JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Oktober 2012

ISU SOSIAL : KELOMPOK CELARU PEMIKIRAN PERLU DIBANTU


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Kematian Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim dalam pangkuan ibunya di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) setelah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari akibat didera bukanlah kes terasing yang berlaku dalam masyarakat kita kebelakangan ini. Balkis telah pun pergi meninggalkan mereka yang menyayanginya terutama datuk dan nenek yang meratapi kehilangannya dalam usia emas mereka. Sebelum ini juga akhbar melaporkan kisah dua pelajar Malaysia di Singapura yang melakukan aksi seks dan meletakkannya di internet untuk tontonan ramai dan menganggap perbuatan itu sebagai rasional dan 'peduli apa dengan orang lain, asalkan kami bahagia'. Kedua-dua kejadian ini dan sebelum ini menggambarkan kecelaruan yang jelas dalam sistem nilai dan sistem kekeluargaan kita. Misalnya, berita tentang kematian anak kecil kerana deraan teman lelaki ibu dan celaru tentang apa yang dianggap sebagai hal individu dan hak sebagai anggota masyarakat.

Jika boleh berpatah balik dalam kes seperti penderaan (malah pembunuhan) oleh seseorang yang dianggap sebagai teman lelaki ibu atau teman wanita adalah sesuatu yang sudah banyak kali kita dengar dan baca laporannya. Satu ketika dahulu kita dikejutkan oleh anak yang mati disepak di padang bola. Kemudiannya kita juga membaca laporan teman laki-laki warga asing yang mendera anak teman wanitanya. Kepincangan seperti ini akan terus menjadi penyakit selagi kita menganggapnya sebagai kes terpencil dan mengambil sambil lewa tanpa tindakan berkesan oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Tentunya pihak yang paling utama untuk bertindak ialah dalam kalangan anggota masyarakat sendiri.

Ini adalah antara harga yang kita perlu bayar untuk pembangunan yang berlaku secara tidak seimbang yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan menuding jari. Lazimnya dalam masyarakat kita, itulah yang akan berlaku. Orang agama akan menyalahkan pelbagai pihak yang dikatakan tidak mengikut undang-undang dan lunas agama. Sesetengah pihak meletakkannya di bahu kerajaan dan pihak berkuasa. Bagi mereka yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air, akan melihat apa yang berlaku ini sebagai amanah dan tanggungjawab besar untuk menggembleng segenap kekuatan yang ada bagi membanteras dan memastikan ia tidak berulang atau paling tidak mengurangkan kesan daripada kejadian seumpama ini.

Misalnya, satu sistem sokongan yang kuat perlu ada dalam kalangan masyarakat hari ini daripada semua segi, terutamanya untuk membantu mengatasi masalah yang berkait rapat hi-touch iaitu mental, kejiwaan mahu pun hal-hal yang berkait rapat dengan sistem nilai, kepercayaan dan pegangan yang melihat kepada kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam apa jua perbuatan dan tindakan. Pada masa sama institusi agama, masyarakat mahu pun pertubuhan sukarela perlu diperkasakan dalam menyediakan sistem sokongan kepada kumpulan yang berada dalam kelompok celaru pemikirannya apatah lagi yang mempunyai tekanan hidup yang boleh membahayakan orang lain. Sistem amaran awal perlu ada untuk memberikan maklumat dan menghantar isyarat terhadap kemungkinan berlakunya tragedi dalam kalangan masyarakat. Sistem amaran awal ini apabila diperolehi perlu dihubungkan dengan sistem sokongan yang ada, termasuk jika perlu pihak berkuasa bagi menangani sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Malah, semua pihak yang berwibawa dalam agama dan sistem sosial perlu duduk semeja untuk mencari jalan terbaik mengatasinya secara bersama, bersepadu dan saling menyokong antara satu sama lain. Kita perlu kurangkan bertelagah dalam hal berkaitan perbezaan, sebaliknya mencari titik persamaan untuk menjaga masyarakat agar pembangunan yang capai pada masa hadapan benar-benar bersifat inklusif yang menekankan kepada nilai hidup dan moral yang diterima sebagai norma bersama. Kita terpaksa akur kepada kesibukan dalam mengejar kemajuan, malah juga globalisasi yang membawa pelbagai nilai yang selama ini tidak pernah dibayangkan. Menyalahkan globalisasi dan kehidupan yang memberikan kita pelbagai tekanan termasuk kerjaya tidak akan menyelesaikan apa-apa apatah lagi kita terus menuding jari.

Seorang pakar kaunseling memberitahu penulis apabila ditanyakan tentang rungutan pelbagai pihak terhadap tekanan kerja yang dihadapi, masalah besar yang kita hadapi adalah apabila seluruh proses dan sistem kehidupan kita berubah dalam pelbagai kerangka yang disebabkan oleh teknologi dan globalisasi, malangnya kita tidak bersedia malah sesetengah kita masih berada dalam set minda lama dan jauh tertinggal di belakang. Ini tentunya amat benar jika dilihat kepada cara kita menyelesaikan masalah sekarang ini. Ada yang tertanya-tanya bagaimana untuk mendidik anak-anak yang jiwanya amat 'rapuh' sekarang ini apatah lagi apabila perlu menjelaskan tentang pelbagai fenomena dan nilai yang berubah dan amat terbuka ini.

Tentunya cara terbaik adalah kembali kepada asas dalam melihat dan mengenal pasti masalah, nilai dan percaturan yang ada. Kita perlu bersikap terbuka, tetapi tidak akur kepada nilai-nilai yang dianggap bertentangan dengan asas dan pegangan utama iaitu agama. Walau terbuka mana pun kita, agama akan perlu terus menjadi pedoman, kitabnya menjadi asas dalam penentuan nilai dan ajarannya menjadi jalan untuk ditempuhi. Agama sudah cukup untuk menjadi penyelesaian namun mereka yang menggunakan agama sebagai cara menyelesaikan masalah harus juga melihat keindahannya untuk dikongsi dengan orang lain, bukan semata-mata bersikap menghukum dan menuding jari.

Agama mengajar kita untuk prihatin kepada nasib dan masa hadapan masyarakat dan tamadun tingginya dengan menekankan kepada ketinggian budi pekerti dan akal budi. Malah para akademia, cerdik pandai, para sukarelawan serta mereka yang berautoriti perlu turut sama menyingsing lengan untuk turun padang, bersikap realistik dan menghadapi cabaran ini. Kedegilan kita dengan hanya melihat kepada kepentingan diri, enggan bertegur sapa, bodoh sombong dan angkuh dengan apa yang kita ada, individualistik serta mendabik dada, akhirnya akan merosakkan masyarakat dan negara. Jika kita serius dengan pembangunan dalam acuan sendiri yang lestari, maka kita perlu pastikan tragedi yang menimpa Nur Irisyafida Balkis dan kisah dua remaja yang bangga dengan perlakuan sumbang mereka tidak lagi berulang. Kitalah yang harus bertindak melakukan yang terbaik untuk mengatasinya!

Sumber
Utusan Malaysia
23 Oktober 2012

Tiada ulasan: