Hampir setiap hari kita boleh membaca berita tentang penyeludupan. Kalau tidak mengenai penyeludupan dadah, ia mungkin penyeludupan rokok atau mercun, minuman keras, minyak masak, gula, tepung, petrol, diesel, balak, senjata api, hidupan liar eksotik dan termasuk penyeludupan manusia. Kalau dibaca hasil rampasan atau tangkapan daripada aktiviti penyeludupan itu, nilainya melibatkan angka puluhan ribu hingga bilion ringgit. Sebenarnya mungkin banyak juga kegiatan penyeludup yang terlepas. Bermakna besar juga angka kerugian yang ditanggung negara kerana tidak mendapat pendapatan daripada kutipan cukai. Tiada cara untuk mengatasi masalah penyeludupan daripada berterusan kecuali tindakan undang-undang yang tegas.
Sebab itu, tindakan Polis Diraja Malaysia menahan sembilan individu termasuk tujuh kakitangan Jabatan Imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) patut memberi peringatan kepada penjawat sektor awam yang lain. Mereka itu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan sindiket penyeludupan warga asing yang kita sendiri percaya ia boleh menggugat keselamatan negara. Penyeludupan -- baik memasuki negara atau ke luar negara -- semakin membimbangkan. Bukan tiada tindakan untuk menanganinya dilakukan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk membendung kegiatan penyeludupan, tetapi bilangannya tidak banyak berubah. Pihak yang menyeludup bukan bodoh. Mereka pun kreatif dan banyak taktik tipu muslihat untuk memastikan kegiatan mereka tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa. Mungkin kita sendiri tahu bagaimana untuk menangani masalah penyeludupan ini. Kesukaran negara kita menangani masalah penyeludupan adalah kerana gejala rasuah yang menjadi budaya sesetengah ahli masyarakat kita.
Jadi, bagaimana kuat sekalipun undang-undang dan peraturan yang kita tetapkan; bagaimana kuat pegawai-pegawai penguat kuasa melakukan operasi tetapi apabila gejala rasuah masih menjadi sebahagian amalan kita, maka agak sukar untuk kita mengatasi masalah penyeludupan. Amalan rasuah yang dianggap biasa dalam kehidupan seharian oleh sesetengah pihak pada masa ini menyebabkan usaha mengatasi masalah penyeludupan terus menghadapi jalan buntu. Masalah ini ditambah pula dengan kecanggihan teknologi kini hingga menyebabkan masalah penyeludupan terus berlaku. Apatah lagi manusia sekarang nampaknya lebih ‘cerdik’ untuk melepasi pemeriksaan kastam, imigresen dan sebagainya tanpa diketahui mereka membawa bagasi yang berisi barangan seludup. Malah perkhidmatan penghantaran kini juga menyebabkan mereka boleh memastikan penghantaran barangan mereka sampai ke destinasinya.
Kita memahami pihak berkuasa di Malaysia memandang serius terhadap kegiatan penyeludupan kerana aktiviti pembolosan yang dilakukan telah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di pintu-pintu masuk negara. Oleh itu, sebagai rakyat yang sayangkan negara ini, kita pinta pasukan keselamatan dan penguat kuasa jabatan kerajaan supaya meningkatkan integriti supaya masalah penyeludupan dapat dikurangkan dengan ketara. Kalau boleh unit risikan dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) atau Pasukan Gerakan Marin (PGM), Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Unit Pencegah Penyeludupan dan Angkatan Tentera Malaysia mesti turut menggembleng tenaga menjayakan misi memburu penyeludup. Tunjukkan kepada para penyeludup dan sindiket mereka sama ada di dalam atau di luar negara, Malaysia bukan tempat mereka untuk ‘bermain.’
Oleh : Azman Anuar
Utusan Malaysia
20 November 2010
1 ulasan:
Saya harap admin blog ini beri satu contoh karangan tentang tajuk masalah penyeludupan di negara Malaysia
Catat Ulasan