02 November 2010

ISU SOSIAL : USAHA MEMASTIKAN HAK MANGSA JENAYAH TERBELA

Keadilan bukan saja perlu dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan. Ini adalah ungkapan umum sistem keadilan, termasuk sistem keadilan jenayah. Walaupun kita mempunyai perbezaan mengenai maksud atau cara mencapai keadilan, kita semua mahukan sistem keadilan jenayah yang sempurna – sistem yang memberi perhatian terhadap semua pihak dalam semua aspek. Banyak yang sudah diperkatakan mengenai hak orang yang tertuduh dan banyak juga tindakan yang diambil untuk memastikan tertuduh mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa pengiktirafan hak mangsa jenayah juga adalah prinsip sistem keadilan jenayah. Perasaan belas kasihan kepada mangsa jenayah tidak harus terhenti pada hari kejadian jenayah saja. Kesan jenayah terhadap jasmani, emosi dan psikologi mangsa, terutama jenayah berat seperti rogol, ragut, rompak dan bunuh (tidak terkecuali pornografi) amat serius. Mangsa akan menanggung kesan itu sepanjang hayatnya. Ramai mangsa jenayah menjalani kehidupan tidak sempurna selepas kejadian.

Dalam sistem diamalkan di negara kita, pendakwa raya menentukan jenis kesalahan dan pertuduhan. Mahkamah pula menentukan sama ada seseorang itu bersalah ataupun tidak. Dalam proses ini mahkamah mengambil kira bukti dibawa pihak yang terbabit, sama ada pendakwa atau tertuduh sendiri (atau melalui peguam). Sekiranya mahkamah mendapati seseorang itu bersalah, ia perlu mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dan kesan kesalahan itu. Dalam konteks ini, mahkamah boleh menentukan takat atau bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas penjenayah menurut peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang. Apakah peranan mangsa jenayah dalam proses pendakwaan dan penghakiman? Apakah keadilan yang boleh dituntut mangsa jenayah di dalam proses ini? Sehingga kini, mangsa jenayah tidak mempunyai apa-apa kuasa atau hak dalam menentukan pendakwaan dan perbicaraan, selain daripada tanggungjawab memberi bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan.

Dalam aspek lain, sistem keadilan diamalkan sekarang tidak memberikan mangsa hak undang-undang untuk mendapat ganti rugi akibat perbuatan jenayah, kecuali mangsa atau keluarganya membuat tuntutan atau menyaman pesalah dalam bentuk undang-undang sivil seperti tort. Sekiranya mangsa tidak membuat tuntutan sivil berkenaan, dia tidak akan mendapat apa-apa ganti rugi, walaupun kesan jenayah dilakukan amat serius.  Ini adalah sesuatu yang menarik untuk diberi perhatian kerana keadilan kepada mangsa jenayah bukan saja penjenayah dihukum, tetapi juga kebajikan mangsa jenayah dalam menjalani kehidupan selepas kejadian jenayah itu.  Konsep ganti rugi jenayah bukan perkara baru di sesetengah negara. Di negara kita, konsep ini sudah diperkatakan ahli akademik dan pengamal undang-undang pada seminar, tetapi ia belum lagi mencapai tempat yang selesa dalam sistem undang-undang.

Konsep ganti rugi jenayah penting kerana ia boleh menjadi sokongan kepada mangsa jenayah. Sekiranya mangsa pembunuhan ialah seorang bapa, satu-satunya pencari rezeki keluarga, apakah keadilan yang dapat diberikan kepada balu mangsa dan keluarganya selepas pembunuhan? Hukuman mati ke atas pembunuh mungkin boleh mengubati dendam atau geram, tetapi bagaimana pula dengan kualiti kehidupan mereka? Bayangkan sekiranya balu berkenaan tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai anak ramai, apakah keadilan sebenar kepada mereka? Begitu juga dalam kes kecederaan teruk menyebabkan mangsa kehilangan pancaindera atau kecacatan fizikal kekal serta menanggung kos rawatan tinggi. Tidak terkecuali mangsa jenayah domestik. Satu bentuk sokongan dan pemulihan, fizikal, emosi dan psikologi perlu diberi perhatian bersungguh-sungguh semua pihak, terutama pihak kerajaan. Banyak negara di dunia sudah mengambil pendekatan ‘mesra mangsa jenayah’. Ada negara yang mewujudkan undang-undang khas umpama piagam hak asasi kepada mangsa jenayah. Malah ada negara yang memberikan hak undang-undang kepada mangsa atau keluarganya hak untuk mendapat sedikit jumlah wang bayaran denda sekiranya penjenayah dihukum denda.

Pindaan Kanun Tatacara Jenayah 2010, yang diluluskan Jun lalu memberi sedikit cahaya kepada mangsa jenayah. Pindaan itu antara lain, mewajibkan mahkamah mendengar pernyataan mangsa jenayah atau seorang keluarganya mengenai kesan kesalahan ke atas mangsa atau keluarganya menerusi proses Pernyataan Kesan Terhadap Mangsa. Pindaan terbaru ini juga memberikan mahkamah kuasa menentukan ganti rugi kepada mangsa jenayah, mengeluarkan arahan mengenai peraturan selanjutnya bagi membantu mangsa seperti kaunseling dan seumpamanya.  Saya menyokong sepenuhnya pindaan ini. Ia adalah penambahbaikan kepada sistem keadilan jenayah di negara ini, walaupun ada beberapa penelitian perlu dibuat mengenai kaedah tertentu dalam pemakaian undang-undang ini kelak. Apa yang penting di sini ialah, kita sudah mula menyedari pentingnya mengiktiraf hak mangsa jenayah.

Pindaan itu merakam beberapa prinsip Piagam Hak-Hak Mangsa yang diiktiraf di sesetengah negara seperti Australia. Prinsip lain yang diiktiraf dalam Piagam Hak-Hak Mangsa Jenayah (seperti yang diiktiraf di New South Wales), Australia, termasuklah hak mangsa untuk mendapat layanan baik daripada agensi kerajaan yang terbabit seperti polis, mahkamah, hospital dan pendakwa raya. Sementara Biro Mangsa Jenayah dan Tribunal Pampasan Mangsa pula ditubuhkan bagi memberi bantuan kepada mangsa jenayah. Isu hak mangsa jenayah ini mesti dipandang berat oleh kerajaan. Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saja. Tindakan sewajarnya perlu disegerakan kerana pengiktirafan terhadap hak mangsa adalah elemen penting dalam sistem keadilan jenayah yang sempurna.  

Oleh Shamrahayu A Aziz  
Penolong Profesor 
Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

01 November 2010

ISU PENDIDIKAN : KESAN KETARA MERITOKRASI KE IPTA


Heboh seketika dulu apabila jumlah pelajar wanita ke insititusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan 2009/2010 mengatasi pelajar lelaki. Daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bermula Jun lalu misalnya, 65 peratus atau 26,200 orang daripada mereka ialah pelajar wanita. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend pelajar perempuan mendominasi IPT sudah menjadi sesuatu yang biasa. Ia turut berlaku di kebanyakan negara apabila kebanyakan wanita hari ini mempunyai akses yang sama rata kepada sistem pendidikan.

Tetapi ada perkara lain daripada jumlah pengambilan pelajar baru ke IPTA di negara ini yang sepatutnya lebih mendapat perhatian. Secara komposisi kaumnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar ke IPTA sesi kali ini, sebanyak 27,829 orang adalah calon bumiputera. Seramai 10,116 orang pula merupakan pelajar kaum Cina manakala selebihnya iaitu sebanyak 2,421 terdiri daripada pelajar kaum India dan kaum lain. Pada dasarnya, kemasukan pelajar bumiputera masih tinggi berbanding pelajar bukan bumiputera. Tetapi apa yang tidak kelihatan ialah bagaimana pecahan sebenar komposisi pelajar itu jika dilihat daripada kaedah kemasukan iaitu berdasarkan prinsip meritokrasi?

Sejak 2003, pengambilan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota yang mana 55 peratus tempat diperuntukan kepada bumiputera manakala 45 peratus yang lain kepada bukan bumiputera. Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan prinsip meritokrasi yang membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar. Ketika diperkenalkan, sistem meritokrasi antara lain dirujuk sebagai satu bentuk pengajaran kepada kaum bumiputera supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan. Dengan pelaksanaan itu juga, para pelajar akan dipilih berdasarkan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. 

Pemilihan itu pula dibuat oleh sebuah badan yang ditubuh khas iaitu Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (yang dahulu dikenali Unit Pusat Universiti atau UPU). Ketika peringkat awal pelaksanaannya, kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA dicatatkan sebanyak 68.9 peratus. Ia memeranjatkan banyak pihak terutamanya mereka yang menentang pelaksanaannya kerana bimbang sistem itu akan dibolot oleh pelajar bukan bumiputera yang diketahui lebih pandai dan cemerlang. Rekod penguasaan pelajar bumiputera itu terus dipertahankan untuk tahun-tahun berikutnya iaitu 62.6 peratus pada sesi 2003/2004 dan 63.8 peratus pada 2004/2005. Bagaimanapun selepas kira-kira lapan tahun pelaksanaannya, jumlah pelajar bumiputera itu menunjukkan perbezaan yang sangat ketara. 

Tahun ini, iaitu bagi pengambilan pelajar sesi 2009/2010 yang bermula Jun lalu, jumlah pelajar bumiputera yang layak berdasarkan prinsip meritokrasi dikatakan hanya sebanyak 26 peratus sahaja. Bakinya iaitu 74 peratus tempat yang lain, dibolot oleh pelajar-pelajar bukan bumiputera. Meskipun fakta ini tidak didedahkan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pelajar ke IPTA, namun ia mempunyai asas yang kukuh untuk diyakini. Ini bermaksud, apa yang dibimbangi oleh banyak pihak sebelum ini mengenai akan berlakunya tempat yang dibolot oleh pelajar bukan bumiputera menjadi kenyataan.

Asas kebimbangan itu sebenarnya sangat jelas kerana pelajar bukan bumiputera mempunyai kelebihan dari sudut pencapaian akademik kerana beberapa faktor. Antaranya kerana kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik yang membolehkan pelajar bukan bumiputera mendapatkan pendidikan tambahan di luar sesi persekolahan. Malah, ada yang mampu mengupah guru persendirian khusus untuk mengajar anak-anak mereka secara peribadi. Sudah semestinya, keputusan peperiksaan mereka jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar bumiputera yang rata-ratanya hanya bergantung kepada pendidikan asas di sekolah biasa. Ketidakadilan itu lebih dirasai oleh pelajar-pelajar di luar bandar yang mana akses mereka kepada pendidikan tambahan lebih terhad. Belum pun satu dekad prinsip meritokrasi itu dilaksanakan, jurang antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang layak ke IPTA sudah kelihatan begitu besar. 

Tidak mustahil, tiada lagi pelajar bumiputera yang layak ke IPTA berasaskan sistem merit sekiranya dasar ini dikekalkan untuk satu jangka masa panjang. Kerana itu adalah wajar bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dengan mengambil kira survival pendidikan tinggi bumiputera. Perkara ini bukan tidak disedari oleh pihak kerajaan kerana khabarnya, kerajaan terpaksa menambah bilangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengimbangi jumlah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA. Ini kerana UiTM ketika ini merupakan satu-satunya universiti khusus milik bumiputera dan tidak mengamalkan sistem merit sepenuhnya dalam pengambilan pelajar. Akan tiba masanya, UiTM juga tidak lagi mampu menampung lebihan pelajar berkenaan dan ketika itu, ke mana pelajar-pelajar bumiputera akan ditempatkan? 

Soal menjamin pendidikan kepada bumiputera adalah sesuatu yang jelas dalam Perlembagaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan. Tidak perlu ada rasa bersalah dalam memastikan bumiputera mendapat kelebihan kepada akses pendidikan yang sempurna termasuk di peringkat pengajian tinggi kerana itu merupakan hak mereka. Sementelah, kaum bumiputera juga berdepan dengan persekitaran yang tidak adil untuk diajak bersaing secara terbuka menerusi pelaksanaan prinsip meritokrasi. Ini kerana mereka tidak berkemampuan untuk ke sektor pengajian swasta seperti kaum lain sekiranya gagal ke IPTA kerana kos pengajian yang terlalu tinggi. Kaum bukan bumiputera pula seharusnya sedar bahawa sistem kuota yang dilaksanakan sebelum ini tidak sedikit pun menafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Dengan komposisi kemasukan pelajar mengikut kaum yang terlalu kecil, kuota 45 peratus yang disediakan kepada bukan bumiputera ke IPTA masih meninggalkan baki yang tidak dipenuhkan. 

Selain itu, mereka juga disediakan beberapa buah universiti khusus untuk kaum tertentu yang dananya disalurkan oleh kerajaan. Sebagai contoh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Terbuka Wawasan, Kolej New Era dan beberapa universiti lain. Begitu juga dengan lambakan universiti dan kolej universiti swasta yang majoriti pelajarnya terdiri daripada bukan bumiputera. Dalam erti kata yang lain, kaum bukan bumiputera sebenarnya tidak mempunyai banyak masalah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di negara ini meskipun ketika amalan kuota diguna pakai. 

Malah jika faktor itu juga diambil kira, kita akan menyedari bahawa kaum bumiputera sebenarnya berdepan dengan peluang yang sangat terhad untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bukan hanya kekuasaan ekonomi yang akan terlepas daripada tangan kaum bumiputera. Malah kita juga akan kekurangan kumpulan cerdik pandai yang akan menguruskan negara pada masa depan. 

Oleh 
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Utusan Malaysia 
20 Julai 2010



ISU EKONOMI : POTENSI MALAYSIA JADI PUSAT RUJUKAN HALAL SEDUNIA


Industri  halal bukan hanya terhad kepada industri produk yang berasaskan makanan dan minuman sahaja malah ia merangkumi sektor yang lebih besar merangkumi farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, pembungkusan, logistik, perbankan dan kewangan, jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan, pelancongan dan bidang-bidang lain di dalam ekosistem industri halal. Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2010 (Mihas 2010) Ke-7 yang sedang berlangsung sekarang adalah platform terbaik dan penting bagi usahawan Malaysia khususnya dan negara-negara ASEAN secara amnya dalam usaha untuk menembusi pasaran halal global.

Mihas semakin mendapat penyertaan dari negara luar yang mula menyedari potensi besar dalam industri halal ini. Mihas 2010 disertai oleh 169 syarikat asing dan 334 syarikat tempatan dari 32 buah negara dengan Itali, Albania, Belgium, Hong Kong dan Romania merupakan peserta baru. Untuk rekod, Mihas 2009 disertai oleh 127 syarikat asing dan 402 syarikat tempatan. Di samping Mihas, Forum Penyelidikan Halal Sedunia (WHR) diadakan di Pusat KonvensyenKuala Lumpur (KLCC) untuk memberi penerangan yang lebih jelas dan berinformasi mengenai isu-isu yang berkaitan dengan industri halal dan platform untuk berkongsi idea dan inovasi baru untuk faedah industri.

Kesungguhan Malaysia menjadi peneraju hab halal dunia terbukti dengan penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yang diletakkan di bawah Badan Bertindak Pelaksanaan Kebangsaan (NITF) untuk menjadi sebuah institusi yang memfokuskan usaha memajukan industri halal di negara ini. HDC berperanan dan bertanggungjawab untuk menjadi peneraju kepada penetapan piawaian halal termasuk proses mengaudit, pengeluaran sijil halal bagi melindungi integriti halal, membangun, mempromosi dan memasarkan jenama halal Malaysia dan mempromosi konsep barangan halal dan perkhidmatan di Malaysia kepada pasaran dunia yang lebih luas.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang membangunkan piawaian makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2004. Ternyata, Malaysia mempunyai kelebihan dan kepakaran menerajui industri halal ini. Di samping itu, kerajaan proaktif dengan menyediakan lapan taman perindustrian pengeluaran produk dan perkhidmatan halal negara dan juga menawarkan insentif menarik untuk menggalakkan perniagaan untuk menyertai industri halal di Malaysia termasuklah elaun cukai pelaburan untuk pengeluaran makanan halal, faedah istimewa untuk eksport produk halal dan pengecualian duti import bahan mentah.

Perdagangan halal di pasaran global mencatatkan nilai RM7.4 trilion setahun dan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia yang dianggarkan 1.6 bilion adalah pemangkin kepada perkembangan industri halal. Justeru, penglibatan dan usaha berterusan dari semua pihak melalui agensi kerajaan, pihak swasta, usahawan-usahawan mampu merealisasikan hasrat kerajaan menjadi peneraju dan pusat halal sedunia.  


Oleh NADZIR AWANG AHMAD 
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan 
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

ISU DADAH : SEJUTA PENAGIH DADAH DI MALAYSIA

Taburan Penagih Tertinggi Di 14 Buah Ibu Negeri Bagi Januari 2009
Malaysia berhasrat menjadikan tahun 2015 sebagai tahun dadah sifar iaitu tahun di mana kita bebas sama sekali daripada gejala penagihan dadah. Tahun 2003 sudah pun diisytiharkan sebagai Tahun Memerangi Dadah Habis-habisan. Apa yang sangat membimbangkan ialah hakikat bahawa bilangan penagih dadah semakin meningkat dan kini dianggarkan sudah berjumlah satu juta. Satu juta penagih dalam negara yang penduduknya 23 juta adalah jumlah yang sangat besar. Penduduk Thailand 63 juta. Penagih dadah di negara jiran itu dianggarkan tiga juta.

Nampaknya strategi mencegah tidak berkesan dan strategi pemulihan juga tidak ke mana. Kenapa keadaan bertambah buruk dan tidak bertambah baik? Masalah paling besar ialah kegagalan mencegah dadah daripada dibawa masuk ke negara kita. Dadah yang disalahgunakan oleh penagih di Malaysia dibawa masuk dari Thailand. Penyeludupan dadah serta pasarannya dikuasai oleh mereka yang berani mati. Kita semua sering bertanya kenapa sukar sangat hendak menyekat dadah daripada dibawa masuk dan dipasarkan di negara kita. Hanya mereka yang tahu sahaja akan memahami kesukarannya. Memerangi penyeludupan dadah jauh lebih sukar daripada apa yang dapat kita fikirkan. Ia tentang duit, ugutan dan pembunuhan. Masalah akan lebih rumit jika berlaku `pagar makan padi'.

Ada cadangan supaya kita membina tembok sepanjang sempadan dengan Thailand. Ini mungkin berkesan, tapi sejauh mana kesannya? Penyeludup akan memikirkan seribu macam cara lain. Walaupun sukar, berat dan bahaya, gejala dadah perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Ia juga ada kaitan dengan gejala AIDS yang turut meningkat. Malaysia sudah pasti menjadi negara maju pada tahun 2020 tetapi apakah gejala-gejala yang sedang mengancam kita akan merosakkan segala-gala yang telah dibina dengan penuh susah payah itu?

Thailand mengambil jalan drastik dalam usaha memerangi gejala salah guna dadah - tembak mati. Bila Perdana Menterinya melancarkan kempen memerangi gejala itu, lebih 2,000 orang yang disyaki terbabit ditembak mati dalam tempoh tiga bulan. Pada akhir kempen itu, diisytiharkan 90 peratus daripada masalah yang dihadapi berjaya diselesaikan. Bagaimanapun cara kempen itu dibuat dikecam oleh Amnesty International. Apakah kita perlu ikut cara Thailand? Jika tidak, apa hendak dibuat? Kita tidak mempunyai sepuluh tahun untuk menghapuskan gejala ini. Jika trend semasa tidak dapat disekat, satu juta penagih yang ada hari ini akan bertambah menjadi dua juta. Bertindaklah sebelum kita sampai ke tahap di mana terdapat seorang penagih dalam setiap keluarga.


Sumber
Utusan Malaysia
30 Mei 2004


31 Oktober 2010

KARANGAN STPM : AMALAN MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN


Tabiat merokok menjadi panorama biasa dalam masyarakat kita. Tabiat buruk ini berlaku kerana kita terdedah dalam persekitaran yang tidak memberangsangkan. Sebenarnya, tabiat ini banyak memberikan kesan negatif kepada kita dan kebanyakan masyarakat tahu akan risiko yang dihadapi akibat merokok. Malangnya, masalah ini menjadi semakin serius dan diamalkan oleh sebilangan besar warganegara Malaysia. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan telah memperuntukkan RM17 juta untuk kempen “Tak Nak” demi menentang tabiat merokok di seluruh negara. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan juga menghadapi pelbagai halangan yang menyekat usaha tersebut dan trend ini amat membimbangkan semua pihak.

Amalan merokok sebenarnya menyumbang pelbagai masalah kesihatan dalam kalangan penduduk Malaysia. Merokok merupakan penyebab utama gangguan kesihatan serta kematian sebelum sampai masanya statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Statistik  telah menunjukkan bahawa bilangan kematian yang berpunca daripada barah paru-paru dianggarkan sebanyak 14733 orang bagi tempoh antara tahun 1995 hingga tahun 2000. Hakikatnya, perokok akan diserang pelbagai penyakit yang berpunca daripada tembakau. Mereka akan mengalami penyakit sekatan pulmonary kronik (COPD) yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, batuk berkahak, dan memberikan kesan kepada jantung. Hal ini demikian kerana mereka akan menyimpan satu persepuluh partikel asap dalam jantung mereka dan menggandakan risiko mati. Tegasnya, seseorang yang kuat merokok lebih terdedah kepada risiko maut berbanding dengan orang lain yang tidak merokok. 

Selain memberikan kesan kepada perokok itu sendiri, merokok juga membawa kesan buruk kepada orang lain. Orang yang tidak merokok boleh juga diserang penyakit apabila terhidu asap tembakau rokok yang dihembus keluar oleh perokok. Hal ini demikian kerana kandungan asap tembakau ini mengandung bahan kimia yang beracun juga. Manakala, merokok dalam kalangan perempuan yang mengandung boleh mencacatkan proses pembesaran bayi di dalam rahim. Bahan kimia yang terkandung dalam asap rokok boleh memberikan kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan yang kurang daya tahan. Akibatnya, anak yang dikandung itu mungkin akan dilahirkan cacat tubuh badan.  Bayi-bayi berkenaan turut terdedah kepada serangan penyakit paru-paru, batuk-batuk, selesema, dan sakit kerongkong. Kesemuanya ini merupakan kesan-kesan perokok terhadap orang di sekelilingnya.

Memandangkan kesungguhan kerajaan terhadap kempen “Tak Nak” untuk mencegah tabiat merokok dalam halakah masyarakat, tetapi pihak kerajaan telah mengalami pelbagai halangan yang menyekat usaha ini. Antaranya ialah halangan daripada pengaruh media massa, terutamanya iklan. Pengaruh iklan paling susah dikawal oleh pihak kerajaan dalam usaha membanteras amalan merokok. Pihak kerajaan harus mengharamkan iklan rokok yang dipamerkan dalam media massa, sama ada dalam media cetak atau media elektronik. Pihak berkuasa juga harus menghalang iklan barangan lain atau perkhidmatan menggunakan jenama rokok dan restoran yang  mempamerkan iklan rokok dengan besar-besaran juga perlu dihalang. Iklan yang membawa mesej rokok bahawa merokok merupakan simbol imej dan kelelakian harus dicegah dengan secepat mungkin. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, pengaruh iklan memang menghalang usaha dan perbelanjaan kerajaan. 

Selain itu, tabiat perokok sendiri turut menghalang usaha kerajaan dalam mencegah tabiat merokok. Sikap perokok yang lemah semangat untuk menghentikan tabiat tersebut menyebabkan usaha kerajaan mengalami kegagalan. Walaupun perokok sedar kebahayaan rokok, namun mereka turut tidak peduli akan kebahayaan merokok. Hal ini demikian kerana sesetengah bapa perokok juga menghisap rokok tetapi mereka masih boleh hidup sampai 80 tahun. Sementelahan, sesetengah perokok sudah tertagih terhadap rokok dan susah untuk berhenti walaupun telah cuba beberapa kali. Kebanyakan perokok pula tidak dapat mengawal nafsu mereka justeru mereka tidak berhasrat untuk menghentikannya. Dengan itu, keinsafan diri di peringkat tertinggi amat diperlukan kerana tiada cara yang paling berkesan untuk menghentikan ketagihan.

Bertitik tolak daripada itu, undang-undang yang kurang tegas juga merupakan halangan yang menyekat usaha kerajaan dalam menentang tabiat merokok. Seperti frasa yang sering diperkatakan, “ ada undang-undang yang ditetapkan, tetapi tiada polis yang melaksanakannya”. Senario ini telah menyebabkan amalan merokok menjadi semakin berleluasa. Misalnya, papan tanda yang menunjukkan “dilarang merokok” yang diletakkan di kawasan awam sering kali hanya untuk pameran sahaja. Hal ini demikian kerana tiada hukuman yang dijalankan bagi perokok yang menghisap rokok di kawasan awam. Dengan itu, hukuman yang berat harus dijalankan supaya penjual rokok akan takut. Tambahan pula, kekurangan pegawai yang membuat rondaan di tempat awam juga menyebabkan usaha kerajaan disekat. Tegasnya, undang-undang yang tidak dikuatkuasakan akan menyekat usaha kerajaan. 

Secara intihanya, tabiat merokok sememangnya merupakan tabiat yang buruk dan harus dihapuskan. Walter B.Pitkin ada berkata, “Jangan menyesali kegagalan yang dialami dengan menuduh atau menyalahkan orang lain, tetapi akuilah sesungguhnya kegagalan itu adalah kerana pembuatan sendiri.” Kata-kata itu sengaja dipetik untuk memberitahu bahawa mereka gagal untuk berhenti merokok ibarat orang yang gagal dalam melawan dengan nafsu. Hal ini demikian kerana tabiat merokok sendiri merupakan halangan yang susah disekat oleh kerajaan. Dengan kurangnya perokok di negara kita, maka kadar kematian rakyat kita akibat tabiat merokok dapat dikurangkan dan suasana yang bebas daripada pencemaran udara turut dihasilkan. Dengan ini, negara kita tidak akan kehilangan golongan yang produktif dalam pembangunan negara.

HASIL KARYA PELAJAR
Rasul Iman Ramzani
SMK Sacred Heart
2010

30 Oktober 2010

KATA ADJEKTIF

MENUNJUKKAN KESERASIAN MAKNA

1. cantik molek
2. lemah lembut
3. pucat lesi

MENUNJUKKAN MAKNA BERLAWANAN

1. tua muda
2. kecil besar
3. buruk baik

MENUNJUKKAN KEINDAHAN BUNYI RIMA

1. selang-seli
2. kusut-masai
3. terang-benderang

MENUNJUKKAN PERSAMAAN RUPA ATAU WARNA

1. kuning telur
2. hijau daun
3. merah darah

MENUNJUKKAN MAKSUD KIASAN

1. kepala angin
2. keras kepala
3. ringan tulang

                                                                                 

GELARAN KETURUNAN ATAU GELARAN WARISAN

KETURUNAN RAJA-RAJA YANG MEMERINTAH

1. Raja = Perak dan Selangor
2. Tunku / Ungku = Johor dan Kedah
3. Tengku / Engku = Kelantan, Pahang, Terengganu
4. Tuanku = Negeri Sembilan
5. Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda = Brunei

KETURUNAN ORANG BESAR-BESAR

1. Abang = Sarawak
2. Datu = Sabah
3. Awangku, Dayang = Brunei
4. Megat, Puteri, Meor = Perak
5. Nik = Kelantan
6. Tan = Kedah
7. Tuan = Terengganu
8. Wan = Kelantan dan Terengganu

KETURUNAN NABI MUHAMMAD SAW

1. Syed
2. Syarifah

KETURUNAN YANG BERASAL DARI LUAR MALAYSIA

1. Teuku, Teungku = Acheh
2. Raden = Jawa
3. Sutan, Sidi = Minangkabau
4. Daeng = Bugis

TEKNIK PENYAMPAIAN IDEA

TEKNIK DEDUKSI

1. Dimulai dengan penyatan umum
2. Ayat topik terlebih dahulu
3. Ayat topik diikutu dengan penyataan yang lebih khusus
4. Isi penting disampaikan dahulu
5. Diikuti dengan huraian dan kesimpulan

TEKNIK INDUKSI

1. Dimulai dengan khusus
2. Diikuti oleh penyataan umum
3. Huraian isi disampaikan dahulu
4. Huraian isi diikuti oleh isi penting dan kesimpulan
5. Ayat topik terletak pada bahagian akhir perenggan

TEKNIK ANALOGI

1. Merupakan kaedah perbandingan
2. Membandingkan topik utama dengan topik lain yang hampir sama
3. Untuk memudahkan khalayak memahami topik yang disampaikan

TEKNIK PENCERAKINAN

1. Dikenali juga sebagai teknik analisis
2. Mengembangkan topik yang telah dibincangkan kepada beberapa komponen
3. Kemudian, setiap komponen akan dihuraikan dengan jelas dan terperinci
                                                                                                                              
TEKNIK PENTAKRIFAN

1. menerangkan konsep, istilah atau pengertian tentang sesuatu perkara
2. digunakan dalam penulisan ilmiah yang berbentuk penerangan

TEKNIK PETIKAN

1. Digunakan bagi menyokong atau mengukuhkan perkara atau idea
2. Akan menambahkan keyakinan pembaca tentang sesuatu penulisan
3. Dua jenis petikan iaiatu Petikan secara langsung atau secara tidak langsung

ISU KANAK-KANAK : JANGAN KOMPROMI KESELAMATAN ANAK


Hari Kanak-kanak dipersetujui oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) pada 1954. Lima tahun kemudian, PBB mengisytiharkan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November 1959. Namun sejak 1959, Malaysia menyambut Hari Kanak-Kanak pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober. Sambutan berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak dalam menentukan kesejahteraan mereka sebagai aset negara yang paling berharga. Pada hari ini daripada 28 juta penduduk Malaysia, kira-kira 40 peratus atau 11.2 juta penduduk merupakan kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah. Biarpun kanak-kanak di negara ini hidup dalam persekitaran yang aman damai tanpa diancam kebuluran atau pergolakan bersenjata seperti beberapa negara lain, pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Antara masalah sosial yang membawa impak negatif kepada kanak-kanak di negara ini adalah masalah keganasan fizikal dan seksual, penderaan, kes kehilangan kanak-kanak dan buang bayi. Masalah lain yang menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan kanak-kanak di Malaysia sejak akhir-akhir ini termasuklah kes kanak-kanak yang didera sehingga mati oleh teman lelaki si ibu seperti kes yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari dan Allahyarham Aaliyah Aiman Hussin Abdullah serta kes bayi yang mati kerana pelbagai sebab di rumah pengasuh. Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM, Datuk Meme Zainal Rashid ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, antara kesedaran yang perlu ditingkatkan ialah sikap segelintir ibu tunggal muda mengenai keselamatan anak perempuan mereka yang dengan mudah meninggalkan anak perempuan bersama teman lelaki.

''Saya ingin nasihatkan ibu tunggal supaya tidak terlalu mudah mempercayai orang lain untuk meninggalkan anak masing-masing ketika keluar bekerja. Sepatutnya, ibu tunggal mencari pendekatan lain seperti meninggalkan anak kecil dengan keluarga sendiri berbanding teman lelaki. ''Namun, mungkin keadaan itu berlaku disebabkan oleh tekanan hidup seperti masalah kewangan dan sebagainya yang menghalang ibu berkenaan daripada menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak. "Walau apa pun masalah yang dihadapi oleh ibu berkenaan, aspek keselamatan anak mereka perlu diberi keutamaan," jelasnya.  Mengenai banyak kes bayi yang mati ketika dalam jagaan pengasuh pula, Meme berkata, kebanyakan pasangan bekerja memilih untuk meninggalkan anak mereka bersama pengasuh yang tinggal berdekatan rumah dan mengikut kemampuan masing-masing.

''Daripada maklumat yang JKM terima, terdapat pengasuh yang menjaga lebih seorang kanak-kanak, selain anak pengasuh itu sendiri. Bagaimanapun, di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, apabila seseorang pengasuh itu menjaga lebih daripada tiga orang kanak-kanak, mereka perlu berdaftar dengan JKM.  ''Jika pengasuh berkenaan gagal mendaftarkan diri, ibu bapa yang menghantar anak mereka kepada pengasuh itu perlu memastikan pengasuh anak mereka berdaftar. Pendaftaran boleh dibuat di talian Nur 15999. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pengasuh anak mereka berdaftar," katanya. Meme menambah, apabila seseorang pengasuh itu berdaftar dengan JKM, pemantauan aspek kebersihan, makanan dan sebagainya akan dijalankan setiap enam bulan. Jika pengasuh berkenaan tinggal di rumah pangsa yang kecil dengan ruang terhad, mereka tidak akan dibenarkan menjaga terlalu ramai kanak-kanak.


''Setiap pengasuh yang mendaftar dengan JKM akan diberikan sebuah buku garis panduan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak. JKM turut menganjurkan program Pengasuhan Prihatin yang disertai oleh 1,082 pengasuh sepanjang tahun lalu. Program berkenaan bertujuan membantu pengasuh yang kebanyakannya suri rumah meningkatkan pendapatan melalui khidmat asuhan yang berkualiti," katanya.  Kata beliau, mereka yang gagal mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.  Jelas Meme, sehingga kini belum ada pihak yang dihadapkan ke mahkamah di bawah akta berkenaan. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan sedang diambil untuk mendakwa beberapa pihak selepas ini.

Mengenai kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada JKM pula, beliau berkata, kes seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan sumbang mahram mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu. ''Pada tahun 2007, sebanyak 2,279 kes dilaporkan, diikuti dengan 2,780 pada 2008, 2,789 pada 2009 dan sehingga April 2010 sebanyak 1,010 kes dilaporkan.  ''Semua ini adalah kes yang dilaporkan kepada JKM menerusi talian Nur 15999. Mungkin kes sebenar adalah lebih tinggi, namun tidak dilaporkan," katanya sambil menambah sebahagian besar daripada mereka yang mendera kanak-kanak ialah individu yang dikenali mangsa. Sementara itu, bagi kes kanak-kanak hilang pula, jelas Meme, sebanyak 1,064 laporan diterima pada 2007; 1,141 pada 2008 dan 1,050 pada 2009. Sejumlah 30 peratus hingga 40 peratus daripada kes berkenaan berjaya dikesan.

Antara kes kanak-kanak hilang yang menggemparkan negara ialah Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Mayatnya ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan pada 17 September 2007 iaitu 27 hari selepas kehilangannya. Sehingga hari ini, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum berjaya dikesan. Sementara Sharlinie Mohd. Nashar pula dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008. Jelas Meme, semua pihak perlu menjadikan kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai pengajaran dan menganggap keselamatan kanak-kanak sebagai tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak di bahu ibu bapa, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan semata-mata.

''Semua individu dewasa bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak," katanya. Berdasarkan perkembangan semasa, sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun lalu dan tahun ini memberikan penekanan kepada keselamatan golongan tersebut. ''Tema sambutan Hari Kanak-kanak pada tahun lalu ialah Keluarga Selamat, Kanak-Kanak Terpelihara, sementara tema sambutan kali ini ialah Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Setiap Individu," katanya.


Oleh
ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia
30 Oktober 2010


ISU PELANCONGAN : KERAJAAN NEGERI PROAKTIF TARIK PELANCONG ASING

Malaysia adalah antara destinasi pelancongan utama dunia. Fakta ini berasaskan rangking Pelancongan Dunia yang dikeluarkan oleh Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) yang menunjukkan seramai 23.6 juta pelancong antarabangsa melawat Malaysia pada tahun 2009. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kesembilan sebagai negara paling ramai dikunjungi pelancong antarabangsa. Jumlah pelancong pada 2009 menunjukkan peningkatan seramai 2.6 juta pelancong antarabangsa berbanding pada 2007. Tahun 2009 sahaja, sektor pelancongan menjana pulangan sebanyak RM53 bilion. Jumlah pengaliran wang masuk ini memberi pulangan kepada ramai pihak dengan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan perniagaan.  Ini menggambarkan bahawa sektor pelancongan mempunyai potensi yang amat besar sekali untuk dimajukan sebagai antara sektor utama negara.


Atas hakikat ini, kerajaan telah menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan mengubah landskap ekonomi negara ke arah berpendapatan tinggi. Strategi ini tepat dan sesuai untuk negara kita yang mempunyai pelbagai produk pelancongan seperti pulau-pulau yang diiktiraf sebagai antara yang tercantik di dunia. Bayangkan, melalui sektor pelancongan, negeri seperti Melaka telah berjaya mengubah asas ekonominya sehingga diisytiharkan sebagai negeri maju. Usaha yang dilakukan selama 10 tahun oleh kerajaan negeri Melaka telah membuahkan hasil. Tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun akan datang, sasaran untuk menjadi sebuah negara maju dapat direalisasikan jika sektor pelancongan sentiasa diberi nilai tambah agar lebih istimewa berbanding negara-negara lain. Melaka berada pada kelasnya tersendiri sebagai sebuah negeri yang bersih, ditambah lagi dengan pelbagai produk pelancongan yang sentiasa diberi nilai tambah. Suatu ketika dahulu landskap Melaka tidaklah sebersih sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini.

Namun, setelah pelbagai tindakan proaktif diambil seperti memastikan segala sampah sarap dicari oleh pencari sampah dan bukannya sekadar mengutip sampah di tong-tong sampah, akhirnya tindakan proaktif ini berjaya menyerlahkan keindahan dan kebersihan negeri ini.  Tahap kebersihan boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan utama untuk menggamit kedatangan lebih ramai pelancong ke negara kita. Strategi-strategi yang dilaksanakan di negeri Melaka seharusnya diperluaskan lagi di negeri-negeri lain. Memajukan sektor pelancongan negara memerlukan tindakan proaktif dan bukannya tindakan reaktif yang tidak membawa sebarang kebaikan. Mengambil kira keuntungan yang melimpah ruah dari sektor pelancongan untuk negara dan rakyat, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan pada tahun depan sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2011. Antaranya, projek membangunkan resort bersepadu eco-nature berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi. Malaysia mempunyai tarikan dari segi keindahan alam semula jadi. Usaha untuk mempromosi produk-produk alam semula jadi, taman dan kebun botani boleh mengasyikkan dan menarik perhatian pelancong yang melawat Malaysia.

Mungkin kita boleh mempelajari serba sedikit bagaimana Fontainebleau Forest boleh menjadi destinasi paling ramai dikunjungi pelancong di Perancis dengan mengekalkan keindahan alam semula jadinya. Umum mengetahui, Perancis menduduki tangga pertama di dunia dari segi bilangan ketibaan pelancong. Sudah tentu negara itu mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Strategi-strategi yang digunakan Perancis seharusnya dipelajari oleh pihak-pihak berkaitan di negara ini. Ini kerana Malaysia juga seperti Perancis, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Mempunyai flora dan fauna yang masih terpelihara, bangunan-bangunan bersejarah dan mercu tanda kebanggaan negara seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang menjadi antara tempat tumpuan utama pelancong luar dan domestik. Justeru itu, pembangunan projek Menara Warisan Merdeka seperti yang diumumkan Perdana Menteri akan menjadi produk pelancongan terbaru negara.

Yang menariknya, bangunan-bangunan bersejarah seperti Stadium Merdeka dan Stadium Negara dikekalkan identitinya meskipun diadun dengan pembinaan menara moden 100 tingkat. Berkonsepkan bangunan hijau, produk pelancongan terbaru ini bakal menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia. Selain itu, pelbagai acara, program, pesta dan karnival yang diadakan setiap tahun boleh menggamit kedatangan pelancong. Misalnya, program pelancongan seperti pelancongan Ramadan juga boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong. Suasana Ramadan berbeza sama sekali berbanding bulan-bulan lain. Ketika ini, pelbagai juadah dan kuih muih dapat dilihat di bazar-bazar Ramadan. Kemeriahan Ramadan di Malaysia secara tidak langsung mampu mempesonakan pelancong luar untuk datang ke negara kita. Mereka sanggup berbelanja lebih demi merasai kelainan di negara kita.

Malahan, pengumuman pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan dijangka meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna pada bulan Ramadan tahun depan. Dengan menggunakan pelbagai strategi ampuh untuk memikat kedatangan pelancong ke Malaysia, tidak mustahil pada tahun depan, angka kedatangan pelancong luar ke Malaysia bakal mencatatkan peningkatan yang membanggakan, seterusnya mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.


Oleh
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan 
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

Utusan Malaysia
30 November 2010

ISU RASUAH : DI MANA SILAP KEJATUHAN INDEKS PERSEPSI RASUAH (CPI) ?


Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2010 yang diumumkan pada 26 Oktober 2010 memperlihatkan skor Malaysia jatuh 0.1 mata dari 4.5 pada 2008 ke skor 4.4. Dari segi kedudukan pula, Malaysia kekal di kedudukan 56 berbanding 178 negara yang terlibat. Walaupun kejatuhan skor 0.1 dianggap kurang signifikan, namun merenung pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, timbul persoalan apakah lagi penambahbaikan yang perlu dibuat oleh kerajaan untuk menjadikan CPI ini kembali ke takuk 5.0 sebagaimana pada 1995 hingga 2001. Berbanding negara jiran tetangga, khususnya Hong Kong, Singapura dan Brunei, langkah dan inisiatif yang kita laksanakan jauh lebih banyak dan lebih baik, namun di mana kurangnya lagi?

Apakah tidak cukup inisiatif, dasar, program dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia selama ini? Bagaimana dan apakah bentuk, kaedah mahupun pendekatan lain yang harus diguna pakai bagi meningkatkan tahap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap negara ini? CPI merupakan indeks persepsi rasuah yang telah dikeluarkan oleh Transparency International (TI), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman sejak tahun 1995. Indeks ini hanya mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara di mana kedudukan sesebuah negara akan disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit. CPI dikeluarkan berdasarkan pengumpulan kajian-kajian oleh pelbagai pihak, terutamanya berdasarkan soal selidik yang dijalankan ke atas ahli-ahli perniagaan luar negara dengan penekanan diberi kepada elemen rasuah.

Namun begitu, hasil kajian yang dijalankan oleh TI dan metodologi yang digunakan menimbulkan persoalan dan ketidakpuasan banyak pihak termasuk beberapa tokoh dalam TI sendiri. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan CPI merupakan satu bentuk western cultural imperialism. Jeremy Pope yang mengasaskan TI pada 1993 menyatakan: ''...agak jelas dalam laman web Transparency International bahawa anda tidak boleh membandingkan pencapaian satu tahun dengan tahun yang sebelumnya dan ada pelbagai alasan teknikal untuk menjelaskan perkara ini. Sampel yang digunakan berbeza dan senarai soalannya juga berbeza. Kesemuanya bersifat anggaran kasar dan sudah bersiap sedia kerana ia adalah kaji selidik yang bercampur-campur di mana orang yang terlibat tidak pernah ditanya tentang rasuah. Mereka hanya pernah ditanya tentang sesuatu yang agak hampir dengan rasuah tetapi bukan rasuah yang sebenar. Ini adalah satu pendekatan yang tidak tepat dan tidak mengikut turutan waktu."

Persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini masih banyak tidak terjawab, malah oleh pihak TI sendiri. Bahkan pada 2004, Frederik Galtung, antara orang yang bertanggungjawab memperkenalkan CPI telah mempertikaikan kaedah atau metodologi kajian tersebut dan penggunaannya. Kajian yang dijalankan oleh TI tidak berasaskan kajian dan pengumpulan data oleh mereka sendiri. Sebaliknya, TI mengitar semula kajian atau kerja yang dilakukan oleh organisasi-organisasi lain dalam membentuk indeks komposit. Menurut kenyataan TI, sumber kepada penghasilan CPI pada tahun ini diambil daripada 13 kajian yang telah dijalankan oleh 10 institusi bebas. Bagi Malaysia, sebanyak sembilan kajian telah digunakan sebagai sumber utama dalam penetapan CPI pada tahun ini, iaitu:

1. Bertelsmann Transformation Index 2009
2. Country Risk Service 2010
3. Global Risk Service 2010
4. Asian Intelligence by Political and Economic Risk Consultancy 2009
5. Asian Intelligence by Political and Economic Risk Consultancy 2010
6. World Global Competitiveness Report 2009
7. World Global Competitiveness Report 2010
8. Global Competitiveness Report 2009
9. Global Competitiveness Report 2010


Apabila CPI diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara yang dikaji dengan skor mata 5.28. Kedudukan negara dalam CPI mula menurun ke tangga 26 (1996), tangga 32 (1997) dan terus merosot ke kedudukan 56 dalam tempoh 15 tahun sejak CPI diperkenalkan. Dari segi skor pula, skor terbaik yang pernah dicapai adalah pada tahun 1996 iaitu 5.32 manakala skor paling rendah pada tahun ini, iaitu 4.4. Walaupun Malaysia merosot dari segi kedudukannya, namun secara umumnya skor Malaysia masih berada di peringkat pertengahan. Di samping itu, bilangan negara yang dikaji perlu juga diambil kira yang mana sebanyak 178 negara terlibat dalam CPI 2010 berbanding hanya 41 negara pada 1995.

Dalam pada itu, terdapat inisiatif kerajaan bagi memerangi rasuah di negara ini. Seperti yang diakui oleh Presiden Transparency International (Malaysia) Datuk Paul Low, kerajaan Malaysia tidak pernah berdiam diri dalam hal ini, malah telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi rasuah. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

* Penubuhan Institut Integriti Malaysia
* Pelan Integriti Nasional
* Menaiktaraf BPR kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
* Menubuhkan lima panel/lembaga dan jawatankuasa bebas untuk menasihati dan memantau perjalanan SPRM agar wujud ketelusan dan kebebasan
* Mewujudkan Mahkamah Khas bagi membicarakan kes-kes rasuah
* Mewujudkan Unit Pematuhan di setiap agensi kerajaan berisiko
* Mewujudkan pangkalan data pesalah rasuah
* Mewujudkan undang-undang berkaitan perlindungan saksi

Kejatuhan CPI wajar direnungi

Pelbagai sasaran ditetapkan untuk memastikan CPI berada di skor yang lebih baik. Antaranya, Pelan Integriti Nasional yang menetapkan sasaran menaikkan skor ke tahap 6.5. Manakala NKRA menetapkan sasaran untuk memperbaiki CPI 2010 ke tahap 4.9. Kesemua sasaran ini tersasar dan tidak mencapai objektif yang dihasratkan. Kenapa dan di mana silapnya?

Antara kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

Usaha untuk menaikkan skor CPI ini hanya diletakkan di bawah tanggungjawab entiti tertentu sahaja seperti SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan NKRA;

Untuk mencapai sasaran skor CPI yang ditetapkan, IIM dan NKRA dilihat tidak fokus kepada usaha mengenal pasti, menganalisis dan mendekati sembilan bentuk kajian yang digunakan oleh CPI untuk dijadikan asas bagi membentuk strategi dan pendekatan meningkatkan persepsi serta imej negara;

Strategi dan pendekatan yang diguna pakai IIM dan NKRA wajar dikaji semula;

Kumpulan sasaran iaitu golongan peniaga dan pelabur domestik dan antarabangsa yang merupakan sampel kajian tidak pernah didekati dan dijelaskan berhubung inisiatif dan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan;

Keseriusan kerajaan dalam memerangi rasuah dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif tidak disambut secara bersungguh-sungguh oleh sebahagian besar agensi kerajaan.

Terlalu banyak publisiti berhubung kes-kes rasuah di media massa menyebabkan wujud persepsi bahawa rasuah amat berleluasa di negara ini;

Tindakan segelintir ahli politik yang suka memburuk-burukkan Malaysia di luar negara turut mempengaruhi tahap persepsi ini;

Perlakuan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika membentangkan kertas kerja di persidangan antarabangsa mengkritik dan memburuk-buruk kerajaan;

Cadangan penambahbaikan CPI

Sekiranya pihak terbabit benar-benar serius dengan usaha untuk menaikkan CPI pada masa akan datang, berikut adalah antara cadangan yang boleh diambil untuk dijadikan panduan:

Menganalisis secara menyeluruh kesembilan kajian yang digunakan oleh TI untuk menghasilkan CPI;

Mengenal pasti secara spesifik apakah permasalahan rasuah yang berlaku, sektor-sektor yang terlibat, peraturan-peraturan yang berkaitan berdasarkan hasil kajian tersebut;

Mengadakan pertemuan dengan institusi-institusi terlibat bertujuan mendapatkan gambaran dan menjelaskan inisiatif-inisiatif yang telah diambil kerajaan Malaysia;

Mendekati NGO yang memperjuangkan integriti, hak asasi manusia dan ahli-ahli akademik agar diberikan pendedahan dan maklumat secukupnya bagi membantu menjelaskan peranan Malaysia dalam memerangi rasuah dalam forum atau persidangan antarabangsa.


Oleh KHOO CHAI LEE
Utusan Malaysia
30 Oktober 2010