Perkongsian ikhlas daripada seorang guru yang sedar bahawa ilmu itu bukannya hak mutlak seorang individu tetapi milik Allah Yang Maha Mengetahui. Ilmu itu terlalu luas dan tidak pernah ada garisan penamat bagi setiap insan yang sentiasa dahagakannya untuk dijadikan panduan serta petunjuk meredah onak dan duri kehidupan ini. Sincere sharing from a teacher who realizes that knowledge is not the absolute right of an individual but belongs to God Who Knows. Knowledge is too broad for every person.
Mengenai Saya
- CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN @ PHILIP SELI "BAHASAKU GLOBAL BANGSAKU GLOKAL"
- SIBU, SARAWAK, Malaysia
JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI
17 Disember 2018
16 Disember 2018
YANG SALAH DAN YANG BETUL
YANG SALAH
Ada berbagai barang di kedai itu.
YANG BETUL
Ada berbagai-bagai barang di kedai itu.
Ada pelbagai barang di kedai itu.
YANG SALAH
Ada pelbagai barang-barang di kedai itu
YANG BETUL
Ada pelbagai barang di kedai itu.
YANG SALAH
Farihin dihadiahkan sebuah buku harian.
YANG BETUL
Farihin dihadiahi sebuah buku harian.
Sebuah buku harian dihadiahkan kepada Farihin.
YANG SALAH
Farihin menghadiahkan Zulkarnain sebuah kereta.
YANG BETUL
Farihin menghadiahi Zulkarnain sebuah kereta.
Farihin menghadiahkan sebuah kereta kepada Zulkarnain.
YANG SALAH
Mustakim menghadiahi baju kepada Muslim.
YANG BETUL
Mustakim menghadiahkan baju kepada Muslim.
YANG SALAH
Buku itu dihadiahi kepada Zulkarnain.
YANG BETUL
Buku itu dihadiahkan kepada Zulkarnain.
YANG SALAH
David Beckham merindukan anaknya.
YANG BETUL
David Beckham merindui anaknya.
YANG SALAH
Hakim menjatuhkan pembunuh itu hukuman gantung.
YANG BETUL
Hakim menjatuhi pembunuh itu hukuman gantung.
YANG SALAH
Hakim telah menjatuhi hukuman gantung kepada pembunuh itu.
YANG BETUL
Pembunuh itu dijatuhi hukuman gantung
YANG SALAH
Bola itu ditendang oleh Christino Ronaldo.
YANG BETUL
Bola itu Christino Ronaldo tendang.
YANG SALAH
Dalam bilik itu ada banyak nyamuk.
YANG BETUL
Di dalam bilik itu ada banyak nyamuk.
Ada berbagai barang di kedai itu.
YANG BETUL
Ada berbagai-bagai barang di kedai itu.
Ada pelbagai barang di kedai itu.
YANG SALAH
Ada pelbagai barang-barang di kedai itu
YANG BETUL
Ada pelbagai barang di kedai itu.
YANG SALAH
Farihin dihadiahkan sebuah buku harian.
YANG BETUL
Farihin dihadiahi sebuah buku harian.
Sebuah buku harian dihadiahkan kepada Farihin.
YANG SALAH
Farihin menghadiahkan Zulkarnain sebuah kereta.
YANG BETUL
Farihin menghadiahi Zulkarnain sebuah kereta.
Farihin menghadiahkan sebuah kereta kepada Zulkarnain.
YANG SALAH
Mustakim menghadiahi baju kepada Muslim.
YANG BETUL
Mustakim menghadiahkan baju kepada Muslim.
YANG SALAH
Buku itu dihadiahi kepada Zulkarnain.
YANG BETUL
Buku itu dihadiahkan kepada Zulkarnain.
YANG SALAH
David Beckham merindukan anaknya.
YANG BETUL
David Beckham merindui anaknya.
YANG SALAH
Hakim menjatuhkan pembunuh itu hukuman gantung.
YANG BETUL
Hakim menjatuhi pembunuh itu hukuman gantung.
YANG SALAH
Hakim telah menjatuhi hukuman gantung kepada pembunuh itu.
YANG BETUL
Pembunuh itu dijatuhi hukuman gantung
YANG SALAH
Bola itu ditendang oleh Christino Ronaldo.
YANG BETUL
Bola itu Christino Ronaldo tendang.
YANG SALAH
Dalam bilik itu ada banyak nyamuk.
YANG BETUL
Di dalam bilik itu ada banyak nyamuk.
13 Disember 2018
DAUN KETUM MEMPUNYAI NILAI KOMERSIAL?
Ketum atau nama saintifiknya ‘mitragyna
speciosa’ sering menjadi tajuk perbualan, seiring dengan konflik yang
membelenggu tanaman kontroversi itu, sama ada ia benar-benar membawa manfaat
atau mencetus mudarat. Bagi majoriti penduduk, khususnya di sekitar utara
Semenanjung, ketum atau lebih dikenali sebagai biak sudah sebati dengan
kehidupan mereka sejak turun-temurun. Namun begitu, penyalahgunaan ketum
sehingga membawa kepada ketagihan untuk meminumnya mencetus kebimbangan. Cadangan
kerajaan untuk mengharamkan penanaman ketum bagi mengelak penyalahgunaan
berleluasa, antara langkah yang wajar disahut.
Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan
(AADK) kewujudan lebih 32 hektar ladang ketum di negeri Kedah yang menjadi
sumber bekalan utama pengedaran di negara ini dan Thailand telah membawa pulangan
keseluruhan yang dijana dianggarkan di antara RM500,000 hingga RM1 juta
sebulan. Itu baru di Kedah, belum lagi di Perlis dan Perak. Persoalannya,
mengapa begitu banyak ketum ditanam sehingga berskala ladang seolah-olah, mahu
dijadikan komoditi untuk eksport dan tidak menghairankan apabila banyak kes
daun ketum dirampas di sempadan negara oleh pihak berkuasa. Isu pengharaman
ketum sudah lama disuarakan dan ramai bersetuju kesan mudarat akibat
ketagihannya yang mengandungi bahan aktif mitragynine, iaitu sejenis alkaloid
psikoaktif yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
Sehubungan itu, timbul gesaan supaya
ketum disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebaris pokok ganja,
kanabis, popi dan koka, malah pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952
juga pernah dibentangkan di Dewan Rakyat. Sehingga kini, tiada keputusan
konkrit mengenai pengharaman ketum dan ia terus menjadi polemik dari semasa ke
semasa. Satu fakta menarik perlu diambil kira iaitu apabila menanam pokok ketum
tidak dikira sebagai kesalahan, melainkan saat daunnya dipetik. Seksyen 30 Akta
Racun 1952 menetapkan kesalahan bagi aktiviti mengimport, mengeksport,
mengilang, menjual dan memiliki bahan psikotropik termasuk ketum, namun tiada
soal penanaman disenaraikan.
Ruang lompong sebegini membuka ruang
kepada pekebun untuk beralih mengusahakan ketum, beranggapan memiliki status
‘kebal’ dan tidak boleh disentuh pihak berkuasa. Kelonggaran ini wajar
diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka undang-undang berkaitan
pengharaman ketum. Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk merampas tanah yang
dijadikan ladang ketum boleh dilihat semula walaupun ia tidak sempat
dilaksanakan atas sebab tertentu. Malah, Jabatan Perhutanan di Kedah dan Perak
pernah mengambil tindakan memusnahkan ladang ketum yang diusahakan secara haram
di atas tanah rizab kerajaan atau dalam kawasan hutan simpan.
Apapun keputusan yang akan dibuat,
manfaat ketum dari segi komersial dan perubatan perlu diberikan perhatian
terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum langkah mengharamkannya secara total
diambil.
SIAPAKAH JAMAL KHASHOGGI?
Kisah kehilangan dan kematian Jamal
Khashoggi, seorang wartawan kelahiran Arab Saudi mendapat liputan meluas dalam
berita dunia. Beliau dilaporkan hilang sejak 2 Oktober lalu selepas memasuki
Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki dan Jamal sebelum ini memilih untuk
hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) selepas meninggalkan
Arab Saudi pada tahun lalu. Pihak berkuasa Turki menegaskan bahawa Jamal
dibunuh dalam konsulat tersebut dan Riyadh pula mengakui bahawa Jamal meninggal
dunia akibat bergaduh dalam bangunan itu biarpun sebelum ini negara berkenaan
menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.
Berikut adalah beberapa perkara mengenai
Jamal:
KENAPAKAH JAMAL PALING MENONJOL?
Jamal dilahirkan pada 13 Oktober 1958 di
Arab Saudi dan kariernya sebagai wartawan sering mengkritik barisan kepemimpinan
kerajaan Riyadh ketika ini dan beliau berkongsi pandangannya menerusi ruang kolumnis
dalam akhbar Washington Post sejak setahun lalu. Kariernya juga menyaksikan
Jamal pernah membuat laporan mengenai kumpulan militan al-Qaeda di Afghanistan
termasuk kebangkitan pemimpinnya, Osama Laden pada tahun 1980-an. Beliau juga
pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarang di akhbar Arab News
pada 2001 dan insiden serangan pengganas pada 11 September menjadikan Jamal
sebagai ‘sumber paling berharga’ kepada media asing untuk mengetahui serta
memahami situasi sebenar dalam serangan tersebut. Jamal sebelum ini pernah
dipecat sebanyak dua kali sebagai Ketua Pengarang akhbar Saudi Al-Watan kerana
berita yang dipaparkan sering mengkritik golongan pelampau dan pelaksanaan
nilai agama di Arab Saudi.
KENAPAKAH BELIAU AMAT DIKENALI DI LUAR
ARAB SAUDI?
Ketika berkhidmat dengan Saudi Al-Watan,
Jamal juga merupakan penasihat kepada Duta Arab Saudi ke London iaitu Putera
Turki Al-Faisal. Pada 2005, apabila Putera Turki dilantik pula sebagai Duta
Arab Saudi ke AS, Jamal menjadi pembantu medianya dan kebanyakan masa Jamal
bertugas sebagai kolumnis dan pengulas sebelum meninggalkan negara itu dan
pindah ke AS pada Jun 2017.
KENAPAKAH JAMAL HIDUP DALAM BUANGAN?
Jamal memberitahu rakan dan wartawan
bahawa ruang kebebasan bersuara di bawah pimpinan Putera Mahkota Arab Saudi
iaitu Putera Mohammed Salman semakin mengecil dan beliau bimbang akan
keselamatannya. Dalam satu temu bual bersama Al-Jazeera TV pada Mac lalu, Jamal
memaklumkan bahawa dia akan meninggalkan Riyadh kerana enggan ditahan pihak
berkuasa negara itu. Beliau juga menceritakan bagaimana dia dipecat sebanyak
dua kali kerana mendesak reformasi dilakukan di Arab Saudi.
APAKAH YANG DITULIS OLEH JAMAL?
Jamal tidak menganggap dirinya sebagai
seorang pengkhianat negara, sebaliknya sebagai seorang penulis yang melahirkan
kebimbangan mengenai hala tuju Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mohammed
yang berusia 33 tahun. Penulisan pertamanya dalam Washington Post pada 18
September 2017 menceritakan tentang keputusannya meninggalkan Arab Saudi. “Saya
sudah tinggalkan rumah, keluarga, kerja saya. Untuk melakukan perkara
sebaliknya akan mengkhianati pihak yang telah dipenjarakan. Saya ingin anda
tahu bahawa Arab Saudi tidak seperti yang anda lihat ketika ini. Rakyat negara
itu berhak untuk dapat yang terbaik,” tulisnya.
Pada Februari lalu, Jamal menulis bahawa
Putera Mohammed perlu belajar daripada kerabat diraja Britain bagaimana untuk
mendapatkan kedudukan, kepercayaan, penghormatan dan kejayaan dengan bersikap
rendah diri. “Jika Putera Mohammed boleh menerima segala kritikan rakyat, saya
yakin beliau boleh tingkatkan kuasa serta pentadbirannya,” tulis Jamal. Selain
itu, beliau juga menyamakan Putera Mohammed seperti Presiden Rusia, Vladimir
Putin. Menerusi kolum terakhir sebelum beliau dilaporkan hilang, Jamal menggesa
Putera Mohammed menamatkan perang terhadap Yemen yang dimulakan sejak lebih
tiga tahun lalu.
KENAPAKAH JAMAL MEMASUKI KONSULAT ARAB
SAUDI?
Jamal pergi ke Konsulat Arab Saudi di
Istanbul untuk mengambil dokumen peribadi sebelum berkahwin dengan dengan
tunangnya, Hatice Cengiz yang merupakan pelajar doktor falsafah warga Turki dan
berusia 36 tahun. Beliau juga dilaporkan membeli sebuah rumah di Istanbul
sebagai persiapan selepas berkahwin dengan Hatice.
APAKAH PANDANGAN ARAB SAUDI MENGENAI
JAMAL?
Pihak berkuasa Arab Saudi sehingga kini
tidak membuat sebarang kenyataan kritikal mengenai Jamal sejak kehilangannya. Putera
Mohammed dalam temu bual bersama Bloomberg sebelum ini hanya memaklumkan bahawa
Jamal merupakan warga Arab Saudi dan ingin tahu apa yang terjadi kepada
wartawan tersebut. Putera Khalid Salman yng kini merupakan Duta Arab Saudi ke
AS pula menyifatkan Jamal sebagai seorang rakan dan memuji beliau atas
sumbangannya terhadap negara.
PERSON OF THE YEAR
Wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal
Khashoggi yang dibunuh kejam di Konsulat Riyadh di Istanbul dinamakan sebagai
'Person of the Year' oleh majalah Time pada 11 Disember 2018. Beliau turut
berkongsi gelaran itu bersama beberapa wartawan lain yang digelar sebagai
'penjaga' kebenaran seperti Maria Ressa dan Wa Lon serta Kyaw Soe Oo yang kini
dipenjarakan di Myanmar.
12 Disember 2018
HENTIKAN PENGGUNAAN KHIDMAT BAS SEKOLAH HARAM
Menteri Pengangkutan,
Anthony Loke sendiri mengakui pengusaha bas sekolah yang tidak berdaftar sudah
berlarutan sejak 30 tahun lalu. Berdasarkan statistik terkini, hanya 14,809 bas
sekolah berdaftar, sekali gus tidak setimpal dengan jumlah 3.9 juta pelajar
sekolah di seluruh negara. Perbandingan itu lebih membimbangkan apabila Tan Sri
Syed Hamid Albar ketika menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) pernah mendedahkan lebih 50,000 bas sekolah di seluruh negara dipercayai
masih beroperasi secara haram dan belum berdaftar dengan agensi di bawah SPAD
pada 2013. Mengambil kira angka itu, ini bermakna setiap bas sekolah berdaftar,
ada dua dan tiga lagi kenderaan haram yang turut membawa anak-anak kita
berulang-alik dari rumah ke sekolah.
Berleluasanya operasi bas
sekolah haram itu sudah tentu turut berpunca daripada permintaan dan penawaran
yang membabitkan ibu bapa sendiri. Dalam situasi ibu bapa sibuk mengejar dan
membina kerjaya masing-masing sehingga terpaksa keluar awal pagi dan pulang
malam. Kita ‘menyerahkan’ tanggungjawab menghantar dan mengambil anak di
sekolah kepada pengusaha bas. Malangnya, hal itu dilakukan tanpa mengambil kira
sama ada kenderaan terbabit berdaftar atau tidak dan tidak mengambil tahu
adakah status kenderaan yang digunakan mengikut piawaian ditetapkan. Ini sekali
gus mendedahkan anak-anak kepada risiko kemalangan yang berlaku akibat kecuaian
pemandu atau kerosakan mekanikal. Mengikut peraturan, setiap pemandu bas
sekolah perlu mempunyai Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV),
manakala kenderaan pula wajib menjalani pemeriksaan berkala dan mendapat
kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Pengusaha juga perlu
melakukan pemeriksaan dalam aspek keselamatan seperti cermin kenderaan yang
berkeadaan baik dan alat pemadam api masih berfungsi. Dalam hal ini, sekolah
dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk
memastikan hanya van serta bas sekolah berdaftar sahaja dibenarkan beroperasi
dan memantau kehadiran kenderaan haram serta melaporkannya kepada pihak
berkuasa. Kerjasama dengan pengusaha berdaftar juga perlu dipergiatkan seperti mengedarkan
senarai van serta bas yang sah kepada ibu bapa. Kerajaan juga tidak harus
berkompromi dalam isu bas sekolah tidak berdaftar ini kerana ia membabitkan
keselamatan pelajar. Langkah melakukan pemutihan bas yang tidak berdaftar
selewat-lewatnya tahun depan dengan mewujudkan mekanisme terbaik untuk
menjayakannya tidak boleh lagi hanya menjadi halwa telinga setiap kali
pertemuan pihak kementerian dengan pengusaha bas. Sebaliknya memerlukan pelan
yang komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya
pelajar itu sendiri.
Kementerian Pengangkutan
juga boleh memperkenalkan langkah tambahan untuk menambah baik perkhidmatan bas
sekolah seperti pengenalan gred berdasarkan kualiti pemandu, kenderaan dan
maklum balas daripada sekolah serta ibu bapa. Kita mengharapkan perbincangan
mengenainya tidak hanya terarah kepada isu kos dan tambang sehingga perkara
pokok dikesampingkan tetapi lebih kepada justifikasi menaikkan harga
perkhidmatan. Persoalan sebenar mengenai keselamatan pelajar bermula ketika
mengambil, membawa dan menurunkan mereka di sekolah serta rumah masing-masing
seharusnya menjadi keutamaan. Kita juga berharap soal ini diatasi secepat
mungkin dan tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk diselesaikan dengan
mengulang kembali fiil lama, bak kata pepatah ‘terperlus maka hendak menutup
lubang.’ Apatah lagi lubang yang belum ditutup itu boleh menjerumuskan
anak-anak kita kepada bahaya.
11 Disember 2018
KEYAKINAN TERHADAP BAHASA MELAYU PERLU DIPERKUKUH
SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE
TARIKH:3 DISEMBER 2018
PENULIS: SITI HALIZA YUSOP
Bahasa Iceland masih wujud meskipun
dikatakan akan pupus dua abad yang lalu, tidaklah salah untuk mengatakan bahasa
Melayu juga akan terus bertahan dalam menghadapi gelombang besar bahasa
Inggeris ketika ini. Walau bagaimanapun, perkara yang mungkin lebih sukar di
sebalik cabaran itu ialah ‘melayani’ krisis keyakinan yang nampaknya kuat
berakar dalam diri sebahagian masyarakat sehingga ada menganggap bahasa Melayu
bukan bahasa ilmu. Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Supyan Hussin, menyifatkan mereka yang
menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu sebagai tidak berpijak pada bumi
nyata. Beliau berkata, sebagai bahasa Malayo-Polinesia merentasi sempadan
negara ini, bahasa Melayu yang dituturkan lebih 330 juta penduduk di seluruh
Nusantara sudah lama digunakan untuk menyampaikan pelbagai ilmu melalui buku
dan kitab.
Di negara ini, peranan itu terutamanya
berlaku ketika bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar sepenuhnya di sekolah
dan di universiti awam (UA) menyebabkan buku ilmiah, jurnal serta kuliah dan
pengajaran disampaikan dalam bahasa Melayu. Sejak itu, berlaku pertambahan
istilah baharu dalam daftar leksikon kamus dan bilangan buku ilmiah dalam
bahasa Melayu daripada pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, perubatan,
seni bina serta kejuruteraan.
BAHASA MELAYU BAHASA ILMU
Menurut Prof Dr Supyan Hussin lagi, kehadiran
buku ilmiah dan makalah dalam bahasa Melayu sebagai sumber ilmu ini turut
membolehkan bahasa ini terus berkembang sebagai bahasa ilmu apabila semakin
ramai sarjana Eropah, Amerika, dan Australia menguasai bahasa ini demi
mendalami ilmu alam Melayu. Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bahasa Iceland yang terus
hidup di sebalik tekanan bahasa Inggeris yang dibawa teknologi moden, sama
seperti apa yang berlaku kepada bahasa Melayu kini. Dituturkan 350,000 penduduk
kepulauan Atlantik Utara, bahasa Iceland nampaknya terus hidup meskipun 200
tahun lalu ia diramalkan sesetengah pihak sebagai akan mati dan terus pupus. Ramalan
kepupusan bahasa Iceland itu sebahagiannya berpunca daripada ketiadaan
perancangan pemerintahnya dalam memulihara kelangsungan dan kekuatan bahasa
sebagai usaha kelestarian bahasanya.
Usaha konkrit untuk memulihara bahasa
Iceland itu, hanya disedari selepas berpuluh-puluh tahun dan kewujudan badan
penggerak ala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di negara itu membantu Iceland
untuk melihat semula kelangsungan bahasa mereka. Polisi bahasa, peruntukan wang
untuk penggalakan bahasa, insentif dan penguatkuasaan bahasa, menjadikan bahasa
Iceland kembali subur serta terus dilestari malah kini menjadi bahasa
kebanggaan rakyat mereka. Oleh itu, pemerkasaan DBP perlu dilakukan termasuk
melalui peruntukan belanjawan dan undang-undang bertujuan menguatkuasakan
penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi negara. Perkara yang paling
penting, kita juga memerlukan iltizam politik oleh pemimpin negara untuk
memartabatkan bahasa kebangsaan di negara sendiri, seperti berlaku dalam kes
bahasa Iceland.
KERAJAAN BAHARU PERLU TEGAS
Prof Dr Supyan Hussin
mengatakan antara cabaran terbesar bahasa Melayu pada ketika ini ialah untuk
memastikan masyarakat terus berpegang kepada Perlembagaan terutamanya Akta 152
yang menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Kegagalan
berpegang kepada akta ini termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan akan memberi kesan
yang sangat buruk kepada pembangunan negara bangsa. Kegagalan rakyat termasuk
pemimpin parti politik untuk berpegang kepada Akta 152 dan Dasar Bahasa
Kebangsaan akan menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam pembangunan negara
bangsa. Di sinilah pentingnya kerajaan baharu untuk tegas dalam mempertahankan
Akta 152 dan Dasar Kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi negara. Perlembagaan
tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan tidak menghalang rakyat mahu
mengembangkan bahasa ibunda mereka tetapi bukan untuk menggantikan bahasa
kebangsaan dengan bahasa lain.
DEMOKRASI DI MALAYSIA YANG KELIMA TERBAIK DI ASIA
SUMBER : AGENSI
TARIKH: 9 DISEMBER 2018
Malaysia menduduki tangga kelima dalam
senarai amalan demokrasi terbaik di Asia bagi 2017 yang diungguli Korea Selatan
diikuti Jepun, India dan Filipina. Ini berdasarkan Indeks Demokrasi Unit
Risikan Ekonomi yang mengambil kira lima faktor, iaitu proses pilihan raya dan
pluralisme, kebebasan sivil, tahap kerajaan berfungsi, penyertaan politik dan
budaya politik. Berdasarkan indeks itu adalah disimpulkan bahawa negara Asia
sudah mencapai kemajuan terbesar dari segi amalan demokrasi, meskipun ada
beberapa negara yang masih ketinggalan. Selain itu, banyak negara Asia berada
di kedudukan atas amalan demokrasi dalam kalangan 166 negara tetapi belum boleh
disifatkan mencapai 'demokrasi penuh,' lapor portal Thailand, The Nation.
Negara melonjak ke tangga ke-20 terbaik
dunia dari kedudukan ke-24 pada 2016, sebahagiannya berpunca daripada desakan
rakyat membawa kepada pemecatan Presiden ketika itu, Park Geun-hye atas tuduhan
menggelapkan wang. Jepun berkedudukan kedua di Asia tetapi ke-23 secara global,
manakala India ketiga di Asia dan ke-42 secara global, satu penurunan daripada
kedudukan ke-32 sebelumnya kerana pengaruh puak berhaluan kanan dan serangan ke
atas minoriti dan pihak digelar 'penentang’. 'Filipina adalah ke-4 di Asia dan
ke-51 secara global, manakala Malaysia ke-5 di Asia dan ke-59 secara global
diikuti Mongolia dan Sri Lanka yang berada di tempat ke-60 dan ke-62 secara
global.
Indonesia pula jatuh dari kedudukan
ke-48 kepada ke-68, sebahagiannya disebabkan undang-undang menghina agama yang
didakwa digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara. Ini diikuti Singapura di
kedudukan ke-69 secara global, manakala Nepal dan Bhutan di nombor 94 dan 99
manakala Thailand di kedudukan 107. Pakistan yang mendapati demokrasinya
terjejas kerana undang-undang menghina agama serta tapisan media, di tempat
ke-110 diikuti Myanmar dan Kemboja.
APAKAH MAKNA ICERD?
SUMBER : UTUSAN ONLINE
TARIKH: 4 NOVEMBER 2018
PENULIS ARTIKEL: SHAMRAHAYU A. AZIZ
Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad
Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM).
International Convention on the
Elimination of All Forms of Racial Discrimination, (ICERD) ialah perjanjian
antarabangsa yang bertujuan untuk menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum.
Ia telah dibuka untuk ditanda tangani dan seterusnya disahkan oleh
negara-negara sejak 21 Disember 1965. Sehingga kini, 15 buah negara masih belum
menandatangani dan membuat ratifikasinya, antaranya ialah Malaysia. Ratifikasi
(ratification) dalam undang-undang antarabangsa bermaksud suatu negara
menyatakan persetujuannya untuk terikat kepada suatu perjanjian jika
pihak-pihak tersebut berhasrat untuk menunjukkan persetujuan mereka untuk
terikat walaupun tidak dipaksa untuk mengikat. Perbincangan tentang ICERD
memerlukan kefahaman pemakaian undang-undang antarabangsa dalam sistem
perundangan Malaysia. Terdapat dua teori penerimaan dan pemakaian undang-undang
antarabangsa dalam suatu negara; (1) Doktrin Diperbadankan (Doctrine of
Incorporation) dan (2) Doktrin Transformasi (Doctrine of Transformation).
Menurut ‘Doktrin Diperbadankan’,
undang-undang antarabangsa secara automatik dimasukkan dalam undang-undang
domestik setelah ia diratifikasi sehingga undang-undang tempatan dan
undang-undang antarabangsa menjadi satu, sama dan serupa (monism). “Doktrin
Transformasi” pula bermaksud undang-undang antarabangsa tidak secara automatik
menjadi undang-undang tempatan. Dalam teori transformasi ini, undang-undang
antarabangsa dan undang-undang tempatan adalah dua entiti berbeza dan
berasingan (dualism). Penerimaan undang-undang antarabangsa dalam sistem
perundangan negara hanya boleh dibuat melalui proses perundangan negara. Malaysia
menerima doktrin transformasi kerana tiada peruntukan Perlembagaan yang
menetapkan penerimaan undang-undang antarabangsa secara automatik. Oleh itu,
semua instrumen yang menjadi sumber undang-undang antarabangsa, seperti Triti,
Perjanjian dan Konvensyen tidak akan menjadi undang-undang negara kita
sehinggalah kita meminda atau membuat undang-undang tempatan berkaitannya.
Perkara 74 dan Jadual Kesembilan
Perlembagaan Persekutuan memberikan kesan bahawa kuasa untuk membuat atau
menandatangi dan meratifikasi triti atau perjanjian di peringkat antarabangsa
adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa
Badan Eksekutif mempunyai kuasa untuk membuat perjanjian antarabangsa atau
menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa, manakala kuasa untuk
menguatkuasakan undang-undang antarabangsa tersebut adalah terletak hak kepada
Parlimen. Oleh itu, bagi membolehkan suatu perjanjian antarabangsa itu berkuat
kuasa Parlimen hendaklah meluluskan undang-undang bagi menjelmakan atau membuat
pernyataan khusus tentang perkara-perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian
tersebut bagi tujuan pelaksanaanya. Sekiranya tiada, maka instrumen
antarabangsa yang telah dipersetujui oleh Badan Eksekutif tidak akan mengikat
atau tidak boleh diamalkan atau tidak boleh diterima di mahkamah (prinsip
berbeza dalam kes melibatkan Undang-Undang Adat Antarabangsa).
Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan
menyatakan, antara lain bermaksud, sesuatu undang-undang yang bertujuan
melaksanakan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui Malaysia di peringkat
antarabangsa tidak boleh dibuat sekiranya undang-undang tersebut melibatkan
hal-hal berkaitan hukum Syarak, adat orang Melayu atau undang-undang atau adat
anak negeri Sabah dan Sarawak. Sementara itu, sesuatu rang undang-undang yang
berkaitan dengan triti, perjanjian dan konvensyen yang ditandatangani oleh
Persekutuan tidak boleh diperkenalkan dalam Parlimen tanpa rundingan dengan
kerajaan mana-mana Negeri dalam Persekutuan. Peruntukan ini walau bagaimanapun
masih belum ditafsirkan oleh mana-mana mahkamah di negara ini.
Bercanggah
Kesimpulannya, amalan Malaysia dalam
penerimaan triti atau perjanjian antarabangsa adalah berdasarkan kepada
‘doktrin transformasi’. Walaupun Kerajaan (Eksekutif) telah mengesahkan
perjanjian antarabangsa, tetapi ia tidak mempunyai kesan undang-undang dalam
negara kecuali Parlimen telah meluluskan undang-undang untuk menguatkuasakan
undang-undang bagi tujuan untuk perjanjian antarabangsa tersebut. Inilah hujah
yang sering digunakan oleh pihak yang menyokong cadangan meratifikasi ICERD. Hujah
lain yang kelihatan dalam bicara berkaitan ICERD ialah, sekiranya kerajaan
membuat keputusan untuk menandatangani dan meratifikasi sesebuah Perjanjian
Antarabangsa, Kerajaan boleh meletakkan reservation atau pengecualian; atau
kerajaan boleh membuat interpretative declaration.
Maksudnya kerajaan tidak perlu menerima
keseluruhan perjanjian tersebut, tetapi boleh meletakkan
pengecualian-pengecualian tentang perkara-perkara yang didapati bercanggah
dengan undang-undang atau dasar negara, termasuk Perlembagaan Persekutuan, Akta
atau Enakmen. Atau, kerajaan boleh menyatakan definisi tersendiri kepada
mana-mana peruntukan dalam perjanjian antarabangsa. (Lihat Guide to Practice on
Reservations to Treaties 2011). Namun begitu, menurut Guide to Practice on
Reservations to Treaties 2011 pengecualian kepada suatu ratifikasi perjanjian
antarabangsa akan hanya diterima sekiranya ia tidak ditolak oleh negara-negara
lain dan antara alasan yang boleh diberikan oleh negara-negara lain ialah,
pengecualian tersebut menyebabkan objektif suatu perjanjian tersebut tidak
tercapai. Pengecualian tersebut juga hendakalh diterima oleh 2/3 daripada
negara-negara lain (Perkara 20 ICERD).
Dalam kes ICERD, sekiranya kerajaan mahu
menandatangani dan meratifikasi perjanjian ini, perincian-perincian tentang
pengecualian tersebut perlu didedahkan dan dibahaskan dengan matang supaya ia
dapat difahami dan diterima oleh rakyat terbanyak. Selain itu, PBB mempunyai
mekanisme tertentu untuk pelaksanaan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.
Mekanisme ini diwujudkan bagi memastikan setiap perjanjian yang diratifikasi
oleh negara-negara mencapai objektifnya. Dalam kes ICERD, ia menyatakan dengan
jelas bahawa suatu Jawatankuasa, yang dikenali sebagai Committee on the
Elimination of Racial Discrimination (Perkara 8 ICERD). Walaupun mekanisme PBB
ini umumnya tidak begitu cekap dalam amalannya, tetapi, ia mempunyai sisten dan
kekuatan tersendiri.Perkara pokok yang perlu dibincangkan dalam kes cadangan
kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD ini ialah, adakah
keistimewaan-keistimewaan yang diberikan kepada Melayu dan Anak Negeri serta
kepentingan sah komuniti-komuniti lain seperti yang ada dalam Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan adalah berbentuk diskriminasi?
Sekiranya ia adalah diskriminasi maka
kesannya nanti ialah, PBB boleh menggunakan mekanismenya untuk meletakkan
tekanan ke atas negara kita untuk mengubah apa jua undang-undang serta
polisi-polisi berkaitan. Namun begitu, sekiranya Perkara 153 yang menjamin keistimewaan
dan kepentingan sah tersebut adalah suatu special measures yang satu-satunya
bertujuan “securing adequate advancement of certain racial or ethnic group or
individuals…in order to ensure …(their) enjoyment or exercise of human rights
and fundamental freedom”, ia bukanlah suatu diskriminasi perkauman. Sekiranya
begitu, ia masih boleh terus diamalkan negara sehingga tujuan tersebut telah
dicapai. Sekiranya special measures tersebut telah mencapai objektifnya, ia
hendaklah dimansuhkan untuk mencapai objektif ICERD (Perkara 1(4) ICERD). Ini
adalah asas kepada mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan
meratifikasi ICERD.
Pandangan ini mempunyai asas yang kukuh
untuk menangani kesan negatif ICERD ke atas sensitiviti bangsa Melayu untuk
jangkamasa panjang kepada ratifikasi ICERD. Oleh kerana ICERD ini masih diragui
tentang kesan jangka panjang ke atas nilai dan identiti bangsa, perbincangan
dan wacana intelektual perlu diteruskan dalam khalayak warga Malaysia sebelum
ia dibawakan ke Parlimen untuk dibincangkan oleh para elit politik. Malaysia
tidak perlu terburu-buru menandatangani ICERD dan kita tidak perlu beremosi,
menuding jari dan mengambil kepentigan kepartian, bincanglah dengan waras dan
penuh wibawa. Ini soal nilai dan identiti bangsa dan negara kita yang
berdaulat.
09 Disember 2018
NAHAS JALAN RAYA SEMAKIN BURUK DI SELURUH DUNIA, 1.23 JUTA KEMATIAN SETAHUN
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO), Kemalangan jalan raya membunuh seseorang setiap 24 saat dengan
keseluruhan 1.35 juta kematian trafik direkodkan di seluruh dunia pada setiap
tahun. WHO berkata, angka korban tahunan melambung kepada kira-kira 100,000
orang dalam tempoh hanya tiga tahun, manakala kemalangan jalan raya kini pembunuh
utama kanak-kanak dan belia berusia antara lima tahun hingga 29 tahun. Kematian
ini adalah harga yang tidak patut dibayar untuk pergerakan manusia. “Tiada
alasan untuk tidak bertindak,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam
satu kenyataan.
Menurutnya, Laporan Status Global
Keselamatan Jalan Raya WHO yang diterbit berdasarkan data dari tahun 2016
menunjukkan situasi menjadi semakin teruk. Dalam laporan terakhirnya,
berdasarkan data dari tahun 2013, bilangan kematian akibat kemalangan jalan
raya dianggarkan seramai 1.25 juta orang setahun. Menurut WHO, korban
kemalangan di Benua Afrika agak tinggi merangkumi 26.6 kematian trafik setiap
tahun untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 9.3 kematian di Eropah, rantau
yang mencatatkan kadar kematian trafik paling rendah di dunia.
Laporan WHO yang diterbitkan semalam itu
turut menunjukkan sikap tidak peduli pemilik kenderaan terhadap golongan paling
lemah di jalan raya dengan lebih separuh daripada mereka yang terkorban dalam
nahas trafik merupakan sama ada pejalan kaki atau penunggang dan pembonceng
kenderaan dua roda seperti motosikal serta basikal. Pejalan kaki dan penunggang
basikal merangkumi 26 peratus daripada keseluruhan kematian trafik, manakala
angka tersebut mencecah 44 peratus di Afrika. Sementara itu, penunggang dan
pembonceng motosikal merekodkan 28 peratus daripada keseluruhan korban di jalan
raya tetapi angka itu melonjak kepada 43 peratus di Asia Tenggara, demikian
menurut laporan WHO.
08 Disember 2018
PENGETUA MESTI BUANG SIKAP JAGA NAMA BAIK SEKOLAH DAN LINDUNGI PENJENAYAH.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE
TARIKH : 15 NOVEMBER 2018
Guru besar atau pengetua sekolah perlu membuang sikap menjaga nama
baik atau imej sekolah sehingga melindungi perlakuan jenayah termasuk seksual
yang melibatkan warga sekolah, kata seorang penganalisis jenayah, Datuk Akhbar
Satar. Menurut beliau, sikap sedemikian
tidak membantu mana-mana pihak malah pelaku berkecenderungan mengulangi
jenayahnya jika tindakan yang diambil hanya ditukarkan sekolah. Guru besar atau
pengetua kena amanah apabila terima laporan. Perlu jalankan tanggungjawab tanpa
kompromi. Apabila terima laporan daripada pelajar atau ibu bapa, terus lapor
kepada pihak polis bukannya melindungi pesalah demi nak jaga nama atau imej
sekolah.
Budaya ini beri peluang bukan pengajaran kepada pesalah. Jika
dibiar atau kenakan tindakan tidak tegas seperti kaunseling sahaja, akan jadi
serius selain jatuhkan nama baik warga pendidik. Akhbar mengulas pendedahan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tawaran hubungan seks
kepada guru sebagai habuan bagi mendapatkan keputusan peperiksaan yang
cemerlang. Akhbar yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi
Universiti HELP, berkata situasi itu tidak boleh dipandang remeh, malah pelajar
yang menjadi mangsa juga harus berani tampil membuat laporan dan tidak
menyembunyikan perkara itu.
Pelajar perlu jaga etika pemakaian, percakapan serta perlakuan
yang boleh mendorong berlakunya jenayah seksual antara pelajar dan warga
pendidik," katanya memetik tiga faktor mengundang jenayah hasil
penyelidikan Cohen (amp) Felson iaitu 'motivated offender, suitable victim and
absence of a capable guardian' (menggalakkan pelaku, mangsa sesuai dan
ketiadaan penjaga berkemampuan). Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi
Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata kes
sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan warga pendidik yang
sememangnya dipandang mulia oleh masyarakat sejak dahulu lagi.
Beliau mahu tindakan lebih tegas dan hukuman setimpal dikenakan ke
atas pelaku sekiranya didapati bersalah selain menggesa ibu bapa agar menjadi
pendengar setia kepada anak masing-masing dan bukan sekadar memastikan hanya
memberi pendidikan dan wang ringgit sahaja. Adalah menjadi kewajipan orang
dewasa untuk lapor sekiranya menerima aduan. Warga pendidik yang ada sikap atau
terima habuan seks tidak perlu ada dalam industri," katanya. Berkongsi
mengenai Akta Kanak-Kanak 2001, Noor Azimah berkata individu yang mengambil
sikap 'berpeluk tubuh' daripada melaporkan sebarang kes penderaan kanak-kanak
juga berdepan hukuman kerana mereka wajib melindungi golongan itu. Mengikut
Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, tiga pihak iaitu pengamal
perubatan, anggota keluarga dan pengasuh, masing-masing wajib melaporkan
sebarang kes penderaan. Sekiranya gagal, hukuman penjara dan denda boleh
dikenakan terhadap mereka.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
Malaysia Kamarozaman Abd Razak menyifatkan perlakuan itu sebagai mencemari
profesion guru yang selama ini sinonim dengan pepatah 'guru ibarat lilin, membakar
diri menerangi orang lain'. "Perkara seumpama ini tidak patut berlaku
kerana ia secara langsung menjadi titik pencemaran keperibadian guru itu
sendiri. Sedikit sebanyak menghakis kepercayaan dan penghormatan masyarakat
terhadap warga pendidik," katanya. Beliau berharap warga pendidik menjaga
nama baik profesion selain merealisasikan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee
Malik yang mahu melihat sekolah sebagai tempat yang selamat dan selesa untuk
pelajar dan guru.
GURU MALAYSIA PALING BERDEDIKASI DI DUNIA. TAHNIAH
Bancian Pendidikan Global yang pertama kali diadakan mendapati
guru di Malaysia paling menyukai pekerjaan mereka dan antara golongan pendidik
di dunia paling berdedikasi bagi memastikan pelajar mereka mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran. Kumpulan pendidikan dari Penilaian Pendidikan
Antarabangsa Universiti Cambridge yang menjalankan bancian itu berkata,
sebanyak 70 peratus guru di negara ini merasakan tugas mendidik mempunyai
ganjaran tersendiri. Bancian juga mendapati sebanyak tiga daripada empat guru
di Malaysia mengadakan kelas tambahan untuk membantu murid mereka mencapai keputusan
peperiksaan yang baik. Keputusan peperiksaan dicapai oleh murid-murid di
Malaysia juga yang paling tinggi dicapai antara negara-negara terlibat dalam
bancian ini. Bancian itu melihat keadaan persekolahan pelajar berumur antara 12
hingga 19 tahun dan guru di 10 negara termasuk Argentina, China, India,
Indonesia, Pakistan, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Sebanyak
477 pelajar dan 634 guru di negara ini terlibat dalam bancian tersebut.
HUTAN HUJAN AMAZON BAKAL MUSNAH?
Kadar kemusnahan hutan
hujan Amazon dilaporkan sudah mencapai tahap tertinggi dalam tempoh sedekad
pada tahun ini yang berpunca daripada kegiatan pembalakan haram dan
pencerobohan hutan secara berleluasa. Imej satelit yang dikumpul dalam tempoh
12 bulan sehingga hujung Julai 2018 menunjukkan kira-kira 7,900 kilometer per
segi kawasan hutan Amazon dimusnahkan dan keluasan itu bersamaan lebih separuh
daripada wilayah Jamaica. Keadaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 13.7 peratus
dari tempoh yang sama dalam tahun 2017.
Pemusnahan hutan
disifatkan sebagai satu daripada punca kepada pemanasan global di seluruh
dunia. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melaporkan perubahan iklim akan
menyebabkan kerugian sehingga berbilion dolar kepada negara itu menjelang
penghujung abad ini. Menteri Alam Sekitar Brazil, Edson Duarte berkata,
kegiatan pembalakan haram merupakan faktor utama kepada kemusnahan hutan
Amazon, sekali gus mendesak supaya kerajaan memperkasakan undang-undang
berkaitan perhutanan. Negeri Par dan Mato Grosso merupakan penyumbang terbesar
kepada peningkatan pemusnahan hutan.
Dalam pada itu, Pemantau
Iklim Brazil menyatakan, peningkatan tahap kemusnahan hutan Amazon bukan lagi
satu perkara yang mengejutkan kerana pembangunan sektor komuniti di negara ini
turut menyumbang kepada permasalahan tersebut. Selain itu, beberapa badan
kebajikan alam sekitar mengkritik kerajaan Brazil yang tidak mengambil langkah
sepenuhnya untuk mengatasi masalah kemusnahan hutan. Polisi baharu yang diperkenal
sebelum ini iaitu mengurangkan kawasan hutan yang terletak bawah perlindungan
Persekutuan juga dilihat hanya meningkatkan masalah terbabit.
BUDAK BERUMUR 8 TAHUN RAIH PENDAPATAN RM91.7 JUTA SETAHUN
Walaupun baru berusia
lapan tahun, namun Ryan mampu menjadi pencipta kandungan video YouTube yang
meraih pendapatan tertinggi daripada laman terbabit. BBC yang memetik laporan
majalah Forbes sebagai berkata, Ryan yang mewujudkan saluran Ryan ToysReview
memperoleh pendapatan sebanyak AS$22 juta (RM91.7 juta) sepanjang tahun 2017. Ini
menjadikan Ryan muncul sebagai penerima bayaran tertinggi YouTube selepas
berada di tempat kelapan. Pendapatan Ryan, tidak termasuk cukai dan bayaran
kepada ejen serta peguam, telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun
sebelumnya. Ketika ditanya oleh saluran televisyen NBC mengapa kanak-kanak suka
melihat videonya, Ryan menjawab: “Kerana saya menghiburkan dan kelakar.”
Sejak salurannya
diwujudkan oleh ibu bapanya pada Mac 2015, sebanyak 26 bilion tontonan telah
dicatat dan Ryan kini mempunyai 17.3 juta pengikut di laman tersebut. Menurut
Forbes, AS$1 juta (RM4.1 juta) daripada pendapatan keseluruhannya diperoleh
menerusi iklan dan selebihnya menerusi tajaan pelbagai pihak. Walmart mula
menjual pelbagai barangan eksklusif milik Ryan seperti pakaian dan patung
permainan dikenali sebagai Ryan’s World. Hasil jualan barangan eksklusif milik
Ryan bersama Walmart itu akan meningkatkan lagi jumlah pendapatannya pada tahun
2019. Namun begitu, 15 peratus daripada jumlah pendapatannya akan dimasukkan ke
dalam bank akaun, yang hanya boleh diakses ketika Ryan sudah dewasa.
22 November 2018
FAKTA TERKINI : RAMAI HILANG KERJA 2025?
SUMBER : AFP (18 SEPTEMBER
2018)
Menjelang 2025, robot akan
melakukan 52 peratus daripada tugas yang ada di seluruh dunia iaitu dua kali
ganda daripada yang dilakukan sekarang, menurut kajian Forum Ekonomi Dunia
(WEF). Peningkatan mendadak itu memberi kesan kepada peranan manusia dalam
tugas terbabit kerana mereka kini perlu memantapkan kemahiran. Ini bagi
memastikan manusia tidak ketinggalan ekoran ‘pertukaran gelombang’ berhubung
cara manusia mengendali kerja menggunakan program komputer dan mesin. Menjelang
2025 lebih separuh daripada tugas-tugas di tempat kerja sekarang akan dilakukan
oleh mesin yang hari ini melakukan 29 peratus daripada tugas itu.
Secara beransur-ansur,
perubahan mendadak proses mesin dan algoritma atau komputer yang direka untuk
menyelesaikan masalah boleh mencipta sebanyak 133 peranan baharu di 75 juta
tempat yang akan diganti, antara sekarang dan 2022,” lapor kajian tersebut. WEF
yang beribu pejabat di Geneva terkenal melalui penganjuran mesyuarat tahunan
dalam kalangan individu kaya, ahli politik dan pemimpin perniagaan di Davos,
Switzerland. Melalui laporannya, The Future of Jobs 2018, forum itu meramalkan
robot akan pantas menggantikan manusia dalam bidang perakaunan, pengurusan
pelanggan, industri, pos dan kesetiausahaan.
Kerja-kerja yang
memerlukan kemahiran manusia seperti jualan, pemasaran dan perkhidmatan
pelanggan termasuk e-dagang dan media sosial akan mewujudkan permintaan tinggi.
Kajian itu mendapati, cabaran utama ialah untuk melatih semula pekerja yang
akan ditekan agar meningkatkan kemahiran terutama dalam bidang kreativiti,
pemikiran kritikal dan pujukan. Kajian tersebut dilakukan terhadap pengarah
kakitangan dan eksekutif kanan daripada pelbagai syarikat di seluruh dunia yang
mewakili 70 peratus pengeluaran global.
Antara hari ini dan 2022,
mereka percaya sektor pelancongan, pengembaraan dan penerbangan perlu melatih
semula pekerja dan mengenal pasti trend keseluruhan ke arah pembelajaran
sepanjang hayat dan adaptasi. Kerajaan di seluruh dunia juga dinasihatkan untuk
menyediakan jaringan keselamatan bagi pekerja dan masyarakat yang diancam oleh
‘anjakan penting’ dalam kualiti dan pengekalan kerja baharu.
FAKTA TERKINI : 8 BUAH BANDAR SEMAKIN TENGGELAM
SUMBER : AFP (6 OKTOBER
2018)
Kerajaan setiap negara
perlu melakukan satu pelaburan besar dalam usaha mengurangkan risiko banjir
bagi melindungi bandar-bandar yang terletak berhampiran pantai di seluruh
dunia. Badan kebajikan yang berpangkalan di London, Christian Aid menyatakan
bahawa keadaan paras laut yang semakin meningkat ketika ini boleh menjejaskan
kira-kira tiga juta penempatan. Beberapa bandar tepi pantai seperti Jakarta
direkodkan tenggelam sebanyak 25 sentimeter setiap tahun manakala Bangkok,
Houston dan Shanghai berisiko ditenggelami banjir dalam tempoh beberapa dekad
akan datang serta keadaan diburukkan lagi dengan perancangan tidak rapi dan
bencana alam.
Kajian yang dilakukan oleh
badan kebajikan tersebut juga mendapati sebanyak lapan bandar tepi pantai di
seluruh dunia semakin tenggelam, sekali gus menyokong kenyataan peningkatan
paras laut boleh menjejaskan kehidupan. Ketua Iklim Global Christian Aid, Kat
Kramer berkata, kesan perubahan iklim boleh dilihat di seluruh dunia dengan
petunjuk paling jelas adalah bahagian hemisfera utara sangat panas dan keadaan
itu tidak normal. Banyak bandar besar di negara-negara maju semakin terdedah
dengan perubahan iklim dan adalah sangat penting untuk semua pihak memberikan
mereka sokongan serta membina sistem ketahanan yang kukuh.
Seruan tersebut sejajar
dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan dikeluarkan
pada minggu depan berhubung gesaan terhadap kerajaan semua negara untuk
meningkatkan usaha bagi menangani isu peningkatan suhu global. Panel Perubahan
Iklim Kerajaan Dalaman akan memeriksa kesan yang diakibatkan oleh pemanasan
global setinggi 1.5 darjah celsius iaitu di atas paras pra industri. Semua
negara yang menandatangani Perjanjian Paris 2015 berusaha untuk memastikan had
kenaikan suhu tidak akan melebihi dua darjah celsius menjelang hujung abad ini.
Langgan:
Catatan (Atom)