07 November 2010

ISU SOSIAL : KURANG FIKIR TERHADAP ORANG KURANG UPAYA


Di mana kedudukan orang kurang upaya (OKU) dalam masyarakat kita? Persoalan ini timbul kalau anda salah seorang pengguna pengangkutan awam khususnya di Kuala Lumpur. Kita yang normal mungkin tidak pernah terfikir tentang kehidupan OKU. Tetapi hakikatnya OKU bukanlah orang sakit yang hanya ditempatkan di rumah saja. OKU hanya kurang upaya dan masyarakat wajib untuk mengambil kira keperluan mereka bersosial seperti orang biasa. Bagaimanapun pengangkutan awam kita misalnya bukanlah untuk OKU. Banyak premis awam di negara ini juga bukan untuk OKU. Jadi di mana kehidupan untuk OKU terutama dalam masyarakat yang dilabelkan sebagai “penyayang’’? Apakah kerana OKU itu minoriti dalam masyarakat kita, maka secara demokrasinya keperluan mereka tidak diendahkan? Prinsip demokrasi ialah memberikan keutamaan yang majoriti dan selebihnya barulah minoriti.

Untuk mewujudkan kesedaran kepada masyarakat terhadap OKU tidak perlulah diadakan satu undang-undang. Kesedaran harus dengan sendirinya tercetus kerana OKU adalah sebahagian anggota masyarakat. Mereka mempunyai hak untuk hidup seperti orang biasa sekalipun ada sedikit kesulitan. Pengangkutan bas di Kuala Lumpur bukan untuk OKU. Kalau di luar negara misalnya Eropah OKU dengan mudah keluar membeli-belah menggunakan pengangkutan awam. Ini kerana bas-bas di sana mempunyai peralatan khusus untuk OKU yang berkerusi roda. Tetapi di Kuala Lumpur pemilik pengangkutan awam tidak ada kesedaran itu. Dengan bas yang tidak ada peralatan untuk OKU, LRT yang semuanya menggunakan tangga dan kerenah pemandu teksi yang keberatan mengambil penumpang OKU dengan jelas memperlihatkan kesedaran sivik kita semua.

Baru-baru ini Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan persidangan yang membincangkan keperluan OKU. Inisiatif kementerian ini sebenarnya sangat dialu-alukan kerana tanpa usaha yang seperti ini, kita semua akan dilihat sebagai mendiskriminasikan OKU. Persidangan yang bertemakan Akses Kehidupan Sebenar sempena Hari OKU Kebangsaan 2006 itu memerlukan kesinambungan. Usaha membela kehidupan OKU dari segi prasarana tidak harus terhenti di situ saja. Menteri KPWKM, Datuk Seri Shahrizat Jalil kelihatan memberikan perhatian yang serius dalam usaha membela OKU. Shahrizat mesti mengubah persepsi masyarakat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai OKU. Ketika ini kalau meletakkan diri kita sebagai keluarga OKU, perkara utama yang dilakukan ialah meninjau sama ada premis yang hendak dituju mempunyai akses untuk kerusi roda atau tidak. Ini kerana tidak banyak premis yang menyediakan laluan untuk kemudahan berkerusi roda.

Di tempat meletak kereta pula, petak untuk kenderaan yang membawa OKU hanya sekadar syarat. Bayangkan hanya dua atau tiga petak saja dan itu pun akan digunakan oleh orang biasa yang tidak mempunyai kesedaran sivik. Masyarakat jangan salah faham, OKU bukanlah menuntut kemudahan yang bukan-bukan daripada tuan punya premis atau arkitek yang membina premis itu. OKU hanya menuntut sedikit kemudahan untuk mereka hidup seperti orang lain. Golongan ini tentu sekali tidak membawa sepanduk dan menuntut semua pelan pembangunan bandar dibuat mengikut standard yang tercatat dalam Uniform Building By Laws 1984 atau National Code of Practice. Standard ini ialah bagi mewujudkan suasana persekitaran tanpa halangan kepada OKU. Jadi yang ditimbulkan di sini bukanlah peraturan kerana semua itu telah wujud. Tetapi persoalannya peraturan tidak diendahkan hingga banyak premis awam tidak menyediakan kemudahan untuk OKU.

Sistem pengangkutan LRT yang moden juga bukan untuk OKU. Apakah ini kerana mereka yang bukan tergolong sebagai “kurang upaya’’ ini “kurang berfikir’’ tentang keperluan hidup satu kelompok yang memerlukan sedikit perhatian? Kesedaran menjadi begitu genting sehingga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terpaksa menggesa supaya kerajaan menggubal satu akta memastikan OKU menikmati kesaksamaan. Akta itu juga secara tidak langsung melindungi OKU daripada sebarang bentuk penganiayaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Mengikut statistik Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua negara di dunia secara puratanya mempunyai sekurangkurang satu peratus OKU. Satu peratus memang kecil tetapi kalau satu peratus daripada 25 juta rakyat Malaysia besar juga jumlahnya. Sementara statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pula mencatatkan negara ini mempunyai 132, 655 OKU yang berdaftar. Ini termasuklah 14,154 cacat penglihatan, 22,728 cacat pendengaran, 45,365 cacat fizikal dan 49,340 menghadapi masalah pembelajaran. Kepada yang tidak mempunyai keluarga kalangan OKU barangkali tidak begitu terkesan dengan sumbang dan sumbingnya kita menerima OKU sebagai anggota masyarakat. Tetapi yang mempunyai keluarga OKU lebih memahami bagaimana masyarakat seolah- olah menolak kehadiran OKU. Kalau tidak masakan banyak pihak selalu terlupa menyediakan sedikit kemudahan untuk mereka?

Oleh : Ku Seman
Utusan Malaysia
24 Disember 2006

STPM 2008 SIRI 4

AYAT MENGANDUNGI FRASA KERJA DENGAN DUA OBJEK

01. Ibu memakaikan adik baju Melayu.
02. Syarikat itu menawarkan pemilik tanah sebuah banglo.

AYAT YANG TIDAK BOLEH DIPASIFKAN

01. Mereka bersetuju untuk mengembara ke hutan itu.
02. Ombak yang memutih di pantai itu sungguh menarik.
03. Keindahan semula jadi tasik itu menarik perhatian pelancong asing.

AYAT  KATA KETERANGAN TIDAK BOLEH DIGUGURKAN

01. Pelancong itu bertutur dalam bahasa Melayu.
02. Mereka bertanding di peringkat antarabangsa.

HOMONIM

01. "Buluh itu sudah pun saya raut semalam", kata Sani.
02. "Raut wajah Ani hampir menyerupai ibunya," kata Lina

STPM 2008 SIRI 3


AYAT YANG MENGANDUNGI KATA BANTU ASPEK

01. Mereka masih berada di sekolah.
02. Pertanyaan pemuda itu belum berjawab

AYAT YANG MENGGUNAKAN KATA BANTU RAGAM

01. Kanak-kanak itu hendak masuk ke bilik.
02. Kita boleh bertolak ke Kota Bharu sekarang.

KATA MAJMUK ISTILAH KHUSUS

01. Cari gali
02. Garis pusat

KATA DASAR BUKAN GOLONGAN KATA KERJA

01. Pegawai itu sedang menghalusi laporan kewangan syarikatnya.

* menghalusi = kata kerja
* halus (kata dasar) = kata adjektif

KATA BILANGAN HIMPUNAN

01. beribu-ribu
02. bertahun-tahun
03. berjuta-juta
04. berjam-jam
05. berhari-hari
06. berminggu-minggu
07. berpuluh-puluh

KATA PENGUAT BEBAS

01. kuat sungguh
02. sungguh kuat
03. sangat manis
04. manis sangat
05. amat mudah
06. mudah amat

BINAAN FRASA ADJEKTIF

Ayat : masih terlalu sibuk dengan urusannya

Binaannya ialah :

01. masih = kata bantu aspek
02. terlalu = kata penguat
03. sibuk = kata adjektif
04. dengan = kata sendi nama
05. urusannya = kata nama

AYAT TANYA TERBUKA

01. Apakah yang dibeli oleh Ali ?
02. Dari manakah mereka datang ?

AYAT TANYA TERTUTUP

01. Kuruskah Puan Mariam ?
02. Ke sekolahkah murid-murid itu ?

KATA KERJA TRANSITIF YANG MEMERLUKAN PELENGKAP

01. Beberapa orang pengembara berada di pulau itu.

KATA KERJA TRANSITIF TIDAK MEMERLUKAN PELENGKAP

01. Sekumpulan haiwan berkeliaran di tepi padang ragut.
02. Tiga orang warga asing sedang berehat di kediaman itu.
03. Mereka berkebun sayur di belakang rumah masing-masing.

AYAT TUNGGAL

01. Kebun durian bapa sudah mengeluarkan hasil.
02. Kehidupan rakyat negara itu sungguh menyedihkan.

STPM 2008 SIRI 2

LARAS BAHASA

01. Boleh berubah mengikut situasi
02. Berkembang mengikut perkembangan bidang ilmu.

WACANA

01. Unit bahasa yang melebihi batas ayat

PENANDA WACANA UNTUK MENAMBAH MAKLUMAT

01. justeru
02. malahan
03. lebih-lebih lagi
04. di samping itu

RETORIK PENGHUJAHAN

01. Mementingkan bukti yang jelas
02. Gaya penyampaian berkesan
03. Matlamat akhirnya mempengaruhi orang lain

RUJUKAN HORMAT

Nama Orang : Rosmaini
Butir-Butir Am
* Suaminya bergelar Tun
* Senator
* Keturunan Nik
* Berkelulusan ijazah doktor falsafah

Rujukan Hormat untuk Rosmaini ialah Yang Berhormat Toh Puan Dr. Nik Rosmaini

PERKATAAN YANG MENGANDUNGI VOKAL e-taling

01. Gendong
02. dekad
03. hebah

PERKATAAN YANG MENGALAMI GLOTALISASI

01. soalan
02. keadaan

KONSONAN BERSUARA

01. [ b ]
02. [ z ]
03. [ d ]
04. [ g ]

SUKU KATA PRAAKHIR TERTUTUP DAN SUKU KATA AKHIR TERTUTUP

01. Kelompok = Ke + lom + pok
02. Sumbangsih = Sum + bang + sih

* Suku kata praakhir tertutup ialah lom dan bang
* Suku kata akhir tertutup ialah pok dan sih

ALOMORF BAGI IMBUHAN meN-...-kan YANG BETUL

01. mengebumikan
02. memastikan
03. mengetepikan
04. mengagumkan

PENGGUNAAN -nya SEBAGAI PENEKAN

01. sesungguhnya
02. sememangnya
03. bahawasanya

PENGGUNAAN -nya SEBAGAI PEMBENDA

01. umatnya
02. Kedua-duanya ialah keturunan ulama
03. menyaksikan persembahannya

STPM 2008 SIRI 1

GOLONGAN BAHASA NUSANTARA

01. Tagalog
02. Sunda
03. Melanau

BATU BERSURAT ABAD KE-7 (BAHASA MELAYU KUNO)

01. Batu Bersurat Kedukan Bukit
02. Batu Bersurat Talang Tuwo
03. Batu Bersurat Kota Kapur
04. Batu Bersurat Karang Brahi

CIRI-CIRI BATU BERSURAT ABAD KE-7

01. Menggunakan Bahasa Melayu Kuno
02. Ditulis semasa pemerintahan kerajaan Srivijaya
03. Ditulis menggunakan Tulisan Palava
04. Pengaruh Bahasa Sanskrit agak ketara

CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KLASIK

01. Banyak menggunakan partikel
02. Menggunakan kata pangkal ayat yang ketara
03. Banyak menggunakan ayat yang panjang dan berbelit-belit

PERANAN PERTUBUHAN PADA ZAMAN BAHASA MELAYU MODEN

01. Pejabat Karang Mengarang = Menerbitkan buku-buku sekolah Melayu
02. Dewan Bahasa dan Pustaka = Merancang pembinaan bahasa Melayu
03. Persaudaraan Sahabat Pena Malaya = galakkan penulisan dalam kalangan ahli.
04. Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa = Mencipta Perkataan Baharu

PERANCANGAN TARAF BAHASA

01. Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Rasmi
02. Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan

PERANCANGAN KORPUS BAHASA

01. Ejaan
02. Sebutan
03. Tatabahasa
04. Perkamusan
05. Istilah

SUSUNAN KEMASUKAN BAHASA ASING KE DALAM BAHASA MELAYU

01. Sanskrit
02. Arab
03. Portugis
04. Inggeris

DIALEK MERUPAKAN KELAINAN BAHASA YANG DISEBABKAN

01. Pengguna bahasa

SITUASI YANG SESUAI UNTUK MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU BAKU

01. Guru kaunseling menyampaikan ucapan dalam perhimpunan pagi.
02. Wakil pasukan keselamatan menyampaikan taklimat kepada kakitangan kerajaan.
03. Wakil pelajar menghantar surat kepada syarikay Y untuk memohon derma bagi kegiatan persatuannya.

ISU SOSIAL : EMPAT LANGKAH TANGANI MASALAH BULI DI SEKOLAH


Dari semasa ke semasa, terdapat kes buli fizikal ekstrem yang berlaku di kalangan pelajar sekolah yang mendapat perhatian media.Kes ekstrem ini menyebabkan percubaan membunuh diri, kecederaan parah dan juga kematian. Contoh-contoh buli fizikal ialah menolak, menampar, memukul atau memeras ugut. Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan, ia bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan. Dalam kajian yang pernah penulis lakukan ke atas 2,600 orang pelajar dari 26 sekolah menengah dari dua buah negeri, didapati mereka yang melaporkan terlibat dengan kegiatan membuli (fizikal dan psikologi) adalah tinggi. Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu pelopor dalam kajian buli di dunia, sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10-15 peratus ia dianggap serius. 

Terdapat pelbagai sebab kenapa pelajar membuli. Sebahagian besar daripada pembuli mengatakan mereka membuli pelajar lain kerana seronok-seronok. Malah ada pembuli yang bangga menyatakan dia ketua buli di sekolahnya! Ada pembuli menyatakan mangsa memang patut dibuli dan yang lain pula menyatakan mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan. Sebab mereka membuli ialah kerana marah atau benci kepada mangsa. Pelajar baru di sekolah adalah individu yang selalu menjadi mangsa buli. Pelajar yang disayangi guru tidak akan digemari rakan. Bagi kes buli fizikal, mereka yang berbadan kecil menjadi mangsa. Tidak mahu berkongsi alat tulis atau memberi idea untuk membuat kerja rumah turut menjadi sebab membuli.

Bagi pelajar asrama pula, bentuk buli juga berlaku dengan meminta mangsa membasuh baju mereka, mencuci tandas atau mengambil makanan dari kantin. Mereka yang lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris turut tidak disenangi. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah mereka yang menjadi mangsa ialah pelajar yang tidak disukai kerana mereka berlainan daripada pelajar majoriti. Apabila ditanya kepada pihak sekolah seperti guru kaunseling, guru disiplin atau pengetua, pelajar yang menjadi pembuli tidak berminat dengan pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin. Dari segi latar belakang keluarga, pembuli dikatakan datang dari keluarga yang bermasalah, tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa atau terlalu dimanja. Pihak sekolah juga menyedari pelajar baru turut menjadi sasaran. Untuk menangani masalah buli, sekolah perlu mengakui bahawa masalah ini wujud dan ia menyakitkan pelajar. Mangsa tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka tahu cerita mereka tidak akan dipercayai dan mereka tidak dijamin perlindungan.

Terdapat empat peringkat untuk menangani masalah buli. 

Peringkat pertama ialah tahap sekolah, kedua tahap kelas dan ketiga tahap individu. Bagi peringkat sekolah, langkah pertama ialah sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli. Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapat respons yang lebih tinggi tentang perkara ini, identiti pelajar hendaklah rahsia.

Kedua, sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa. Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, beberapa petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli dan talian telefon atau alamat e-mel untuk melaporkan insiden buli. Mereka yang boleh membuat laporan bukan sahaja mangsa tetapi juga saksi. 

Ketiga, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu dibentuk. Antara ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya. 

Keempat, perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat PIBG. Bagi peringkat kelas pula, satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan apa pula hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya. Setiap pelajar diberikan senarai peraturan tersebut dan mereka hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah. Dari semasa ke semasa, guru hendaklah membincang tentang isu buli dengan pelajar.

Bagi peringkat individu, ia melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka. Seterusnya, guru kaunseling boleh mengadakan sesi main peranan tingkah laku empatik atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan asertif pula perlu diadakan dengan mangsa. Sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan dengan serius tentang masalah buli dan cuba melaksanakan bagaimana hendak mengatasinya atau menghalangnya daripada berlaku. Kita tidak perlu menunggu kes ekstrem yang lain untuk berlaku sebelum kita berbuat sesuatu untuk memastikan kawasan sekolah selamat (psikologi dan fizikal) untuk anak-anak kita. 


Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub 
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia.
Utusan Malaysia
08 Jun 2005

ISU ICT : BENTERAS PRONOGRAFI LAMAN WEB

Pengaruh pornografi di Internet harus dipandang serius oleh semua pihak di negara ini. Hal ini pernah dibangkitkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di persada antarabangsa baru-baru ini. Sejak perkhidmatan Internet diperkenalkan di negara ini pada 1987 dan peningkatan pengedaran dan penjualan VCD serta DVD lucah yang berleluasa, didapati kes-kes jenayah seksual turut meningkat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulisnya kepada Dewan Rakyat, berkata, bilangan jenayah seksual termasuk liwat dan sumbang mahram meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2005. Tahun lalu sahaja, terdapat 4,238 kes jenayah seksual berbanding 3,986 kes (2008), 3,689 kes (2007), 2,943 kes (2006) dan 2,427 kes (2005). Daripada perangkaan ini, kes-kes rogol menduduki tempat teratas.

Pada tahun lalu, sejumlah 3,626 kes rogol telah dilaporkan oleh mangsa kepada pihak polis berbanding 3,409 kes (2008), 3,098 kes (2007), 2,431 kes (2006) dan 1,931 kes (2005). Bagi kes-kes sumbang mahram pula, jumlah kes pada tahun lalu meningkat kepada 385 kes daripada 334 kes pada tahun sebelumnya. Pada tahun 2007, kes yang dicatatkan ialah 360 kes, 332 kes (2006) dan 294 kes (2005). Perangkaan-perangkaan ini cukup membimbangkan. Apatah lagi, banyak kes yang tidak dilaporkan. Ini kerana lebih 80 peratus daripada pesalah seksual mempunyai hubungan ataupun mengenali mangsa seperti ahli keluarga, saudara mara dan jiran mereka. Trend sebegini jelas menunjukkan keruntuhan moral semakin gawat di kalangan anggota masyarakat di negara ini. Bukan itu sahaja, sekiranya gejala negatif ini tidak dikekang segera, maka ia akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju pada 2020. Ini kerana sesetengah kakitangan pejabat terutamanya di sektor swasta menggunakan masa pejabat untuk melayari laman-laman sesawang pornografi.

Mereka bukan sahaja menyalahguna kemudahan pejabat dan meningkatkan kos operasi syarikat tempat mereka bekerja, malah daya produktiviti mereka turut terjejas. Mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas dan pemikiran mereka menjadi celaru kerana imej-imej lucah sentiasa terpampang di dalam minda mereka. Mereka ketagih menonton gambar-gambar lucah. Gejala yang tidak sihat ini juga merupakan antara punca berlakunya gangguan seksual di tempat kerja. Antara negara yang telah melaksanakan dasar menapis dan menyekat bahan-bahan pornografi di Internet ialah China, negara-negara Kesatuan Eropah (yang melakukan penapisan ke atas pornografi kanak-kanak), Arab Saudi, Korea Selatan, Australia, Kanada dan India. Bagaimanapun, untuk menyekat dan mengekang pornografi siber bukanlah mudah seperti yang difikirkan. Ini disebabkan aktiviti-aktiviti 'penjualan tubuh' merupakan aktiviti-aktiviti komersial utama di Internet dan paling banyak di laman sesawang tertentu. Adalah dianggarkan terdapat lebih daripada 1.5 juta laman sesawang pornografi di Internet dan 74 peratus daripada laman sesawang pornografi itu memaparkan diri sebagai laman selamat serta mudah dilayari.

Justeru itu, tindakan Malaysia membangkitkan isu keselamatan Internet termasuk keperluan membendung pornografi kanak-kanak, serta kesan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap nilai budaya di persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-18 di Guadalajara, Mexico pada 8 Oktober lalu, disambut baik oleh pelbagai pihak terutama pemimpin dan badan telekomunikasi dunia. Menurut Rais, beliau akan mengusulkannya dengan mengutus surat kepada Setiausaha Agung ITU, Dr. Hamadoun Toure untuk memastikan cadangan yang dikemukakan Malaysia diambil tindakan sewajarnya. Selain itu, disyorkan supaya semua kerajaan di dunia mengkehendaki dan mensyaratkan semua laman sesawang pornografi wajib dibayar. Mereka boleh mengusul dan membahaskan syor ini di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Penetapan sebegini dapat mengurangkan dengan banyak jumlah penonton laman itu. Selain itu, ditetapkan juga agar laman-laman sesawang pornografi menggunakan kata tambahan seperti .sex atau .xxx dan bukan .com. Cadangan ini harus dipertimbangkan. Syarat ini akan memudahkan pihak berkuasa untuk menapis bahan-bahan pornografi.
Selain itu, pendidikan seks yang holistik dan dilaksanakan secara berperingkat amat diperlukan di sekolah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Durex, hanya 36 peratus masyarakat negara ini menerima pendidikan seks di sekolah. Majoritinya memperoleh pengetahuan seks daripada Internet iaitu sebanyak 75 peratus dan majalah (76 peratus). Justeru, kerajaan tempatan melalui majlis-majlis daerah atau perbandaran harus mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat terhadap kedai perkhidmatan Internet dan kafe siber. Antara syaratnya ialah bilik Internet haruslah diterangi dan cermin dinding tidak boleh gelap. Skrin monitor komputer harus dihala ke arah yang dapat dipandang orang. Ini akan menyebabkan pengguna menjadi segan, malu dan takut untuk melayari laman-laman sesawang pornografi.

Pihak berkuasa pula hendaklah selalu melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis yang menawarkan perkhidmatan Internet. Masyarakat terutamanya golongan ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mengekang dan melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada laman-laman sesawang pornografi. Oleh kerana kanak-kanak dan remaja memerlukan bimbingan dan kawalan dalam penggunaan perkhidmatan Internet, maka ibu bapa atau penjaga harus lebih prihatin dan mengambil tahu tentang cara penggunaan perkhidmatan Internet oleh anak-anak mereka. Ibu bapa boleh mengawal selia penggunaan perkhidmatan Internet dengan menggunakan perisian penapisan kandungan yang dapat dimuat turun secara percuma dari Internet. Mereka juga dapat membelinya di kedai-kedai komputer. Antara perisian penapisan Internet yang terdapat di pasaran ialah Net Nanny Parental Controls, Safe Eyes, CYBERsitter, Puree Sight PC, Cyber Patrol, Mc Afee Parental Controls, Filter Park, Im View dan Parental Controls. Selain itu, hubungan keluarga yang baik dan harmoni juga dapat menjauhkan ahli-ahli keluarga daripada melakukan sesuatu yang mengaibkan nama baik keluarga mereka.

Begitu juga, pembangunan kerohanian, pegangan agama yang kuat dan takut kepada Tuhan dapat menjauhkan seseorang daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan aspek pembangunan kerohanian anak masing-masing. Pengaruh daripada laman-laman sesawang pornografi harus ditangani segera oleh semua pihak. Ia amat perlu dalam usaha kita mewujudkan satu masyarakat terutama generasi muda Malaysia yang mempunyai jati diri dan keperibadian yang baik.

Oleh : Lee Fook On
Pengkaji dan Penganalisis 
Politik, Ekonomi, Sosial dan Budaya Masyarakat. 

Utusan Malaysia
11. 10. 2010

KOLEKSI PENDAPAT TOKOH

DENNIS WAITLEY
 Harapkan yang Terbaik, Rencanakan yang Terburuk, dan bersiaplah untuk terkejut.
 
ZIG ZIGLAR
Kegagalan seringkali adalah garis keteguhan yang terkecil 

MARK VICTOR HANSEN
Perhatian dengan tujuan memberikan hasil yang layak 
(Salah seorang pengarang buku Chicken Soup For The Soul) 
 
PAUL GETTY
 Belilah saat semua orang menjual dan tahanlah sampai semua orang membeli 


06 November 2010

STPM 2009 SIRI 3


KATA SENDI NAMA "OLEH" TIDAK BOLEH DIGUGURKAN

01. Batu bata itu tersusun oleh tukang kebun dalam masa dua jam.
02. Kayu bakau di tepi sungai itu dipacakkan petang kelmarin oleh nelayan di situ.

PROSES PENDEPANAN

Ayat : Masih menggoreng pisang ibu di dapur

01. Pendepanan kata bantu (masih) dengan kata kerja (menggoreng)

AYAT MEMPUNYAI KATA KERJA DENGAN DUA OBJEK

Ayat : Ibu memasakkan kami nasi goreng berempah semalam

01. memasakkan = kata kerja
02. kami = Objek tepat
03. nasi goreng = Objek sipi

PROSES PENGGUGURAN AYAT

Ayat : Pak Jamil dan Pak Sahak sedang menuai padi di sawah

Ayat 1 : Pak Jamil sedang menuai padi di sawah.
Ayat 2 : Pak Sahak sedang menuai padi di sawah.

01. Ayat di atas mengalami pengguguran frasa kerja sebagai predikat.

AYAT YANG TIDAK MENGALAMI PENGGUGURAN

01. Encik Helmi berjaya dalam perniagaannya walaupun beliau tidak berpengalaman.

AYAT YANG MENGALAMI PENGGUGURAN

01. Encil Jamil bukan pemain badminton tetapi pemain tenis.
02. Sambil belajar di universiti itu, dia bekerja di sebuah restoran.
03. Membaca dan bersukan dapat mengisi masa lapang seseorang.

AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN

01. Dia lebih ceria sejak dia berkahwin. (keterangan waktu)
02. Pak Ali bekerja keras supaya kehidupan keluarganya lebih senang.  (keterangan harapan)
03. Penduduk kampung itu mengadakan mesyuarat tergempar untuk mencegah jenayah. (tujuan)

AYAT MAJMUK KETERANGAN HARAPAN

01. Agar kesejahteraan hidup terjamin, mereka mengamalkan gaya hidup sihat.
02. Tanyalah pemuda itu kalau-kalau dia mengetahui lokasi peristiwa tersebut.

POLA AYAT

Ayat : masih terlalu awal

01. Kata Bantu (masih) + Kata Penguat (terlalu) + awal (kata adjektif)

AYAT YANG TIDAK BOLEH DIPASIFKAN

01. Mereka berlima sedang menari di atas pentas ketika itu.
02. Pelancong boleh  menyeberang ke tempat peranginan itu dengan motobot.

AYAT YANG BOLEH DIPASIFKAN

01. Para pelatih sudah pun menjalani latihan mendaki bukit.
02. Keluarga mereka sedang memperindah halaman rumah.

KIASAN

01. Budak bertuah. = Kiasan Pemanis
02. Daun nyiur melambai-lambai. = Kiasan Permanusiaan
03. Kutu embun. = Kiasan Terus
04. Pening lalat. = Kiasan Sandar

SIMPULAN BAHASA YANG SAMA MAKSUD

01. anak angkat
02. anak tut
03. anak piara

POLISEMI + HOMONIM

01. Lelaki berjambang itu kepala samseng di Kampung Hulu.
02. Nasihat yang diberikan tidak masuk kepala budak nakal itu.
03. Pelajar itu dimasukkan ke wad kerana telah beberapa hari sakit kepala.

STPM 2009 SIRI 2

KATA KETERANGAN CARA

01. Kanak-kanak itu dibawa bersiar-siar dengan menaiki kereta mewah

KATA KETERANGAN TUJUAN

01. Untuk mengecapi kebahagiaan, kita harus jujur dan berbaik sangka.

KATA NAFI YANG BETUL

01. Mak Munah tidak pandai berbohong
02. Pak Tam tidak pergi ke sawah
03. Mispan bukan cerdik sangat tetapi dia rajin belajar
04. Kapal terbang itu bukan dari Kuching tetapi dari Kuantan.

KATA PENGUAT BEBAS

01. Perhubungan mereka mesra sangat
02. Prasarana yang disediakan di kawasan itu sungguh canggih

KATA SENDI NAMA YANG BETUL

01. Semua beg tangannya dari kulit asli (daripada)
02. Potret itu tergantung di dinding ruang tamu.
03. Bola itu dibaling daripada penjuru kiri tiang gol (dari)
04. Borang permohonan pinjaman itu hendaklah diserahkan pada universiti. (kepada)

KATA "MENGENAI" SEBAGAI KATA SENDI NAMA

01. Kami berbincang mengenai nasib anak-anak yatim itu.
02. Berita mengenai bencana tsunami itu tersebar dengan cepat di seluruh dunia.

KATA MAJMUK

01. hijau daun
02. tengah hari
03. meja makan

KATA PENEKAN

01. Sesungguhnya perang mengakibatkan azab sengsara pada manusia.

KATA PEMBENDA

01. Datangnya tidak diundang oleh sesiapa.
02. Kegembiraannya tidak dapat digambarkan.
03. Keluarganya menerima pinangan pemuda itu.

STPM 2009 SIRI 1

RUMPUN BAHASA AUSTRONESIA

01. Melanesia
02. Mikronesia
03. Nusantara
04. Polinesia

BAHASA YANG BERASAL DARI KELUARGA NUSANTARA 

01. Bandar
02. Makasar

BENAR TENTANG BAHASA NUSANTARA

01. Merupakan golongan bahasa Austronesia
02. Tersebar sampai ke Formosa dan Maluku

BENAR TENTANG BATU BERSURAT KEDUKAN BUKIT

01. Batu bersurat tertua yang pernah dijumpai
02. Kandungannya berkaitan dengan kisah pelayaran

TOKOH DENGAN KARYA MEREKA

01. R.O. Winstedt = The Malay Grammar
02. R.J. Wilkinson = Malay-English Dictionary
03. Mohd. Said Sulaiman = Buku Ketetapan Hejaan Melayu
04. Zainal Abidin Bin Ahmad (Za'ba) = Ilmu Mengarang Melayu

TUJUAN MAJLIS BAHASA BRUNEI, INDONESIA, MALAYSIA (MABBIM)

01. Menyeragamkan ejaan
02. Menyeragamkan istilah

CIRI LARAS BAHASA ILMIAH

01. Menggunakan kata yang tepat
02. Menggunakan bahasa formal
03. Menggunakan bahasa yang gramatis

RETORIK PENGHUJAHAN

01. Pengarang mengemukakan cadangan dan gagasan
02. Gagasan disokong oleh fakta, contoh, bukti, dan data
03. Sokongan yang diberikan relevan dan rasional

PENENTUAN KATA SAPAAN KEKELUARGAAN

01. Usia mereka yang terlibat
02. Kedudukan seseorang dalam keluarga

BUNYI VOKAL

01. Semua bunyi vokal ialah bunyi bersuara
02. Bibir dihamparkan semasa pengeluaran bunyi vokal depan

KATA YANG MENGANDUNGI BUNYI DIFTONG

01. Mengintai = meng + in + tai
02. Berkilauan = ber + ki + lau + an

NAMA FONEM BAGI LAMBANG FONETIK

01. [ m ] = Sengauan Dua Bibir Bersuara
02. [ a ] = Vokal Depan Luas
03. [ c ] = Letusan Lelangit Keras Gusi Tak Bersuara

PENGGUNAAN TANDA SEMPANG YANG BETUL

01. ke-44
02. 1960-an

PENGGUNAAN TANDA SEMPANG YANG SALAH

01. pra-sejarah sepatutnya prasejarah
02. ko-kurikulum sepatutnya kokurikulum

KONSONAN LETUPAN

01. Bunyi terhasil dengan cara merapatkan artikulator pada daerah artikulasi
02. Udara dari paru-paru yang tersekat akan dilepaskan serta-merta

KATA YANG KESEMUANYA MEMPUNYAI KONSONAN RANGKAP

01. Struktur
02. Spektrum
03. Traktor