Malaysia adalah antara destinasi pelancongan utama dunia. Fakta ini berasaskan rangking Pelancongan Dunia yang dikeluarkan oleh Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) yang menunjukkan seramai 23.6 juta pelancong antarabangsa melawat Malaysia pada tahun 2009. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kesembilan sebagai negara paling ramai dikunjungi pelancong antarabangsa. Jumlah pelancong pada 2009 menunjukkan peningkatan seramai 2.6 juta pelancong antarabangsa berbanding pada 2007. Tahun 2009 sahaja, sektor pelancongan menjana pulangan sebanyak RM53 bilion. Jumlah pengaliran wang masuk ini memberi pulangan kepada ramai pihak dengan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan perniagaan. Ini menggambarkan bahawa sektor pelancongan mempunyai potensi yang amat besar sekali untuk dimajukan sebagai antara sektor utama negara.
Atas hakikat ini, kerajaan telah menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan mengubah landskap ekonomi negara ke arah berpendapatan tinggi. Strategi ini tepat dan sesuai untuk negara kita yang mempunyai pelbagai produk pelancongan seperti pulau-pulau yang diiktiraf sebagai antara yang tercantik di dunia. Bayangkan, melalui sektor pelancongan, negeri seperti Melaka telah berjaya mengubah asas ekonominya sehingga diisytiharkan sebagai negeri maju. Usaha yang dilakukan selama 10 tahun oleh kerajaan negeri Melaka telah membuahkan hasil. Tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun akan datang, sasaran untuk menjadi sebuah negara maju dapat direalisasikan jika sektor pelancongan sentiasa diberi nilai tambah agar lebih istimewa berbanding negara-negara lain. Melaka berada pada kelasnya tersendiri sebagai sebuah negeri yang bersih, ditambah lagi dengan pelbagai produk pelancongan yang sentiasa diberi nilai tambah. Suatu ketika dahulu landskap Melaka tidaklah sebersih sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini.
Namun, setelah pelbagai tindakan proaktif diambil seperti memastikan segala sampah sarap dicari oleh pencari sampah dan bukannya sekadar mengutip sampah di tong-tong sampah, akhirnya tindakan proaktif ini berjaya menyerlahkan keindahan dan kebersihan negeri ini. Tahap kebersihan boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan utama untuk menggamit kedatangan lebih ramai pelancong ke negara kita. Strategi-strategi yang dilaksanakan di negeri Melaka seharusnya diperluaskan lagi di negeri-negeri lain. Memajukan sektor pelancongan negara memerlukan tindakan proaktif dan bukannya tindakan reaktif yang tidak membawa sebarang kebaikan. Mengambil kira keuntungan yang melimpah ruah dari sektor pelancongan untuk negara dan rakyat, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan pada tahun depan sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2011. Antaranya, projek membangunkan resort bersepadu eco-nature berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi. Malaysia mempunyai tarikan dari segi keindahan alam semula jadi. Usaha untuk mempromosi produk-produk alam semula jadi, taman dan kebun botani boleh mengasyikkan dan menarik perhatian pelancong yang melawat Malaysia.
Mungkin kita boleh mempelajari serba sedikit bagaimana Fontainebleau Forest boleh menjadi destinasi paling ramai dikunjungi pelancong di Perancis dengan mengekalkan keindahan alam semula jadinya. Umum mengetahui, Perancis menduduki tangga pertama di dunia dari segi bilangan ketibaan pelancong. Sudah tentu negara itu mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Strategi-strategi yang digunakan Perancis seharusnya dipelajari oleh pihak-pihak berkaitan di negara ini. Ini kerana Malaysia juga seperti Perancis, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Mempunyai flora dan fauna yang masih terpelihara, bangunan-bangunan bersejarah dan mercu tanda kebanggaan negara seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang menjadi antara tempat tumpuan utama pelancong luar dan domestik. Justeru itu, pembangunan projek Menara Warisan Merdeka seperti yang diumumkan Perdana Menteri akan menjadi produk pelancongan terbaru negara.
Yang menariknya, bangunan-bangunan bersejarah seperti Stadium Merdeka dan Stadium Negara dikekalkan identitinya meskipun diadun dengan pembinaan menara moden 100 tingkat. Berkonsepkan bangunan hijau, produk pelancongan terbaru ini bakal menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia. Selain itu, pelbagai acara, program, pesta dan karnival yang diadakan setiap tahun boleh menggamit kedatangan pelancong. Misalnya, program pelancongan seperti pelancongan Ramadan juga boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong. Suasana Ramadan berbeza sama sekali berbanding bulan-bulan lain. Ketika ini, pelbagai juadah dan kuih muih dapat dilihat di bazar-bazar Ramadan. Kemeriahan Ramadan di Malaysia secara tidak langsung mampu mempesonakan pelancong luar untuk datang ke negara kita. Mereka sanggup berbelanja lebih demi merasai kelainan di negara kita.
Malahan, pengumuman pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan dijangka meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna pada bulan Ramadan tahun depan. Dengan menggunakan pelbagai strategi ampuh untuk memikat kedatangan pelancong ke Malaysia, tidak mustahil pada tahun depan, angka kedatangan pelancong luar ke Malaysia bakal mencatatkan peningkatan yang membanggakan, seterusnya mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.
Oleh
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia
Utusan Malaysia
30 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan