Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof
Harga rokok naik 20 sen kelmarin. Namun kepada perokok-perokok
tegar, saya percaya kenaikan itu tentu tidak sedikit pun menjentik hati mereka
untuk berkata tidak kepada rokok. Sebelum ini harga rokok pernah dinaikkan
sehingga 70 sen. Ketika itu golongan perokok tegar ini bising sekejap, sehari
dua saja, tetapi mereka tetap membelinya seperti biasa tanpa rasa gusar. Jadi
bila naik 20 sen, kepada perokok-perokok tegar ini, apa sangatlah nilai 20 sen
itu, sebab hendak masuk ke tandas di pusat-pusat beli belah pun kena bayar 20
sen, malah ada sesetengah tempat lebih daripada itu. Sememangnya merokok sudah
menjadi amalan biasa dalam kalangan kita. Sesiapa pun boleh jadi perokok, tidak
kira lelaki, wanita, warga emas, orang kaya, miskin, ahli politik daripada
parti politik mana pun, ustaz, cikgu termasuk budak-budak sekolah!
Maka di mana-mana pun ada perokok dan asap rokok. Itu belum masuk
lagi perokok yang merokok di kawasan larangan merokok, yang menjadi mangsanya,
tentulah yang bukan merokok. Ada laporan kesihatan, orang yang tidak merokok
tetapi berada berdekatan dengan perokok menyedut sebanyak 75 peratus daripada
asap rokok yang dihembus keluar oleh perokok. Yang menyedut asap rokok ini
boleh jadi isteri, anak-anak dan rakan-rakan. Sedangkan perokok hanya menyedut
sebanyak 25 peratus daripada asap tembakau yang dihisap olehnya. Namun fakta
ini tidak juga membuat perokok berasa bersalah kepada orang sekelilingnya. Dalam
pada itu, racun di dalam asap rokok yang memasuki tubuh badan boleh
mendatangkan lebih daripada 20 penyakit kronik seperti kanser. Kepekatan racun
yang disedut adalah amat tinggi dan berisiko besar menyebabkan kematian. Namun
fakta sebegini juga tidak menggerunkan perokok tegar.
Pun begitu, ada juga dalam kalangan perokok, setiap kali harga
rokok diumumkan naik, mereka mula memasang azam untuk berhenti merokok. Yang
pastinya bukan sebab celiknya kesedaran dan datangnya keinsafan untuk menjaga
kesihatan sangat. Semangat dan tekad itu timbul kerana ingin mengurangkan
belanja harian. Ini memang perkembangan baik walaupun sebabnya bukan faktor
kesihatan. Sekurang-kurangnya mahu berhenti merokok. Dengan kos hidup yang
semakin tinggi, terutamanya golongan yang berpendapatan ala kadar, rokok
sebenarnya hanya menambah perbelanjaan. Bagaimanapun, cerita-cerita tentang
azam hendak berhenti merokok ini, selalunya akan tinggal azam sahaja. Reaksinya
sama seperti perokok tegar, merungut-rungut sekejap sahaja. Sudahnya, mereka
tetap merokok dengan bilangan yang sama seperti sebelum harga rokok naik.
Mereka mengakui belanja harian naik, tetapi ada perbelanjaan yang
akan dipotong sana sini. Ada yang sanggup mengurangkan belanja makan
semata-mata sekotak rokok. Orang kata, biar tak dapat nasi, asalkan dapat
rokok! Sewajarnya setiap kali harga rokok naik, ada kajian menyeluruh
dilakukan. Adakah kenaikan itu mengakibatkan jualan rokok berkurangan? Berapa
ramai yang berhenti merokok apabila harga rokok naik? Tentu hasil penemuan kajian
ini menarik untuk dianalisis. Rakan saya seorang lelaki yang merupakan perokok
tegar dan merokok sejak di zaman persekolahan memberitahu, antara punca mengapa
penagih rokok tidak tahan berhenti menghisap rokok ialah kerana mereka boleh
menjadi cepat marah, stress, menggigil, mengantuk, susah berfikir, dan cepat
rasa letih manakala merokok didakwa boleh mendatangkan ilham dan idea dalam
kerja mereka.
Namun setakat ini, tidak pula kita dengar berita di negara ini
perokok mengamuk menyerang orang di tempat awam atau di pejabat kerana tidak
dapat sebatang rokok, atau mati mengejut kerana ketagihan rokok. Katanya lagi,
penjualan rokok pek besar juga menyebabkan golongan perokok lagi sukar untuk
berhenti merokok. Dulu satu pek kecil boleh tahan dalam sehari, sekarang satu
pek besar pun tahan hanya satu hari juga. Dia juga memberi pelbagai alasan
sukar berhenti merokok, antaranya takut berat badan naik secara mendadak dan
kalau hendak berhenti kena bermula secara perlahan-lahan, jangan drastik, takut
nanti akan dapat sakit. Tapi yang pastinya, yang perlahan-lahan itu pun dia
tidak buat.
Pokok pangkalnya, tekad yang bersungguh-sungguh untuk berhenti
merokok dengan menyedari kemudaratan akibat merokok pada diri sendiri dan orang
sekeliling. Usahlah disalahkan langkah kerajaan yang hanya membenarkan rokok
dijual hanya dalam pek besar, kerana yang sakit dan menerima padahnya nanti
adalah diri kita sendiri. Ada beberapa cara untuk berhenti merokok dan kita
juga mempunyai lebih 100 klinik berhenti merokok di seluruh negara. Dapatkan
kaunseling dan khidmat pakar. Dalam pada itu banyak panduan atau tips yang
boleh kita baca dalam buku, majalah dan Internet tentang berhenti merokok. Tiada
siapa yang dapat menafikan berhenti merokok bagi perokok tegar bukan perkara
mudah. Tidak semudah kita bercakap dan menasihati.
Mengambil keputusan berhenti merokok
mungkin membuatkan si perokok
berada dalam
satu proses pemulihan yang panjang, sukar dan
menguji ketahanan
serta kesabaran, tetapi jika
tindakan itu lebih menguntungkan dan demi kesihatan diri sendiri dan keluarga yang bergantung harapan kepada kita,
mengapa tidak?
Sumber
Utusan Malaysia
24 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan