27 Oktober 2010

BAHASA MELAYU KLASIK


1. Abad ke-11 hingga abad ke-14 ialah Zaman Bahasa Melayu Praklasik

2. Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga abad ke-19

CIRI-CIRI

1. Ditandai penggunaan kata pangkal ayat
2. Pengaruh bahasa Arab sangat ketara
3. Banyak menggunakan ayat pasif
4. Penggunaan ayat songsang amat ketara
5. Banyak menggunakan ayat majmuk yang panjang-panjang
6. Menggunakan Tulisan Jawi
7. Menggunakan partikel -lah, -tah, -kah
8. Penggunaan bahasa Istana

KERAJAAN YANG DIRANGKUMI BAHASA MELAYU KLASIK

1. Kerajaan Melaka
2. Kerajaan Acheh

BUKTI BAHASA MELAYU KLASIK MENERIMA PENGARUH ISLAM

1. Batu Bersurat Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu
2. Batu Bersurat Minye Tujuh, Acheh

SEBAB BAHASA MELAYU BERKEMBANG PESAT PADA ZAMAN MELAKA

1. Pengaruh politik Melayu
2. Tulisan jawi
3. Penyebaran agama Islam yang tinggi darjah kebudayaannya
4. Pengaruh perbendaharaan kata dari Bahasa Arab

BAHASA MELAYU PADA ZAMAN KEGEMILANGAN ACHEH

1. Karya sastera Islam ditulis dalam Bahasa Melayu
2. Surat-surat sultan Acheh kepada pemerintah Inggeris

BAHASA MELAYU KUNO

BAHASA MELAYU KUNO

1. Berkembang di Nusantara
2. Abad ke-7 hingga abad ke-13
3. Berkembang pada zaman kerajaan Srivijaya
4. Pengaruh bahasa Sanskrit amat ketara

PERBEZAAN BAHASA MELAYU KUNO DAN BAHASA MELAYU PURBA

1. Bahasa Melayu Purba dalam bentuk lisan sahaja
2. Bahasa Melayu Kuno dalam bentuk lisan dan tulisan

PERANAN BAHASA MELAYU KUNO PADA ZAMAN SRIWIJAYA

1. Bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya
2. Bahasa perantaraan
3. Bahasa pengantar dalam falsafah Buddha

FONOLOGI BAHASA MELAYU KUNO

1. Penggunaan bunyi separuh vokal bersuara /w/ untuk letupan dua bibir bersuara /b/
2. Tiada bunyi e-pepet atau vokal tengah
3. e-pepet diganti dengan vokal /a/
4. terdapat konsonan yang dihembuskan seperti bh, th, kh, dan dh

MORFOLOGI BAHASA MELAYU KUNO

1. Awalan mar- (awalan ber- dalam bahasa Melayu moden)
2. Awalan ni (awalan di- dalam bahasa Melayu moden)
3. Awalan nipar (awalan diper- dalam bahasa Melayu moden)
4. Apitan par-...-an (apitan per-...-an dalam bahasa Melayu moden)
5. Awalan ma- (awalan me- dalam bahasa Melayu moden)
6. Awalan mang- (awalan meng- dalam bahasa Melayu moden)

ASAL USUL BAHASA MELAYU

BAHAN BUKTI YANG MENGAITKAN
ISTILAH "MELAYU" DENGAN TEMPAT ATAU KERAJAAN.

1. Catatan seorang rahib Buddha bernama I-Tsing
2. Karya Ptolemy yang berjudul Geographike Sintaxis
3. Kitab Hindu purba yang berjudul Purana

ISTILAH YANG DIKAITKAN DENGAN "MELAYU"

1. Geographike Sintaxis = "maleu-kolon"
2. Kitab Purana = "malay dvipa"
3. I-Tsing = "mo-lo-yu"
4. Kesusasteraan Cina = 'kun-lun"

BANGSA MELAYU

1. Beragama Islam
2. Dapat bertutur dalam Bahasa Melayu
3. Mengamalkan adat istiadat Melayu

SUBKELUARGA BAHASA FILIPINA-FORMOSA

1. Bisaya
2. Tagalog
3. Bikul
4. Sulu
5. Tombulu
6. Iloko
7. Pula'u

KELOMPOK MELAYU-DEUTRO

1. Mereka pandai dalam bidang astronomi
2. Merekalah yang menurunkan bangsa Melayu dan bangsa Indonesia
3. Menetap di persisir pantai
4. Bekerja sebagai nelayan
5. Pandai bermasyarakat
6. Nenek moyang kepada orang asli seperti Jakun, Semang, Senoi
7. Dipercayai datang dari Yunan, China
8. Memiliki tamadun yang lebih maju

BAHASA NUSANTARA

1. Dikenali juga sebagai bahasa Hesperanesia
2. Keluarga bahasa yang terbesar
3. Meliputi Formosa, Maluku, Pulau Timor, dan Madagaskar
4. Penutur paling banyak
5. Mempunyai 200 hingga 300 bahasa

RUMPUN AUSTRONESIA

1. Melanesia
2. Mikronesia
3. Nusantara
4. Polinesia

KELOMPOK BAHASA OCEANESIA

1. Melanesia
2. Mikronesia
3. Polinesia

BAHASA MELAYU PURBA

1. Bahasa yang menurunkan Bahasa Melayu Kuno
2. Bahasa yang menurunkan Bahasa Melayu Induk
3. Bentuk bahasa yang paling awal.

ISU SOSIAL : PENINGKATAN KOS HIDUP TIDAK DAPAT DIELAK

Rakyat perlu sedar bahawa peningkatan kos hidup tidak dapat dielakkan apabila Malaysia mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada masa depan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan berlaku kerana kerajaan tidak dapat berterusan memberi subsidi bagi membolehkan harga barangan dan perkhidmatan terus rendah. "Saya menyokong dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Cuma saya bimbang rakyat mungkin menjangkakan peningkatan pendapatan ini akan dicapai tanpa disertai kos hidup lebih tinggi. "Oleh itu adalah lebih baik rakyat diberi amaran awal- awal lagi tentang hakikat ini," katanya dalam entri terbaru bertajuk Ekonomi Berpendapatan Tinggi dalam blog http://chedet.co.cc di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat juga harus mengubah persepsi yang menyangka peningkatan pendapatan akan menyebabkan mereka dapat membeli barangan dan perkhidmatan dalam jumlah lebih banyak. "Amerika Syarikat (AS) misalnya sekarang ini mempunyai pendapatan per kapita lima kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi ini bukan bermakna rakyatnya mempunyai kuasa beli lima kali ganda lebih besar daripada kita. Dalam kes tertentu, kuasa beli mereka sebenarnya adalah sama dengan rakyat Malaysia. Misalnya, berdasarkan Indeks Hamburger McDonald baru-baru ini, nilai seringgit adalah sama dengan satu dolar AS dalam membeli produk berkenaan. Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak tidak harus mengharapkan kerajaan memberi subsidi dengan menggunakan wang hasil minyak bagi mengurangkan kos hidup.

Keuntungan daripada penjualan minyak yang dicari gali dalam negara adalah tidak mencukupi kerana kita hanya menjual satu perempat daripada yang dikeluarkan dan selebihnya digunakan sendiri. Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir yakin kesan buruk daripada peningkatan kos hidup boleh dikurangkan jika kerajaan dapat memastikan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan adalah lebih rendah berbanding peningkatan pendapatan. Sementara itu, peningkatan pendapatan memang memberikan kesan positif dalam meningkatkan kuasa beli rakyat untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang diimport atau ketika berbelanja di luar negara.

26 Oktober 2010

VARIASI BAHASA : CIRI-CIRI BAHASA BAKU

01. Tidak mempunyai penutur asli
02. Menggunakan nahu yang betul
03. Bahasa yang tersusun
04. Bukan bahasa ibunda penutur
05. Perkataan tepat dan sesuai
06. Sebutan mengikut ejaan
07. Digunakan dalam penyampaian ucapan rasmi
08. Bahasa yang formal dan bersopan
09. Situasi yang formal dan rasmi
10. Tatabahasa tepat dan sesuai
11. Tidak menggunakan unsur kependekan (Singkatan)
12. Dituturkan oleh golongan berpendidikan dalam masyarakat
13. Struktur ayat pasif berbeza

ISU BAHASA : GURU BAHASA INGGERIS DIPANTAU OLEH 370 ORANG PAKAR DARI LUAR NEGARA


Sebanyak 370 orang pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil bekerja untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah bagi merealisasikan pelaksanaan dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pakar tersebut akan memantau pengajaran bahasa Inggeris khususnya untuk pelajar tahun satu sekolah rendah di seluruh negara. Pengambilan pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris agak mencabar dan mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris.  MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.


Sumber
Harian Kosmo
26 Oktober 2010

ISU ALAM SEKITAR : PUNCA-PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

Sukar mendapat kerjasama daripada pemilik tanah untuk membina kolam kumbahan menjadi antara masalah yang perlu ditangani oleh penyelenggara sistem pembetungan. Kebanyakan pemilik tanah enggan menjual atau menyewakan tanah mereka menyebabkan beberapa perancangan oleh syarikat gagal dilaksanakan.  Pada masa sama, kerajaan sudah membelanjakan RM1.64 juta untuk tujuan pengambilan balik tanah untuk projek pembetungan di Semenanjung. Itu adalah sebahagian daripada peruntukan 2006 dan proses ini memakan masa dan kos kian meningkat saban tahun. Menyedari pentingnya perkhidmatan pembetungan diswastakan, kerajaan menyerahkan pengurusannya kepada Indah Water Konsortium (IWK) pada 1993. Tugas utama syarikat ini ialah merancang, mereka bentuk, membina dan menyelenggara perkhidmatan pembetungan di kawasan setempat dengan kebenaran mengenakan tarif kepada pengguna.
 
Penswastaan sistem pembetungan negara hampir mengalami kegagalan kerana kebanyakan pengguna enggan membayar bil yang dianggap sebagai satu perkhidmatan yang mereka tidak boleh lihat mahupun rasa. Pada dasarnya, sistem pembetungan seharusnya disatukan dengan kitaran perkhidmatan air. Memisahkan pengurusan merumitkan urusan pentadbiran dan ini adalah antara tugas kerajaan di bawah rejim baru pengurusan air demi memastikan pengguna bakal membayar hanya satu bil saja pada masa depan. Setakat ini, projek Perkhidmatan Pembetungan di bawah RMKe-9 membabitkan 11 projek baru dan 47 projek sambungan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.012 bilion. Pada 2006, sebanyak RM754 juta dibelanjakan daripada peruntukan 2006 yang berjumlah RM759.4 juta iaitu 99 peratus untuk projek pembetungan negara.

Chin Yoong Kheong dalam bukunya, The Water Tablet Malaysian Water Reforms, mendedahkan setakat ini, 65 peratus daripada lima juta meter padu kumbahan yang dihasilkan sehari di Malaysia dihumban ke dalam sungai. Akibatnya 70 peratus daripada pencemaran sungai adalah najis manusia. Menjadi tugas IWK untuk memastikan perkara ini tidak berlaku. Namun kelemahan sistem pentadbirannya jelas apabila timbul tiga masalah utama yang dilihat mengancam kelancaran pengurusan dalam perkhidmatan itu.

Pertama, kegagalan menyedarkan pengguna mengenai pentingnya mereka memahami perkhidmatan pembetungan adalah satu bentuk perkhidmatan yang tidak boleh dilihat atau dirasai. Kedua, kebanyakan pengguna tidak mahu membayar bil perkhidmatan pembetungan hanya kerana mereka berasakan tidak terbabit secara langsung dengan perkhidmatan itu. Kebanyakan pengguna tidak menyedari sistem saluran paip air bawah tanah di rumah mereka sebenarnya berhubung terus ke loji rawatan air. Pengasingan dilakukan antara sisa utama tetapi cecair tetap dialirkan ke loji rawatan air untuk dirawat. Ketiga, tunggakan bil perkhidmatan yang tidak dijelaskan oleh pengguna mengakibatkan IWK berdepan dengan masalah kewangan dan ini membantutkan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, baru-baru ini, berkata IWK sedang menangani masalah itu dan berusaha untuk memulihkan kedudukan kewangan syarikat. Katanya, rakyat sebagai pengguna mempunyai peranan besar dalam memastikan sistem pembetungan ditingkatkan dan menjelaskan bil pembetungan adalah satu kerjasama terbaik, demi memastikan alam sekitar negara tidak tercemar hanya kerana kita gagal mengurus sisa kumbahan sendiri.


Sumber
Berita Harian
26 Oktober 2010





KEPENTINGAN MASYARAKAT PENYAYANG


“Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang dianugerahkan oleh Tuhan. Memandangkan dunia sekarang yang semakin penuh pancaroba dan aral melintang, maka masyarakat penyayang inilah yang menjadi tulang belakang negara ke arah merealisasikan visi kudsi yang semakin mendatang kira-kira 11 tahun lagi dari sekarang iaitu wawasan 2020. Lantaran itu, kerajaan telah menggariskan salah satu matlamat dan cabaran wawasan 2020 iaitu melahirkan masyarakat penyayang bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari pelbagai aspek. Persoalannya, apakah kepentingan masyarakat penyayang kepada masyarakat kita dari dahulu, kini dan selamanya? Persoalan inilah yang perlu dirungkai supaya masing-masing membuka mata agar masyarakat sebegini akan terus menjadi amalan dan berkekalan di negara kita.

Pembentukan masyarakat yang penyayang akan memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Seperti yang diketahui umum, masyarakat penyayang menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang antara satu sama lain. Mereka saling membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam dalam naluri dan sanubari mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan yang berjaya memupuk semangat muhibah dan perpaduan kerana rakyat masing-masing memupuk nilai penyayang. Begitu juga halnya ketika rakan-rakan atau saudara-mara yang mendapat musibah, kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Melalui nilai murni sebegini jelas terlihat mereka mengamalkan hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Jadi, sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan konsep Satu Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.

Selain itu, masyarakat penyayang mampu merobah paradigma masyarakat yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita lihat pada masa ini, kebanyakan warga kita sibuk mengejar kemewahan duniawi kerana bagi mereka hidup yang singkat ini perlu diisi dengan kemewahan. Mereka bekerja siang malam tanpa memikirkan peri pentingnya masyarakat penyayang kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Golongan inilah yang akan membantutkan usaha murni kerajaan ke arah mewujudkan masyakat penyayang secara bersepadu dan menyeluruh. Sebenarnya, melalui masyarakat penyayang kita akan lebih bersikap prihatin dan rasional tentang apa-apa yang berlaku dalam negara mahupun di luar negara. Sebagai tamsilnya, bencana alam yang dahsyat yang berlaku di beberapa buah tempat baru-baru ini seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, tsunami di Samoa, dan ribut taufan di Filipina memerlukan belas kasihan daripada rakyat negara kita untuk membantu kerana berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Secara implisit, masyarakat penyayang akan mengamalkan sikap saling menolong kerana tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.

Di samping itu, masyarakat penyayang mampu membawa perubahan ekonomi negara dan melonjakkan nama Malaysia di persada dunia. Sebenarnya, masyarakat sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita yang akan membawa pulangan berbilion-bilion ringgit kepada nusa yang tercinta ini. Rakyat Malaysia keseluruhannya diseru agar bersama-sama menunjukkan nilai kasih sayang supaya pelancong berduyun-duyun datang ke negara kita. Segala perkara negatif seperti keganasan, penderaan, dan sikap hidung tinggi perlulah dibuang jauh-jauh. Hakikatnya pelancong-pelancong dari negara atas angin dan bawah angin akan datang ke negara kita untuk melihat panorama indah yang unik di samping melihat rakyatnya yang penyayang. Misalnya, kedatangan pelancong perlu diraikan dengan nilai kasih sayang daripada setiap ahli masyarakat terutamanya pekerja yang terlibat secara langsung menguruskan hal ehwal mereka. Dengan ini, masyarakat penyayang telah membawa Malaysia ke landasan yang betul dengan memberi keuntungan kepada negara dan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara membangun malah negara maju yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh, kepentingan masyarakat penyayang akan mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni seperti yang diidam-idamkan oleh setiap keluarga. Ikatan silaturahim bertambah erat apabila ahli keluarga memainkan peranan terutamanya ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Lagipun ibu bapa berperanan untuk mendidik anak-anak sejak kecil ibarat melentur buluh biarlah ketika rebung supaya anak-anak akan mengamalkan nilai kasih sayang kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Contohnya, amalan gotong-royong dalam sesebuah keluarga, ibu bapa meluangkan masa untuk menemani anak-anak mengulang kaji pelajaran, bermain bersama-sama anak-anak dan sebagainya dapat mempererat hubungan mesra antara ibu bapa dengan anak-anak. Situasi ini mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai, porak-peranda, bergaduh kerana semua ahli keluarga mengamalkan sikap penyayang. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang membawa perubahan yang drastik terhadap keluarga kerana keluarga bahagia, negara sejahtera.

Kesimpulannya, masyarakat penyayang banyak memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Usaha mewujudkan masyarakat penyayang dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai ras, budaya, dan agama ini memerlukan kerjasama yang jitu daripada semua pihak kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Pembentukan masyarakat penyayang perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bukannya hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Usaha ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat kerana kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Dengan ini, saya mencadangkan supaya kita perlu menggembleng tenaga untuk meningkatkan usaha ke arah masyarakat penyayang bagi mewujudkan negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.



ISU BAHASA : HANYA BAHASA MELAYU MAMPU SATU PADUKAN RAKYAT


Tiada bahasa lain di Malaysia yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat negara ini selain daripada bahasa Melayu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Hal  ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang difahami seluruh rakyat negara ini dan dalam aspek menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum seperti di Malaysia penggunaan satu bahasa yang saling difahami oleh semua rakyat adalah sangat penting. Oleh sebab itu, dalam konteks negara kita Malaysia, harus kita akui tiada bahasa lain yang mampu menyatupadukan kita selain daripada bahasa Melayu. Penggunaan dan pembudayaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian tidak mustahil mampu untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia seterusnya memberi penghayatan yang lebih mudah kepada gagasan 1Malaysia.

23 Oktober 2010

ISU SOSIAL : RUTIN BELIA MALAYSIA : BOSAN DAN SEDIH

Kaji selidik sebuah komuniti online tempatan mendapati majoriti daripada 2,000 responden belia berusia antara 18 hingga 23 tahun di negara ini menempuh kehidupan secara rutin hingga mendorong kepada rasa bosan dan sedih. Kajian YouthSays.com mendapati, hanya 22.9 peratus responden bersetuju kehidupan mereka menyeronokkan. Selain itu, 99.3 peratus daripada responden mengakui kehidupan sepatutnya menggembirakan manakala 98 peratus daripada mereka bersetuju bahawa mencuba sesuatu yang baru adalah menyeronokkan. Pengarah Eksekutif Youth Asia, Joel Neoh, berkata pihaknya prihatin dengan perkembangan sosial golongan muda di negara ini dan mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program demi pembangunan belia. “Maklum balas yang diperoleh daripada kaji selidik ini memberi isyarat kepada kami untuk mewujudkan platform kekal bagi dijadikan sumber golongan muda di Malaysia mencapai kehidupan yang lebih menyeronokkan,” katanya, semalam. 
 
Antara rumusan kaji selidik YouthSays.com mendapati, responden cenderung menyalahkan pihak lain sebagai faktor yang mempengaruhi keseronokan atau kebosanan hidup mereka.  Selain itu, 67 peratus responden tidak berpuas hati dengan diri sendiri manakala 57 peratus lagi tidak berpuas hati dengan pensyarah atau majikan. Malah, 29 peratus daripada responden juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap ibu bapa. Responden juga menyatakan kali terakhir mereka merasa seronok ialah ketika sambutan ulang tahun dan meraikan hari istimewa lain. Neoh berkata, sebagai langkah mengatasi kebosanan golongan muda tempatan, Youth Asia memperkenalkan komuniti online terbaru, GroupsMore yang menawarkan diskaun untuk pelbagai aktiviti menyeronokkan serta tempat makan menarik untuk ahli berdaftar.


ISU ALAM SEKITAR : BANJIR DI AFRIKA


Menurut laporan badan amal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, sekurang-kurangnya 377 orang maut manakala seramai 1.5 juta penduduk terjejas dalam kejadian banjir besar yang melanda sebelah barat Afrika. Penyelarasan hal ehwal kemanusiaan PBB, Elizabeth Byrs berkata, situasi ketika ini semakin teruk dan berkemungkinan angka kematian akan meningkat. Benin, Niger dan Nigeria adalah negara yang paling teruk terjejas dimana hujan lebat turut memusnahkan kediaman, jalan raya dan tanah pertanian. Seramai 680,000 penduduk di Benin terjejas manakala seramai 118 orang angka korban di Nigeria ketika ini.