JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 Oktober 2010

ISU BAHASA : MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN DENGAN RELA

Seruan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai penggunaan bahasa Melayu perlu diberi perhatian sewajarnya adalah satu peringatan kepada semua lapisan masyarakat termasuk menteri, ahli politik, pembuat polisi dan rakyat. Seperti semua maklum, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipersoalkan lagi. Ia amat jelas terpahat dalam Perkara 152. Oleh itu, usaha memartabatkan bahasa Melayu seperti kedudukannya dalam Perlembagaan mesti sentiasa berterusan. Kerajaan seharusnya mempunyai perancangan yang jelas mengenai kedudukan bahasa kebangsaan ini. Bahasa memainkan peranan penting dalam membina semangat dan jati diri berkaitan kenegaraan. Ia adalah sebahagian kaedah untuk mengukuhkan semangat patriotisme. Bahasa adalah juga simbolik kepada perpaduan di kalangan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang bahasa dan budaya.

Walaupun negara kita mengiktiraf bahasa vernakular dan dialek kerana sifat budaya serta sejarahnya, kewujudan bahasa kebangsaan juga boleh menjadikan hubungan yang lebih ‘romantik’ antara rakyat yang berbilang bangsa, budaya dan bahasa. Ia simbol hubungan yang kuat, erat dan rapat. Bahasa kebangsaan juga menjadi sebahagian daripada khazanah perbendaharaan bagi negara ini. Ia menjadi sumber kekayaan negara kerana dapat menyatukan fabrik masyarakat yang pelbagai. Penggunaan bahasa Melayu sebagai medium dalam sistem pendidikan bagaimanapun berubah-ubah mengikut kesediaan pemimpin dan ahli politik. Adakalanya keadaan ini menimbulkan persoalan tertentu dan ada kala melahirkan kekeliruan. Sebagai medium di dalam pendidikan, penggunaan bahasa Melayu di ketengahkan pada akhir 1960-an di sekolah. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu berkembang ke peringkat pengajian tinggi. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, ditubuhkan dengan misi ‘mendaulatkan Bahasa Melayu’.

Dasar bahasa dalam sistem pendidikan berubah lagi dalam 2002 apabila kerajaan mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Perubahan ini melahirkan persoalan berkaitan kedudukan bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa Melayu secara sebenarnya. Ia mengundang banyak kontroversi dan seterusnya menyaksikan kerajaan terpaksa berundur daripada polisi terbabit. Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah juga memerlukan perhatian. Umumnya sehingga ke hari ini penggunaan bahasa Melayu di mahkamah tidak begitu menyerlah, walaupun sudah ada beberapa peningkatan. Secara purata, masih ramai peguam dan hakim sendiri yang berasa lebih mudah dan selesa untuk berbahasa Inggeris, sama ada untuk berkomunikasi atau menulis penghakiman. Mungkin kekurangan bahan rujukan dan istilah undang-undang yang tertentu di dalam bahasa Melayu menyumbang kepada keadaan ini. Kekurangan ini berlaku mungkin kerana kalangan akademik tidak begitu ghairah menulis dalam bahasa Melayu.

Mereka tidak menulis dalam bahasa Melayu kerana faktor merit untuk kenaikan pangkat di universiti tempatan yang mahu terbitan dibuat dalam pelbagai jurnal antarabangsa (jurnal scorpus, citation index dan seumpamanya) yang sudah tentu tidak menerima tulisan bahasa Melayu. Saya pernah mendengar rungutan rakan akademik mengenai perkara ini. Malah, ramai kalangan ahli akademik yang masih was-was untuk menulis dan mengutarakan pandangan dalam bahasa Melayu kerana sudah terbiasa dengan penggunaan bahasa Inggeris. Saya sendiri pernah ‘dinasihatkan’ oleh beberapa orang rakan akademik untuk menulis dalam bahasa Inggeris kerana polisi universiti berkaitan kenaikan pangkat.  Maka, episod ‘bangau oh bangau’ bermula. Mencari helah. Keadaan ini tidak akan membawa kebaikan kepada bahasa kebangsaan.

Era globalisasi juga dijadikan alasan. Sesetengah ahli sosiolinguistik berpendapat bahawa polisi bahasa di sesetengah negara berubah kerana proses globalisasi. Penulis buku Language Policy, Culture and Identity in Asian Contexts, Tsui dan Tollefson, bagaimana pun menyifatkan keadaan ini sebagai dialektikal. Ia boleh diselesaikan dengan menguraikan secara sistematik kehendak atau keperluan domestik dan antarabangsa. Apa yang saya faham daripada maksud penulis ini ialah kedua-dua bahasa ini (bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris) adalah penting. Namun kita harus menyedari keperluan dan kepentingan kedua-duanya mengikut kehendak semasa. Kita perlu menyeimbangkan keperluan bahasa ini mengikut keadaan. Penggunaan bahasa Melayu mungkin lebih menyerlah jika setiap warga negara memahami dan mengambil perhatian mengenai tanggungjawab asasnya terhadap negara dengan memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi terhadap penggunaan bahasa kebangsaan. Keadaan ini seterusnya dapat membantu usaha mendaulatkan bahasa Melayu dan memperkenalkan identiti atau jati diri warga negara Malaysia.

Dalam menjadikan penggunaan bahasa Melayu lebih berkesan, perancangan mengenai bahasa (language planning) perlu diambil perhatian pemimpin. Perancangan ini lebih kepada pentadbiran dan juga politik. Kejayaan dalam penggunaan bahasa kebangsaan tidak dapat dikecapi tanpa perancangan yang sempurna dalam kedua-dua aspek ini. Contoh, kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pengiklanan dalam projek Pengesahan Bahasa Kebangsaan dalam Iklan untuk menentukan Prosedur Kendalian Standard, harus dipuji dan dijadikan contoh yang baik mengenai perancangan pentadbiran. Pemerintah dan ahli politik pula harus mengelak daripada membuat keputusan berkaitan bahasa kebangsaan secara terburu-buru. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan amat bergantung kepada kesedaran hakiki dalam sanubari setiap ahli masyarakat kerana kasih mereka terhadap negara walau siapa pun mereka. Menghormati, mengguna dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan mesti dilakukan setiap individu tanpa menunggu sebarang bentuk paksaan atau menanti sebarang bentuk pulangan. Ia adalah tanggungjawab hakiki setiap individu terhadap negaranya.



Oleh Shamrahayu A Aziz
Penolong Profesor Kuliyyah Ahmad Ibrahim
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
BERITA HARIAN
12 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: