JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : BETULKAN PERSPEKTIF TERHADAP PENGAJIAN TINGGI


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Seorang pemimpin politik yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, kerajaan pimpinannya menyokong penubuhan sebuah universiti di negeri yang dipimpinnya yang dikatakan akan jauh lebih baik dari Universiti Sains Malaysia (USM). Apatah lagi katanya, universiti tersebut akan diterajui dan ditubuhkan oleh tokoh hebat dari Amerika Syarikat yang tentunya akan menjadikan universiti itu lebih masyhur dan terkenal. Pandangan ini tentunya bukan asing bagi kita kerana dalam perspektif banyak pihak, termasuklah mereka yang selalu mengkritik pengajian tinggi negara sering berkiblatkan Barat dan melihat segala nilai yang ditentukan oleh orang lain itulah sebagai kayu ukur utama untuk meletakkan pengajian tinggi negara sebagai hebat dan dianggap terkemuka. Apa sahaja pujian dan penarafan yang dibuat, walaupun kayu ukurnya dan kaedahnya tidak diperhalusi, dianggap baik malah sempurna untuk diikuti.

Persoalan asas yang harus difikirkan adalah pengajian tinggi itu untuk apa dan untuk siapa. Apakah maknanya memiliki segulung ijazah sama ada di peringkat ijazah pertama mahu pun ijazah Ph.D malah gelar profesor sebagai mahaguru yang boleh dianggap hebat penguasaan ilmunya. Malah, kebelakangan ini timbul pula cerita pihak yang menghasilkan ijazah palsu yang boleh diperolehi dengan harga tertentu, hingga ke peringkat doktor falsafah. Ada pula orang yang ingin membelinya dengan harga yang tinggi walau pun tahu ia perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dan tidak pula memberikan gambaran sebenar nilai ilmu yang ada pada ijazah berkenaan. Cerita memiliki ijazah palsu ini pula bukanlah baru. Di luar negara, ada yang menggunakan ijazah palsu hingga penghujung hayat tanpa ada sesiapa yang mengetahuinya. Malah ada juga kisah-kisah orang yang mengaku berkelulusan sebegitu tinggi hingga menghasilkan buku sebagai pakar dalam sesuatu bidang tetapi akhirnya ternyata menipu.

Agak malang, kita semakin lupa tentang peranan ilmu dan kepentingannya dalam pembangunan negara bangsa. Kita mengejar wang ringgit, nama dan kemasyhuran sehingga tanpa sedar kita memperjudikan nasib bangsa dan agama, nilai-nilai dan kearifan yang kita ada serta budaya yang kita junjung sebagai asas dan teras untuk memajukan negara dalam acuan kita sendiri. Sebahagian besar sekadar melihatnya sebagai tiket untuk bekerja dan mendapat pulangan ekonomi yang besar apatah lagi jika datangnya dari nama-nama besar, maka semakin tinggilah nilai ekonominya. Yang dilihat bukan pemikiran dan kemampuan untuk menjadi manusia yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat, tetapi ijazah dan dari mana datangnya ijazah berkenaan.

Alangkah baiknya, jika dapat kembali melihat makna pengajian tinggi dan peranan mereka yang memiliki sekeping ijazah dalam pembangunan sebuah negara seperti Malaysia yang bukan sahaja perlu melihat dalam konteks ekonomi tetapi keseluruhan struktur masyarakat, sejarah dan pembangunan jati diri sebagai teras pembangunan masa hadapan dalam menghadapi persaingan. Ijazah dan ilmu pengetahuan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan inovatif dalam kerangka pembangunan holistik yang sesuai dengan masyarakat seperti Malaysia. Jika kita berterusan menjadikan ekonomi dan teknologi semata-mata sebagai tujuan akhirnya, maka kita akan mula melupakan bagaimana isu-isu asas seperti perpaduan masyarakat, kesaksamaan sosial, nilai dan moral, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat dan nasib golongan marhaen yang ada di sekeliling kita perlu terus menjadi agenda utama.

Dalam konteks dan perspektif sesetengah pihak pengajian tinggi seolah-olah tidak lagi menjadi asas dalam pemikiran untuk kelangsungan masa hadapan negara, kelestarian alam yang dapat dikembalikan kepada generasi akan datang dan isu-isu "KIP" (Key Intangible Performance) yang tidak boleh diukur dengan angka. Pengajian tinggi hanya untuk bersaing dan menjadi terkenal. Kerana itu kita masih lagi berhadapan dengan sikap-sikap yang mempersoalkan pelbagai perkara yang telah dipersetujui bersama, persamaan yang sebenarnya secara realiti tidak pernah wujud dan keberanian menimbulkan isu-isu yang boleh mencemar kedamaian dan keharmonian yang sedia ada. Malah, hari ini sesetengah pihak sudah tidak malu lagi untuk membangkitkan isu-isu yang menggugat nilai-nilai yang telah diterima bersama sekian lama untuk dipertahankan termasuklah kebebasan seks dan isu-isu moral lain yang mengancam kesejahteraan kita. Akibatnya juga kita melihatnya adanya mereka yang berpendidikan tinggi dan ijazah berjela, tetapi sanggup gadaikan maruah bangsa, agama malah negaranya untuk mencapai matlamat peribadinya mahu pun mereka yang bersekongkol dengannya.

Pengajian tinggi dalam perspektif ini gagal mengungkapkan tangisan jiwa mereka yang sayangkan bangsa, agama dan tanah airnya pada masa hadapan apatah lagi apabila nilai yang diketengahkan bukan lagi berteraskan jiwa kebangsaan. Ia bukan lagi bernadikan erti pembangunan sebuah negara, tetapi lebih kepada kebebasan yang hakiki dan nilai yang berkiblatkan mereka yang menaja dan membangunkannya. Roh pengajian tinggi dalam konteks pembangunan insani harus dipertahankan. Pengajian tinggi bukan sekadar sekeping ijazah, tetapi nilai akal budi yang terkandung di dalamnya, nilai ilmu dan pemikiran besar serta natijah yang diharapkan untuk pembangunan manusia harus diberikan keutamaan. Pengajian tinggi perlu berupaya melahirkan mereka yang mampu berfikir dan mempunyai wisdom dan kebijaksanaan dalam melakukan tindakan, berasaskan pertimbangan-pertimbangan rasional untuk faedah rakyat, masyarakat dan negara serta dapat pula menyeimbang antara keperluan dan penggunaan teknologi dan pembangunan insani dan manusiawi.

Kita boleh membina dan tentunya tidak salah memiliki gedung ilmu yang hebat, dengan modal besar dari mereka yang sedia melakukan pelaburan atas nama apa pun jua, malah untuk pembangunan ilmu sekali pun, tetapi niat dan natijahnya mestilah betul. Kita tidak perlu membandingkan dengan apa yang kita ada, jauh sekali memperlekehkan kerana apa yang kita miliki inilah sebenarnya melahirkan kita sehingga kita berada pada landasan sekarang ini. Malangnya, pengajian tinggi dalam perspektif sesetengah kita termasuk pemimpin politik tertentu hanya berlandaskan keinginan yang dangkal sifatnya, tidak menyokong usaha melahirkan mereka yang kritikal tetapi rasional, berilmu dan bijaksana dengan wisdom yang tinggi dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk memastikan kelangsungan masa depan masyarakat dan negara dan penyelesaian segala kemelut yang ada.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 03 Ogos 2012
Hari : Jumaat

Tiada ulasan: