JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : GURU, SAKITNYA DAN DUKANYA, SIAPA PEDULI? HANYA TUHAN MAHA MENGETAHUI



Guru merupakan golongan yang paling istimewa kerana mereka selalu menjadi perhatian daripada masyarakat sekeliling. Jika seorang guru melakukan kesalahan, semua guru akan terkena tempiasnya, kerjaya perguruan akan tercalar maruahnya, imej guru akan disemburi dengan pelbagai cacian dan penghinaan. Jika seorang guru melakar nama di pentas antarabangsa kerana kejayaannya bersaing dalam pelbagai kejohanan atau pertandingan, pujian hanya akan terpancul daripada mulut kaum guru sahaja manakala masyarakat hanya akan memandang sepi. Mereka tidak berminat untuk melontarkan rasa kagum apatah lagi memberikan pujian walaupun guru itu telah banyak membantu melahirkan puluhan pelajar yang berjaya. Itulah nasib para guru! Ibarat senjata makan tuan, begitulah nasib mereka yang dipijak oleh orang yang mereka ajar membaca ABC, dididik dan diasuh hingga menjadi insan bijaksana dan dipenghujungnya balasan yang diterima amat memilukan.

Polemik memandang rendah terhadap kerjaya perguruan tidak pernah berakhir selagi masyarakat tidak bersikap matang terhadap tugas mendidik anak bangsa. Semakin ramai bijak pandai yang tampil untuk mengajar golongan guru tentang cara mendidik yang betul wahal mereka menjadi sebegitu pun hasil didikan guru-guru mereka dahulu. Apa salahnya didikan sekarang dan didikan zaman dahulu? Jika dahulu, rotan akan digunakan untuk memberikan pengajaran kepada pelajar-pelajar yang nakal dan menimbulkan masalah disiplin di sekolah. Kini, kenapa tidak boleh? Cadangan yang dikemukakan ialah rotan tidak sesuai dengan perubahan zaman. Pelajar yang bersalah harus diberikan kaunseling dan peluang kedua untuk berubah. Tindakan merotan hanya akan menyakiti pelajar. Tindakan merotan tidak berkesan. Betulkah tidak berkesan? Ataupun, andaian sebegini hanyalah andaian yang dibuat secara memandai-mandai orang golongan bijak pandai. Mereka tidak ingat, mereka didik oleh guru-guru mereka dengan cara sebegitu dahulu dan mereka berjaya!

GURU DIAJAR MENGAJAR

Apabila terlalu banyak campurtangan daripada sekelompok masyarakat yang suka mengancam dan menyelar tindakan guru dalam mendidik, semangat segelintir guru untuk memanusiakan anak-anak didik mereka kian pudar. Buat itu salah. Buat ini salah. Buat itu guru pula kena belasah. Buat ini guru diugut dengan tindaakan mahkamah. Sungguh malang nasib golongan pendidik. Ancaman merupakan santapan harian. Tugas mulia mereka hanya dipandang sebelah mata. Ada yang terlalu marah, sanggup susah payah datang ke sekolah, semata-mata mahu memarahi guru kerana menghukum anak tidak membuat kerja rumah. Mereka tidak mahu memaafkan langsung kesilapan guru. Kesalahan guru walau sekecil hama pun akan diungkit dan disebarluaskan ke seluruh alam. Bagi mereka, aib guru tidak perlu dijaga. Aib guru boleh ditendang ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah. Aib guru boleh dilambung-lambung atau disepak terajang sesuka hati. Niat guru untuk mendidik selalu diperlekehkan. Jika anak mereka melaporkan tindakan seseorang guru, tanpa usul periksa mereka akan menggunakan media untuk menagih perhatian dunia, wahal cerita itu cuma suatu pembohongan bukannya kebenaran.


Semakin moden masyarakat kita, semakin kurang rasa hormat terhadap guru. Semakin kurang rasa hormat terhadap guru maka semakin banyak masalah yang berlaku di sekolah. Puncanya bukan mereka tetapi guru. Mereka akan menggali segala kepincangan yang dilakukan oleh pihak sekolah jika pencapaian sesebuah sekolah dalam peperiksaan awam mendukacitakan. Salah mereka langsung tidak nampak. Mereka umpama malaikat manakala guru umpama penjahat. Saya pernah mengalami pengalaman yang melucukan apabila duduk semeja dengan masyarakat bukan guru di kedai-kedai kopi. Cerita yang menjadi topik perbualan jika berkaitan dengan gaji guru, yang diulas ialah gaji guru kecil. Jika soal gaji saya masih terima. Akan tetapi, apabila menyentuh hal-hal sekolah, guru dituduh pemalas, tidak pandai kerja, makan gaji buta, saya memang panas hati. Tindakan menghukum tanpa bukti begini apabila keluar dari mulut kawan sendiri, saya memang akan tentang habis-habisan. Apabila masuk pula isu sekolah ini baik, sekolah ini tidak baik, hati memang panas mendengarnya. Orang bijak pandai pun bercakap sebegitu. Dia sendiri tidak sedar asal usulnya, berasal dari pedalaman atau tinggal di kampung yang serba kekurangan. Kini dia berjaya, apabila dia belajar di sekolah yang pandai itu atau di sekolah yang tidak pandai itu?

SUATU KEPUASAN

Saya melihat trend mencari salah guru ini sudah menjadi hobi bagi segelintir pihak. Golongan ini akan berasa puas selepas bersemuka dengan guru semata-mata untuk melontarkan kata-kata cacian dan penghinaan. Mereka akan jadi lebih bersemangat apabila guru yang diperlakukan sebegitu pula hanya diam membisu walaupun dia tahu dia tidak bersalah. Yang peliknya, apabila terbukti guru tidak bersalah tidak pula dia bersemangat untuk meminta maaf, riaknya tetap sama. Dia lupa bahawa Tuhan sedang mengadilinya di atas sana. Bagi segelintir yang kononnya berani dan bijaksana pula, nama guru akan diperdagangkan di media sosial. Silap-silap muncul dalam surat khabar! Mereka riak memberikan komen yang memihak kepada mereka, dan berbondong-bondong pula komen menyokong untuk sama-sama menuai dosa. Itulah nasib golongan guru di mata masyarakat. Mereka akan dihukum sebagai persalah walaupun tidak semestinya bersalah. Kadang-kadang hukuman dijatuhkan hanya daripada cerita si anak yang kecewa sehingga pelbagai laporan dibuat, tetapi akhirnya semua itu hanya rekaan.

Kesabaran insan yang bernama guru amat tinggi. Hanya mereka sahaja yang memahami kerana mereka sama-sama merasai. Walaupun ada sebilangan guru yang hilang pertimbangan namun mereka masih berdiri di atas neraca keadilan dan kewarasan. Guru akan membiarkan hal-hal itu berlalu. Tugas mendidik tetap dipikul sebaik-baiknya. Mereka tidak menyimpan dendam. Jauh sekali bermusuhan. Mungkin dihati timbul rasa benci kerana mereka juga manusia tetapi di dunia realiti mereka tetap tersenyum seolah-olah awan hitam semalam sudah berlalu jauh meninggalkan. Memang tidak dapat dinafikan ramai ibu bapa dan masyarakat yang masih menghormati guru terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Guru masih dianggap segala-galanya bagi mereka. Tugas untuk mendidik anak bangsa diserahkan sepenuhnya kepada guru. Rasa hormat tidak pernah hilang. Guru sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Masyarakat pedalaman masih tebal dengan tradisi kesopanan dan kesusilaan. Jika ada masalah, jalan rundingan akan digunakan. Nasib guru-guru di pedalaman lebih baik daripada mereka yang mengajar di bandar.

ADAKAH JALAN PENYUDAH?

Sikap memandang rendah terhadap kerjaya perguruan tidak akan berakhir terutama dalam kalangan masyarakat di bandar yang dikatakan maju, intelektual, dan berstatus tinggi. Dengan kuasa, pangkat, dan harta yang mereka ada, kerjaya sebagai guru ini kelihatan amat tidak setaraf dengan mereka. Golongan ini sentiasa mendesak guru supaya melayan anak-anak mereka setimpal dengan kedudukan mereka dalam masyarakat. Tindakan sebegini akan menyekat proses pendidikan yang berkesan. Jika mahu merobohkan banteng penghalang ini, semua pihak harus bersikap bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Masyarakat terutamanya ibu bapa harus faham bahawa tugas mendidik bukannya mudah tanpa sokongan mereka. Tugas mendidik memang tanggungjawab guru tetapi sokongan ibu bapa amatlah perlu. Jika niat kita sama iaitu ingin lahirkan golongan pelajar yang berjaya, maka satu persefakatan murni dan berkesan harus diwujudkan. Pendidikan di rumah amat penting kerana lahirnya anak-anak yang berkeperibadian mulia akan membantu melonjakkan kejayaan sesebuah sekolah baik dalam bidang kurikulum mahupun dalam bidang kokurikulum. Jika tidak, semuanya hanya mimpi di siang hati atau bagai si luncai yang terjun dengan labu-labunya.


Guru bukan bekerja untuk seorang individu. 
Walau maruahnya dipersenda. 
Walau namanya dijaja. 
Sabarnya tetap setinggi Gunung Kinabalu. 
Tabahnya tetap sehebat Gunung Mahameru. 
Sakitnya dipendam dihati. Lukanya diubati sendiri. 
Liku-liku hidupnya sentiasa diuji.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

Tiada ulasan: