12 Oktober 2010

ISU PEKERJA : USIA PERSARAAN KAKITANGAN AWAM KEKAL 58 TAHUN

Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun sehingga 60 tahun buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Ada beberapa pertimbangan penting yang perlu diambil kira bagi lanjutan usia persaraan. Kesan lanjutan umur persaraan ke atas pasaran buruh negara, termasuk peluang kerja generasi lepasan sekolah, kolej dan universiti ketika ini. Keperluan sumber manusia sektor tertentu di dalam perkhidmatan awam, yang semestinya berbeza antara jenis perkhidmatan dari semasa ke semasa. Kesan lanjutan umur persaraan wajib di atas usaha kerajaan ke arah bilangan yang wajar kalau pun tidak mengecilkan perkhidmatan awam demi mengurangkan kos operasi kerajaan tanpa menjejaskan perkhidmatan untuk rakyat. Tahap kesihatan anggota perkhidmatan awam, terutamanya menjelang umur persaraan 58 tahun, khususnya sama ada mereka mampu untuk terus bekerja atau tidak. Kali terakhir usia persaraan wajib dinaikkan ialah pada 1 Julai 2008, iaitu daripada 56 kepada 58 tahun. Persaraan wajib di peringkat umur 58 tahun hanya bermula pada 1 Julai 2010. Adalah wajar kerajaan mengambil sedikit masa, misalnya enam bulan untuk melihat dan mengkaji kesan peningkatan umur persaraan wajib yang lalu.

ISU SOSIAL : MENANGANI ISU PEMBANTU RUMAH

Bulan lalu, Indonesia melarang calon pembantu rumah negara berkenaan untuk bekerja di Malaysia sehingga kerajaan Indonesia mampu memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka. Larangan berkenaan dikeluarkan ekoran laporan terbaru mengenai penganiayaan pembantu rumah Indonesia, Win Faidaa di Malaysia pada 13 September lepas. Indonesia menganggap kejadian berkenaan sebagai bukti bahawa calon pembantu rumah Indonesia menanggung risiko tinggi jika bekerja di Malaysia tanpa dokumen rasmi yang lengkap. Selain Malaysia, dua negara lain yang perlu dielakkan oleh calon-calon pembantu rumah republik tersebut sehingga ada kepastian perlindungan terhadap mereka ialah Kuwait dan Jordan.

Sebelum ini, Jakarta pernah mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan. Memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berhubung penghantaran pembantu rumah republik tersebut masih menemui jalan buntu kerana kedua-dua negara belum mencapai kesepakatan dalam beberapa isu pokok. Isu penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia kembali hangat ekoran kes penderaan seorang warganegara republik itu, Win Faidaa, 26 bulan lalu dan sekali lagi mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) republik tersebut. Ketika ini, kira-kira 80 peratus daripada 280,000 pembantu rumah asing yang bekerja di Malaysia adalah warga Indonesia.

Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dari negara Asia lain selain Indonesia bagi mengurangkan pergantungan terhadap amah dari republik itu. Antara negara yang dikenal pasti adalah Thailand, Kemboja, India, Sri Lanka, Filipina dan Myanmar. Selama ini Malaysia hanya memberi keutamaan terhadap pengambilan pembantu rumah dari Indonesia walaupun amah dari negara lain seperti Thailand dan Kemboja turut diambil. Bagaimanapun, pembantu rumah dari Thailand dan Kemboja tidak sepopular pembantu rumah Indonesia. Kini negara alternatif perlu dicari kerana kebergantungan kepada satu-satu negara adakalanya akan menimbulkan kekangan dan masalah sekiranya berlaku sesuatu isu. Selain negara alternatif, usaha meningkatkan pembantu rumah sebagai satu kerjaya profesional seiring dengan kemajuan negara perlu diambil kira.

Sebelum ini pernah ada cadangan untuk mewujudkan kerjaya pengurus rumah tangga yang akan datang ke rumah setiap hari pada waktu bekerja bagi membantu pasangan bekerja membersihkan rumah, membeli barangan keperluan rumah dan membayar bil tetapi tidak ada susulan terhadap cadangan tersebut. Khidmat syarikat-syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan membersihkan rumah juga boleh dikaji jika ia boleh mengurangkan pergantungan kepada pembantu rumah asing.  Profesor Hubungan Industri dan Dekan UTM Perdana School Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Durrishah Idrus ketika dihubungi berkata, masalah pembantu rumah di Malaysia memerlukan perhatian serius dan pilihan perlu disediakan kepada golongan wanita kerjaya jika kerajaan serius dalam menghargai sumbangan wanita dalam pembangunan negara.

''Jika tidak dalam jangka panjang akan ada kesan terhadap kesediaan dan komitmen golongan wanita untuk menceburi dunia kerjaya kerana institusi keluarga berisiko goyah apabila tidak ada sistem sokongan yang kukuh. ''Isu ini sebenarnya lebih besar dari sekadar isu amah Indonesia yang menjadi mangsa dera majikan dan sering menyebabkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia menjadi tegang. Majikan Malaysia sanggup membayar harga yang tinggi jika hasil kerja seseorang pembantu berbaloi. "Antara ciri-ciri yang diharapkan oleh majikan ialah pembantu rumah yang benar-benar boleh diharap, pandai bekerja, amanah, tidak pernah lari, curi tulang dan bebas daripada segala gejala maksiat," katanya.  Tambah beliau, rakyat Malaysia yang mempunyai kerjaya memerlukan khidmat pembantu kerana dalam kesibukan bekerja, mereka perlu meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak masing-masing.

''Khidmat pembantu rumah untuk meringankan beban wanita bekerja dalam menguruskan rumah tangga mampu memberikan ketenangan fikiran kepada golongan wanita tersebut. Malah khidmat pembantu sedikit sebanyak menjadi pemangkin dalam meningkatkan sumbangan golongan wanita kepada negara.  ''Justeru, isu ini perlu ditangani segera secara bijaksana dan bersungguh-sungguh melalui dasar atau polisi yang jelas.  "Jika tidak ia akan sentiasa berulang seperti sekarang dan menjadi isu yang boleh diperbesar-besarkan dan diambil kesempatan oleh pihak yang gemar menangguk di air keruh," jelas Durrishah. Tambah beliau, antara langkah-langkah yang boleh dikaji kerajaan dalam menangani isu pembantu rumah ialah:

1. Meneliti dasar semasa dalam mencari menyelesaikan isu pembantu rumah untuk jangka panjang. Perkara ini perlu dilihat dari sudut keperluan, undang-undang, hubungan dengan negara pembekal, peruntukan Akta Kerja dan lain-lain. Perubahan dasar perlu dilakukan setelah mendengar daripada pelbagai pihak.

2. Keputusan sementara juga boleh dikaji kerana ia dapat membantu kerajaan dalam menggubal keputusan untuk tempoh jangka panjang.

3. Kemahiran amah perlu ditetapkan dengan kesesuaian dan keperluan majikan. Bagi keluarga Islam, mungkin faktor agama dititikberatkan namun keluarga lain mungkin mementingan aspek lain.

4. Kerajaan perlu wajibkan majikan-majikan di Malaysia menyediakan sistem sokongan kepada pekerja masing-masing seperti pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi meringankan beban pasangan bekerja. Ada rakyat Malaysia yang lebih gemar membayar pusat asuhan daripada menangani kerenah amah.

5. Iktiraf pembantu rumah sebagai satu profesion penuh dan separuh masa bagi warga tempatan. Gariskan undang-undang untuk memelihara kepentingan pembantu rumah dan majikan serta wujudkan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan pembantu rumah memiliki jaminan masa depan.


Oleh ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia
12 Oktober 2010

ISU BAHASA : MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN DENGAN RELA

Seruan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai penggunaan bahasa Melayu perlu diberi perhatian sewajarnya adalah satu peringatan kepada semua lapisan masyarakat termasuk menteri, ahli politik, pembuat polisi dan rakyat. Seperti semua maklum, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipersoalkan lagi. Ia amat jelas terpahat dalam Perkara 152. Oleh itu, usaha memartabatkan bahasa Melayu seperti kedudukannya dalam Perlembagaan mesti sentiasa berterusan. Kerajaan seharusnya mempunyai perancangan yang jelas mengenai kedudukan bahasa kebangsaan ini. Bahasa memainkan peranan penting dalam membina semangat dan jati diri berkaitan kenegaraan. Ia adalah sebahagian kaedah untuk mengukuhkan semangat patriotisme. Bahasa adalah juga simbolik kepada perpaduan di kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang bahasa dan budaya.

Walaupun negara kita mengiktiraf bahasa vernakular dan dialek kerana sifat budaya serta sejarahnya, kewujudan bahasa kebangsaan juga boleh menjadikan hubungan yang lebih ‘romantik’ antara rakyat yang berbilang bangsa, budaya dan bahasa. Ia simbol hubungan yang kuat, erat dan rapat. Bahasa kebangsaan juga menjadi sebahagian daripada khazanah perbendaharaan bagi negara ini. Ia menjadi sumber kekayaan negara kerana dapat menyatukan fabrik masyarakat yang pelbagai. Penggunaan bahasa Melayu sebagai medium dalam sistem pendidikan bagaimanapun berubah-ubah mengikut kesediaan pemimpin dan ahli politik. Adakalanya keadaan ini menimbulkan persoalan tertentu dan ada kala melahirkan kekeliruan. Sebagai medium di dalam pendidikan, penggunaan bahasa Melayu di ketengahkan pada akhir 1960-an di sekolah. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu berkembang ke peringkat pengajian tinggi. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, ditubuhkan dengan misi ‘mendaulatkan Bahasa Melayu’.

Dasar bahasa dalam sistem pendidikan berubah lagi dalam 2002 apabila kerajaan mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Perubahan ini melahirkan persoalan berkaitan kedudukan bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa Melayu secara sebenarnya. Ia mengundang banyak kontroversi dan seterusnya menyaksikan kerajaan terpaksa berundur daripada polisi terbabit. Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah juga memerlukan perhatian. Umumnya sehingga ke hari ini penggunaan bahasa Melayu di mahkamah tidak begitu menyerlah, walaupun sudah ada beberapa peningkatan. Secara purata, masih ramai peguam dan hakim sendiri yang berasa lebih mudah dan selesa untuk berbahasa Inggeris, sama ada untuk berkomunikasi atau menulis penghakiman. Mungkin kekurangan bahan rujukan dan istilah undang-undang yang tertentu di dalam bahasa Melayu menyumbang kepada keadaan ini. Kekurangan ini berlaku mungkin kerana kalangan akademik tidak begitu ghairah menulis dalam bahasa Melayu.

Mereka tidak menulis dalam bahasa Melayu kerana faktor merit untuk kenaikan pangkat di universiti tempatan yang mahu terbitan dibuat dalam pelbagai jurnal antarabangsa (jurnal scorpus, citation index dan seumpamanya) yang sudah tentu tidak menerima tulisan bahasa Melayu. Saya pernah mendengar rungutan rakan akademik mengenai perkara ini. Malah, ramai kalangan ahli akademik yang masih was-was untuk menulis dan mengutarakan pandangan dalam bahasa Melayu kerana sudah terbiasa dengan penggunaan bahasa Inggeris. Saya sendiri pernah ‘dinasihatkan’ oleh beberapa orang rakan akademik untuk menulis dalam bahasa Inggeris kerana polisi universiti berkaitan kenaikan pangkat.  Maka, episod ‘bangau oh bangau’ bermula. Mencari helah. Keadaan ini tidak akan membawa kebaikan kepada bahasa kebangsaan.

Era globalisasi juga dijadikan alasan. Sesetengah ahli sosiolinguistik berpendapat bahawa polisi bahasa di sesetengah negara berubah kerana proses globalisasi. Penulis buku Language Policy, Culture and Identity in Asian Contexts, Tsui dan Tollefson, bagaimana pun menyifatkan keadaan ini sebagai dialektikal. Ia boleh diselesaikan dengan menguraikan secara sistematik kehendak atau keperluan domestik dan antarabangsa. Apa yang saya faham daripada maksud penulis ini ialah kedua-dua bahasa ini (bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris) adalah penting. Namun kita harus menyedari keperluan dan kepentingan kedua-duanya mengikut kehendak semasa. Kita perlu menyeimbangkan keperluan bahasa ini mengikut keadaan. Penggunaan bahasa Melayu mungkin lebih menyerlah jika setiap warga negara memahami dan mengambil perhatian mengenai tanggungjawab asasnya terhadap negara dengan memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi terhadap penggunaan bahasa kebangsaan. Keadaan ini seterusnya dapat membantu usaha mendaulatkan bahasa Melayu dan memperkenalkan identiti atau jati diri warga negara Malaysia.

Dalam menjadikan penggunaan bahasa Melayu lebih berkesan, perancangan mengenai bahasa (language planning) perlu diambil perhatian pemimpin. Perancangan ini lebih kepada pentadbiran dan juga politik. Kejayaan dalam penggunaan bahasa kebangsaan tidak dapat dikecapi tanpa perancangan yang sempurna dalam kedua-dua aspek ini. Contoh, kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pengiklanan dalam projek Pengesahan Bahasa Kebangsaan dalam Iklan untuk menentukan Prosedur Kendalian Standard, harus dipuji dan dijadikan contoh yang baik mengenai perancangan pentadbiran. Pemerintah dan ahli politik pula harus mengelak daripada membuat keputusan berkaitan bahasa kebangsaan secara terburu-buru. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan amat bergantung kepada kesedaran hakiki dalam sanubari setiap ahli masyarakat kerana kasih mereka terhadap negara walau siapa pun mereka. Menghormati, mengguna dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan mesti dilakukan setiap individu tanpa menunggu sebarang bentuk paksaan atau menanti sebarang bentuk pulangan. Ia adalah tanggungjawab hakiki setiap individu terhadap negaranya.



Oleh Shamrahayu A Aziz
Penolong Profesor Kuliyyah Ahmad Ibrahim
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
BERITA HARIAN
12 OKTOBER 2010

ISU KENEGARAAN : KONSEP 1MALAYSIA BERLANDASKAN PELEMBAGAAN NEGARA


Sejauhmanakah kefahaman rakyat terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara? Berapa ramai daripada 29 juta rakyat negara ini yang pelbagai kaum, agama dan latar belakang; menghayati dan memahami undang-undang tertinggi serta asas kepercayaan itu hingga menjadikannya panduan hidup demi mencapai perpaduan utuh. Kegagalan memahami dan menghayati Perlembagaan boleh menggagalkan apa juga bentuk gagasan mahupun dasar diperkenalkan kerajaan. Tidak mustahil ia berlaku kepada 1Malaysia jika rakyat terus mentafsir gagasan itu berdasarkan pemahaman sendiri tanpa merujuk Perlembagaan dan Rukun Negara. Timbalan Ketua Bahagian Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa, berkata Datuk Seri Najib Razak sering menekankan Gagasan 1Malaysia tidak boleh mengetepikan Perlembagaan dan Rukun Negara. Apa yang digariskan seharusnya dikekalkan, dihormati dan dipatuhi.

Katanya, 1Malaysia diperkenalkan sebagai pendekatan bertujuan mewujudkan perpaduan dan bukan wawasan seperti diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Wawasan 2020 sebagai kaedah mencapai kemajuan sedangkan 1Malaysia menjurus kepada perpaduan. “Demikian juga dengan Rukun Negara, selepas peristiwa 13 Mei 1969, bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rukun Negara. Satu bentuk ideologi untuk membentuk satu bangsa iaitu Malaysia. “Ia prinsip dan garis panduan yang ditetapkan sebagai panduan hidup seharian dan ia perlu didukung sepenuhnya,” katanya ketika menjelaskan konsep ‘1Malaysia Daripada Aspek Perundangan’ pada Siri 3 Forum Jati Diri di Balai Berita di ibu negara, baru-baru ini.  Mahamad Naser yakin ramai dalam kalangan generasi muda tidak memahami nilai Kesopanan dan Kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara. Maka tidak hairan hari ini masyarakat kita diselubungi ‘generasi kurang ajar’ sebagai natijah daripada sikap acuh tak acuh generasi muda.

Malah katanya, kecelaruan memahami konsep 1Malaysia mengakibatkan ramai rakyat mentafsir mengikut selera sendiri hingga lupa kita punya undang-undang tertinggi dan prinsip Rukun Negara yang perlu didukung sehingga sanggup bertindak menuntut hak yang ada kalanya di luar kewarasan akal.  Justeru, katanya, tidak hairan tampil kumpulan kalangan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) menuntut hak di SUHAKAM kerana berasa hak mereka ada dalam 1Malaysia dan perlu diiktiraf berdasarkan ‘Prinsip Jogjakarta’. Prinsip itu diluluskan pada 2007 apabila golongan LGBT mengadakan pesta menuntut hak mereka.  “Jadi, bila kita mengambil pendekatan 1Malaysia melalui satu interpretasi yang bebas maka ia adalah salah. Sedangkan dalam Islam tak boleh sama sekali (merujuk tuntutan LGBT). Dalam al-Quran terdapat surah khas mengecam mereka. Jadi perkara begini dianggap tidak bermoral maka ia tidak boleh diterima,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setiap dasar mahupun undang-undang yang digubal di negara ini mesti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Soal dasar yang membabitkan agama, hak istimewa orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak kebebasan asasi adalah isu utama perlu diambil kira kerajaan dalam menggarap dasarnya. Beliau berkata, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, justeru, ia perlu dihayati, ditafsirkan dan diikuti oleh mana-mana dasar Persekutuan. Apa-apa juga dasar yang wujud selepas Perlembagaan boleh terbatal dengan sendirinya jika ia didapati tidak mematuhi perkara asas yang ada.

Zainul memberi contoh dengan memetik penghakiman, Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqurrahman melawan Fatimah Sihi berpendapat kedudukan Perkara 3 (1) seperti berikut: Peraturan pakaian seragam sekolah yang menjelaskan mengenai pengguna seluar pendek bagi pelajar lelaki dan pneafore tunic bagi pelajar perempuan di sekolah menengah dilihat sebagai membelakangkan agama Islam kerana mendahulukan yang kemudian dan mengkemudiankan yang dulu tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah katanya, tidak perlu diwujudkan akta atau undang-undang baru bagi melaksanakan gagasan 1Malaysia. Jika diwujudkan juga belum pasti ia dapat mengekang pelbagai tafsiran oleh pihak tertentu sama seperti apa yang berlaku sekarang. Tidak dinafikan memang wujud kecelaruan dalam menafsir 1Malaysia, seolah-olah orang Melayu saja yang mempertahankan Perlembagaan sedangkan kaum lain didakwa tidak berbuat demikian tetapi pada masa yang sama mereka mahukan kesamarataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemahaman terhadap Perlembagaan perlu diperjelas terutama daripada sudut sejarah supaya semua kaum memahami secara mendalam dan tidak lagi berlaku bahawa membantu sesuatu kaum terutama Bumiputera dilihat sebagai perkauman. Oleh itu, beliau berkata, individu terbaik dan dilihat mampu memberi penjelasan secara telus adalah Perdana Menteri. Pandangan beliau saja dilihat mampu memadam kekeliruan rakyat kerana gagasan itu dicetuskan oleh beliau sendiri.


Oleh Ridzuan Yop dan Ratinawati Rasidi

rencana@bharian.com.my
BERITA HARIAN
12 OKTOBER 2010

ISU SOSIAL : 1 BILION PENDUDUK DUNIA MENGHADAPI KELAPARAN PADA TAHUN 2010


Kemiskinan, konflik dan ketidakstabilan politik menjadi punca satu bilion orang kelaparan tahun ini, kebanyakannya kanak-kanak di Afrika dan Asia, menurut laporan Indeks Kelaparan Global, semalam. Daripada 122 negara dalam laporan tahunan itu, 25 berada pada tahap kelaparan ‘membimbangkan’ dan empat negara di Afrika dalam kategori ‘amat membimbangkan’, menurut laporan Institut Penyelidikan Dasar Makanan Antarabangsa (IFPRI) dan pertubuhan Concern Worldwide serta Welthungerhilfe. Republik Demokratik Congo (DRC) paling teruk dalam indeks kebuluran itu, berdasarkan data 2003 hingga 2008. Kira-kira tiga suku penduduk di beberapa negara di tengah Afrika tidak memperoleh makanan berzat, dan DRC juga mempunyai kadar kematian kanak-kanak tertinggi di dunia, menurut penyelidik laporan.

Tiga faktor digunakan bagi mengukur Indeks Kebuluran Dunia termasuk jumlah penduduk yang tidak dapat makanan berzat, kekurangan berat badan di kalangan kanak-kanak, dan kadar kematian kanak-kanak. “Konflik sivil berlarutan sejak penghujung 1990-an menyebabkan kemusnahan ekonomi, penduduk hilang tempat tinggal dan tiada keselamatan makanan kronik di DRC,” kata laporan berkenaan.  Indeks berkenaan menyenaraikan negara dengan skala 100 mata, dengan sifar sebagai markah tertinggi bermakna tiada kebuluran manakala 100 bagi paling teruk.



ISU ICT : WARGA MALAYSIA PALING RAMAI KAWAN DALAM WEB SOSIAL

Rakyat Malaysia yang menggunakan rangkaian web sosial untuk berinteraksi mempunyai kawan paling ramai manakala warga Jepun paling sedikit, menurut tinjauan besar-besaran yang menilai peri laku online di seluruh dunia. Tinjauan itu juga mendapati, 61 peratus pengguna memilih teknologi digital mengatasi saluran media lain untuk komunikasi termasuk televisyen, radio dan akhbar. Kajian itu dilakukan oleh firma penyelidikan TNS yang mewawancara 50,000 pengguna di 46 negara.Hasilnya, secara purata, warga Malaysia mempunyai 233 rakan web sosial diikuti rapat Brazil dengan 231 dan Norway, 217. Ini amat berbeza dengan Jepun yang hanya mencatat 29 dan China, 68. Keputusan itu menunjukkan kewujudan budaya menekankan kepada kawan yang kurang tetapi lebih rapat.
Selain memiliki rakan paling ramai, pengguna internet di Malaysia juga paling lama berinteraksi menggunakan laman sosial iaitu sembilan jam setiap minggu, diikuti dengan Russia (8.1 jam) dan Turki, 7.7 jam, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). Kajian itu mendapati, pengguna juga lebih banyak menggunakan laman sosial daripada emel, sebahagiannya berpunca daripada peningkatan akses teknologi telefon bimbit. Majalah Time mengemukakan soalan sama ada seseorang yang sosial di alam siber juga mesra di alam nyata. Di Amerika, satu pertiga pengguna online menjangka dapat mengakses rangkaian sosial menggunakan telefon bimbit dalam tempoh 12 bulan lagi.


11 Oktober 2010

MENELAAH ILMU TATABAHASA ASPEK SINTAKSIS


AYAT


1. Ayat boleh terbina dalam susunan biasa.
2. Ayat boleh terbina dalam susunan songsang
3. Ayat mesti mengandungi subjek dan predikat.
4. Ayat mesti mengandungi makna yang lengkap
5. Ayat mesti mempunyai unsur kata, frasa, dan klausa.
6. Ayat merupakan unit pengucapan yang lengkap
7. Ayat mesti diucapkan dengan intonasi yang betul.

KATA YANG BERFUNGSI FRASA NAMA DAN FRASA KERJA DALAM AYAT

1. Bersenam
2. Menari
3. Berehat

AYAT TUNGGAL

1. Ayat yang mengandungi satu subjek dan satu predikat

Contoh :

a. Yang ini tidak boleh digunakan lagi.
b. Perkara itu menarik perhatian orang-orang kampung.
c. Murid ini lebih rajin daripada rakan-rakan sedarjahnya.
d. Kamu mestilah terus belajar dengan bersungguh-sungguh

KONSEP PEMBINAAN AYAT

1. Ayat mesti diucapkan dengan intonasi yang betul.
2. Ayat terbina daripada unsur-unsur klausa, frasa, kata, dan morfem
3. Rentetan kata tertakluk kepada rumus-rumus tatabahasa yang tertentu
4. Ayat boleh dianalisis melalui rumus atau transformasi generatif

AYAT PASIF

1. Ayat yang mengalami pendepanan objek asal.
2. Unsur subjek atau pelaku sudah tidak penting
3. Yang dipentingkan ialah objek

Contoh :

a. Buku itu belum lagi kami ambil.
b. Saya terkenang akan ibu saya di kampung

TANYA GURU DAPAT ILMU

Hari Isnin hari yang indah
Semangat berkobar hendak belajar
Hendak berjaya bukannya mudah
Kena berakal haruslah pintar

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Cikgu Zul hendak bercakap tentang satu tajuk iaitu "Tanya Guru Dapat Ilmu". Cikgu Zul selalu mendapati kebanyakan pelajar lebih suka memendam perasaan sehingga guru tidak tahu segala masalah yang mencengkam mereka dalam menguasai isi pelajaran yang disampaikan. Mereka hanya mendengar dan berdiam diri sahaja di dalam kelas. Mereka malu atau segan bertanya sesuatu kepada guru-guru mereka. Sebenarnya, inilah masalah yang menghalang seseorang pelajar daripada mencapai kejayaan yang cemerlang.

Kenapa harus malu dan segan kepada guru sendiri? Anggap sahaja guru itu sebagai ibu ayah atau abang kakak anda sendiri. Jadikan guru sebagai teman dan kawan yang boleh membantu anda ketika ditimpa permasalahan. Saya percaya, guru anda akan lebih berbangga mempunyai pelajar seperti anda semua yang suka bertanya. Namun begitu, soalan yang ditanya haruslah berkisar tentang pembelajaran, bukannya soalan yang bukan-bukan. Pelajar yang banyak bertanya akan menjadikan guru lebih bersedia untuk mencari maklumat bagi disampaikan kepada pelajar-pelajar. Kreativiti dan inovasi kedua-dua belah pihak akan terasah untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih cemerlang.

Tanyalah guru jika tidak tahu
Tanyalah guru jika keliru
Tanyalah guru jika minda bercelaru
Tanyalah guru jika hendak maju
Tanyalah guru
Guru pasti bantu.

Sekian, terima kasih.



PERIBAHASA MELAYU YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "KERA"

PERIBAHASA 1
Bagai kera diberi kaca
MAKSUD
Mendapat sesuatu tetapi tidak tahu menggunakannya

PERIBAHASA 2
Kera lotong makan, tupai di julai timpa perasan
MAKSUD
Orang besar-besar bersuka ria, orang kecil-kecil menepi dengan irinya.

PERIBAHASA 3
Kera menegurkan tahinya
MAKSUD
Orang yang melakukan sesuatu kesalahan itulah yang pertama kali memperkatakannya

PERIBAHASA 4
Kera menjadi monyet
MAKSUD
Serupa sahaja (tiada perbezaan)

PERIBAHASA 5
Bagai kera dapat canggung
MAKSUD
Orang yang telah ditolong mendampingkan dirinya kepada orang yang menolongnya.

PERIBAHASA 6
Memberi barang kepada tangan kera
MAKSUD
Mempertanggungjawabkan sesuatu pekerjaan kepada orang yang tidak mengerjakannya.

PERIBAHASA 7
Kera kena belacan
MAKSUD
Sangat gelisah, tidak senang diam

PERIBAHASA 8
Kera sumbang
MAKSUD
Orang yang sombong

ISU PENDIDIKAN : PERUBAHAN PEPERIKSAAN SEJAJAR KEHENDAK PENDIDIKAN MODEN

Sejajar dengan perkembangan dunia pendidikan masa kini yang semakin moden, canggih dan hampir semua maklumat boleh didapati dari hujung jari, maka keputusan kerajaan untuk memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) amatlah wajar dan tepat sekali pada waktunya. Ini memandangkan sejak sekian lama, kita telah mendengar pelbagai cadangan daripada pelbagai pihak supaya sistem persekolahan sedia ada yang terlalu menekankan peperiksaan dikaji semula. Justeru, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu media tempatan di Sydney, Australia semalam bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan PMR dalam format sekarang, ia adalah satu berita yang ditunggu-tunggu selama ini.

Kita percaya langkah tidak meneruskan peperiksaan PMR dan mengekalkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2016 dengan format baru adalah satu reformasi yang perlu dilakukan dalam memantapkan sistem pendidikan negara ini. Sebelum ini, ramai merungut betapa banyaknya peperiksaan yang terpaksa ditempuhi sebelum dapat menamatkan alam persekolahan. Ramai ibu bapa percaya bahawa pendidikan yang terlalu menekankan peperiksaan tidak akan membantu melahirkan generasi muda yang kreatif dan mampu menahan cabaran kerjaya masa kini. Justeru, ada ibu bapa khususnya di bandar dan berpendapatan tinggi tidak lagi mahu menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan, sebaliknya menyekolahkan anak-anak di sekolah antarabangsa atau mengamalkan sistem pendidikan di rumah dengan mengupah tenaga pengajar profesional atau mereka sendiri mengajar anak-anak di rumah.

Kita percaya, penolakan ibu bapa yang berpelajaran itu ada sebabnya iaitu mereka tidak mahu jiwa anak-anak tertekan dengan peperiksaan demi peperiksaan yang terpaksa dilalui. Itu belum lagi termasuk ujian bulanan dan peperiksaan pertengahan atau akhir tahun bagi menentukan kedudukan di dalam kelas. Kesemua itu memberi tekanan kepada anak-anak sehingga ada anak-anak tidak mahu ke sekolah dan lebih gemar ponteng bagi melarikan diri daripada sistem persekolahan yang membosankan dan tidak menarik bagi mereka. Perubahan dunia dan kehendak kerjaya hari ini memerlukan kita memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu yang disukai tanpa membelakangkan kepentingan ilmu. Ini bermaksud jika seseorang anak itu cenderung meminati muzik, maka biarkanlah dia mendalami bidang muzik yang diminatinya ketika masih di bangku sekolah.

Usah dipaksa anak-anak melakukan sesuatu yang mereka tidak minat. Jika dipaksa juga, maka tidak hairanlah begitu banyak anak-anak yang tercicir dalam pelajaran kerana mereka melakukannya bukan dengan kehendak hati, tetapi kehendak sekolah yang telah menetapkan bahawa setiap pelajar mesti menduduki peperiksaan awam yang dimulai dengan UPSR, selang dua tahun kemudian menghadap PMR dan kurang dua tahun selepas itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula menyusul. Bagi yang ke tingkatan enam, satu lagi peperiksaan menanti mereka iaitu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bayangkan dalam tempoh 11 - 13 tahun, terdapat empat peperiksaan yang wajib diduduki. Hasilnya, semakin ramai generasi muda memilih gaya hidup yang boleh merosakkan akhlak dan jiwa mereka apabila waktu sekolah digunakan untuk melepak dan sebagainya. Justeru, kita amat berharap agar format baru yang bakal dicipta bagi menilai pelajar di sekolah itu kelak dapat membantu melahirkan lebih ramai golongan muda yang bersemangat, kreatif dan mampu membawa negara ke mercu kejayaan.

Sumber
Utusan Malaysia
11.10.2010
 

ISU SOSIAL : BENTERAS PRONO DI LAMAN WEB

Pengaruh pornografi di Internet harus dipandang serius oleh semua pihak di negara ini. Hal ini pernah dibangkitkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di persada antarabangsa baru-baru ini. Sejak perkhidmatan Internet diperkenalkan di negara ini pada 1987 dan peningkatan pengedaran dan penjualan VCD serta DVD lucah yang berleluasa, didapati kes-kes jenayah seksual turut meningkat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulisnya kepada Dewan Rakyat, berkata, bilangan jenayah seksual termasuk liwat dan sumbang mahram meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2005. Tahun lalu sahaja, terdapat 4,238 kes jenayah seksual berbanding 3,986 kes (2008), 3,689 kes (2007), 2,943 kes (2006) dan 2,427 kes (2005). Daripada perangkaan ini, kes-kes rogol menduduki tempat teratas.

Pada tahun lalu, sejumlah 3,626 kes rogol telah dilaporkan oleh mangsa kepada pihak polis berbanding 3,409 kes (2008), 3,098 kes (2007), 2,431 kes (2006) dan 1,931 kes (2005). Bagi kes-kes sumbang mahram pula, jumlah kes pada tahun lalu meningkat kepada 385 kes daripada 334 kes pada tahun sebelumnya. Pada tahun 2007, kes yang dicatatkan ialah 360 kes, 332 kes (2006) dan 294 kes (2005). Perangkaan-perangkaan ini cukup membimbangkan. Apatah lagi, banyak kes yang tidak dilaporkan. Ini kerana lebih 80 peratus daripada pesalah seksual mempunyai hubungan ataupun mengenali mangsa seperti ahli keluarga, saudara mara dan jiran mereka. Trend sebegini jelas menunjukkan keruntuhan moral semakin gawat di kalangan anggota masyarakat di negara ini.

Bukan itu sahaja, sekiranya gejala negatif ini tidak dikekang segera, maka ia akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju pada 2020. Ini kerana sesetengah kakitangan pejabat terutamanya di sektor swasta menggunakan masa pejabat untuk melayari laman-laman sesawang pornografi. Mereka bukan sahaja menyalahguna kemudahan pejabat dan meningkatkan kos operasi syarikat tempat mereka bekerja, malah daya produktiviti mereka turut terjejas. Mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas dan pemikiran mereka menjadi celaru kerana imej-imej lucah sentiasa terpampang di dalam minda mereka. Mereka ketagih menonton gambar-gambar lucah. Gejala yang tidak sihat ini juga merupakan antara punca berlakunya gangguan seksual di tempat kerja. Antara negara yang telah melaksanakan dasar menapis dan menyekat bahan-bahan pornografi di Internet ialah China, negara-negara Kesatuan Eropah (yang melakukan penapisan ke atas pornografi kanak-kanak), Arab Saudi, Korea Selatan, Australia, Kanada dan India.

Bagaimanapun, untuk menyekat dan mengekang pornografi siber bukanlah mudah seperti yang difikirkan. Ini disebabkan aktiviti-aktiviti 'penjualan tubuh' merupakan aktiviti-aktiviti komersial utama di Internet dan paling banyak di laman sesawang tertentu. Adalah dianggarkan terdapat lebih daripada 1.5 juta laman sesawang pornografi di Internet dan 74 peratus daripada laman sesawang pornografi itu memaparkan diri sebagai laman selamat serta mudah dilayari. Justeru itu, tindakan Malaysia membangkitkan isu keselamatan Internet termasuk keperluan membendung pornografi kanak-kanak, serta kesan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap nilai budaya di persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-18 di Guadalajara, Mexico pada 8 Oktober lalu, disambut baik oleh pelbagai pihak terutama pemimpin dan badan telekomunikasi dunia.

Menurut Rais, beliau akan mengusulkannya dengan mengutus surat kepada Setiausaha Agung ITU, Dr. Hamadoun Toure untuk memastikan cadangan yang dikemukakan Malaysia diambil tindakan sewajarnya. Selain itu, disyorkan supaya semua kerajaan di dunia mengkehendaki dan mensyaratkan semua laman sesawang pornografi wajib dibayar. Mereka boleh mengusul dan membahaskan syor ini di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO). Penetapan sebegini dapat mengurangkan dengan banyak jumlah penonton laman itu. Selain itu, ditetapkan juga agar laman-laman sesawang pornografi menggunakan kata tambahan seperti .sex atau .xxx dan bukan .com. Cadangan ini harus dipertimbangkan. Syarat ini akan memudahkan pihak berkuasa untuk menapis bahan-bahan pornografi.

Selain itu, pendidikan seks yang holistik dan dilaksanakan secara berperingkat amat diperlukan di sekolah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Durex, hanya 36 peratus masyarakat negara ini menerima pendidikan seks di sekolah. Majoritinya memperoleh pengetahuan seks daripada Internet iaitu sebanyak 75 peratus dan majalah (76 peratus). Justeru, kerajaan tempatan melalui majlis-majlis daerah atau perbandaran harus mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat terhadap kedai perkhidmatan Internet dan kafe siber. Antara syaratnya ialah bilik Internet haruslah diterangi dan cermin dinding tidak boleh gelap. Skrin monitor komputer harus dihala ke arah yang dapat dipandang orang. Ini akan menyebabkan pengguna menjadi segan, malu dan takut untuk melayari laman-laman sesawang pornografi.

Pihak berkuasa pula hendaklah selalu melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis yang menawarkan perkhidmatan Internet. Masyarakat terutamanya golongan ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mengekang dan melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada laman-laman sesawang pornografi. Oleh kerana kanak-kanak dan remaja memerlukan bimbingan dan kawalan dalam penggunaan perkhidmatan Internet, maka ibu bapa atau penjaga harus lebih prihatin dan mengambil tahu tentang cara penggunaan perkhidmatan Internet oleh anak-anak mereka. Ibu bapa boleh mengawal selia penggunaan perkhidmatan Internet dengan menggunakan perisian penapisan kandungan yang dapat dimuat turun secara percuma dari Internet.

Mereka juga dapat membelinya di kedai-kedai komputer. Antara perisian penapisan Internet yang terdapat di pasaran ialah Net Nanny Parental Controls, Safe Eyes, CYBERsitter, Puree Sight PC, Cyber Patrol, Mc Afee Parental Controls, Filter Park, Im View dan Parental Controls. Selain itu, hubungan keluarga yang baik dan harmoni juga dapat menjauhkan ahli-ahli keluarga daripada melakukan sesuatu yang mengaibkan nama baik keluarga mereka. Begitu juga, pembangunan kerohanian, pegangan agama yang kuat dan takut kepada Tuhan dapat menjauhkan seseorang daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan aspek pembangunan kerohanian anak masing-masing. Pengaruh daripada laman-laman sesawang pornografi harus ditangani segera oleh semua pihak. Ia amat perlu dalam usaha kita mewujudkan satu masyarakat terutama generasi muda Malaysia yang mempunyai jati diri dan keperibadian yang baik.


Oleh LEE FOOK ON
Pengkaji dan Penganalisis
Politik, Ekonomi, Sosial dan Budaya Masyarakat.
Utusan Malaysia
11.10.2010