JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Oktober 2012

ISU UMUM : PETRONAS MENJADI MANGSA KEADAAN GEOPOLITIK GLOBAL


Rencana ini ditulis oleh :
Azmi Hassan
Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.


Keputusan kerajaan Kanada yang menyekat bidaan bernilai C$5.17 bilion (RM15.9 bilion) daripada Petronas ke atas syarikat petroleum negara tersebut, Progress Energy Resources Corp. (Progress) agak memeranjatkan kerana sebelum ini tiada tanda yang menunjukkan proses itu mendapat tentangan. Menteri Industri Kanada yang mempunyai kuasa mutlak dalam hal ini, Christian Paradis berkata, pengambilalihan berkenaan tidak akan memberi ‘faedah bersih’ kepada negara, iaitu salah satu kriteria yang termaktub dalam Akta Pelaburan Kanada. Kegagalan bidaan Petronas mengelirukan bukan sahaja pelabur asing malah pelabur Kanada kerana Petronas mempunyai kemampuan untuk membantu merangsang pembangunan mencair industri eksport gas semula jadi dengan membina kemudahan eksport LNG di negara itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ketika mengulas isu tersebut menegaskan bahawa kerajaan mahu Petronas membida semula sedaya upaya untuk memastikan kejayaan. Sama ada semak bida atau apa sahaja yang perlu, ini sahaja yang saya boleh katakan. Saya rasa penting bagi mereka berbuat sesuatu mengenainya," kata Chin, yang merupakan ahli jawatankuasa minyak dan gas. Kegagalan bidaan Petronas sebenarnya bukan kerana kelemahan kandungan bidaan tetapi lebih menjerumus kepada mangsa keadaan. Ini kerana pada waktu yang sama Paradis berhadapan dengan tekanan untuk menilai satu lagi bidaan yang lebih besar dari syarikat minyak CNOOC dari China untuk mengambil alih pengeluar minyak Kanada Nexen dengan nilai C$15.1 bilion.

Petronas menerima tempias kerana niat CNOOC walaupun mendapat sokongan 99 peratus pelabur Nexen tetapi rakyat negara tersebut berasa agak sangsi dengan ketelusan syarikat minyak China tersebut. Terdapat persepsi dalam kalangan ahli politik dan rakyat Kanada bahawa oleh kerana CNOOC adalah syarikat milik kerajaan China maka setiap keputusan yang bakal diambil hanya memberi manfaat kepada China dan bukan kepada Kanada. Isu ini menjadi lebih sensitif kerana Nexen bergiat dalam industri tenaga yang dianggap sebagai sektor strategik yang mampu menggugat kestabilan Kanada jika keputusan yang diambil oleh Nexen tidak selari dengan aspirasi Kanada. Oleh kerana China dianggap sebagai kuasa besar yang setara dengan Amerika Syarikat (AS), maka setiap tindak tanduk syarikat negara itu mendapat perhatian yang teliti kerana khuatir Beijing akan mempergunakan syarikat milik kerajaan untuk kepentingan politik dan strategik China.

Beberapa syarikat China yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing telah ditegah niat mereka untuk mengambil alih syarikat AS kerana timbul kemusykilan mengenai ketelusan pentadbiran syarikat China itu. Beberapa minggu lepas Presiden Barack Obama menegah syarikat milik pelabur China yang beroperasi dari Delaware iaitu Ralls Corp. daripada mengambil alih syarikat yang mengendali kincir angin di Oregon. Alasan yang digunakan untuk mempertahankan keputusan itu adalah kincir angin tersebut terletak di kawasan latihan Tentera Laut AS yang banyak digunakan untuk tujuan ujian kapal terbang pengebom tanpa pemandu (drone) dan latihan perang elektronik. Lokasi kincir angin yang begitu hampir dikhuatiri akan digunakan oleh Beijing untuk menjalankan kerja risikan yang bakal mengugat keselamatan AS.

Malah isu pengintipan syarikat milik China menjadi isu hangat di antara dua calon Presiden AS iaitu Obama dan Mitt Romney. Masing-masing membuat tuduhan bahawa syarikat Huawei dan ZTE Corp. dari China yang banyak membekalkan alat telekomunikasi kepada industri AS menjalankan kerja pengintipan bagi pihak Beijing. Bidaan Petronas bukan sahaja penting kepada Malaysia tetapi juga kepada industri minyak Kanada yang memerlukan pelabur dari luar untuk mempertingkatkan lagi aktiviti penerokaan minyak negara berkenaan. Progres dan Petronas telah mencapai persetujuan pada Jun lepas lagi kerana kedua-dua pihak akur saling memerlukan di antara satu sama lain jika rancangan untuk meneroka dan memajukan kawasan simpanan minyak wilayah Montney di British Columbia and Alberta menjadi satu kenyataan.

Kini kedua-dua syarikat minyak itu tidak mempunyai masa banyak untuk menyakinkan Paradis terutama sekali bahawa pengambilan alih Progress tidak akan memudaratkan kepentingan strategik Kanada. Strategi juga perlu disusun untuk menyakinkan Perdana Menteri, Stephen Harper bahawa proses ini tidak akan memberi kesan negatif kepada kerajaan parti Konservatif Kanada. Progress dan Petronas perlu mengambil iktibar dari episod kegagalan BHP Billiton‘s untuk mengambil alih syarikat Kanada Potash Corporation pada 2010. Bidaan BHP gagal kerana faktor politik iaitu pengundi di Saskatchewan dan Alberta yang menjadi tonggak kerajaan Harper menentang hasrat BHP. Jika diambil kira dari sudut pandangan rakyat Kanada, pada asasnya Petronas sepatutnya berada dalam kedudukan yang lebih mudah untuk menyakinkan kerajaan Harper bahawa persepsi negatif CNOOC tidak ada pada Petronas.

Ini kerana daripada tinjauan pendapat yang dilakukan terhadap niat CNOOC, hampir 70 peratus rakyat Kanada menolak hasrat tersebut dengan alasan tidak yakin dengan ketelusan Beijing. Tidak menghairankan mengapa rakyat Kanada mengambil pendirian sedemikan rupa kerana kesemuanya ini ada kena mengena dengan fenomena kegusaran kebangkitan China dalam hal ehwal ekonomi dan ketenteraan. Petronas juga perlu pintar menggunakan faktor bahawa Perdana Menteri Harper merupakan seorang ahli politik yang memperjuangkan konsep perdagangan tanpa sekatan yang juga merupakan penyokong kuat pembentukan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di mana selari dengan aspirasi Malaysia.

Sumber
Utusan Malaysia
26 Oktober 2012

Tiada ulasan: