21 Mei 2017

CATATAN CIKGU ZUL: CERITA BALIK GAWAI ORANG KAPIT, NAIK EKSPRES ATAU GUNA JALAN RAYA?


Beberapa hari lagi, warf ekspres Sibu ke Kapit, Sibu Ke Song, Song Ke Kapit, Song Ke Sibu, dan Kapit ke Sibu akan dibanjiri oleh lautan manusia yang mahu pulang ke rumah panjang bagi meraikan sambutan Hari Gawai Dayak bersama keluarga. Umum mengetahui bahawa hampir 85% masyarakat yang mendiami Bahagian Kapit merupakan kaum Iban dan masyarakat dayak yang lain seperti kayan, kenyah, dan orang ulu. Oleh itu, jika mahu merasai kemeriahan Hari Gawai Dayak, datanglah berkunjung ke Kapit pada bulan 1 Jun setiap tahun. Sambutan Hari Gawai Dayak memang meriah dan penuh tradisi kerana orang Iban terutamanya masih kuat berpegang kepada warisan turun temurun nenek moyang mereka. Mereka tetap mengadakan upacara Miring, Nimang, Sandau Ari, dan sebagainya pada Hari Gawai. Keadaan di Warf Ekspres Sibu, Song, dan Kapit akan menjadi sesak kerana pengangkutan air merupakan pengangkutan utama yang digunakan untuk balik meraikan Hari Gawai. Pada tahun 2017, senario ini pasti masih lagi berlaku. Berkemungkinan pada tahun 2018, mereka boleh memandu kereta sendiri untuk balik menyambut Hari Gawai Dayak. Mereka amat mengharapkan pihak berwajib menyengerakan pembinaan jalan raya dari Sibu terus ke Kapit dengan segera agar mimpi ngeri balik bergawai berhimpit-himpit dalam ekspres yang sesak dan terpaksa berpanas dan berhujan duduk di atas bumbung ekspres tidak akan muncul lagi dalam lena yang panjang.

Belia di Bahagian Kapit terutamanya belia kaum Iban kebanyakannya mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain bagi mendapatkan peluang pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika mereka tinggal di rumah panjang, mereka tidak boleh meningkatkan taraf hidup kerana tiada peluang pekerjaan disediakan. Oleh itu, mereka sanggup meninggalkan keluarga dan ibu bapa yang sudah tua serta tidak berdaya untuk mendapatkan peluang pekerjaan di Semenanjung Malaysia atau di bandar-bandar di Sabah dan Sarawak malahan di Singapura, Indonesia dan pelbagai negara di seluruh dunia. Bagi yang bekerja di sektor awam mahupun sektor swasta pula, mereka banyak membeli rumah di bandar kerana rumah merupakan keperluan asas yang wajib dibeli. Mereka tinggal di bandar selama bertahun-tahun hingga bersara. Mereka cuma balik ke kampung sekali sekala, itupun jika ada perkara penting. Untuk balik bukannya mudah, mereka perlu menaiki ekspres ke Kapit atau Song. Perjalanan akan disambung dengan bot panjang yang mengambil masa 1 hingga 8 jam perjalanan. Namun begitu, walau sesukar manapun perjalanan, pada akhir bulan Mei, sebaik sahaja Cuti Penggal Persekolahan tamat semua akan pakat-pakat balik ke rumah panjang walaupun terpaksa berhimpit-himpit dan berasak-asak serta lemas dalam kesesakan lautan manusia.

KAMI MESTI BALIK GAWAI

Tradisi balik kampung untuk menyambut Hari Gawai Dayak ini samalah dengan tradisi balik beraya bagi orang yang beragama Islam. Bagi orang Iban pula, balik ke kampung semasa Hari Gawai amat besar maknanya kerana disitulah mereka dilahirkan dan membesar. Kehidupan di rumah panjang amat tebal dengan ikatan persaudaraan. Hubungan dalam kalangan penduduk rumah panjang amat rapat ibarat cubit paha kanan paha kiri pasti terasa. Orang rumah panjang amat menghormati antara satu sama lain. Jika seorang dapat ikan, walaupun sesekor, semua orang akan menikmati ikan tersebut walaupun hanya merana secubit isi ikan itu sahaja. Ikatan kasih sayang antara penduduk amat kuat. Semua orang merindui kehadiran kita dan mengalu-alukan kedatangan kita. Semua orang menyambut kedatangan kita dengan mesra. Situasi ini berlangsung dengan amat indah dan ikhlas. Walaupun terpaksa melupakan seketika telefon, gajet, ASTRO yang mendarahdaging bagi mereka yang hidup di bandar, apabila datang ke rumah panjang masa 24 jam itu terisi dengan pelbagai aktiviti. Kita boleh duduk bersembang dengan kawan-kawan dari pagi hingga ke malam sambil minum ‘air tuak’. Kita usik mengusik antara satu sama lain dalam suasana yang amat ceria dan indah. Kerinduan terhadap keluarga, sanak saudara, dan rakan-rakan terubat. Apatah lagi jika yang balik itu, sudah bertahun-tahun menghilang dari radar kerana tidak dapat di kesan. Tiba-tiba muncul dengan anak dan isteri. Kedatangan mereka pasti disambut dengan tangisan kemeriahan oleh seluruh penduduk rumah panjang itu.


Tuntutan hidup yang semakin moden telah menjarakkan hubungan silaturrahim masyarakat Iban dengan sanak saudara mereka sedikit demi sedikit sehingga saling tidak mengenali. Hari Gawai Dayak akan menghadiahkan pelbagai kejutan kerana kita mungkin dipertemukan dengan Boss kita yang merupakan ayah saudara kita sendiri tetapi selama ini selalu memarahi kita di tempat kerja. Semasa Hari Gawai kita baru mengetahui jiran yang rapat dengan kita di bandar itu bukanlah orang lain tetapi bau-bau bacang dengan keluarga kita. Perkara yang paling ditunggu-tunggu yang kita bepeluang melihat bekas kekasih kita sewaktu zaman sekolah dahulu. Walaupun tiada lagi rasa cinta, sekurang-kurangnya kita menyaksikan kebahagiaan hidupnya yang dikelilingi oleh anak-anak yang comel. Hal ini dikatakan demikian kerana semasa zaman remaja dan kanak-kanak, kita pernah menjalin hubungan cinta monyet tetapi terputus kerana masing-masing membawa haluan sendiri apabila dewasa. Jodoh kita dan jodoh dia ditakdirkan dengan orang lain. Perjumpaan yang tidak diduga ini akan menjadikan sambutan Hari Gawai Dayak amat indah dan meninggalkan banyak kenangan manis untuk semua. Bagi yang berkahwin pula, pada musim Hari Gawai ini mereka meraikannya di rumah panjang, sambutan akan dilakukan dengan penuh tradisi dan berseni. Masyarakat Iban yang terkenal dengan budaya dan adat asal akan memastikan majlis perkahwinan itu tiada cacat celanya untuk dikenang hingga ke akhir hayat.

CERITA TIKET EKSPRES TAK HABIS-HABIS

Masalah ini menghantui masyarakat yang mahu pulang menyambut Hari Gawai Dayak ke Song dan Kapit pada setiap tahun tetapi jalan penyelesaiannya langsung tiada. Bilangan ekspres yang diperlukan tidak ditambah kerana keghairahan untuk mengaut keuntungan yang berganda. Sejak kebelakangan ini, tiket itu sudah dibeli oleh sekumpulan orang dan menjualnya balik kepada yang memerlukan dengan harga yang mahal. Perkara yang lebih mengharukan apabila satu tempat duduk dijual kepada 3 orang menyebabkan wujudnya pergaduhan dan perselisihan dalam kalangan pembeli. Sepatutnya, pada musim-musim begini ekspres ke Song dan ekspres ke Kapit dijarakkan lokasinya. Bilangan ekspres harus ditambah kerana orang yang balik gawai ini membawa pelbagai barangan untuk keluarga di kampung. Jika bilangan ekspres tidak ditambah, kekerapan perjalanan ekspres boleh diubah, sebuah ekspres mungkin terpaksa mengambil penumpang 3 kali sehari. Harga tiket harus kekal dan tidak boleh ada orang tengah yang menjual tiket tersebut. Kita faham, pengusaha mungkin sukar untuk memenuhi tuntutan ini tetapi pemintaan yang tinggi menjanjikan pendapatan yang berlebihan buat pengusaha. Pendapatan yang berlebihan ini haruslah setimpal dengan keselesaan penumpang. Bayangkan jika orang tua, yang membayar harga tambang yang sama tetapi terpaksa berdiri dalam ekspres selama 3 jam (Ke song) dan mungkin 4 jam ke Kapit. Kuasa monopoli yang dimiliki bukan semestinya kita harus menganiayai penumpang yang terdesak tetapi bertimbang rasa lebih utama agar rezeki lebih berkat untuk kita.


Kita jangan beranggapan bahawa mereka mesti membeli sebab mereka perlu, kalau tidak ada duit mereka tidak akan balik. Pada masa inilah kita kenakan mereka cukup-cukup. Anggapan ini salah sama sekali. Mereka bekerja dan terpaksa meninggalkan keluarga dan kampung halaman. Hidup bukan mudah untuk mereka lalui. Mereka menyimpan pada setiap bulan untuk meraikan keluarga dan rakan-rakan. Niat mereka pulang untuk menyambut Hari Gawai adalah untuk melepaskan rindu dan melihat sendiri keadaan ayah dan ibu yang ditinggalkan serta adik beradik yang lama sudah tidak dijumpai. Oleh itu, apabila diberitahu tiket habis, kita harus faham kekecewaan yang akan mereka rasai. Kita mesti letakkan diri kita dalam situasi mereka. Orang yang ambil kesempatan dalam situasi sebegini saya sifatkan sebagai orang yang tamak dan tidak berperikemanusiaan. Amalan meraih rezeki dan keuntungan yang berlipat ganda daripada orang yang terdesak merupakan amalan yang harus dikikis dari hati dan sanubari kita sebagai orang yang berilmu dan berpendidikan. Sudah sampai masanya hal-hal sebegini dipantau rapi oleh pihak berkuasa, Jangan dipandang sebelah mata kerana ramai yang menjadi mangsa.

RIMAS DAN LEMAS DALAM KESESAKAN

Bermula pada 25 Mei hingga 31 Mei, keadaan warf di Sibu akan dipenuhi oleh lautan manusia yang pelbagai wajah dan rupa. Kesesakan ini akan menjadi tidak terkawal apabila mereka yang ingin balik gawai ini berebut-rebut untuk membeli tiket ekspres. Jika dilihat, pengurusan agak kelam kabut dan tidak sistematik. Oleh sebab itu, tempat berkumpul mereka yang pergi ke Song dan ke Kapit harus dijarakkan supaya keadaan lebih teratur dan tersusun. Dalam kekalutan ini mungkin ada yang mengambil kesempatan sehingga berlaku kes seperti tersalah ambil barang orang lain atau barang yang diletakkan atau dibawa hilang tanpa dapat dikesan. Penyeluk saku mingkin menjadikan peluang ini sebagai lubuk emas untuk meraih pendapatan. Kita tidak boleh kawal suara manusia yang sibuk bercerita dengan kawan lama yang bertahun-tahun tidak bersua muka tetapi kita boleh mengawal situasi itu dengan mengubah waktu perjalanan ekspress, menyediakan tempat duduk (seperti di lapangan terbang) dan menasihati supaya pembeli tiket berbaris. Walaupun sukar tetapi jika bilangan pegawai yang bertugas ditambah, semua yang susah akan jadi mudah. Situasi ini berlaku pada setiap tahun tetapi kita tidak nampak perubahan yang dilakukan untuk mengubah situasi ini untuk menjadi lebih sistematik. Semuanya berlaku begitu sejak bertahun-tahun lamanya.


Walau bagaimanapun, masyarakat Dayak yang pulang menyambut Hari Gawai ini jarang mengeluh disebabkan cara hidup mereka yang sudah lali dengan kesusahan dan dianaktirikan. Mereka sanggup bersesak-sesak asalkan dapat meraikan Hari Gawai bersama keluarga. Lagipun, situasi ini cuma berlaku setahun sekali sahaja dalam hidup mereka. Mereka sudah bersedia untuk menghadapinya. Akan tetapi, tidak salah untuk pihak berkenaan mengubah keadaan di warf ekspres itu lebih baik daripada biasa. Selepas beberapa hari di rumah panjang, bersuka ria dan bergawai dengan sanak saudara, tiba hari untuk balik ke bandar, keadaan ini berulang lagi di warf Kapit dan warf Song. Jika melihat penumpang terjun dan masuk ke dalam ekspres terutama di Song kerana berebutkan tempat duduk, kita akan takut. Bila-bila masa mereka mungkin terjatuh ke dalam sungai jika tidak cekap berpaut pada pemegang besi di tepi ekspres. Sepatutnya, di tempat itu disediakan pegawai yang bertugas untuk mengawal keadaan. Keadaan ini mungkin tidak dapat dielakkan dan sukar dikawal tetapi jika ada orang bertugas, keadaan ini akan menjadi lebih mudah dan selamat untuk masyarakat. Masyarakat akan mengabaikan keselamatan jika tidak ada penguasa yang menguatkuasakan peraturan. Hal ini dikatakan demikian kerana majoriti masyarakat pada zaman ini hanya mementingkan diri sendiri dalam situasi sebegini kerana semua orang mengejar masa. Mereka perlu didisiplinkan dengan peraturan dan undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa.

JALAN RAYA OH JALAN RAYA

Selepas puluhan tahun menunggu, akhirnya jalan raya dari Sibu ke Song dan Song ke Kapit akan menjadi kenyataan sepenuhnya pada tahun 2018. Kisah tiket ekspres dan warf sesak ini mungkin menjadi sejarah manis untuk disimpan dalam lipatan memori masyarakat yang tinggal di Bahagian Kapit. Pada masa itu, warf ekspres di Sibu, Song, dan Kapit mungkin hanya menjadi tugu kenangan yang menjadi singahsana pemancing ikan pada setiap petang. Kita amat berharap jalan raya ini akan dibina dengan sempurna bagi memudahkan penduduk di Kapit dan sekitarnya. Kita percaya dengan adanya kemudahan ini kegiatan ekonomi penduduk di Bahagian Kapit akan bertambah baik kerana pasaran hasil-hasil tanaman mereka mungkin lebih meluas. Masyarakat dari bahagian lain yang ingin bercuti ke Kapit untuk membeli ikan Semah, Empurau, dan Tengadak pun boleh berbuat demikian tanpa perlu melalui jalan air. Keindahan alam semulajadi di Bahagian Kapit boleh dimajukan sebagai kawasan pelancongan kerana banyak air terjun yang indah di Kapit. Mereka yang berjaja boleh membuka gerai di tepi jalan raya bagi meraih pendapatan berganda. Yang paling penting, bumi Kapit mungkin boleh dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit oleh pihak berkenaan. Saya yakin, dengan adanya jalan raya itu nanti, kemungkinan penghijrahan golongan belia ke bandar dapat dikurangkan kerana banyak aktiviti ekonomi yang boleh dimajukan andai mereka kreatif dan inovatif serta tidak tamak dengan peluang yang ada ini.


Bahagian Kapit akan maju dan makmur melalui pembinaan jalan raya yang bakal mencatat sejarah negara itu nanti. Urusan akan menjadi lebih mudah dan lebih selamat. Jika dibandingkan dengan pengangkutan air yang agak terhad dan terbatas, jalan raya lebih mudah dan menjimatkan kerana kita boleh merancang perjalanan ikut masa dan keselesaan sendiri. Jadi, masalah kesesakan mungkin dapat dikurangkan. Saya percaya semua masyarakat di Bahagian Kapit menunggu saat ini dengan penuh harapan di hati. Kesabaran mereka selama puluhan tahun akhirnya menjadi kenyataan. Mereka amat menghargai segala usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan Kapit. Mudah-mudahan, Bahagian Kapit akan membangun dengan cepat dengan terbinanya jalan raya itu nanti. Biarlah jalan raya itu siap perlahan-lahan, asalkan siap dan boleh digunakan. Sesungguhnya, penantian itu suatu penyeksaan. Semoga dengan terbinanya jalan raya ini seluruh masyarakat di Kapit akan lebih bersemangat dan berdaya saing untuk meningkatkan taraf hidup dan pembangunan di Bahagian Kapit. Untuk orang Kapit, Cikgu Zul hadiahkan kata-kata ini.

K = Kapit

A = Alami

P = Pembangunan

I =  Industrialisasi

T = Terhebat



Lambat bukan bermakna kita mundur. Lambat bukan bermakna kita tidak hebat. Lambat bukan bermakna kita kalah. Lambat itu anggaplah suatu cabaran. Mudah-mudahan, Kapit akan berdiri megah di persada  kemajuan.




Cetusan idea pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...