali melanjutkan pelajaran di universiti.
Ayat 2 : Suhana melanjutkan pelajaran di universiti.

Pengguguran : Ali dan Suhana melanjutkan pelajaran di universiti.

AYAT YANG MENGALAMI PROSES PENDEPANAN 
KATA BANTU DENGAN KATA KERJA

01. Masih bermain hujan kanak-kanak itu walaupun ditegah oleh ibunya.
02. Akan terjawablah segala persoalan yang bermain dalam fikirannya selama ini.

Kata bantu : masih dan akan
Kata kerja : bermain dan terjawablah

SUBJEK AYAT

Ayat : Di Taman Industri Bolton dalam daerah Gombak pejabat barunya.

Subjek : Pejabat barunya
Predikat : di Taman Industri Bolton dalam daerah Gombak.

POLISEMI DAN HOMONIM

01. Hujan lebat telah merosakkan bahu jalan di taman itu.
02. Bahu Pak Rashid sakit kerana terlanggar penjuru pagar rumahnya.

HIPONIM

Kata : Burung 

01. Burung merpati
02. Burung murai
03. Burung terkukur
04. Burung serindit
05. Burung layang-layang

KIASAN SANDAR

01. Puteri lilin
02. Tidur ayam
03. Pening lalat

PERIBAHASA

01. Mencurahkan garam ke laut = melakukan pekerjaan yang sia-sia
02. Memikul biawak hidup = menanggung beban yang menyusahkan
03. Menunggu kucing bertanduk = sesuatu yang tidak akan menjadi kenyataan
04. Menunggu bulan jatuh ke riba = mendapat keuntungan besar yang tidak dijangka

ISU KESIHATAN : PENDUDUK HAITI MINUM AIR NAJIS, PUNCA TAUN MEREBAK


DI laluan pejalan kaki berhampiran sebuah hospital di Port-au-Prince, ibu negara Haiti, seorang wanita terbaring dalam keadaan yang sungguh melarat. Tanpa dibaluti sebarang pakaian, tubuh kurusnya mengerekot sementara tangan kanannya digunakan untuk melindungi dada yang terbuka. Sirna matanya mengharap agar ada manusia yang sudi membawanya ke hospital untuk dirawat namun tiada siapa yang peduli dengan keadaan wanita berkenaan. Orang yang lalu-lalang hanya memandang dan terus pergi tanpa rasa belas. Alasannya, mereka tidak mahu dijangkiti oleh wabak pembunuh yang sedang merebak di negara itu. Senario ini bukan kebiasaan di Port-au-Prince walaupun Haiti digelar negara paling miskin di Amerika Latin.

Namun, sejak dua minggu lalu, wabak taun yang mula merebak menjadi mimpi ngeri kepada seluruh rakyat negara itu. Apa tidaknya, dalam tempoh sebulan, sudah lebih 1,000 nyawa menjadi korban. Deretan bencana yang menimpa Haiti seolah-olah memberi petanda bahawa gelombang maut bakal tiba ke pulau tersebut. Bermula dengan Taufan Tomas yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh serta lebih 6,000 keluarga hilang tempat tinggal awal bulan ini. Haiti juga hampir musnah dalam bencana gempa bumi yang meragut 250,000 nyawa dan mengakibatkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal Januari lalu. Musibah banjir baru-baru ternyata merumitkan lagi keadaan di Haiti. Kawasan pedalaman dikatakan terjejas teruk apabila sawah padi dan kawasan penempatan ditenggelami air sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih. Seorang menteri tempatan, Ruben Petit berkata, penduduk di kawasan luar bandar sangat bergantung kepada sungai sebagai sumber air untuk minuman dan pertanian di samping aktiviti harian seperti memasak, membasuh dan mandi. 

Mayat mangsa taun diheret.


Sungai Artibonite memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat di St. Denis. Walaupun sudah dimaklumkan terdapat bakteria daripada najis manusia yang menyebabkan air sungai ini tercemar, mereka masih meminum airnya. Mereka sangat memerlukan bekalan air bersih dan tandas di sini supaya penularan wabak ini dapat dikurangkan sekali gus menyelamatkan lebih ramai nyawa. Menurut laporan akhbar Haiti Libre, jurucakap Kementerian Kesihatan Awam dan Populasi negara itu, Singer Ronald memberitahu, sehingga kini, jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak taun adalah seramai 1,200 orang, manakala 19,000 lagi masih dirawat. Dianggap sebagai ancaman kesihatan paling teruk dalam tempoh lebih 100 tahun, wabak tersebut ternyata mencetuskan kebimbangan di seluruh Haiti memandangkan rakyat negara itu tidak pernah diberikan pelalian taun sebelum ini.

Sementara itu, Koordinator Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Haiti, Nigel Fisher berkata, angka korban terus meningkat terutama di bahagian utara negara itu. Kadar kematian yang dicatatkan ialah 7.5 peratus, iaitu paling tinggi di seluruh negara. Dijangkakan di antara 2.5 hingga 3 juta rakyat tinggal di Port-au-Prince dan sebahagian besar daripadanya tinggal di khemah perlindungan. Apa yang membimbangkan, kesesakan lebih 1.3 juta rakyat yang berlindung di khemah tersebut boleh menyebabkan wabak merebak dengan cepat lebih-lebih lagi jika kebersihan diabaikan. Keadaan ini tidak mustahil walaupun sistem sanitasi di situ lebih baik jika dibandingkan dengan kawasan lain seperti Cité Soleil. Cité Soleil yang merupakan sebuah bandar yang dianggap kotor dan sesak telah merekodkan kematian sebanyak 38 penghidap taun.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) yang berpangkalan di Atlanta, Amerika Syarikat, kes taun yang pertama dilaporkan terjadi berdekatan dengan Sungai Artibonite yang terletak di utara Port-au-Prince manakala kes-kes selepasnya dikaitkan dengan pengambilan makanan dan minuman tercemar. Walaupun sedar akan risiko dan bahaya yang menanti, masyarakat Haiti tidak mempunyai banyak pilihan yang boleh menjamin keselamatan nyawa mereka. Demi kelangsungan hidup, air sungai tercemar terpaksa juga diminum lantaran tidak mampu untuk membeli air bersih yang dijual dalam botol. 

PETIKAN KATA-KATA SAYU DARIPADA PENDUDUK HAITI
"Saya tahu air itu tercemar dengan kuman yang menyebabkan taun, tetapi kami semua tidak ada pilihan dan hanya itu yang kami ada. 

"Jika kami ada Clorox (agen peluntur), kami akan campurkannya sedikit dan meminumnya walaupun rasanya sangat teruk."

"Ataupun, andainya kami mampu menggali tanah, kami akan gali sehingga jumpa air dan meminumnya," 

20 November 2010

ISU SOSIAL : KEGIATAN PENYELUDUPAN SEMAKIN MEMBIMBANGKAN


Hampir setiap hari kita boleh membaca berita tentang penyeludupan. Kalau tidak mengenai penyeludupan dadah, ia mungkin penyeludupan rokok atau mercun, minuman keras, minyak masak, gula, tepung, petrol, diesel, balak, senjata api, hidupan liar eksotik dan termasuk penyeludupan manusia. Kalau dibaca hasil rampasan atau tangkapan daripada aktiviti penyeludupan itu, nilainya melibatkan angka puluhan ribu hingga bilion ringgit. Sebenarnya mungkin banyak juga kegiatan penyeludup yang terlepas. Bermakna besar juga angka kerugian yang ditanggung negara kerana tidak mendapat pendapatan daripada kutipan cukai. Tiada cara untuk mengatasi masalah penyeludupan daripada berterusan kecuali tindakan undang-undang yang tegas. 

Sebab itu, tindakan Polis Diraja Malaysia menahan sembilan individu termasuk tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) patut memberi peringatan kepada penjawat sektor awam yang lain. Mereka itu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan warga asing yang kita sendiri percaya ia boleh menggugat keselamatan negara. Penyeludupan -- baik memasuki negara atau ke luar negara -- semakin membimbangkan. Bukan tiada tindakan untuk menanganinya dilakukan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk membendung kegiatan penyeludupan, tetapi bilangannya tidak banyak berubah. Pihak yang menyeludup bukan bodoh. Mereka pun kreatif dan banyak taktik tipu muslihat untuk memastikan kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa. Mungkin kita sendiri tahu bagaimana untuk menangani masalah penyeludupan ini. Kesukaran negara kita menangani masalah penyeludupan adalah kerana gejala rasuah yang menjadi budaya sesetengah ahli masyarakat kita.

Jadi, bagaimana kuat sekalipun undang-undang dan peraturan yang kita tetapkan; bagaimana kuat pegawai-pegawai penguat kuasa melakukan operasi tetapi apabila gejala rasuah masih menjadi sebahagian amalan kita, maka agak sukar untuk kita mengatasi masalah penyeludupan. Amalan rasuah yang dianggap biasa dalam kehidupan seharian oleh sesetengah pihak pada masa ini menyebabkan usaha mengatasi masalah penyeludupan terus menghadapi jalan buntu. Masalah ini ditambah pula dengan kecanggihan teknologi kini hingga menyebabkan masalah penyeludupan terus berlaku. Apatah lagi manusia sekarang nampaknya lebih ‘cerdik’ untuk melepasi pemeriksaan kastam, imigresen dan sebagainya tanpa diketahui mereka membawa bagasi yang berisi barangan seludup. Malah perkhidmatan penghantaran kini juga menyebabkan mereka boleh memastikan penghantaran barangan mereka sampai ke destinasinya.

Kita memahami pihak berkuasa di Malaysia memandang serius terhadap kegiatan penyeludupan kerana aktiviti pembolosan yang dilakukan telah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di pintu-pintu masuk negara. Oleh itu, sebagai rakyat yang sayangkan negara ini, kita pinta pasukan keselamatan dan penguat kuasa jabatan kerajaan supaya meningkatkan integriti supaya masalah penyeludupan dapat dikurangkan dengan ketara. Kalau boleh unit risikan dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) atau Pasukan Gerakan Marin (PGM), Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Unit Pencegah Penyeludupan dan Angkatan Tentera Malaysia mesti turut menggembleng tenaga menjayakan misi memburu penyeludup. Tunjukkan kepada para penyeludup dan sindiket mereka sama ada di dalam atau di luar negara, Malaysia bukan tempat mereka untuk ‘bermain.’

Oleh : Azman Anuar
Utusan Malaysia
20 November 2010

19 November 2010

STPM 2005 SIRI 2

VOKAL DEPAN LUAS [ a ]

01. Depan lidah diturunkan serendah-rendahnya.
02. Lelangit lembut diangkat menutupi rongga hidung
03. Udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut tanpa sekatan.
04. Hadir pada awal, tengah, dan akhir kata

KATA YANG MENGANDUNGI DIFTONG

01. Audit
02. Baiduri

MORFEM

01. Unit terkecil dalam bahasa
02. Berfungsi gramatis
03. Menjalankan tugas nahu

KATA BILANGAN

01. Kata bilangan himpunan = ketiga-tiga
02. Kata bilangan pecahan = setengah
03. Kata bilangan pisahan = setiap
04. Kata bilangan tak tentu = para

FUNGSI AKHIRAN "-an"

Perkataan : Lukisan
Fungsi : Menunjukkan hasil daripada maksud dalam kata dasar
Kata dasar : Lukis
Hasil : Lukisan

AYAT YANG  MENGANDUNGI KATA KERJA PASIF

01. Haji Kassim saya temui pagi tadi.

KATA TUNGGAL

01. Berdikari
02. Gelisah

KATA BERIMBUHAN "ber-" YANG MEMBAWA MAKSUD SAMA

01. api = berapi
02. tunas = bertunas
03. buih - berbuih

AKRONIM CANTUMAN SUKU KATA AWAL PERKATAAN

01. Tadika = Taman Didikan Kanak-Kanak
02. Komsas = Komponen Sastera

KATA KERJA YANG MEMBAWA MAKSUD LOKATIF

01. Mereka menuruni bukit curam itu.

AYAT YANG TIDAK BOLEH DIPASIFKAN

01. Air sungai itu mengalir deras ke kuala selepas hujan lebat.

AYAT

01. Mempunyai makna yang lengkap
02. Dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan
03. Unit pengucapan paling tinggi dalam hierarki tatabahasa.

SEKADAR MENULIS DARI HATI : SUBJEK SEJARAH SUBJEK LAYAK SIJIL SPM


Sejak tahun 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan bahawa subjek Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna, jika calon gagal dalam subjek Sejarah, mereka tidak layak dianugerahkan sijil SPM walaupun lulus cemerlang dalam mata pelajaran lain. Ketetapan ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh semangat patriotisme, jati diri kebangsaan, serta kefahaman tentang asas pembinaan negara bangsa dalam kalangan generasi muda.

Mengapa Sejarah Dijadikan Subjek Wajib Lulus?

Rasional utama dasar ini ialah untuk memastikan pelajar menghargai perjuangan tokoh terdahulu, memahami proses pembentukan negara, dan menjiwai nilai kenegaraan. Menurut KPM (2012), pelajar yang tidak menguasai Sejarah akan sukar menilai kepentingan kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan, kontrak sosial, serta prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang perpaduan.

Sejarah bukan sekadar menghafal tarikh atau peristiwa. Ia mendidik pelajar tentang pengorbanan pejuang tanah air, kejatuhan tamadun akibat kelemahan kepimpinan, dan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara. Tanpa kefahaman ini, generasi muda mungkin mudah terpengaruh dengan ideologi luar yang bercanggah dengan nilai kebangsaan.

Implikasi Terhadap Calon SPM

Bagi calon SPM, ketetapan ini membawa maksud bahawa Sejarah sama penting dengan Bahasa Melayu sebagai syarat kelayakan sijil. Misalnya, seorang calon yang mendapat semua A tetapi gagal dalam Sejarah tidak akan menerima sijil penuh SPM. Sebaliknya, mereka hanya menerima slip keputusan peperiksaan tanpa sijil rasmi.

Situasi ini pernah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa. Namun, menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (2013), langkah ini bukan bertujuan menghukum tetapi mendidik. Dengan adanya syarat kelulusan minimum, pelajar akan memberi perhatian serius terhadap subjek Sejarah, bukan menganggapnya mata pelajaran sampingan.

Usaha Meningkatkan Pencapaian

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi membantu pelajar menguasai subjek ini. Antaranya, pendekatan pengajaran berasaskan teknologi digital, penggunaan bahan multimedia interaktif, serta penerapan kaedah bercerita untuk menjadikan Sejarah lebih menarik. Guru juga digalakkan mengaitkan topik Sejarah dengan isu semasa supaya pelajar dapat melihat kaitannya dalam kehidupan harian.

Selain itu, program motivasi dan seminar teknik menjawab turut dijalankan setiap tahun bagi calon peperiksaan. KPM (2019) melaporkan peningkatan kadar lulus Sejarah dalam kalangan calon SPM sejak dasar ini diperkenalkan, menunjukkan bahawa usaha berterusan telah membuahkan hasil positif.

Kepentingan Jangka Panjang

Kejayaan dalam subjek Sejarah bukan hanya menentukan kelayakan sijil SPM, tetapi juga membentuk warganegara yang lebih peka terhadap kepentingan menjaga perpaduan, kedaulatan, dan keamanan negara. Individu yang menghargai sejarah bangsa akan lebih bertanggungjawab dalam membina masa depan negara.

Sejarah juga membuka ruang kepada pelajar untuk menceburi bidang kerjaya dalam pendidikan, penyelidikan, undang-undang, diplomasi, dan pentadbiran awam. Oleh itu, subjek ini tidak harus dipandang remeh.

Kesimpulan

Kesimpulannya, penetapan subjek Sejarah sebagai syarat wajib lulus SPM adalah langkah strategik untuk membina jati diri generasi muda. Ia memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berjiwa patriotik dan menghargai warisan bangsa. Dengan usaha gigih pelajar, sokongan guru, dan dorongan ibu bapa, cabaran untuk lulus Sejarah dapat diatasi. Ingatlah, bangsa yang lupa sejarah pasti akan mengulangi kesilapan lalu.

ISU KESIHATAN : KESIHATAN MENTAL KESEJAHTERAAN FIZIKAL


Pepatah Arab ada mengatakan al aql salim fil jismi salim, atau aqal yang sihat terletak pada badan yang sihat. Ia menerangkan betapa pentingnya kesihatan fizikal dalam mewujudkan kewarasan akal dan kesihatan pemikiran. Manakala ungkapan Inggeris pula mengatakan there is no health without mental health. Ungkapan ini pula melihat bahawa kesihatan yang menyeluruh itu tidak akan menjadi lengkap jika kesihatan mental terabai. Semua ini menyimpulkan kepada kita bahawa kesihatan fizikal dan mental adalah berhubung kait dan tidak boleh dipisahkan. Sememangnya tidak wujud sama sekali erti kehidupan yang benar-benar sihat jika kesejahteraan mental itu diabaikan. 

Kesejahteraan mental, kestabilan emosi, kemantapan sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal, serta perhubungan sosial yang positif amatlah penting untuk menjalani kehidupan yang benar-benar sihat. Fenomena ini secara logiknya adalah sejajar dengan definisi kesihatan seperti mana yang dinyatakan oleh World Health Organization atau WHO, iaitu health is a state of complete physical, mental and social well being and not merely the absence of disease or infirmity.

Definisi ini sebenarnya memberitahu kepada kita bahawa untuk menjadi seorang individu yang sihat, kita perlulah sihat dan sejahtera dari segi mental dan fizikal. Kesihatan mental memerlukan kita untuk memiliki pandangan dan sikap yang positif dan proaktif terhadap diri sendiri dan orang lain serta dalam perhubungan kita dengan mereka, di samping memiliki sikap yang positif terhadap persekitaran kita.Keupayaan untuk bekerjasama dengan orang lain secara sihat dan mampu mengharungi sebarang cabaran kehidupan secara berkhemah amat perlu demi kestabilan mental. 

Jika definisi oleh WHO ini menggambarkan pengertian terhadap kesihatan yang juga meliputi kesihatan mental, maka penyakit mental pula digambarkan sebagai sebaliknya. Iaitu sebarang sindrom mental, emosi atau tingkahlaku, yang amat mengganggu dan mendatangkan ketidakupayaan kepada individu itu untuk berfungsi secara sepatutnya dan memerlukan rawatan. Untuk mencapai atau memiliki tahap kesihatan mental yang sempurna bukanlah sesuatu yang sukar, namun kesan kegagalan dalam mencapai atau melaksanakan sesuatu yang mudah adalah lebih sukar kerana ia akan mengakibatkan lebih banyak keburukan dari kebaikan. Setiap individu mempunyai cara tersendiri bagi menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi. Namun tidak semua di antara mereka yang tahu cara yang terbaik dan proaktif dalam menanganinya. 

Walaupun hanya segelintir yang menghadapi kepayahan seperti ini, namun langkah-langkah kesedaran perlu dilakukan untuk mereka agar kaedah yang diambil tidak menjurus kepada kemusnahan dan tingkah laku berisiko tinggi serta berbahaya. Kita tidak mahu ada anggota masyarakat yang menggunakan pendekatan sendiri seperti mengambil dadah, meminum arak, merokok, menganjurkan seks bebas, atau membunuh diri bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kesan penyakit mental sebenarnya lebih banyak mendatangkan keburukan dan bebanan kepada kita semua dalam pelbagai aspek kehidupan, khusus terhadap pesakit, keluarga mereka, majikan, kehilangan produktiviti dan pendapatan, seterusnya menjejaskan ekonomi negara dan sistem penjagaan kesihatan. Memang sudah dimaklumi bahawa penyakit mental, tekanan emosi dan gangguan tingkah laku turut mendatangkan pelbagai kesengsaraan dan ketidakupayaan lain. Ia bukan sahaja menjejaskan produktiviti, tetapi juga kesannya yang negatif terhadap keperibadian dan perhubungan sosial, malah boleh membawa kepada pelbagai penyakit mental dan fizikal lain serta ada yang berakhir dengan kematian. 

Wujud banyak kajian yang mendapati pertalian rapat di antara penyakit mental seperti kemurungan dengan penyakit berkaitan jantung seperti penyakit jantung kardiovaskular, koronari, strok dan sebagainya. Pesakit kemurungan dan skizofrenia juga berisiko untuk menghidapi penyakit diabetes dan obesiti. Manakala penghidap penyakit kebimbangan (anxiety) turut terdedah menghidapi penyakit jantung koronari, strok dan kematian otot-otot jantung (myocardial infarction). Penyakit berkaitan gangguan sistem pernafasan seperti asma dan COPD (chronic obstructive pulmonary disease) juga dialami oleh pesakit kemurungan, pesakit panik dan pesakit kebimbangan umum (generalized anxiety). Di kalangan pesakit gangguan kebimbangan (anxiety disorders), mereka turut didapati lebih berisiko untuk menghidapi penyakit kronik lain yang berkaitan dengan sistem penghadaman. 

Kajian telah mendapati pesakit gangguan panik dan kebimbangan umum lebih tinggi menghidapi masalah yang dikenali sebagai irritable bowel syndrome atau IBS, satu masalah kronik berkaitan sistem penghadaman dan pembuangan najis. Hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan trend peningkatan kes gangguan mental dan tingkah laku sebanyak 6 peratus di kalangan masyarakat berbanding kajian yang sama pada 1996. Masalah kesihatan mental golongan dewasa meningkat kepada 11.2 peratus berbanding 10.7 peratus. Manakala golongan kanak-kanak dan remaja, ia meningkat dari 13 peratus kepada 20. 3 peratus. Kajian ini turut menyaksikan seramai 3 juta daripada 26 juta rakyat mengalami masalah kesihatan mental. 

Manakala antara 20 hingga 30 orang dari setiap 100,000 rakyat akan membunuh diri setiap tahun. Peningkatan turut dilihat dalam trend mendapatkan rawatan masalah mental di hospital-hospital kerajaan. Pada tahun 2008, seramai 400, 227 pesakit mendapatkan rawatan psikiatri di hospital-hospital kerajaan berbanding 346, 196 pesakit pada tahun 2007. Menjelang tahun 2030, WHO menganggarkan penyakit kemurungan (depression) merupakan punca utama bebanan yang mengakibatkan ketidakupayaan, selepas bebanan akibat penyakit AIDS dan jangkitan HIV. Menurut Persekutuan Psikologi dan Kesihatan Mental ASEAN pula, negara ini akan mengalami penjejasan ekonomi dan produktiviti sehingga RM1 bilion akibat penyakit mental yang tidak terkawal. Selepas memahami hubung kait antara penyakit mental dengan penyakit kronik fizikal, sudah pasti sebarang peningkatan kes gangguan mental akan juga mendatangkan peningkatan beban yang teruk kepada kesejahteraan fizikal. Bagi menghindari perkara ini, sebarang bentuk gangguan mental atau perkara yang menjurus kepadanya wajar dicegah dari awal lagi. 


Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Utusan Malaysia
19 November 2010

ISU SOSIAL : KOLABORATIF ANTARA MALAYSIA DENGAN AMERIKA SYARIKAT UNTUK MENANGANI JENAYAH PEMERDAGANGAN MANUSIA


Malaysia akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dari segi perkongsian kepakaran dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia peringkat global. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, berikutan itu beliau akan membuat satu lawatan kerja ke negara itu tahun 2011 bagi memastikan wujud situasi 'menang-menang' hasil kerjasama tersebut. Menurutnya, AS diakui mempunyai badan yang berupaya mengekang jenayah berkenaan antaranya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) namun terdapat pertindihan peranan dan tugas yang perlu ditangani. 

Dan pengalaman kita di Malaysia jika berdepan dengan penjenayah-penjenayah ideologi dan merentasi sempadan ini yang pemikiran dan sandaran mereka hanya kepada wang ringgit, ia memerlukan tindakan yang boleh menyentuh perasaan dan pemikiran mereka terlibat bukan sahaja dalam konteks tahanan, itu juga kita akan bincangkan dengan mereka (AS).  Saya fikir kemuncaknya kita sedang bincangkannya sekarang apabila lawatan saya ke AS tahun depan yang sedang diaturkan, saya takkan turun sehingga kita telah putuskan perkara-perkara asas bersama-sama dengan AS kerana yang kita nak pastikan ada situasi menang-menang yang mana Malaysia mendapat manfaat hasil kerjasama ini," kata beliau. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Duta Amerika Syarikat berkaitan Pemerdagangan Manusia, Luis CdeBaca di pejabat beliau di sini hari ini.

Dalam pada itu, CdeBaca berkata, pihaknya melihat KDN memainkan peranan aktif dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia. ''AS begitu komited mahu bekerjasama dengan negara-negara seluruh dunia untuk mengekang jenayah ini dan ia terserlah menerusi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Prresiden Barrack Obama dan Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton," katanya. Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 di negara ini telah dikuatkuasakan bermula 15 November lalu. Pindaan ini menjadikan akta sedia ada lebih komprehensif dan menyeluruh dalam menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan imigran.

ISU KENEGARAAN : ILMU SEJARAH MEMBINA NEGARA


Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan subjek Sejarah wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjelang 2013. Muhyiddin kemudian menekankan betapa pentingnya metodologi subjek ini melalui satu transformasi besar supaya pengajaran dan pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus berjaya mendorong pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam kehidupan manusia ini. Langkah memperkenalkan lulus wajib subjek Sejarah ini bertujuan, pertamanya, memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia. Kedua, menonjolkan kepentingan dan kerelevanan ilmu sejarah dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia. Akhir sekali memperkasakan legasi sejarah Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat selari dengan perjuangan 1Malaysia.

Tindakan ini harus dipandang serius kerana, berbeza dengan masyarakat Barat contohnya, masyarakat Malaysia yang rata-rata buta sejarah sering meremehkan kepentingan ilmu sejarah dan jarang memberi penghormatan kepada para sejarawan yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara melalui usaha penyelidikan dan penulisan sejarah negara dan bangsa. Usaha ini memerlukan pengorbanan masa serta kebijakan membuat intepretasi tanpa sebarang sifat prejudis, propaganda, dan stereotaip. Sejarah yang bernas ditulis berlandaskan fakta dan bukti serta intepretasi yang matang yang mengambil kira bukan sahaja konteks tempatan tetapi juga dunia.

Selain konteks satu lagi kriteria penting ilmu sejarah adalah periodisasi. Sejarah harus bermula dari awal ketamadunan manusia dan sekiranya boleh berakhir sehingga masa kini. Langkah wajib lulus sejarah ini amat bertepatan pada waktunya terutama apabila perpaduan masyarakat Malaysia tercabar hasil perpecahan politik dan tuntutan atau tindakan melampau sesetengah pihak yang mula mempersoalkan keluhuran perlembagaan Malaysia. Malah ada yang mula membuat interpretasi tersendiri tanpa merujuk sejarah perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan Malaysia merupakan satu-satunya 'kerangka asas' (fundamental framework) dan prinsip yang diperjuangkan oleh perlembagaan ini patut dijadikan panduan dan inspirasi. Maka bagi generasi muda memahami dan menghargai sejarah negara, mereka patut menghayati dan meluhurkan perlembagaan.

Jadi, pengajaran dan pembelajaran sejarah Malaysia sepatutnya mengandungi penghayatan perlembagaan sebagai satu asas dan landasan. Pengajaran dan pembelajaran sejarah merupakan satu aspek pembinaan kenegaraan yang kritikal dan penting. Subjek Sejarah adalah satu-satunya saluran untuk menyampaikan warisan negara dan legasi kebudayaan kepada generasi masa kini. Justeru, dari perspektif ini, ilmu sejarah yang disampaikan harus mengandungi 'naratif kepelbagaian' (plural narratives) yang mencerminkan corak latar belakang etnik, bahasa, dan budaya. Langkah ini akan membawa kepada pemuliharaan keunikan politik, ekonomi dan sosio-budaya Malaysia terutama apabila ada pihak tertentu yang cuba menulis kembali dan memadam aspek-aspek penting dalam sejarah Malaysia bagi kepentingan peribadi atau politik masing-masing. Memang bukan mudah untuk memastikan keseimbangan yang wajar dan memberikan ruang 'secukupnya' kepada semua pihak bagi mencerminkan kepelbagaian ini.

Walau bagaimanapun, sejarah sesebuah negara sudah tentu akan lebih mencerminkan masyarakat perdana walaupun penekanan kepada masyarakat minoriti harus juga diberi perhatian. Lihat sahaja sejarah Amerika Syarikat umpamanya, sejarahnya lebih menjurus kepada masyarakat kulit putih yang datang dari negara Eropah terutamanya yang kemudiannya membentuk majoriti penduduk negara tersebut. Tetapi perbincangan yang menjurus kepada sejarah golongan pribumi dan minoriti seperti masyarakat Amerika berketurunan Afrika, masyarakat hispanic atau Asia ada dibincangkan tetapi tidak sehingga mengatasi sejarah masyarakat perdana. Tujuan ataupun objektif pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan hanya untuk mendalamkan pengetahuan generasi muda mengenai latar belakang dan profail negara malah untuk memupuk semangat patriotisme dan menyemarakan lagi sikap bertolak-ansur, toleransi, saling hormat-menghormati diantara kaum dan agama serta bahasa dan budaya.

Dengan kata lain, ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan rakyat dan menanam suatu identiti nasional atau kebangsaan yang meliputi aspek kewarganegaraan dan sekali gus keturunan di mana kedua-dua aspek ini tidak sama sekali bercanggah. Pembinaan dan pembangunan negara bergantung kepada usaha bersepadu rakyat pelbagai yang mempunyai warisan sejarah dan masa depan bersama (shared past and shared future). Maka, pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan semata-mata mengetahui atau menghafal sedikit sebanyak detik-detik dan peristiwa lampau. Imbasan (reflections) sebegini tidak memanfaatkan pelajar dan masyarakat amnya. Yang paling penting adalah usaha untuk meningkatkan kefahaman pelajar sekaligus memupuk nilai-nilai bersama (common values) dan identiti bersama (shared identity) yang menjadi panduan, iktibar dan pegangan bagi memacu halatuju negara.

Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan awal di peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting. Usaha sebegini dapat melahirkan warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan bangsanya dan yang paling penting melahirkan semangat patriotik di peringkat awal lagi kerana diperingkat ini mereka mudah menerima ilmu, membentuk nilai diri dan perspektif. Pada masa yang sama menghayati dan memahami kerelevenan sejarah dalam kehidupan harian dan kehidupan masa depan. Sekiranya penambahan subjek Sejarah dalam kurikulum sekolah rendah dianggap membebankan, maka kita boleh melihat contoh dan amalan negara Barat dalam menghayati ilmu sejarah. Ilmu sejarah digabung dengan pelbagai bidang ilmu lain seperti sivik, kewarganegaraan, geografi, ekonomi dan lain-lain dalam satu bidang yang dikenali sebagai pengajian sosial atau mungkin lebih sesuai dinamakan pengajian kemanusiaan. Ini selari dengan tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang menganjurkan transformasi dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah.
Gabungan pelbagai disiplin ilmu ini atau pendekatan multidisciplinary ini merupakan satu metodologi pendidikan yang semakin dititikberatkan oleh institusi pendidikan kebelakangan ini.

Pendekatan multidisciplinary dengan ilmu sejarah sebagai komponen utama ini dapat membina kematangan pelajar dalam menganalisis peristiwa masa lalu, masa kini dan membuat keputusan di masa akan datang. Ilmu Sejarah mampu membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, dan yang paling penting berkomunikasi di kalangan pelajar sekali gus melahirkan pelajar yang holistik. Ilmu Sejarah membicarakan interaksi antara manusia terutamanya, maka, subjek pengajian kemanusiaan ini mengkaji masyarakat terutamanya dapat menimbulkan minat pelajar untuk memahami dan menghayati kepentingan interaksi antara manusia ini.

Maka subjek Sejarah menjadi lebih menarik apabila dapat diperluaskan kepada sejarah dunia bagi menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia dan seterusnya memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian serta kekayaan budaya yang wujud di dunia. Fenomena globalisasi yang menjadikan dunia ini semakin sempit menyebabkan sejarah dunia menjadi satu elemen penting dalam membina insan yang menyeluruh. Ciri-ciri sivik seperti toleransi, empati, sifat inclusive, menghormati komuniti, mengutamakan kepentingan awam dan sebagainya amat penting dalam melahirkan warga negara dan warga dunia yang perihatin lagi bertanggunjawab. Ini selari dengan trend pendidikan di dunia baik di peringkat rendah mahupun peringkat pengajian tinggi yang mula mengutamakan liberal studies kerana mampu melahirkan individu atau pelajar yang versatile, yang luar biasa kemahiran berfikir dan kepakarannya dalam berhujah serta kreativitinya dalam menghasilkan penulisan dan penerbitan.

Di institusi pendidikan ternama kombinasi liberal studies dengan disiplin sejarah mula mendapat sambutan dan graduan yang menerima pendidikan yang holistik ini rata-rata lebih mudah mendapat pekerjaan dan disukai majikan. Nilai kemanusiaan yang dipupuk melalui ilmu sejarah ini tidak dapat dinilai harganya. Maka sekiranya disiplin lain disanjung kerana nilai ekonominya oleh masyarakat Malaysia yang semakin materialistik, maka subjek Sejarah harus dimartabatkan kerana ciri-ciri kemanusiaan yang ditanam dan dipupuk di dalam jiwa pelajar. Aspek kemanusiaan ini memerlukan masa yang panjang untuk dipupuk, dibina dan diperteguhkan.

Maka adalah sesuai sekiranya pengajian kemanusiaan ini di perkenalkan di peringkat rendah. Apabila kefahaman ini sudah wujud di kalangan pelajar maka, mudah bagi mereka membentuk jati diri berpandukan nilai-nilai bersama dan universal. Nilai ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam "1Malaysia" yang sedang menuju ke arah negara maju tahun 2020 dan juga warga dunia yang kompetitif di mana jua berada berlandaskan keunggulan jati diri yang dibina melalui ilmu sejarah.

Prof. Madya Dr. Shakila Yacob
Jabatan Sejarah Fakulti Sastera
dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Utusan Malaysis
19 November 2010