JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 November 2010

ISU KENEGARAAN : ILMU SEJARAH MEMBINA NEGARA


Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan subjek Sejarah wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjelang 2013. Muhyiddin kemudian menekankan betapa pentingnya metodologi subjek ini melalui satu transformasi besar supaya pengajaran dan pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus berjaya mendorong pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam kehidupan manusia ini. Langkah memperkenalkan lulus wajib subjek Sejarah ini bertujuan, pertamanya, memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia. Kedua, menonjolkan kepentingan dan kerelevanan ilmu sejarah dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia. Akhir sekali memperkasakan legasi sejarah Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat selari dengan perjuangan 1Malaysia.

Tindakan ini harus dipandang serius kerana, berbeza dengan masyarakat Barat contohnya, masyarakat Malaysia yang rata-rata buta sejarah sering meremehkan kepentingan ilmu sejarah dan jarang memberi penghormatan kepada para sejarawan yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara melalui usaha penyelidikan dan penulisan sejarah negara dan bangsa. Usaha ini memerlukan pengorbanan masa serta kebijakan membuat intepretasi tanpa sebarang sifat prejudis, propaganda, dan stereotaip. Sejarah yang bernas ditulis berlandaskan fakta dan bukti serta intepretasi yang matang yang mengambil kira bukan sahaja konteks tempatan tetapi juga dunia.

Selain konteks satu lagi kriteria penting ilmu sejarah adalah periodisasi. Sejarah harus bermula dari awal ketamadunan manusia dan sekiranya boleh berakhir sehingga masa kini. Langkah wajib lulus sejarah ini amat bertepatan pada waktunya terutama apabila perpaduan masyarakat Malaysia tercabar hasil perpecahan politik dan tuntutan atau tindakan melampau sesetengah pihak yang mula mempersoalkan keluhuran perlembagaan Malaysia. Malah ada yang mula membuat interpretasi tersendiri tanpa merujuk sejarah perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan Malaysia merupakan satu-satunya 'kerangka asas' (fundamental framework) dan prinsip yang diperjuangkan oleh perlembagaan ini patut dijadikan panduan dan inspirasi. Maka bagi generasi muda memahami dan menghargai sejarah negara, mereka patut menghayati dan meluhurkan perlembagaan.

Jadi, pengajaran dan pembelajaran sejarah Malaysia sepatutnya mengandungi penghayatan perlembagaan sebagai satu asas dan landasan. Pengajaran dan pembelajaran sejarah merupakan satu aspek pembinaan kenegaraan yang kritikal dan penting. Subjek Sejarah adalah satu-satunya saluran untuk menyampaikan warisan negara dan legasi kebudayaan kepada generasi masa kini. Justeru, dari perspektif ini, ilmu sejarah yang disampaikan harus mengandungi 'naratif kepelbagaian' (plural narratives) yang mencerminkan corak latar belakang etnik, bahasa, dan budaya. Langkah ini akan membawa kepada pemuliharaan keunikan politik, ekonomi dan sosio-budaya Malaysia terutama apabila ada pihak tertentu yang cuba menulis kembali dan memadam aspek-aspek penting dalam sejarah Malaysia bagi kepentingan peribadi atau politik masing-masing. Memang bukan mudah untuk memastikan keseimbangan yang wajar dan memberikan ruang 'secukupnya' kepada semua pihak bagi mencerminkan kepelbagaian ini.

Walau bagaimanapun, sejarah sesebuah negara sudah tentu akan lebih mencerminkan masyarakat perdana walaupun penekanan kepada masyarakat minoriti harus juga diberi perhatian. Lihat sahaja sejarah Amerika Syarikat umpamanya, sejarahnya lebih menjurus kepada masyarakat kulit putih yang datang dari negara Eropah terutamanya yang kemudiannya membentuk majoriti penduduk negara tersebut. Tetapi perbincangan yang menjurus kepada sejarah golongan pribumi dan minoriti seperti masyarakat Amerika berketurunan Afrika, masyarakat hispanic atau Asia ada dibincangkan tetapi tidak sehingga mengatasi sejarah masyarakat perdana. Tujuan ataupun objektif pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan hanya untuk mendalamkan pengetahuan generasi muda mengenai latar belakang dan profail negara malah untuk memupuk semangat patriotisme dan menyemarakan lagi sikap bertolak-ansur, toleransi, saling hormat-menghormati diantara kaum dan agama serta bahasa dan budaya.

Dengan kata lain, ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan rakyat dan menanam suatu identiti nasional atau kebangsaan yang meliputi aspek kewarganegaraan dan sekali gus keturunan di mana kedua-dua aspek ini tidak sama sekali bercanggah. Pembinaan dan pembangunan negara bergantung kepada usaha bersepadu rakyat pelbagai yang mempunyai warisan sejarah dan masa depan bersama (shared past and shared future). Maka, pengajaran dan pembelajaran Sejarah bukan semata-mata mengetahui atau menghafal sedikit sebanyak detik-detik dan peristiwa lampau. Imbasan (reflections) sebegini tidak memanfaatkan pelajar dan masyarakat amnya. Yang paling penting adalah usaha untuk meningkatkan kefahaman pelajar sekaligus memupuk nilai-nilai bersama (common values) dan identiti bersama (shared identity) yang menjadi panduan, iktibar dan pegangan bagi memacu halatuju negara.

Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan awal di peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting. Usaha sebegini dapat melahirkan warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan bangsanya dan yang paling penting melahirkan semangat patriotik di peringkat awal lagi kerana diperingkat ini mereka mudah menerima ilmu, membentuk nilai diri dan perspektif. Pada masa yang sama menghayati dan memahami kerelevenan sejarah dalam kehidupan harian dan kehidupan masa depan. Sekiranya penambahan subjek Sejarah dalam kurikulum sekolah rendah dianggap membebankan, maka kita boleh melihat contoh dan amalan negara Barat dalam menghayati ilmu sejarah. Ilmu sejarah digabung dengan pelbagai bidang ilmu lain seperti sivik, kewarganegaraan, geografi, ekonomi dan lain-lain dalam satu bidang yang dikenali sebagai pengajian sosial atau mungkin lebih sesuai dinamakan pengajian kemanusiaan. Ini selari dengan tuntutan Timbalan Perdana Menteri yang menganjurkan transformasi dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah.
Gabungan pelbagai disiplin ilmu ini atau pendekatan multidisciplinary ini merupakan satu metodologi pendidikan yang semakin dititikberatkan oleh institusi pendidikan kebelakangan ini.

Pendekatan multidisciplinary dengan ilmu sejarah sebagai komponen utama ini dapat membina kematangan pelajar dalam menganalisis peristiwa masa lalu, masa kini dan membuat keputusan di masa akan datang. Ilmu Sejarah mampu membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, dan yang paling penting berkomunikasi di kalangan pelajar sekali gus melahirkan pelajar yang holistik. Ilmu Sejarah membicarakan interaksi antara manusia terutamanya, maka, subjek pengajian kemanusiaan ini mengkaji masyarakat terutamanya dapat menimbulkan minat pelajar untuk memahami dan menghayati kepentingan interaksi antara manusia ini.

Maka subjek Sejarah menjadi lebih menarik apabila dapat diperluaskan kepada sejarah dunia bagi menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia dan seterusnya memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian serta kekayaan budaya yang wujud di dunia. Fenomena globalisasi yang menjadikan dunia ini semakin sempit menyebabkan sejarah dunia menjadi satu elemen penting dalam membina insan yang menyeluruh. Ciri-ciri sivik seperti toleransi, empati, sifat inclusive, menghormati komuniti, mengutamakan kepentingan awam dan sebagainya amat penting dalam melahirkan warga negara dan warga dunia yang perihatin lagi bertanggunjawab. Ini selari dengan trend pendidikan di dunia baik di peringkat rendah mahupun peringkat pengajian tinggi yang mula mengutamakan liberal studies kerana mampu melahirkan individu atau pelajar yang versatile, yang luar biasa kemahiran berfikir dan kepakarannya dalam berhujah serta kreativitinya dalam menghasilkan penulisan dan penerbitan.

Di institusi pendidikan ternama kombinasi liberal studies dengan disiplin sejarah mula mendapat sambutan dan graduan yang menerima pendidikan yang holistik ini rata-rata lebih mudah mendapat pekerjaan dan disukai majikan. Nilai kemanusiaan yang dipupuk melalui ilmu sejarah ini tidak dapat dinilai harganya. Maka sekiranya disiplin lain disanjung kerana nilai ekonominya oleh masyarakat Malaysia yang semakin materialistik, maka subjek Sejarah harus dimartabatkan kerana ciri-ciri kemanusiaan yang ditanam dan dipupuk di dalam jiwa pelajar. Aspek kemanusiaan ini memerlukan masa yang panjang untuk dipupuk, dibina dan diperteguhkan.

Maka adalah sesuai sekiranya pengajian kemanusiaan ini di perkenalkan di peringkat rendah. Apabila kefahaman ini sudah wujud di kalangan pelajar maka, mudah bagi mereka membentuk jati diri berpandukan nilai-nilai bersama dan universal. Nilai ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam "1Malaysia" yang sedang menuju ke arah negara maju tahun 2020 dan juga warga dunia yang kompetitif di mana jua berada berlandaskan keunggulan jati diri yang dibina melalui ilmu sejarah.

Prof. Madya Dr. Shakila Yacob
Jabatan Sejarah Fakulti Sastera
dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Utusan Malaysis
19 November 2010

Tiada ulasan: