16 Oktober 2010

ISU PENDIDIKAN : KIRA-KIRA 600 ORANG GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) BAKAL KEHILANGAN PUNCA PENDAPATAN


Kira-kira 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di negeri ini bakal kehilangan punca pendapatan setelah kontrak mereka ditamatkan oleh Kementerian Pelajaran secara berperingkat bermula 10 Oktober lalu. Seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gulau di Sik, Amir Hamzah Harun, 33, berkata, setiap hari dia menunggang motosikal sejauh 150 kilometer dari Gurun untuk mengajar bagi menampung kehidupan bersama isteri, anak dan ibunya. Kalau kontrak ini ditamatkan, susah untuk dia menyara keluarga. Dia merayu kementerian agar menyambung kontrak guru GSTT kerana kebanyakan kami mempunyai pengalaman mengajar yang agak lama.

PENDAPAT CIKGU ZUL

Ramainya jumlah guru sandaran di negara kita pada masa ini. Jika di negeri Kedah sahaja jumlah GSTT ini mencecah ke angka 600 orang, jumlah GSTT di negeri lain pun lebih kurang sama. Bagi saya isu GSTT ini ditamatkan perkhidmatan mereka setelah mengajar begitu lama merupakan suatu kerugian kerana mereka telah lama menimba pengalaman dan merasai asam garam dunia pendidik. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan hak guru-guru terlatih yang beru berkhidmat bagi menggantikan GSTT tersebut. Mereka juga mempunyai kemahiran walaupun baru memasuki dunia perguruan. Bagi KPM, situasi ini ibarat diluah mati bapa, ditelan mati emak. Namun begitu, bagi mendapatkan keadilan semua pihak terutamanya GSTT sepatutnya merujuk kepada surat kontrak perkhidmatan mereka. Kita harus tahu kedudukan diri dan sedar bahawa nikmat yang diperoleh hari ini, tidak akan selama-lamanya dapat kita nikmati. Carilah penyelesaian yang terbaik melalui musyawarah, insya-allah permasalahan ini akan berakhir dengan penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak yang terlibat.

15 Oktober 2010

ISU EKONOMI : 15 INTIPATI PENTING BAJET 2011

INTIPATI 1
Menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN.

INTIPATI 2
Program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

INTIPATI 3
Mewujudkan "Portal 1Malaysia Pengguna Bijak".

INTIPATI 4
Memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan.

INTIPATI 5
Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.

INTIPATI 6
Melancarkan Dana Pencen Swasta.

INTIPATI 7
Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.

INTIPATI 8
Menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah seluruh negara.

INTIPATI 9
Meneruskan program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan.

INTIPAT 10
Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.
 
INTIPAT 11
Mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.

INTIPATI 12
Permohonan PR boleh dilakukan selepas lima tahun.

INTIPATI 13
Menyediakan empat bas sebagai Klinik Bergerak.

INTIPATI 14
Merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi.

INTIPATI 15
Memperkukuh JHEOA dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.



ISU EKONOMI : 10 INTIPATI PENTING BAJET 2011

INTIPATI 1
RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

INTIPATI 2
Pendaftaran prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

INTIPATI 3
RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap.

INTIPATI 4
RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

INTIPATI 5
Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

INTIPATI 6
Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

INTIPATI 7
Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

INTIPATI 8
Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

INTIPATI 9
Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

INTIPATI 10
Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

ISU EKONOMI : 10 INTIPATI PENTING BAJET 2011

INTIPATI 1
RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

INTIPATI 2
Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.

INTIPATI 3
Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenakan Bayaran Tetap.

INTIPATI 4
Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

INTIPATI 5
Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

INTIPATI 6
Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

INTIPATI 7
RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

INTIPATI 8
Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2010.

INTIPATI 9
Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.

INTIPATI 10
Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

ISU EKONOMI : 10 INTIPATI PENTING BAJET 2011

INTIPATI 1
Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

INTIPATI 2
RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.

INTIPATI 3
RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.

INTIPATI 4
Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

INTIPATI 5
RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

INTIPATI 6
Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.

INTIPATI 7
Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

INTIPATI 8
Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.

INTIPATI 9
Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

INTIPATI 10
Menubuhkan "Talent Corporation" di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

ISU EKONOMI : 10 INTIPATI PENTING BAJET 2011

INTIPATI 1
Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.

INTIPATI 2
Pembinaan projek bersepadu "Warisan Merdeka" dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

INTIPATI 3
Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

INTIPATI 4
Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

INTIPATI 5
Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.

INTIPATI 6
RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan pusat peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.

INTIPATI 7
RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.

INTIPATI 8
Pembangunan pusat peranginan bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan.

INTIPATI 9
Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.

INTIPATI 10
RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.


20 FAKTA PENTING MENJELANG PEPERIKSAAN STPM 2010


FAKTA 1
Cabang-cabang bahasa yang tergolong dalam rumpun bahasa Austronesia ialah Nusantara, Polinesia, Melanesia, dan Mikronesia.

FAKTA 2
Dalam keluarga bahasa Austronesia, cabang bahasa yang mempunyai bahasa yang paling banyak ialah Nusantara.

FAKTA 3
Dalam perkembangan menjadi Bahasa Melayu Moden, bahasa Melayu Klasik banyak mengalami perubahan dari segi sistem ejaan dan struktur ayat.

FAKTA 4
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

FAKTA 5
Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan mengikut Akta DBP 1959.

FAKTA 6
Bahasa pertama yang banyak mempengaruhi bahasa Melayu ialah bahasa Sanskrit, iaitu bahasa yang mempunyai hubungan yang rapat dengan agama Hindu.

FAKTA 7
Bahasa formal ialah bentuk bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi.

FAKTA 8
Retorik hujahan bertujuan untuk mendapatkan sokongan pembaca terhadap sesuatu pendapat atau fikiran.

FAKTA 9
Penghujahan deduksi ialah hujahan yang bermula dengan premis umum dan bergerak menuju kesimpulan. Bukti atau sokongan diberi sebelum dinyatakan kesimpulan.

FAKTA 10
Kata "yang" merupakan penanda ayat majmuk pancangan relatif.

FAKTA 11
Ayat tunggal dan ayat dasar mengandungi satu subjek dan satu predikat.

FAKTA 12
Bunyi vokal dihasilkan apabila udara dari paru-paru keluar berterusan melalui rongga tekak dan rongga mulut.

FAKTA 13
Kata ganda ialah kata yang diulang secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu sahaja.

FAKTA 14
Kata pemeri berperanan untuk memperjelas sesuatu hal atau perangkai antara subjek dan predikat.

FAKTA 15
Ayat songsang adalah ayat yang diterbalikkan struktur ayatnya, iaitu susunan subjek dan predikat akan disongsangkan.

FAKTA 16
Terdapat 18 pola keselarasan vokal yang telah ditetapkan untuk mengeja kata-kata dalam bahasa Melayu.

FAKTA 17
Kata terbitan terhasil daripada proses imbuhan, iaitu daripada percantuman bunyi-bunyi pertama dalam sejumlah perkataan, iaitu percantuman bahagian untuk membentuk satu perkataan baru.

FAKTA 18
Bunyi letupan dihasilkan dengan cara udara dilepaskan serta-merta.

FAKTA 19
Sewaktu menghasilkan vokal depan bibir berada dalam keadaan terhampar.

FAKTA 20
Sewaktu menghasilkan vokal belakang bibir berada dalam keadaan bundar.

ISU BAHASA : AMALAN SEKERAT BELUT SEKERAT ULAR MASIH BERLAKU (BAHASA ROJAK)

Dalam memperkatakan bahasa-bahasa di Malaysia - bahasa Melayu, Mandarin dan bahasa Tamil - bahasa Melayulah yang paling terdedah kepada perubahan. Perubahan di sini tidak bererti perubahan yang menggalakkan, tetapi perubahan yang boleh dianggap malap dan negatif. Pandangan sedemikian mungkin mendatangkan reaksi yang menyelar lantas menidakkannya. Cuma bila dibuat pengamatan yang serius, pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu sedang dicemar dan tercemar tidak dapat ditolak. Jika tiada kesedaran baru untuk menghalatujukan bahasa Melayu di alaf akan datang, orang Melayu mungkin kehilangan sebahagian pelengkap utama kehidupan mereka. Bahasa Melayu sudah terpampang sebagai bahasa kebangsaan. Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan sudah menjelaskan hal ini. Dalam pada itu Akta Bahasa Kebangsaan pula menokok lagi akan asas ini. Dari segi undang-undang tiada apa lagi yang harus dikhuatirkan.

Tetapi kita masih khuatir kerana bak kata bidalan lama "Berundang-undang mahir, bicara kalah.'' Kita sudah kalah bicara sebenarnya kerana ada beberapa hal yang tidak selari dengan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini, sekurang-kurangnya dari segi amalan memartabatkan bahasa Melayu. Antara undang-undang dan pelaksanaan tiada titik pertemuan yang memuaskan. Lantaran tiadanya penggunaan bahasa Melayu yang betul maka maruahnya akan terus dipersoalkan. Apakah bahasa Melayu akan berkembang maju selaras dengan pencapaian negara di bidang-bidang lain yang sedang dikejar menerusi dasar-dasar dalaman dan dasar-dasar globalisasi negara? Apakah rakyat Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya akan terus dapat mencintai bahasa rasmi negara mereka dengan persaingan yang ada antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu? Akan bertambah meningkatkah penggunaan bahasa Melayu di samping kemajuan bahasa Inggeris yang kini kian menjulang nilai dan tarafnya sebagai bahasa komersial dan bahasa antarabangsa?

Ada pihak berpendapat, biarlah masa saja yang menentukan persoalan-persoalan ini. Tetapi jika sikap itu yang dipilih bererti kita sudah mengalah. Dengan pendirian itu bererti kita sudah hilang maruah sebagai satu bangsa. Persoalan-persoalan di atas boleh dijawab jika kita berterus terang dan tidak takut mengakui beberapa tabii dan kelemahan kita, terutama orang Melayu sendiri. Pertama, penekanan terhadap penggunaan bahasa sedang berada di peringkat yang agak terbiar keadaannya sehingga tiada sesiapa yang tampak bertanggungjawab walaupun dari segi sebenar memang kerajaan yang bertanggungjawab. Misalnya, perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan boleh dikatakan 80 peratus masih dikendalikan dengan menggunakan bahasa Inggeris walaupun sudah 9 tahun diwajibkan penggunaan bahasa Melayu di institusi itu melalui pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1990.

Biasanya peguam berbahasa begini: "Yang Arif, saya mewakili plaintif... dan rakan saya yang bijaksana mewakili defendan...''. Sebaik sahaja ungkapan itu berlalu, maka berbahasa Inggerislah si peguam. Sebahagian besar mesyuarat peringkat tinggi kerajaan masih berdwibahasa - Melayu Inggeris. Usaha mengutamakan bahasa Melayu menjadi terbantut kerana sesiapa pun dibenarkan bercakap dalam bahasa Inggeris. Biasanya dalam setiap ayat terdapat sekerat Melayu sekerat Inggeris. Mungkin dari sinilah tercetusnya amalan 'bahasa sekerat belut sekerat ular'. Dari segi amalan, ia telah menjalar ke akar umbi; ia semacam sudah menjadi sosiobudaya orang Melayu. Seolah-olah sebahagian besar orang Melayu berasa tidak lengkap percakapan mereka jika tidak dicampur aduk kedua-dua bahasa itu.

Juga tiada usaha untuk menyeragamkan tatabahasa, bunyi atau sebutan bahasa. Beberapa media elektronik mengamalkan sebutan bahasa baku sementara media kerajaan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyampaikan sebutan bahasa Melayu Riau, yakni sebutan yang biasa dituturkan sebelum bahasa baku dipopularkan. Nahu bahasa Melayu banyak sekali dikotak-katikkan sehingga untuk menentukan nahu mana yang betul dan nahu mana yang tidak. Contoh yang paling ketara ialah dua ayat ini: "Majlis itu dirasmi menteri''. Pada masa yang sama terlalu ramai yang masih mengucapkan atau menulis ''Majlis itu dirasmikan oleh menteri'' sekali pun versi pertama itu sekarang diajar sebagai betul di sekolah-sekolah. Dua tahun lalu perkataan "kecapaian'' dikatakan sebagai mengambil alih "pencapaian''. Sekarang orang lebih senang memakai "pencapaian''.

Jika kecenderungan sekarang berterusan, bahasa Inggeris akan memonopoli siaran dan penjanaan program sama ada di TV atau radio. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Kemungkinan juga bahasa Mandarin dan Tamil akan beralih tempat yang lebih signifikan melalui siaran satelit antara benua. Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, bahasa Melayu akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Status ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat dasar dwikepentingan yang terdapat antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Adalah dikatakan, bahasa Melayu bahasa rasmi sementara bahasa Inggeris bahasa ilmu dan bahasa komersial. Apabila ini berlaku, bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi keutamaan tempatan dan global bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tak dapat tidak mesti terbantut.

Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan oleh media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu. Kini kita sudah diserang penyakit campur aduk seperti yang disebutkan di atas tadi. Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang ungkapan-ungkapan seperti "e-mail'', "'internet'', "software'', "hardware'', "ISDN'', "html'', "computer bug'' dan sebagainya. Sekarang cuba kita amati dialog seperti berikut:

"Hei, di mana lunch hari ini''.
"Dalam hal ini, you yang paling best''.
"How are you today.... harap OK-lah''.
"You dah breakfastkah''.
"Hei, kawan-kawan, it's showtime''.


Ayat-ayat ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima dan di kedai kopi dialognya begitu juga. Anak-anak muda kita berterusan bercakap sekerat Melayu sekerat Inggeris. Jelas tiada pengawasan yang dikuatkuasakan sehingga berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Tambahan pula, pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ia sukar dilakukan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk bercakap antara seorang dengan seorang yang lain. Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah ranap keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak 'dirasuk' amalan campur aduk ini. Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat, terutamanya selepas tahun 2000, kita dapat bayangkan betapa besar dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan kita.

Kini orang Melayu sudah mula kurang berkata halus. Pepatah-petitih sudah dilupai. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran Budi karya Pendita Za'aba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk. Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat dikatakan: "Koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak''. Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:

Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.

Apabila bahasa berubah dan diubah, soalan yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ia diubah sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing. Sebenarnya ungkapan sekerat belut, sekerat ular tadi, "Hei, hari ini birthday I lah'' boleh dituturkan sebagai "Hei, hari ini hari jadi saya (aku)lah''. Semua contoh ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara Melayu 100 peratus. Ini bukan sekadar rungutan yang tidak berasas tetapi sebenarnya bertapak kepada alam nyata yang membawa pengertian seolah-olah Melayu sudah tidak mengerti lagi memperibadikan bangsanya melalui bahasa. Kita seolah-olah sudah jadi bangsa pak turut.

Kita semacam sudah jadi Melayu hamburger dan Melayu hotdog. Sebenarnya ini adalah satu kejutan buat kita. Justeru kalangan kita yang mendidik, kita yang menyiar, kita yang berkuasa sesuatu harus diambil tindakan dengan segera sebelum nasi menjadi bubur. Sebahagian daripada isu yang terlibat dalam polemik bahasa dan bangsa ini berkaitan rapat dengan struktur budaya atau cara hidup kita. Kita harus mengamalkan prinsip orang Jepun yang menjamin bahasa dan budaya mereka sedemikian rupa sehingga bahasa mereka tetap kental dan berkembang dengan tersusun. Selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua pengaruh bahasa teknikal Amerika dan Jerman cukup kuat. Tetapi Jepun berjaya menangkis dan menyesuaikan diri sehingga perbendaharaan bahasa teknikal mereka jauh dapat mengatasi bahasa-bahasa teknikal Barat. Justeru di bidang-bidang sains, kejuruteraan, profesionalisme dan lain-lain berkembang mengikut alur dan kehendak bangsa Jepun.

Perkembangan dan kemajuan bahasa bergantung kepada setakat mana falsafah bahasa jiwa bangsa benar-benar diterima pakai selama ini. Ia juga bergantung kepada azam politik. Politik bergantung banyak kepada nasionalisme bangsa itu sendiri. Perancis, Jerman, Rusia merupakan tiga negara di benua Eropah yang berevolusi bersama dengan evolusi bahasa ibunda sendiri. Mereka mampu menggunakan bahasa sendiri dalam alam ciptaan sains, kejuruteraan, teknikal, perubatan dan lain-lain bidang tanpa bergantung kepada sistem dwi-bahasa. Fenomena ini juga dijayakan di China dan Korea. Apabila sistem dwibahasa wujud sejauh yang diamalkan di Malaysia barang sudah tentu bahasa Inggeris mengatasi bahasa Melayu dalam soal kelancaran dan nilai komersialnya. Buat apa susah payah mewujudkan terjemahan kepada istilah-istilah Melayu jika amalan menggunakan istilah Inggeris lebih diterima? Untuk mengungkai kembali kerangka yang ada pada hari ini amatlah sukar. Mungkin kita tidak akan bangkit dari amalan yang sudah berjalan kecuali pendirian patriot bangsa kita diubah hala tujunya sedikit, yakni mewajibkan:

(a) Pemakaian bahasa yang betul dalam semua bidang dan amalan; dan

(b) Mewajibkan perkembangan bahasa Melayu di semua bidang pengajian dan ilmu. Tugas ini amat berat, justeru memerlukan gesaan langsung daripada pemerintah. Kuat kuasa undang-undang perlu.

Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, "Lorong Touch 'n Go''. Bahasa apa ini? Kenapa tidak dipakai saja istilah "Lorong pacu segera?'' atau "Lorong tekan & pacu?'' Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan "touch 'n go?'' Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri, kita juga nanti akan jadi bangsa touch 'n go.

Bahasa jiwa bangsa.



UTUSAN MALAYSIA
10 Januari 1999

ISU SOSIAL : PERLU TELUS UNTUK MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR


Pelajar bermasalah disiplin tegar merupakan duri dalam daging yang terus menjadi beban di atas batu jemala kita. Masalahnya ialah, setiap kali ada pendedahan berhubung gejala gangsterisme, kita gemar menggunakan alat sukat kuantitatif untuk mengukur tahap atau status salah laku para pelajar itu dan bukan dari pertimbangan kualitatif. Jika kuantitinya sedikit, ia masih dianggap 'selamat' dan terkawal. Jadi seolah-olah, bolehlah berlaku jenayah kerana masih terkawal. Jika sudah banyak dan sudah tidak boleh dikawal, barulah tergesa-gesa hendak menubuhkan jawatankuasa itu dan ini. Kita tidak menyedari bahawa 'kualiti' jenayah yang dilakukan oleh remaja kita sekarang agak serius dan memalukan. Semua jenis jenayah, sekecil-kecil anak sehingga sebesar-besar bapak, telah dilakukan oleh pelajar kita.

Malangnya, kebanyakan salah laku itu selalunya disembunyikan di bawah permaidani sahaja. Sekolah-sekolah pula tidak bersikap telus dan suka menyembunyikan sahaja perlakuan jenayah pelajar daripada pengetahuan awam. Natijahnya, ada pelajar yang tergamak menganiaya fizikal atau harta benda guru. Kereta guru disimbah dengan asid, dicalarkan, cermin kereta dipecahkan, disimbah najis, dan tayar kereta atau motosikal guru dikelar dengan pisau. Botol-botol minuman keras, ubat batuk, batang betik, kotak-kotak rokok serta pelbagai lagi 'aksesori' yang menjadi permainan kaki ganja dijumpai dalam tandas-tandas sekolah. Nota-nota berbau amaran atau ancaman daripada pelajar kepada guru, kadang kala lebih menggerunkan daripada pekeliling amaran yang diterima daripada pihak atasan. Cara kita menyelesaikan masalah disiplin pelajar masih samar-samar kerana beberapa saranan seperti memberi kuasa polis tambahan kepada guru-guru, atau merotan pelajar di khalayak, banyak bergantung kepada mendapat pelbagai reaksi.

Akhirnya ia berkubur begitu sahaja. Malah kita sendiri tidak tahu, di mana kita hendak bermula, kerana dalam soal istilah pun kita masih bercanggah pendapat, sama ada istilah gangsterisme itu sesuai diguna pakai untuk kegiatan samseng di peringkat sekolah. Kononnya, ia memberi konotasi yang menggerunkan. Kita bersetuju soal istilah bahasa memang penting kerana klasifikasi indeks untuk merekod sesuatu jenis jenayah akan memberi implikasi perundangan. Gangsterisme dikatakan lebih sesuai sebagai istilah untuk satu kegiatan terancang dalam sesebuah organisasi. Malah, menurut Kementerian Pendidikan sukar untuk menentukan sama ada seseorang pelajar itu ahli kumpulan gangster kecuali disahkan oleh polis.

Akibat titik bengik itu, kini jenayah tegar dikalangan remaja masih gagal dibanteras sepenuhnya. Malah, ia menjadi seperti parasit yang telah berjaya bermandiri dengan segala jenis ubat dan racun sehingga akhirnya sukar dibendung dan melarat. Kajian gangsterisme di sekolah menengah harian telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada Disember 1998 hingga Oktober tahun lepas di 329 buah sekolah peningkatan bilangan kumpulan samseng ala gangster dan pelajar-pelajar samseng. Kejadian itu paling banyak dikesan di sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan pelajar melebihi 1,500 orang. Kajian ke atas tahap pengaruh kegiatan gangsterisme pula mendapati kawasan kediaman sesat mempunyai pengaruh yang besar ke atas pelajar, diikuti oleh kawasan kediaman satu kaum dan rumah pangsa.

Bilangan mereka memang sedikit, tetapi jenayah mereka adalah jenayah dominan dan hebat kesannya kepada rakan-rakan sebaya yang lain. Dalam setandan kelapa, pasti ada buah yang busuk kerana serangan ulat gonggok, tetapi ia boleh menular ke buah-buah kelapa yang lain, dan seterusnya ke tandan-tandan lain, menular pula ke bahagian batang kelapa, dan terus menyerang akarnya, sehingga tumbang sebatang pokok kerana akar yang menjadi asas kekuatannya tidak mampu menahan serangan ulat. Jalan penyelesaian masih ada dalam bentuk kertas seminar atau persidangan kerana tidak dilaksanakan dalam sistem persekolahan. Masalah ini boleh diatasi kalau ada tindakan yang menyeluruh daripada semua pihak. Cara kita menangani gejala lepak di kalangan remaja pada satu ketika dahulu boleh diterapkan untuk menangani masalah salah laku pelajar.

Kita masih ingat ketika kecohnya isu remaja melepak sehingga menggerakkan kerajaan untuk mengatur pelbagai langkah yang cukup komprehensif untuk mengatasi masalah itu. Antara buah tangan daripada isu itu ialah program Rakan Muda, dengan pecahan-pecahannya seperti Rakan Sukan, Rakan Waja Diri dan sebagainya. Ketika itu, kempen menggalakkan aktiviti Rakan Muda ke sekolah-sekolah diperhebat, sehinggakan setiap aktiviti di sekolah atau di universiti perlu meletakkan label Rakan Muda untuk meraih penyertaan, dan ia terbukti berhasil dengan penglibatan menyeluruh. Di kampung-kampung, ia menarik sekali penyertaan para pemimpin di peringkat akar umbi seperti tok sidang, penghulu, penggawa serta ahli-ahli jawatankuasa surau. Langkah yang komprehensif seperti ini telah dibuktikan cukup berkesan kerana ia melibatkan semua pihak, daripada rakyat biasa sehinggalah kepada ahli politik. Tidak guna kita menuding jari menyalahkan sesiapa. Yang penting, pada laporan yang sama pada tahun 2000 nanti kita telah sifar gejala gangsterisme - sebagaimana kita berjaya membebaskan diri daripada gejala pepijat alaf.


Oleh : Wahid Hashim
Utusan Malaysia
01 April 2000

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

TUJUAN MEMINJAM UNSUR-UNSUR ASING DALAM BAHASA MELAYU

1. Melancarkan usaha merancang Bahasa Melayu
2. Melancarkan usaha membina Bahasa Melayu
3. Meningkatkan status bahasa Melayu sebagai bahasa moden
4. Mempereratkan hubungan antara masyarakat penutur bahasa Melayu dengan masyarakat penutur bahasa lain.

PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM UNDANG-UNDANG DAN KEHAKIMAN MEMENUHI FUNGSI BAHASA SEBAGAI

1. Bahasa Kebangsaan

MASALAH YANG DIHADAPI DALAM MENDAULATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

1. Banyaknya kekeliruan yang timbul akibat pengaruh bahasa asing
2. Sikap acuh tidak acuh pengguna bahasa dalam membudayakan bahasa Melayu
3. Persaingan dengan bahasa Inggeris khususnya dalam bidang-bidang profesional.
4. Berlakunya pencemaran bahasa, iaitu penggunaan bahasa Melayu yang salah pada peringkat formal dan peringkat tidak formal.

FAKTA YANG BENAR TENTANG BAHASA-BAHASA NUSANTARA

1. Tersebar sampai ke Kepulauan Fiji
2. Dikatakan berasal dari daerah Yunan
3. Mempunyai jumlah bahasa antara 200 hingga 300

BAHASA MELAYU BERSIFAT DINAMIK

1. Terus hidup dan berkembang maju
2. Menerima pengaruh asing dalam pelbagai aspek.



SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

FAKTOR-FAKTOR KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU SEBELUM WUJUDNYA KERAJAAN SRIVIJAYA

1. Bahasa Melayu bersifat sederhana
2. Bahasa Melayu mudah menerima pengaruh luar
3. Bahasa Melayu tidak terikat dengan perbezaan susun lapis masyarakat
4. Bahasa Melayu mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa.

CIRI-CIRI BAHASA MELAYU MODEN

1. Bahasa Melayu Moden mengalami proses perancangan bahasa.
2. Bahasa Melayu Moden mengalami proses pembinaan bahasa
3. Bahasa Melayu Moden menerima dan menyesuaikan struktur bahasa Inggeris.
4. Bahasa Melayu Moden mempunyai laras yang lebih pelbagai
5. Bahasa Melayu Moden menggunakan binaan ayat aktif yang lebih banyak.

RUMUSAN TENTANG BATU BERSURAT YANG DITEMUKAN DARI KURUN KE-7 HINGGA KURUN KE-14

1. Bahasa Melayu telah tersebar luas sampai ke Pulau Jawa.
2. Bahasa Melayu mudah menerima perbendaharaan kata bahasa asing.
3. Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perantaraan dan bahasa pentadbiran

FUNGSI BAHASA MELAYU SEJAK TAHUN 1957

1. Bahasa Pentadbiran
2. Bahasa Pengantar Ilmu
3. Bahasa Perhubungan Awam

PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIBERI PERTIMBANGAN DALAM PEMBENTUKAN ISTILAH BAHASA MELAYU

1. Makna kata
2. Ejaan kata
3. Bentuk kata
4. Sebutan kata