02 November 2010

ISU SOSIAL : USAHA MEMASTIKAN HAK MANGSA JENAYAH TERBELA

Keadilan bukan saja perlu dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan. Ini adalah ungkapan umum sistem keadilan, termasuk sistem keadilan jenayah. Walaupun kita mempunyai perbezaan mengenai maksud atau cara mencapai keadilan, kita semua mahukan sistem keadilan jenayah yang sempurna – sistem yang memberi perhatian terhadap semua pihak dalam semua aspek. Banyak yang sudah diperkatakan mengenai hak orang yang tertuduh dan banyak juga tindakan yang diambil untuk memastikan tertuduh mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa pengiktirafan hak mangsa jenayah juga adalah prinsip sistem keadilan jenayah. Perasaan belas kasihan kepada mangsa jenayah tidak harus terhenti pada hari kejadian jenayah saja. Kesan jenayah terhadap jasmani, emosi dan psikologi mangsa, terutama jenayah berat seperti rogol, ragut, rompak dan bunuh (tidak terkecuali pornografi) amat serius. Mangsa akan menanggung kesan itu sepanjang hayatnya. Ramai mangsa jenayah menjalani kehidupan tidak sempurna selepas kejadian.

Dalam sistem diamalkan di negara kita, pendakwa raya menentukan jenis kesalahan dan pertuduhan. Mahkamah pula menentukan sama ada seseorang itu bersalah ataupun tidak. Dalam proses ini mahkamah mengambil kira bukti dibawa pihak yang terbabit, sama ada pendakwa atau tertuduh sendiri (atau melalui peguam). Sekiranya mahkamah mendapati seseorang itu bersalah, ia perlu mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dan kesan kesalahan itu. Dalam konteks ini, mahkamah boleh menentukan takat atau bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas penjenayah menurut peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang. Apakah peranan mangsa jenayah dalam proses pendakwaan dan penghakiman? Apakah keadilan yang boleh dituntut mangsa jenayah di dalam proses ini? Sehingga kini, mangsa jenayah tidak mempunyai apa-apa kuasa atau hak dalam menentukan pendakwaan dan perbicaraan, selain daripada tanggungjawab memberi bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan.

Dalam aspek lain, sistem keadilan diamalkan sekarang tidak memberikan mangsa hak undang-undang untuk mendapat ganti rugi akibat perbuatan jenayah, kecuali mangsa atau keluarganya membuat tuntutan atau menyaman pesalah dalam bentuk undang-undang sivil seperti tort. Sekiranya mangsa tidak membuat tuntutan sivil berkenaan, dia tidak akan mendapat apa-apa ganti rugi, walaupun kesan jenayah dilakukan amat serius.  Ini adalah sesuatu yang menarik untuk diberi perhatian kerana keadilan kepada mangsa jenayah bukan saja penjenayah dihukum, tetapi juga kebajikan mangsa jenayah dalam menjalani kehidupan selepas kejadian jenayah itu.  Konsep ganti rugi jenayah bukan perkara baru di sesetengah negara. Di negara kita, konsep ini sudah diperkatakan ahli akademik dan pengamal undang-undang pada seminar, tetapi ia belum lagi mencapai tempat yang selesa dalam sistem undang-undang.

Konsep ganti rugi jenayah penting kerana ia boleh menjadi sokongan kepada mangsa jenayah. Sekiranya mangsa pembunuhan ialah seorang bapa, satu-satunya pencari rezeki keluarga, apakah keadilan yang dapat diberikan kepada balu mangsa dan keluarganya selepas pembunuhan? Hukuman mati ke atas pembunuh mungkin boleh mengubati dendam atau geram, tetapi bagaimana pula dengan kualiti kehidupan mereka? Bayangkan sekiranya balu berkenaan tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai anak ramai, apakah keadilan sebenar kepada mereka? Begitu juga dalam kes kecederaan teruk menyebabkan mangsa kehilangan pancaindera atau kecacatan fizikal kekal serta menanggung kos rawatan tinggi. Tidak terkecuali mangsa jenayah domestik. Satu bentuk sokongan dan pemulihan, fizikal, emosi dan psikologi perlu diberi perhatian bersungguh-sungguh semua pihak, terutama pihak kerajaan. Banyak negara di dunia sudah mengambil pendekatan ‘mesra mangsa jenayah’. Ada negara yang mewujudkan undang-undang khas umpama piagam hak asasi kepada mangsa jenayah. Malah ada negara yang memberikan hak undang-undang kepada mangsa atau keluarganya hak untuk mendapat sedikit jumlah wang bayaran denda sekiranya penjenayah dihukum denda.

Pindaan Kanun Tatacara Jenayah 2010, yang diluluskan Jun lalu memberi sedikit cahaya kepada mangsa jenayah. Pindaan itu antara lain, mewajibkan mahkamah mendengar pernyataan mangsa jenayah atau seorang keluarganya mengenai kesan kesalahan ke atas mangsa atau keluarganya menerusi proses Pernyataan Kesan Terhadap Mangsa. Pindaan terbaru ini juga memberikan mahkamah kuasa menentukan ganti rugi kepada mangsa jenayah, mengeluarkan arahan mengenai peraturan selanjutnya bagi membantu mangsa seperti kaunseling dan seumpamanya.  Saya menyokong sepenuhnya pindaan ini. Ia adalah penambahbaikan kepada sistem keadilan jenayah di negara ini, walaupun ada beberapa penelitian perlu dibuat mengenai kaedah tertentu dalam pemakaian undang-undang ini kelak. Apa yang penting di sini ialah, kita sudah mula menyedari pentingnya mengiktiraf hak mangsa jenayah.

Pindaan itu merakam beberapa prinsip Piagam Hak-Hak Mangsa yang diiktiraf di sesetengah negara seperti Australia. Prinsip lain yang diiktiraf dalam Piagam Hak-Hak Mangsa Jenayah (seperti yang diiktiraf di New South Wales), Australia, termasuklah hak mangsa untuk mendapat layanan baik daripada agensi kerajaan yang terbabit seperti polis, mahkamah, hospital dan pendakwa raya. Sementara Biro Mangsa Jenayah dan Tribunal Pampasan Mangsa pula ditubuhkan bagi memberi bantuan kepada mangsa jenayah. Isu hak mangsa jenayah ini mesti dipandang berat oleh kerajaan. Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saja. Tindakan sewajarnya perlu disegerakan kerana pengiktirafan terhadap hak mangsa adalah elemen penting dalam sistem keadilan jenayah yang sempurna.  

Oleh Shamrahayu A Aziz  
Penolong Profesor 
Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails