Rencana ini ditulis
oleh :
Johardy Ibrahim
Bagi wartawan yang
baru bermula pada awal 1990-an, alat komunikasi yang hebat dan bergaya adalah
kelui. Apa itu kelui? Ia tiada kena-mengena dengan ikan kaloi atau ejaan salah
bagi keluli. Bahasa Inggeris disebut pager atau nama popular, beeper. Fungsinya
menyalurkan mesej bertulis ringkas. Kenapa hebat, bergaya? Pada awal 1990-an,
kelui boleh digantung pada tali pinggang. Ketika itu, hanya beberapa kategori
profesional yang memiliki alat paling canggih tersebut iaitu wartawan,
eksekutif pemasaran, doktor dan bookie bolasepak. Betapa usangnya teknologi
yang wujud 20 tahun lalu, seseorang yang tahu nombor kelui anda, perlu
menelefon pusat khidmat kelui dan menyampaikan secara lisan pesanan ringkas
yang kemudian ditaip dan dihantar ke kelui. Kerja kakitangan pusat khidmat
kelui ini tentu mencabar bila terpaksa menaip ayat, Beli 5712 RM5 big, RM5
small atau Saya sayang awak dalam kekerapan tinggi.
Kenapa tidak ada
telefon bimbit? Awal 1990-an adalah era revolusi mental bagi rakyat Malaysia.
Konsep membeli telefon bimbit berharga RM1,000 masih dianggap suatu
perbelanjaan mewah. Hari ini, telefon pintar berharga RM1,000 dianggap biasa
sahaja. Maka acap kali selepas menerima mesej pada kelui, saya harus mencari
pondok telefon terdekat atau telefon awam di kedai mamak. Bermakna kad telefon
RM20 atau duit syiling sentiasa ada dalam poket. Secara ringkasnya, kelui ialah
bapa kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon bimbit, yang kini
disebut telefon pintar jika ada akses Internet. Bagi anda yang segenerasi
dengan saya, tentu ingat jenama telefon popular Motorola bersaiz sebesar lengan
dan telefon Hotline Combi Ericsson yang lengkap dengan bateri besar bak telefon
tentera sebelum dibayangi Nokia yang disukai ramai kerana kemudahan mengecas
bateri. Hari ini, jenama yang kuat di negara ini ialah iPhone, Samsung dan
BlackBerry yang sarat dengan ciri-ciri pintar, malah dianggap mampu
menggantikan fungsi komputer riba.
Sengit
Pasaran bagi
telefon-telefon pintar begitu sengit hari ini. Lihat sahaja kes saman Apple
terhadap Samsung yang dituduhnya meniru produk Apple iPhone dan iPad, dengan
Mahkamah San Jose memerintahkan syarikat Korea Selatan itu membayar pampasan
sebanyak AS$1.05 bilion (RM3.15 bilion) pada 24 Ogos lalu. Apple yang diasaskan
oleh mendiang Steve Jobs turut menuntut lapan produk Samsung diharamkan
daripada dijual di Amerika Syarikat dan perbicaraannya dijadual pada 6 Disember
depan. Pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh para penganalisis industri
berhubung kemenangan Apple tersebut, yang sebenarnya bertarung dengan Samsung
di sembilan negara lagi. Paling terbaru di Jepun pada Jumaat lalu, mahkamah
Tokyo menolak tuntutan Apple yang mendakwa Samsung meniru teknologi miliknya.
Pada 24 Ogos di Korea
Selatan, mahkamah negara itu juga menolak tuntutan Apple. Di Jerman, mahkamah
Dusseldorf pada Julai mengatakan produk Samsung Galaxy Tap 7.7 meniru rekaan
Apple dalam cara tidak boleh diterima dan memerintahkan jualannya di Eropah
dihentikan. Di Australia, Samsung dibenarkan menjual komputer tablet Galaxy
selepas mahkamah tertinggi negara itu mengetepikan rayuan Apple pada Disember
2011. Uniknya kes Apple lawan Samsung ini di sebalik pertarungan di mahkamah,
kedua-duanya masih mengekalkan kontrak pembuatan bagi komponen-komponen khusus
yang diguna dalam iPhone dan iPad di kilang elektronik Samsung. Presiden
Creative Strategies Corp., Tim Bajerin dalam majalah TIME mengaitkan tindakan
perundangan Apple itu kepada kemarahan Steve Jobs terhadap Google berhubung
rekaan perisian Android yang didakwa diciplak daripada Apple. Menyaman Google
mungkin lebih sukar, maka Apple memilih untuk menyaman pemegang lesen Android
paling berprofil tinggi. Secara umumnya, Samsung ialah budak belasahan bagi
Apple untuk melepaskan marahnya terhadap Google, ujarnya sambil menambah,
Apple mungkin akan menyaman syarikat lain seperti Motorola dan HTC.
Rayuan
Samsung kini dalam
proses rayuan terhadap keputusan mahkamah San Jose tersebut dan tidak mungkin
dalam masa terdekat ini ia akan mengeluarkan cek berbilion dolar itu atau
kemungkinan syarikat Korea Selatan itu akan melingkup kerana RM3.15 bilion
mewakili kurang daripada 1.4 peratus keuntungan global syarikat itu yang
diunjurkan bagi tahun depan, menurut firma Sanford C. Bernstein. Ini kerana
saman tersebut merujuk kepada model terawal Samsung dan banyak perubahan telah
dilakukan pada Galaxy Tab versi terkini. Maka apa kesannya kepada pengguna? Pakar
paten, Thomas Frey dari Institut DaVinci di Louisville, Colorado berpendapat
para pengguna tidak akan peduli sangat perihal tersebut.
Di pasaran AS,
majoriti telefon pintar dijual pada harga yang disubsidi besar oleh syarikat
telekomunikasi, dengan kontrak khidmat dua tahun. Ini akan terus mengurangkan
kesan yuran perlesenan ke atas harga telefon. (Ia juga faktor susah bagi kita
hendak membeli iPhone di New York kerana ia tidak sama seperti di Malaysia yang
ada menawarkan set telefon tanpa kontrak). Paul M. Barret dalam Bloomberg
Businessweek berkata, memandangkan populariti besar yang dinikmati oleh Samsung
dan syarikat-syarikat penyedia Android lain di kalangan pengguna, tidak mungkin
syarikat telekomunikasi akan mengehadkan pemilihan mereka.
Lagipun menurut
Barret, berbanding dengan mendiang Jobs yang komited untuk menewaskan Google
dan Android yang ditawarkan oleh syarikat enjin carian itu, pemimpin baru Apple
iaitu Tim Cook tidak memiliki insentif untuk menghancurkan Samsung. Rata-rata
laporan penganalisis seumpamanya merumuskan perniagaan akan terus berjalan dan
kes saman Apple lawan Samsung ini akan kekal begitu. Namun kemuncak
segala-galanya ialah pengguna seperti kita yang akan memilih sesuatu gajet
telefon pintar berdasarkan ciri-ciri yang tercanggih, selain harga yang
berpatutan.
Bahan ini diperoleh
daripada :
Akhbar Mingguan
Malaysia
02 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan