Kes penderaan salah seorang pelajar di
sebuah universiti yang berlaku baru-baru ini sehingga mengakibatkan kematian,
amat mendukacitakan bagi kita yang mempunyai rasa kemanusiaan. Kes ini dikhabarkan
berlaku gara-gara sebuah laptop sehingga mangsa terpaksa menanggung kesakitan
yang amat dahsyat sampai menitiskan air mata kita apabila membayangkan
bagaimana mangsa menahan kesakitan apabila dipukul dengan tali pinggang, getah
paip, dan penyangkut baju. Yang paling menyakitkan sekali ialah pembuli yang
tidak berhati perut ini menekap badan mangsa dengan sterika stim sehingga
melecur badannya. Walaupun kes ini masih dalam siasatan dan sekumpulan pelaku
yang didapati terlibat telah ditangkap namun peristiwa ini menuntut pihak
pentadbir sekolah asrama, kolej, dan universiti agar peka dengan kes-kes dera
yang melibatkan pelajar-pelajar di bawah jagaan mereka. Kes-kes sebegini
biasanya disembunyikan dan apabila berlaku kematian sebegini barulah terbongkar
segala perlakuan kejam anak-anak kita. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana
hancur dan luluhnya hati kedua-dua orang tua mangsa apabila menyaksikan anak
tersayang mati dalam keadaan yang sebegitu.
Anak merupakan anugerah Tuhan kepada
pasangan suami isteri. Semua pasangan yang berkahwin berusaha untuk mendapatkan
anak bagi menyambung warisan keturunan mereka di muka bumi ini. Mereka akan
berusaha untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak mereka kerana anak
merupakan harta yang paling berharga bagi mengubah nasib keluarga pada masa
depan. Oleh itu, walau semiskin manapun ibu bapa, mereka sedaya upaya
menghantar anak ke sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan. Harapan mereka
biarlah anak tersayang berjaya dalam pelajaran dan berkerjaya mulia serta menyumbang
bakti kepada masyarakat. Kejayaan anak merupakan kepuasan bagi ibu bapa. Mereka
mengorbankan segala-galanya untuk anak tersayang. Biar makan nasi berlaukkan
garam, mereka rela, asalkan anak menjejakkan kaki ke menara gading dan
seterusnya membawa pulang segulung ijazah. Akan tetapi, kehidupan di universiti
tidak seindah mimpi kerana kita tidak dapat melihat perjalanan hidup
sehari-hari anak tersayang. Kita beranggapan kehidupan di kampus yang dihuni
oleh golongan terpelajar itu indah tetapi itu hanyalah fantasi kerana di alam
realiti banyak perkara bobrok yang tersembunyi. Salah satunya ialah kes buli
yang berbentuk penderaan sebegini.
OTAK TAK WARAS
Pembuli yang sanggup melakukan penderaan
kejam ke atas mangsa buli ini saya anggap sebagai golongan yang otaknya sudah
tidak dapat berfungsi atau “banyak wayar sudah putus”. Hal ini dikatakan
demikian kerana hanya orang yang tidak mempunyai perasaan sahaja yang sanggup
melihat mangsa meraung kesakitan apabila dipukul dengan tali pinggang atau
ditekap dengan sterika panas. Binatang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun
tidak akan memperlakukan binatang lain lebih-lebih lagi anak bangsa sendiri
sebegitu. Sejahat-jahat manusia, di hatinya masih tersimpan sekelumit rasa
simpati dan sedih apabila melihat manusia lain berada dalam kesakitan yang maha
dahsyat. Apabila yang melakukannya merupakan manusia yang berpendidikan (Bukan
semua orang boleh melanjutkan pelajaran ke universiti) kita tertanya-tanya,
apakah sistem pendidikan kita silap kayu pengukurnya? Kita juga tertanya-tanya,
apakah peranan ibu bapa dalam memanusiakan anak-anak mereka gagal? Kita
tertanya-tanya, tidak cukupkan ajaran guru di sekolah selama mereka menuntut
dari darjah 1 hingga ke Tingkatan 5? Mengapakah mereka sanggup berlaku kejam
sebegitu ke atas rakan sendiri? Persoalan demi persoalan terus menerjah ruang
fikir kita tetapi jawapannya tetap tidak ditemui. Saya percaya ibu bapa
pembuli-pembuli inipun tidak mahu anak mereka berperangai sebegitu kerana
mereka juga mempunyai impian yang sama. Mereka juga tidak mahu pengakhiran
hidup anak mereka di tali gantung atau di kandang penjara setelah berkorban
segalanya untuk mereka.
Apabila perlakuan buli ini dilakukan
secara berkumpulan kehairanan bertambah tinggi. Sampainya hati mereka
menyaksikan beramai-ramai seorang manusia diseksa di depan mata tanpa membalas
tetapi hanya menahan dan menyerah diri untuk didera dan diseksa. Tidak dapat
saya bayangkan apabila ketuanya menekap sterika ke badan mangsa, yang lain
mungkin ketawa atau hanya melihat begitu sahaja. Tidak dapat saya bayangkan
apabila sekumpulan manusia yang tidak beperasaan ini memegang tali pinggang,
getah paip, dan penyangkut baju dan serentak memukul mangsa tanpa ada perasaan
simpati, sayu, dan pilu. Apakah mereka kurang didikan moral dan agama? Apakah
mereka sudah hilang kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa? Apakah mereka lupa
bahawa negara ini ada undang-undang? Apakah mereka lupa maruah diri dan
keluarga? Semua ini tidak akan terjawab kerana yang tahu jawapannya hanya
mereka sendiri. Saya yakin, perlakuan buruk sebegini bukan dipelajari daripada
guru dan ibu bapa. Perkara-perkara jahat sebegini datang dari hati mereka yang
busuk dan mudah mengikut hawa nafsu sehingga membawa malapetaka kepada semua
pihak. Mereka mungkin puas melakukan penderaan secara beramai-ramai kepada
orang lain tetapi mereka lupa dengan pembalasan takdir, setiap perkara keji dan
jahat itu pasti akan terbongkar juga pada suatu hari. Sayang seribu kali
sayang, kes ini berakhir dengan kematian mangsa yang menyayat hati segenap
insan yang mempunyai perasaan kasih dan sayang.
SEDARLAH ANAK-ANAK
Saya amat berharap agar semua penuntut
baik di universiti dan kolej mahupun di sekolah-sekolah berasrama (tempat
bersarangnya pembuli) berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. Kita
mungkin mendapat kepuasan dengan menyakiti dan menzalimi rakan kita tetapi
jangan lupa Tuhan sentiasa melihat dan menghukum setiap perlakuan kita di dunia
ini. Sebelum berlaku kejam ke atas orang lain, kita harus bayangkan jika diri
kita sendiri diperlakukan sebegitu. Jika kita tidak sanggup menanggung
kesakitan akibat dipukul dengan tali pinggang, kita jangan melakukannya ke atas
orang lain. Jika kita tidak sanggup menahan azab sengsara ditekap dengan
sterika panas di badan, kita jangan memperlakukan orang lain begitu. Kita tahu
perkara yang kita lakukan itu amat menyakitkan dan boleh membawa maut ke atas
orang lain, jadi mengapakah kita terus melakukannya? Sebelum melakukan sesuatu,
fikirkan dahulu masa depan diri sendiri dan keluarga yang turut terkena tempias
akibat perbuatan jahat kita? Fikirkan juga hati dan perasaan keluarga mangsa
apabila mereka tahu anak mereka diperlakukan sebegitu. Cuba bayangkan kalau
perkara yang kita lakukan berlaku ke atas ahli keluarga kita sendiri. Apakah
kita rela melihatnya? Apakah kita akan tertawa melihatnya mati dalam keadaan
yang amat seksa sebegitu? Sudah tentu tidak! Jika begitu, berhentilah daripada
membuli. Perbuatan itu tidak membawa manfaat terhadap sesiapa.
Gunakan peluang semasa menuntut untuk
meraih kejayaan yang membanggakan semua pihak. Setiap waktu yang menyapa,
isilah dengan pekerjaan yang mendatangkan kemaslahatan terhadap diri, keluarga,
bangsa, dan negara. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencipta dan merangkul
kejayaan bukannya melibatkan diri dengan kes-kes buli yang keji. Bersainglah
secara sihat dengan semua pelajar-pelajar yang lain. Jika ada masalah,
selesaikan secara rundingan supaya semua pihak akan mendapat manfaat dan
kepuasan. Sebagai golongan terpelajar, tidak wajar jika kita menggunakan
khidmat bomoh untuk mencari pencuri laptop dan kemudian bertindak melulu
menjatuhkan hukuman ke atas mangsa yang dituduh. Saya percaya setiap universiti
atau kolej di negara ini memang ada peraturannya untuk menyelesaikan setiap
masalah penuntut, jadi gunakanlah saluran tersebut untuk menuntut hak dan
ketidakadilan serta segala permasalahan. Tindakan menghukum orang lain yang
dituduh tanpa bukti yang sahih sehingga tergamak melakukan penyeksaan amatlah
kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kita mungkin bangga kerana kita rasa kita
hero dunia, tetapi kesudahannya jarang memihak kepada kita kerana Tuhan itu
Maha Berkuasa.
SUBURKAN KASIH SAYANG
Golongan pintar dan terpelajar harus
menghiasi kepintaran dan keintelektualan mereka dengan rasa kasih dan sayang
yang melimpah demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Kepandaian dan
kepintaran tiada gunanya jika hati kita penuh dengan rasa kejam dan zalim dan
sentiasa ingin melakukan kejahatan terhadap orang lain. Insan terpelajar
sepatutnya tahu bahawa negara Malaysia yang tercinta ini ada undang-undang.
Insan terpelajar juga tahu bahawa setiap penuntut di universiti itu mempunyai
ibu bapa yang menyayangi dan menaruh harapan yang tinggi ke atas mereka. Insan
terpelajar juga harus tahu, pangkat dan kedudukan ibu bapa kita bukan tiket
untuk membolehkan kita melakukan penyeksaan ke atas anak-anak orang miskin yang
tidak berdaya. Hidup ini akan jadi lebih indah jika kita membuang rasa jahat
dan benci terhadap sesiapa sebaliknya kita tanamkan rasa kasih dan sayang yang
tidak bertepi terhadap semua orang yang hadir dalam hidup kita. Jika semua
penuntut universiti memiliki budaya menjalin silaturrahim tanpa mengira
pangkat, darjat, kedudukan, budaya, bangsa, dan agama saya yakin akan wujud
keharmonian dan munculnya sebuah institusi ilmu yang gah di mata dunia. Saya
juga yakin, suatu masa Malaysia yang tercinta ini akan dipenuhi oleh
cendikiawan yang berdedikasi, berketrampilan, serta berpersonaliti. Jika
perlakuan buli ini terus menerus menghantui kita, tidak mustahil golongan
penjenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan akan beranak pinak dalam
masyarakat kita. Golongan ini akan menumpahkan air mata kesedihan ribuan ibu
yang melahirkan anak tersayang akibat diseksa, didera, dan dizalimi oleh
anak-anak hingusan sebaya yang tidak berperikemanusiaan. Harapan saya,
belajarlah untuk menjadi manusiawi yang penyayang supaya kita akan disayangi
oleh orang lain.
Cetusan Pendidik Bestari
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu, Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan