JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Jun 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SELAMAT BERSARA TUAN HAJI NAWI


Nama Nawi bin Ismail bukanlah asing bagi semua guru Bahasa Melayu kerana buku-buku dan artikel tulisan beliau selalu menemani kita sehingga ke bilik tidur, dalam kereta, dan di mana-mana jua kita berada. Sebelum mengenali Tuan Haji Nawi bin Ismail secara bersemuka, sebenarnya saya telahpun mengenali beliau lebih awal kerana saya merupakan pengguna buku-buku kerja dan buku rujukan yang dihasilkan oleh beliau. Saya amat mengagumi Tuan Haji Nawi Ismail. Pertemuan pertama saya dengan Tuan Haji Nawi adalah pada 28 Ogos 2009, apabila beliau dijemput khas untuk memberikan ceramah menjawab Teknik Menjawab Bahasa Melayu STPM dan Pengajian Am di SMK Sacred Heart (Sekolah tempat saya berkhidmat selama 19 tahun sebelum berpindah ke SMK Sibu Jaya). Walau bagaimanapun, keterbatasan waktu tidak mengizinkan saya berbual panjang dengan Tuan Haji Nawi, saya hanya mampu berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih atas kedatangan beliau ke sekolah kami pada ketika itu. Dalam hati saya berdoa agar Allah memberikan kesempatan untuk saya mengenali Tuan Haji Nawi dengan lebih dekat kerana bagi saya beliau seorang guru bahasa Melayu yang berilmu dan hebat. Saya mengajar menggunakan artikel yang ditulis oleh beliau dalam majalah Pelita Bahasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya kenali beliau sebagai Munsyi Dewan dan saya pernah menanam azam untuk menjadi seperti beliau. Idea-idea P&P Bahasa Melayu yang diketengahkan oleh beliau mudah difahami dan dipraktikkan. Semua artikel yang ditulis oleh Tuan Haji Nawi saya failkan dan saya tunjukkan semasa penyeliaan Nazir sewaktu saya memohon jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu pada tahun 2010. Agak lucu juga, sewaktu ditemu bual saya banyak menyebut nama Tuan Haji Nawi sebagai idola saya untuk memohon jawatan itu sehingga salah seorang nazir bertanya, pernahkah awak berjumpa dengan beliau? Jawapan saya, secara jujur saya tidak pernah bersemuka dengan Tuan Haji Nawi tetapi saya mengenali beliau daripada tulisan-tulisan beliau. Nazir itu menasihatkan agar saya jumpa dengan Tuan Haji Nawi dan belajar sebanyak mungkin ilmu bahasa daripada beliau. Itulah cerita awal antara saya dan Tuan Haji Nawi bin Ismail.


TAHUN 2012, TUHAN MAKBULKAN DOA

Pada penghujung tahun 2011, pengumuman jawatan Guru Akademik Tingkatan Enam oleh Menteri Pendidikan, Datuk Hishamuddin Tun Husien telah mencatat sejarah baharu dalam dunia pendidikan di Malaysia. Seiring dengan pengumuman itu, kurikulum STPM lama pun ditukarkan kepada Sistem Modular. Pada peringkat awal, saya tidak dilantik sebagai Guru Akademik Tingkatan Enam kerana dari segi kelayakan tidak mencukupi walaupun saya telah mengajar Bahasa Melayu Tingkatan Enam hampir 10 tahun. Lebih-lebih lagi, saya merupakan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Suatu hari, saya diberikan sepucuk surat oleh kerani daripada Majlis Peperiksaan Malaysia. Dalam surat itu, saya dilantik sebagai Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM Modular bersama-sama dengan Puan Siti Sara binti Ismail (SMK Pending) dan Puan Azlin Binti Alias (SMK Bintulu). Mesyuarat pertama semua Jurulatih Utama diadakan di Hotel Pearl International, Jalan Klang Lama pada bulan Januari 2012. Inilah detik pertemuan saya dengan guru-guru Bahasa Melayu STPM dari segenap empat penjuru negeri di Malaysia termasuklah dengan Tuan Haji Nawi bin Ismail yang memakai bush jacket kelabu pada masa itu. Agak lucu juga kerana ramai guru-guru yang selalu membaca blog saya, iaitu “BAHASAKU GLOBAL BANGSAKU GLOKAL” turut dilantik menjadi Jurulatih Utama. Walau bagaimanapun, pada pertemuan ini saya tidak banyak bercakap dengan Tuan Haji Nawi biarpun makan semeja dan duduk bersama kerana beliau merupakan salah seorang yang berperanan penting dalam majlis tersebut. Namun begitu, saya berasa amat bersyukur kerana Allah memberikan peluang dan kesempatan untuk saya mengenali beliau, Puan Raminah binti Sabran, Tuan Haji Mohd. Zaini bin Othman, Tuan Haji Mohd Khir, dan sebagainya.

Pertemuan itu telah melakarkan pertemuan-pertemuan yang seterusnya dengan Tuan Haji Nawi sehinggalah kami menjadi rapat bagaikan bersaudara. Kami sering dipanggil bersama untuk melaksanakan beberapa tugas penting oleh pihak atasan dalam pertemuan yang tidak terhitung jumlahnya bermula dari tahun 2012 hingga kini. Mereka selalu mengatakan kekerapan saya naik kapal terbang dari Sibu ke Kuala Lumpur bagaikan naik bas kerana setiap minggu wajah saya akan muncul di Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan hotel-hotel terkemuka di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat. Pada pertemuan itu, saya selalu dipertemukan dengan Tuan Haji Nawi bin Ismail, guru yang saya hormati dan kagumi. Saya amat menghormati Tuan Haji Nawi dan tidak pernah membantah kata-kata beliau kerana bagi saya setiap kata yang diucapkan oleh beliau adalah ilmu baharu untuk saya pelajari, amalkan dan praktikkan. Saya suka dengan cara beliau memberikan pendapat dan cadangan kerana semua yang disuarakan memang berasas dan diterangkan dengan amat terperinci. Semuanya akan saya catat dan taip apabila balik ke Sibu untuk digunakan dalam P&P dengan pelajar-pelajar saya. Saya suka duduk dengan Tuan Haji Nawi kerana beliau akan bercerita tentang pengalaman serta perkara-perkara yang berkaitan dengan guru Bahasa Melayu sahaja. Masa bagaikan terlalu cemburu apabila duduk semeja dengan beliau disebabkan celoteh beliau dalam dialek Terengganu ada ketikanya mencuit hati (saya tidak memahami) tetapi bererti (dia membincangkan isu serius). Itulah Tuan Haji Nawi bin Ismail.


TUAN HAJI NAWI, SATU DALAM SEJUTA

Setelah kami rapat, Tuan Haji Nawi selalu mengusik saya terutama dalam soal jodoh dan mencari pasangan. Dalam setiap pertemuan, itulah perkara yang selalu ditagih oleh beliau. Akan tetapi, saya hanya menjawab dengan senyuman, sesungguhnya jodoh dan pertemuan takdir Yang Maha Esa. Satu perkara yang amat menarik tentang Tuan Haji Nawi ialah sewaktu kami sibuk berbincang tentang sesuatu perkara dalam mesyuarat, semasa kami bertegang leher sehingga bergaduh disebabkan berbeza pendapat tentang sesuatu konsep atau ketetapan mesyuarat, beliau tidur dalam waktu yang lama. Kemudian, tiba-tiba beliau bangun dan menyampuk! Perkara yang beliau utarakan itu pula tidak lari daripada pokok perbincangan kami. Yang amat mengagumkan, beliau memberikan jalan penyelesaian sehingga perbincangan itu tamat. Itulah Tuan Haji Nawi, dalam tidur beliau mendengar, dalam tidur beliau berfikir, dalam tidur beliau bekerja. Kitaran itu tidak pernah berhenti untuk makhluk Tuhan seperti Tuan Haji Nawi bin Ismail. Tuan Haji Nawi tidak pernah menyuarakan keletihan beliau walaupun kami sama-sama tahu banyak masa beliau yang diperuntukkan untuk bekerja. Semasa bertemu di mana-mana, beliau sentiasa dilihat memeriksa karangan pelajar dan menulis artikel untuk dihantar ke akhbar atau majalah. Sifat beliau yang sebegitu, amat saya kagumi dan sedang saya pelajari, insyallah dapat saya ikuti tetapi saya tidak mungkin mampu sehebat Tuan Haji Nawi yang amat dikenali dan disanjungi.

Tuan Haji Nawi bin Ismail sentiasa bercakap menggunakan dialek Terengganu beliau. Yang melucukan, kami tidak faham apa yang beliau tuturkan disebabkan terlalu laju dan pekat dialek Terengganunya, tetapi kami akan cuba juga ketawa seolah-oleh memahami pokok bicara. (Maaf Tuan Haji Nawi). Tuan Haji Nawi selalu membawa saya berjalan-jalan dan makan-makan di sekitar kompleks beli-belah SOGO. Kami akan berhenti makan Mihun Tomyam (Menu wajib kami) di salah sebuah gerai berdekatan dengan Hotel Quality Kuala Lumpur. Perkara yang akan saya rindu tentang Tuan Haji Nawi, apabila kami jalan-jalan shopping di SOGO,  beliau akan bertanya tentang baju-baju yang sesuai sebelum membeli dengan saya. Yang pasti, beliau sentiasa membawa saya sahaja. Selepas ini, mungkin saya akan bersendirian kerana Tuan Haji Nawi telah bersara. Hubungan di media sosial mungkin terputus tetapi hubungan di meja mesyuarat mungkin amat jarang berlaku selepas ini dengan Tuan Haji Nawi. Biarpun begitu, saya tidak menganggap Tuan Haji Nawi hilang dalam mendidik, membimbing, dan memberikan pendapat kerana saya tahu beliau akan menjawab apabila saya bertanya dan memerlukan khidmat nasihat. Keikhlasan Tuan Haji Nawi dalam membantu kami yang muda-muda ini amat dikagumi. Beliau sentiasa bersabar dengan karenah kami yang pelbagai. Kadang-kadang beliau marah tetapi marah itu disampaikan dalam tawa tetapi berbisa. Macam mana tu? Hanya Tuan Haji Nawi yang mampu membuatnya. Satu lagi tabiat Tuan Haji Nawi yang mencuit hati ialah kami akan bersama-sama makan maggie sambil lepak-lepak di kedai makan. Setiap kali makan, beliaulah yang bayar. Terima kasih Tuan Haji Nawi!


Mulai tahun 2013, saya bepeluang menulis beberapa buah buku rujukan dan buku kerja Bahasa Melayu Tingkatan Enam bersama-sama dengan Tuan Haji Nawi, Puan Raminah Haji Sabran, Tuan Haji Mohd Zaini bin Othman, Puan Wahida binti Wahid, dan Tuan Haji Mohd Sis Mohd Yatim. Kami telah mengadakan banyak pertemuan untuk kerja-kerja panel buku dan sebagainya. Walaupun saya masih muda dan baharu dalam kumpulan kami, Tuan Haji Nawi dan semuanya amat menghormati kehadiran saya bersama-sama dengan mereka. Saya mendapat banyak ilmu hasil daripada perbincangan kami pada setiap siri mesyuarat. Mereka tidak pernah menidakkan kehadiran insan kerdil yang serba kekurangan seperti diri saya. Tuan Haji Nawi sentiasa menjadi mentor yang amat baik bersama-sama dengan Puan Raminah Sabran dalam kumpulan kami. Walaupun ilmu mereka setinggi gunung tetapi mereka sentiasa merendahkan diri serendah karang di dasar laut. Mereka sentiasa menerima pendapat dan memberikan buah fikiran yang mengagumkan. Ya Allah, kau peliharalah hubungan silaturrahim antara saya dengan mereka kerana masih banyak yang saya perlu pelajari daripada mereka. Perjalanan saya masih jauh dalam bidang ini dan saya mahu menjadi sehebat mereka yang saya kenali. Insyallah.


GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU, GRED KHAS C

Jawatan Tuan Haji Nawi bin Ismail sebelum bersara bukannya calang-calang guru boleh menerimanya. Jika orang lain berbangga dan mendabik dada tetapi Tuan Haji Nawi sebaliknya. Beliau tidak pernah menagih pengiktirafan daripada kami semua. Kami hanya memangil beliau dengan panggilan Haji Nawi atau Tuan Haji. Haji Nawi boleh duduk semeja dengan semua orang tanpa mengira kedudukan dan beliau tidak mahu diberikan keistimewaan. Beliau selalu mengatakan beliau masih belajar dengan semua orang tentang banyak perkara. Yang amat membezakan beliau dengan orang lain ialah beliau tidak pernah bercerita tentang pangkat dan kedudukan, beliau cuma bercerita tentang masalah yang berkaitan dengan Bahasa Melayu dan dunia pendidikan di Malaysia. Jika orang yang baharu mengenali Tuan Haji Nawi, orang mungkin beranggapan beliau hanyalah insan biasa kerana cara pemakaian dan penampilan beliau yang bersahaja. Bagi orang yang pernah bekerja bersama-sama dengan beliau dan mengenali beliau, Tuan Haji Nawi umpama nakhoda dan penyelamat yang amat hebat serta sukar ditandingi. Lantaran itu, bagi saya dengan bersaranya Tuan Haji Nawi, kami ibarat seekor jentayu yang patah sayap, masih boleh bertongkat paruh tetapi paruh itu tidak semestinya teguh kerana kehilangan Tuan Haji Nawi selalu meminjamkan hati beliau untuk kami semua.

Tuan Haji Nawi bin Ismail sentiasa teguh dengan pendirian beliau untuk mengajar di dalam kelas sehingga bersara. Jika orang lain ghairah memegang jawatan penting di jabatan pendidikan daerah, negeri, dan kebangsaan, Tuan Haji Nawi tetap unggul menjadi guru bahasa Melayu sehingga mencecah usia 60 tahun. Beliau memulakan kerja sebagai guru biasa di dalam bilik darjah dan mengakhirinya sebagai seorang jusa di dalam bilik darjah juga. Yang berbeza mungkin tahun dan pangkat beliau. Bukan semua guru berjiwa seperti Tuan Haji Nawi. Saya akui, bagi rakan-rakan sekerja dan anak-anak didik yang mengenali beliau, mereka akan menangisi persaraan Tuan Haji Nawi kerana mereka lebih terkesan dengan ketiadaan beliau. Jika saya yang berjumpa sekali sekala dengan Tuan Haji Nawi terasa, mereka apatah lagi. Tuan Haji Nawi merupakan seorang guru yang amat ikhlas dalam mendidik. Terlalu ikhlas. Mungkin kerana itulah Allah selalu permudahkan perjalanan kerjaya beliau. Saya berharap dalam kalangan pendidik pada masa ini, akan lahir ramai guru seperti Tuan Haji Nawi agar sistem pendidikan di Malaysia dapat dimartabatkan ke tahap dan landasan yang sepatutnya. Saya percaya disebalik kekuatan Tuan Haji Nawi itu dibelakang beliau hadir seorang wanita jelita yang bernama isteri.

Walaupun saya tidak mengenali isteri beliau dengan rapat cuma sesekali melihat dari jauh sewaktu beliau membawa mereka datang mesyuarat, saya tahu kasih sayang dan ikatan silaturrahim beliau dengan isteri dan anak-anak menjadikan beliau tiada masalah untuk fokus dengan kerja yang berlambak. Apabila mendengar cerita beliau tentang anak-anak dan keluarga, saya dapat mentafsir kesejahteraan dan kebahagiaan yang beliau nikmati di rumah, menjadi sumber kekuatan kepada beliau baik di tempat kerja mahupun di bilik mesyuarat. Tuan Haji Nawi pernah mengungkapkan walaupun makanan di hotel banyak dan terhidang cantik serta berseni, beliau tetap juga makan sedikit. Akan tetapi, apabila di rumah, walau dihidangkan nasi dan berlaukkan ikan kering serta sup telur sahaja, beliau berselera kerana yang masak itu isteri beliau. Air tangan isteri lebih sedap daripada air tangan chef terkemuka di hotel lima bintang. Itulah Tuan Haji Nawi yang saya kenali. Semoga beliau terus kekal bahagia di samping isteri, anak-anak, dan cucu-cucu beliau setelah bersara.


PUISI UNTUK TUAN HAJI NAWI

Tuan yang dihormati
Sekian lama kita bersahabat
Tuan nampak selalu sihat dan kuat
Tidak pernah patah semangat
Jarang sekali tuan kata tak dapat
Hujah tersusun teramat hebat
Pelerai kekusutan kami kekurangan
Penyuap ilmu kami yang bertatih
Mengikut jejak langkah tuan

Tuan yang dikasihi
Antara tuan dengan kami
Jaraknya ibarat langit dan bumi
Tetap hati kami selalu tersentuh
Tuan tidak pernah menjauh diri
Kami makan maggie tuan makan maggie
Kami jalan kaki tuan jalan kaki
Gaya tuan tidak terlebih- lebih
Tuanlah teladan
Tuanlah tunjang kekuatan

Tuan yang disayangi
Kadang-kadang kami tertanya
Dari mana punca tenaga yang ada
Tuan manusia kami juga manusia
Bezanya cuma ilmu tuan penuh didada
Sampai kelibat tuan sentiasa didamba
Tiada tuan dicari-cari
Hilang tuan ditangisi
Tuan sumber inspirasi kami

Tuan yang dimuliakan
Perjuangan tuan tidak pernah selesai
Kerja tuan tidak pernah langsai
Tuan tidak pernah berhenti berfikir
Untuk memajukan anak bangsa
Meningkatkan darjat kerjaya kita
Nama tuan mengharum sentiasa
Lelaki kecil berkaca mata
Dialek Terengganu tidak dilupa
Tuan Jusa harapan nusa

Tuan Jusa yang bijaksana
Biar bersara obor guru biar menyala
Jangan dipadamkan bahangnya
Kami mahu terus berpadu bakti
Dengan tuan jusa yang dikasihi
Terus sihat dan dirahmati
Dilimpahi berkat ditambah rezeki
Bahagia sentiasa diriba isteri
Sejahtera selalu dipangkuan anak cucu
Tuan akan selalu kami rindu
Dalam mimpi pasti bertemu

Nukilan
Zul Liverpool
Pasar Seni - OldTown White Coffee
22 April 2017

SELAMAT BERSARA TUAN

“Saya amat gembira bekerja dan berjumpa dengan rakan-rakan semua. Saya tahu tidak semua guru  yang mampu melakukan tugas seperti yang kita lakukan ini. Alhamdulillah. Saya berharap kita pertahankan rahsia apabila kita terlibat dengan perkara yang SULIT demi kebaikan anak bangsa dan maruah diri kita sebagai pendidik yang dipercayai dan sentiasa berpegang teguh kepada amanah. Ingatlah, tiada suatu cara yang betul untuk melakukan perkara yang salah”.

Tuan Haji Nawi bin Ismail, 4 Jun 2017.

Selamat bersara Tuan Haji Nawi bin Ismail. Yang saya harapkan bukannya patah tumbuh hilang tidak berganti tetapi patah tumbuh muncul ribuan guru sehebat Tuan Haji Nawi untuk bersatu mengangkat dan memartabatkan sistem pendidikan di Malaysia. Kita mahu munculnya guru yang gigih mengajar, tidak mengeluh, mahir menyelesaikan, kreatif dan inovatif dalam membantu pelajar, dikenali kerana kesungguhannya mengajar dan berkongsi ilmu, seperti Tuan Haji Nawi. Kita mahukan munculnya guru yang sentiasa merendah diri, tidak terlalu berkira dalam soal pangkat dan kedudukan, tidak mendewa-dewakan ganjaran dan pengiktirafan tetapi ikhlas, amanah, dan bertanggungjawab seperti Tuan Haji Nawi. Bagi saya, Tuan Haji Nawi bin Ismail cukup sempurna untuk dijadikan idola. Saya tahu semua manusia ada kelemahan dan kepincangan kerana tiada yang sempurna melainkan Allah tetapi Tuan Haji Nawi bin Ismail amat sempurna dari segi khidmat dan pengorbanan untuk diangkat sebagai pendidik unggul dan pejuang Bahasa Melayu yang tidak boleh dikesampingkan. Terima kasih Tuan Haji Nawi. Terima kasih atas segala ilmu dan perkongsian. Terima kasih atas rasa hormat tuan terhadap golongan muda seperti saya. Semoga Allah akan terus mempermudahkan urusan tuan baik di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah akan terus melimpahkan kebahagiaan, kesejahteraan, kesihatan yag berpanjangan, dan kesempurnaan hidup untuk tuan dan keluarga. Kami tidak menangisi majlis persaraan Tuan Haji Nawi kerana kami tahu hubungan kami dengan Tuan Haji tidak akan bernoktah pada 29 Julai 2017 tetapi bertahan selama-lamanya.

Cetusan Pendidik Bangsa
Zulkarnain Farihin
Jurulatih Utama

Bahasa Melayu STPM, Malaysia.








Tiada ulasan: