23 Oktober 2010

ISU SOSIAL : RUTIN BELIA MALAYSIA : BOSAN DAN SEDIH

Kaji selidik sebuah komuniti online tempatan mendapati majoriti daripada 2,000 responden belia berusia antara 18 hingga 23 tahun di negara ini menempuh kehidupan secara rutin hingga mendorong kepada rasa bosan dan sedih. Kajian YouthSays.com mendapati, hanya 22.9 peratus responden bersetuju kehidupan mereka menyeronokkan. Selain itu, 99.3 peratus daripada responden mengakui kehidupan sepatutnya menggembirakan manakala 98 peratus daripada mereka bersetuju bahawa mencuba sesuatu yang baru adalah menyeronokkan. Pengarah Eksekutif Youth Asia, Joel Neoh, berkata pihaknya prihatin dengan perkembangan sosial golongan muda di negara ini dan mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program demi pembangunan belia. “Maklum balas yang diperoleh daripada kaji selidik ini memberi isyarat kepada kami untuk mewujudkan platform kekal bagi dijadikan sumber golongan muda di Malaysia mencapai kehidupan yang lebih menyeronokkan,” katanya, semalam. 
 
Antara rumusan kaji selidik YouthSays.com mendapati, responden cenderung menyalahkan pihak lain sebagai faktor yang mempengaruhi keseronokan atau kebosanan hidup mereka.  Selain itu, 67 peratus responden tidak berpuas hati dengan diri sendiri manakala 57 peratus lagi tidak berpuas hati dengan pensyarah atau majikan. Malah, 29 peratus daripada responden juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap ibu bapa. Responden juga menyatakan kali terakhir mereka merasa seronok ialah ketika sambutan ulang tahun dan meraikan hari istimewa lain. Neoh berkata, sebagai langkah mengatasi kebosanan golongan muda tempatan, Youth Asia memperkenalkan komuniti online terbaru, GroupsMore yang menawarkan diskaun untuk pelbagai aktiviti menyeronokkan serta tempat makan menarik untuk ahli berdaftar.


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...