Rencana ini ditulis oleh :
Nurul Anuar Kari
Kini satu dunia sudah tahu Malaysia
adalah pemain utama penjagaan kesihatan global. Dua penyenaraian awam IHH
Healthcare Bhd, yang muncul julung-julung kali di bursa saham Malaysia dan
Singapura minggu lalu memberikan petunjuk kukuh bahawa Malaysia
bersungguh-sungguh terhadap industri perkhidmatan ini. Menurut bekas Ketua
Pengarah Kesihatan Prof. Tan Sri Dr. Ismail Merican, kita sepatutnya berbangga
apabila Khazanah Nasional Bhd. telah menerokai satu cabaran yang besar dalam
menyediakan khidmat penjagaan kesihatan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia
malah masyarakat di rantau ini. IHH adalah cabang penjagaan kesihatan Khazanah.
Asetnya termasuk Hospital group Acibadem AS di Turki, Parkway Holdings di
Singapura, Apollo Hospital Enterprise Ltd di India dan Pantai Hospital dan
International Medical University (IMU) di Malaysia. IHH mengurus 83 hospital di
negara-negara tersebut yang menjadikannya pengendali hospital kedua terbesar di
dunia selepas Hospital Corporation of America (HCA) yang mengendalikan 163
hospital.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu
berkata beliau secara khususnya menyambut baik penyenaraian IHH kerana berharap
usaha itu akan menyedarkan Kementerian Kesihatan untuk mempercepatkan proses
memperkenalkan pembaharuan penjagaan kesihatan. Pembentukan IHH akan
meningkatkan lagi prospek pelancongan perubatan dan ia baik untuk ekonomi
negara. Ini kerana ramai pesakit asing datang ke Malaysia kerana mereka
mengetahui negara ini menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti,
selamat dan pada harga mampu. Penjagaan kesihatan adalah satu industri yang
besar namun hidangan perkhidmatan yang selesa dan terbaik dikatakan dapat
dinikmati oleh kumpulan rakyat terpilih sahaja kerana ia disediakan oleh sektor
swasta. Sebaliknya, ramai yang kaya dan berkemampuan turut mendapatkan rawatan
di hospital kerajaan. Sudah tentu situasi ini menambah sedikit bebanan hospital
awam.
Kini, mereka yang sebelum ini tidak
begitu yakin perkhidmatan hospital swasta mempunyai pilihan. Dengan adanya
pemain yang mempunyai kepakaran klinikal seperti IHH, rakyat berkemampuan
mempunyai pilihan dan boleh mengunjungi hospital berkenaan. Usaha ini kemungkinan
akan mengurangkan bebanan kerja hospital kerajaan. Dr. Ismail, yang kini
Pro-Canselor dan Pengerusi MAHSA University College berpendapat satu opsyen
yang besar akan diwujudkan sebagai pilihan pesakit untuk mendapatkan rawatan
apabila pemain besar memasuki pasaran ini. Apabila rakyat Malaysia mempunyai
pilihan untuk mendapat khidmat kesihatan, sudah tentu mereka akan memilih
pemain yang sesuai dengan kemampuan dan keperluan masing-masing dari segi
penjagaan yang baik, selamat dan berkualiti. IHH mempunyai rangkaian global,
oleh itu ia boleh menjadi penanda aras kepada perkhidmatan di hospital kerajaan
bagi menawarkan perkhidmatan yang bertaraf global juga.
Sesetengah doktor pakar kita bertaraf
dunia. Sebab itu ada pesakit dari Indonesia atau India datang ke negara ini
untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka. Mahu atau tidak akan wujud
persaingan antara petugas dan doktor di hospital awam dengan swasta. Sudah
tentu persaingan itu akan menaikkan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka yang
terlibat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan ini. Kelebihannya ialah ia akan
menyediakan keterujaan yang sama bagi meningkatkan khidmat di sektor awam. Malaysia
hanya membelanjakan 4.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
untuk penjagaan kesihatan. Itu tidak mencukupi. Itu adalah apa yang akan
dibelanjakan oleh negara berpendapatan rendah. Bagi negara berpendapatan
pertengahan seperti Malaysia, kita perlu berbelanja sekurang-kirangnya 6.4
peratus daripada KDNK.
Harga penjagaan kesihatan pula
sentiasa meningkat, terutama kesan pengenalan teknologi baharu. Kos penjagaan
kesihatan akan ditentukan oleh kuasa pasaran dan akhirnya, bukan sahaja rakyat
Malaysia tidak mampu mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan berkualiti, malah
kerajaan juga tidak akan berupaya menyediakannya. Oleh itu IHH diharap
memainkan peranan bagi membantu meringankan beban Kementerian Kesihatan dan
Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyediakan pendidikan perubatan melalui IMU
yang berada di bawahnya. Perancangan rapi Khazanah meletakkan perkhidmatan
penjagaan kesihatan di mata dunia selaras dengan MBE untuk memacu swasta
sebagai teraju ekonomi negara berpendapatan tinggi. Melalui pendekatan yang
dipelopori Khazanah ini juga Pelan Transformasi Ekonomi dapat direalisasikan. Kerajaan
tidak perlu lagi terlalu banyak campur tangan dalam perniagaan. Kerajaan sudah
boleh berundur beransur-ansur daripada terbabit dalam perniagaan dan sektor
swasta mengambil peranan sebenarnya dalam perniagaan dan pembangunan ekonomi.
Sebagaimana kata Ketua Pegawai
Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris
Jala, untuk membentuk sebuah negara membangun berpendapatan tinggi strateginya
adalah mendorong kerajaan mengurangkan peranannya dalam banyak perkara dan menyerahkan
peranan itu kepada sektor swasta. Kerajaan Pusat memang serius mahu
mengurangkan pembabitannya dalam perniagaan. Namun begitu harus ditekankan
ketiadaan langsung pembabitan kerajaan dalam perniagaan adalah tidak wajar.
Kita perlukan kerajaan dalam beberapa keadaan. Misalnya apabila modal
pertumbuhan besar, teknologi baru yang canggih dan pemangkinnya diperlukan,
tidak mungkin ia dapat digerakkan tanpa pembabitan awal bersama dengan
kerajaan. Namun apabila tiba masanya, kerajaan perlu menarik diri. Penyenaraian
atau pelupusan syarikat milik kerajaan dan kementerian dapat mengurangkan
bilangan syarikat kerajaan yang bersaing dengan sektor swasta untuk mendapatkan
kontrak.
Ini bagi mengelak penyingkiran atau
penyisihan sektor swasta. Sementara itu, kita tidak patut memberi keutamaan
kepada syarikat milik kerajaan untuk penganugerahan kontrak. Manfaat utama
daripada keseluruhan proses ini ialah kerajaan akan memperoleh hasil daripada
projek pembangunannya dan sektor swasta pula dapat menerajui semua projek
perniagaan ini dengan lebih baik daripada kerajaan sendiri. Dengan ini, kita
boleh menjangka pendapatan yang lebih banyak daripada hasil cukai pada masa
akan datang. Pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan adalah ciri penting
dalam matlamat menjadikan negara kita sebuah negara berpendapatan tinggi. Teras
kepada perubahan ini ialah matlamat menjadikan Malaysia sebuah ekonomi yang
lebih berorientasikan pasaran kerana itulah satu-satunya cara memastikan kita
berdaya saing relatif kepada seluruh dunia
Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi,
Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr.
Amir Baharuddin pula berpendapat langkah penyenaraian itu memang tepat dari
sudut mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam sektor kesihatan. "Asas
mengurangkan beban awam adalah mengalihkan kepada kumpulan yang lebih meluas.
Bila lebih ramai yang menyokong, maka semakin berkuranglah beban itu. Dengan
penyertaan ramai itu juga, akan meningkatkan keupayaan kewangan dan kepakaran
yang mampu dibawa masuk ke dalam sektor terbabit," katanya. Tambahnya,
agak sukar mengharapkan bajet daripada kerajaan sahaja untuk membangunkan
sektor kesihatan kerana kewangan negara terikat dengan bermacam perkara lain. Namun,
beliau berharap kerajaan akan memantau sudut pengurusan walaupun bahagian
perniagaan telah diuruskan sektor swasta. "Kerajaan tetap perlu pantau
kerana kita mahu sektor kesihatan negara semakin cekap, menurunkan kos kepada
pesakit serta mengurangkan beban kewangan awam," ujarnya.
Tegasnya, sinergi antara pengurusan
kerajaan dan perniagaan swasta itu yang dikehendaki daripada penyenaraian IHH
tersebut agar kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya. Jelas beliau lagi,
kerajaan juga bukan sahaja mengurangkan beban kos malahan dapat berkongsi
pengalaman sektor swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. "Perniagaan
perubatan sentiasa berkembang tetapi jika kita tidak berkembang, maka kesihatan
rakyat yang akan 'menguncup' apabila perkhidmatan menjadi tidak elok. "Modal
hasil penyenaraian boleh digunakan untuk membangunkan sektor kesihatan
sementara dana kerajaan yang dijimatkan dapat dialih kepada perkara lain
seperti kajian untuk penyakit yang dihidapi ramai rakyat Malaysia,"
tegasnya. Amir juga percaya peningkatan kemampuan kewangan dan kepakaran di
hospital swasta di bawah IHH, khususnya di negara ini, akan mengurangkan beban
di hospital kerajaan. "Bila yang berkemampuan beralih ke hospital swasta
yang kini boleh menawarkan harga lebih berpatutan untuk perkhidmatan mereka,
rakyat yang kurang mampu pula lebih mudah mendapatkan perkhidmatan di hospital
kerajaan. "Dengan adanya sinergi awam dan swasta ini, semua pihak akan
mendapat manfaatnya terutama sekali rakyat yang dapat menikmati perkhidmatan
kesihatan lebih baik," jelasnya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 03 Ogos 2012
Hari : Jumaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan