Rencana ini ditulis
oleh :
PROF. SALLEH BUANG
Sedikit masa lalu
saya ada membuat ulasan ringkas mengenai trend terkini di kalangan figura awam
tempatan menyaman media bila ada sesuatu yang disiarkan oleh media berkenaan
yang tidak berkenan di hati mereka (lihat Saman Media: Baharui Akta
Fitnah", Utusan Malaysia, 16 Julai 2O12). Persoalan undang-undang yang
saya bangkitkan pada masa itu ialah sama ada kecenderungan menyaman media itu
sesuatu yang sihat dan selaras dengan kebebasan akhbar? Kita akui dan sedia
maklum bahawa kebebasan akhbar di negara ini bukanlah sesuatu yang mutlak,
bahkan ada had dan sempadannya seperti yang digariskan dalam Perkara 10
Perlembagaan Persekutuan. Selain dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan,
kebebasan media di negara ini juga dikawal dan dibendung oleh beberapa statut,
antaranya Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan, undang-undang privasi, penghinaan
mahkamah dan lain-lain.
Malangnya bagi
pengamal media di negara ini, Akta Fitnah kita (yang dipadankan kepada Akta
Fitnah 1952 di UK) adalah satu undang-undang yang sudah lapuk, dan jelas
ketinggalan zaman. Walaupun dunia sudah berubah, dan warga dunia sudah lama
memeluk media baru, paradigma undang-undang yang kita ada masih lagi berwajah
kurun ke-20. Apakah senario yang sama wujud di luar negara? Lebih khusus lagi,
persoalan yang mesti difikirkan oleh pengamal media di negara ini adalah
seperti berikut - Apakah pembelaan fair comment" (ulasan saksama) yang
termaktub dalam seksyen 9 Akta Fitnah itu masih mampu melindungi mereka bila
disaman oleh figura awam atau mana-mana pihak lain? Bilakah undang-undang lapuk
ini akan diperbaharui?
Kecendurungan figura
awam menyaman media berlaku di mana-mana, bukan hanya di negara kita. Antara
contoh terkini, pada Mei 2012 lalu seorang celebriti Hollywood bernama Phaedra
Parks (yang membintangi siri Real Housewives of Atlanta") telah menyaman
dan menuntut gantirugi AS$30 juta dari dua defendan, Vibe Holdings dan Augustus
Publishing, yang didakwa telah memfitnahnya. Sama ada kes ini nanti akan
diselesaikan di luar mahkamah atau terus didengar dan diputuskan oleh mahkamah,
hanya masa akan menentukannya. Yang berbeza antara negara kita dan beberapa
negara di Barat, andainya ada pengamal media disaman oleh figura awam atas
dakwaan apa yang disiarkan itu telah memfitnahnya, pengamal media di luar
negara kini menikmati suatu hak pembelaan yang diberi nama responsible
journalism" (kewartawanan yang bertanggungjawab).
Dalam kes Grant v.
Torstar Corp. (2009) SCC 61, akhbar Toronto Star telah menyiarkan satu rencana
yang dikatakan telah memfitnah plaintif (Grant). Akhbar itu telah memetik dan
menyiarkan pendapat penduduk setempat yang mengatakan bahawa plaintif telah menggunakan
pengaruh politiknya untuk mendapatkan kelulusan dari pihak berkenaan membina
dan memajukan satu padang golf. Plaintif telah menyaman akhbar yang menyiarkan
pendapat penduduk itu, bukan menyaman penduduk berkenaan yang mengeluarkan
pendapat sedemikian itu. Kes itu telah dibicarakan di ketiga-tiga peringkat
mahkamah, iaitu mahkamah bicara, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Agong
Kanada - sekali gus menunjukkan betapa pentingnya keputusan kes ini kepada
pengamal media di negara itu.
Mengekang
Mahkamah Agong Kanada
memutuskan bahawa undang-undang fitnah negara itu memang meletakkan had dan
batasan pada kebebasan bersuara (freedom of expression) seperti yang dijamin
oleh undang-undang Kanada, tetapi dalam masa yang sama had dan batasan itu
hendaklah jangan terlalu luas hingga mengekang kebebasan bersuara (to place a
'chill' on freedom of expression). Mahkamah selanjutnya menimbangkan sama ada
satu pembelaan berasaskan komunikasi yang bertanggungjawab perlu diiktiraf demi
menjaga kepentingan awam, dan jika jawabnya adalah Ya", apakah ciri-ciri
utama pembelaan baru itu?
Setelah mendengar
hujah peguam dari kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan bahawa pembelaan itu
sewajarnya wujud supaya tidak mengekang kebebasan bersuara (the defence should
exist so as to not chill free speech"). Mahkamah menambah bahawa pembelaan
itu boleh menseimbangkan dengan betul antara hak bersuara yang dijamin di bawah
undang-undang negara dengan hak privasi dan perlindungan reputasi. Mahkamah
juga mengakui bahawa pembelaan itu telah diiktiraf oleh beberapa negara common
law yang lain. Mahkamah menekankan juga bahawa pembelaan komunikasi
bertanggungjawab (defence of responsible communication) ini adalah satu
pembelaan yang baru, bukan modifikasi atau ubahsuaian pembelaan lama keistimewaan
bersyarat (qualified privilege).
Yang amat menarik
sekali dalam keputusan mahkamah ini adalah bila Chief Justice Beverley
McLachlin menekankan bahawa pembelaan baru ini hendaklah dipanggil pembelaan
komunikasi bertanggungjawab" (responsible communication), kerana pembelaan
ini bukan hanya dinikmati oleh wartawan akhbar sahaja, tetapi juga blogger dan
mana-mana orang lain yang menyebarkan maklumat, tidak kira apa status mereka. Dalam
pada itu, mahkamah memberi amaran bahawa sebelum pembelaan ini boleh diterima
oleh mahkamah, defendan (yang disaman) mesti dapat membuktikan perkara berikut
-
(a) Perkara yang
ditulis itu adalah sesuatu yang melibatkan kepentingan awak;
(b) Defendan telah
bertindak penuh bertanggungjawab, dengan menunjukkan kerajinan yang wajar
(diligence) dalam usahanya mencari pengesahan atau kepastian dari pihak-pihak
lain tentang kebenaran apa yang ditulisnya itu.
Saya sering
mengingatkan pengamal media bahawa sebelum mereka menyiarkan apa yang mereka
tulis, lakukan dua perkara penting berikut. Pertama, cari kebenaran (seek the
truth). Pastikan dari sumber-sumber lain (kedua, ketiga dan seterusnya) bahawa
apa yang ditulis itu adalah semuanya benar belaka, bukan sesuatu yang dusta
atau sengaja diada-adakan. Kedua, berlalu adil (be fair), iaitu setelah
dipastikan bahawa apa yang ditulis itu adalah benar, tanya dulu orang yang
punya diri (yang mengenainya tulisan dibuat) apakah dia ada apa-apa komen
supaya komennya itu dapat disiarkan sekali dalam tulisan berkenaan. Di England,
kita difahamkan bahawa pada June 2012 yang lalu, satu Rang Undang-Undang Fitnah
yang baru telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua di House of Commons.
Berkuatkuasa di
England dan Wales (jika Rang Undang-Undang itu nanti diluluskan dan
dikuatkuasakan), Akta Fitnah baru itu secara jelas telah memodenkan
undang-undang fitnah negara itu dengan memberi pengiktirafan kepada pembelaan responsible
journalism". Sama ada pembelaan baru ini dipanggil responsible journalism
atau responsible communication, yang penting kewujudannya sudah diiktiraf oleh
negara-negara berkenaan. Jika pemodenan undang-undang fitnah ini di masa lampau
adalah hasil kerja badan kehakiman, di England (seperti yang kita lihat di atas
tadi) badan perundangannya juga telah bangkit sama untuk memodenkan Akta Fitnah
negara. Di Malaysia, barangkali kita hanya boleh bermimpi sambil berharap.
Bahan ini diperoleh
daripada :
Akhbar Mingguan
Malaysia
02 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan