Malaysia akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dari segi perkongsian kepakaran dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia peringkat global. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, berikutan itu beliau akan membuat satu lawatan kerja ke negara itu tahun 2011 bagi memastikan wujud situasi 'menang-menang' hasil kerjasama tersebut. Menurutnya, AS diakui mempunyai badan yang berupaya mengekang jenayah berkenaan antaranya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) namun terdapat pertindihan peranan dan tugas yang perlu ditangani.
Dan pengalaman kita di Malaysia jika berdepan dengan penjenayah-penjenayah ideologi dan merentasi sempadan ini yang pemikiran dan sandaran mereka hanya kepada wang ringgit, ia memerlukan tindakan yang boleh menyentuh perasaan dan pemikiran mereka terlibat bukan sahaja dalam konteks tahanan, itu juga kita akan bincangkan dengan mereka (AS). Saya fikir kemuncaknya kita sedang bincangkannya sekarang apabila lawatan saya ke AS tahun depan yang sedang diaturkan, saya takkan turun sehingga kita telah putuskan perkara-perkara asas bersama-sama dengan AS kerana yang kita nak pastikan ada situasi menang-menang yang mana Malaysia mendapat manfaat hasil kerjasama ini," kata beliau. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Duta Amerika Syarikat berkaitan Pemerdagangan Manusia, Luis CdeBaca di pejabat beliau di sini hari ini.
Dalam pada itu, CdeBaca berkata, pihaknya melihat KDN memainkan peranan aktif dalam memerangi jenayah pemerdagangan manusia. ''AS begitu komited mahu bekerjasama dengan negara-negara seluruh dunia untuk mengekang jenayah ini dan ia terserlah menerusi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Prresiden Barrack Obama dan Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton," katanya. Pindaan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 di negara ini telah dikuatkuasakan bermula 15 November lalu. Pindaan ini menjadikan akta sedia ada lebih komprehensif dan menyeluruh dalam menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan imigran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan