Rencana ini ditulis oleh :
Pandangan IKIM
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah,
Undang-Undang dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Selamat Hari Raya Aidiladha
daripada Cikgu Zul untuk semua
umat Islam yang menjadi
pembaca setia blog ini
Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada
seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena
umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah. Salah satu
keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh
dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah
Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah. Dari
segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud
menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin
mendekatkan diri kepada-Nya.
Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah
Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada
Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam
mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama
Ismail. Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang
bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail.
Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi
kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti." Apabila mendengar
kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya: Ayahku, sekiranya ini
merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk
disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim
pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.
Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai
kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada
yang mengatakan: Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu
menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan
dibunuhnya". Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim
tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah
Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah
anaknya: Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan
cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup.
Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat
kepada leherku."
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT
perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah
lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah
mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun
menggeletar dan membuka penutup matanya. Tetapi alangkah terperanjatnya apabila
melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan
memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur
kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat
daripada Allah SWT.
Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim
dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan,
terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini
yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri? Peristiwa
pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan
sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam
walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam
sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut. Peristiwa
tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di
mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup.
Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah
sesuatu yang amat sukar.
Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila
seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya.
Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat
lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap
suami dan anak-anak. Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana
menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan
ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun
nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak
sanggup berkorban serta mengharapkan keredaan Allah semata-mata.
Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal
mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat.
Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan
silaturrahim di antara satu sama lain. Sikap bekerjasama dan mengambil berat
ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal
menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak
sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana
Allah yakni, bagi mendapat keredaan Allah semata-mata, bukan dengan tujuan
bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk. Harus diingat bahawa setiap dari kita
berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan: Isteri
jadilah Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita
Nabi Ismail".
Sumber
Utusan Malaysia
24 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan