Sejajar dengan perkembangan dunia pendidikan masa kini yang semakin moden, canggih dan hampir semua maklumat boleh didapati dari hujung jari, maka keputusan kerajaan untuk memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) amatlah wajar dan tepat sekali pada waktunya. Ini memandangkan sejak sekian lama, kita telah mendengar pelbagai cadangan daripada pelbagai pihak supaya sistem persekolahan sedia ada yang terlalu menekankan peperiksaan dikaji semula. Justeru, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu media tempatan di Sydney, Australia semalam bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan PMR dalam format sekarang, ia adalah satu berita yang ditunggu-tunggu selama ini.
Kita percaya langkah tidak meneruskan peperiksaan PMR dan mengekalkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2016 dengan format baru adalah satu reformasi yang perlu dilakukan dalam memantapkan sistem pendidikan negara ini. Sebelum ini, ramai merungut betapa banyaknya peperiksaan yang terpaksa ditempuhi sebelum dapat menamatkan alam persekolahan. Ramai ibu bapa percaya bahawa pendidikan yang terlalu menekankan peperiksaan tidak akan membantu melahirkan generasi muda yang kreatif dan mampu menahan cabaran kerjaya masa kini. Justeru, ada ibu bapa khususnya di bandar dan berpendapatan tinggi tidak lagi mahu menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan, sebaliknya menyekolahkan anak-anak di sekolah antarabangsa atau mengamalkan sistem pendidikan di rumah dengan mengupah tenaga pengajar profesional atau mereka sendiri mengajar anak-anak di rumah.
Kita percaya, penolakan ibu bapa yang berpelajaran itu ada sebabnya iaitu mereka tidak mahu jiwa anak-anak tertekan dengan peperiksaan demi peperiksaan yang terpaksa dilalui. Itu belum lagi termasuk ujian bulanan dan peperiksaan pertengahan atau akhir tahun bagi menentukan kedudukan di dalam kelas. Kesemua itu memberi tekanan kepada anak-anak sehingga ada anak-anak tidak mahu ke sekolah dan lebih gemar ponteng bagi melarikan diri daripada sistem persekolahan yang membosankan dan tidak menarik bagi mereka. Perubahan dunia dan kehendak kerjaya hari ini memerlukan kita memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu yang disukai tanpa membelakangkan kepentingan ilmu. Ini bermaksud jika seseorang anak itu cenderung meminati muzik, maka biarkanlah dia mendalami bidang muzik yang diminatinya ketika masih di bangku sekolah.
Usah dipaksa anak-anak melakukan sesuatu yang mereka tidak minat. Jika dipaksa juga, maka tidak hairanlah begitu banyak anak-anak yang tercicir dalam pelajaran kerana mereka melakukannya bukan dengan kehendak hati, tetapi kehendak sekolah yang telah menetapkan bahawa setiap pelajar mesti menduduki peperiksaan awam yang dimulai dengan UPSR, selang dua tahun kemudian menghadap PMR dan kurang dua tahun selepas itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula menyusul. Bagi yang ke tingkatan enam, satu lagi peperiksaan menanti mereka iaitu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bayangkan dalam tempoh 11 - 13 tahun, terdapat empat peperiksaan yang wajib diduduki. Hasilnya, semakin ramai generasi muda memilih gaya hidup yang boleh merosakkan akhlak dan jiwa mereka apabila waktu sekolah digunakan untuk melepak dan sebagainya. Justeru, kita amat berharap agar format baru yang bakal dicipta bagi menilai pelajar di sekolah itu kelak dapat membantu melahirkan lebih ramai golongan muda yang bersemangat, kreatif dan mampu membawa negara ke mercu kejayaan.
Sumber
Utusan Malaysia
11.10.2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan