Rencana ini ditulis oleh :
DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik berkelulusan Ijazah
Kedoktoran Persuratan Melayu.
Setiap kali menjelang Ogos, rakyat
Malaysia diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu
semangat cintakan negara. Melalui semangat cintakan negara akan dapat membentuk
ke arah pembina negara bangsa yang bersatu padu. Matlamat dan wawasan membina
Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah
berasaskan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila
transformasi ini berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan. Patriotisme
seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang mencorakkan hala tuju perubahan
Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaan hampir 55 tahun yang lalu. Dalam
masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti
globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme,
keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.
Justeru, patriotisme adalah keyakinan
kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir
di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa
sumbangan kita kepada negara yang kita cintai. Setiap rakyat yang cintakan
negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui
sepanjang 55 tahun lalu. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara
kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang
mencetuskan kemerdekaan negara. Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai
kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang
tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara
seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Mengibarkan Jalur Gemilang adalah
simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang
seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di
kenderaan. Melalui semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan
dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada
pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara. Patriotisme
juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat dengan
mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara
daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat. Kesetiaan
pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan
pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu
disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat
berbilang kaum di Malaysia.
Patriotisme juga adalah perjuangan
yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan
negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara
lain seaman dan semakmur Malaysia. Nilai patriotisme yang patut diterapkan
dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela
berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi
mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara. Semangat
patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu
membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan
penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan
menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena
antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan
gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu.
Sempena menyambut ulang tahun
kemerdekaan yang ke-55 dan Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya
dimantapkan lagi dalam hati setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa
patriotik dan perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada
golongan tua dan muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat
cintakan negara. Tema pada tahun ini "Janji Ditepati" tak perlulah
dipertikaikan lagi. Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk
menerapkan semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang
murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima
diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan
Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara. Golongan
muda seharusnya mengambil contoh dan teladan pejuang kemerdekaan dahulu selain
Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra yang gigih serta mempunyai
semangat cintakan negara terdapat juga tokoh lain yang turut berjuang ke arah
kemerdekaan.
Sebagai contoh, Pendeta Za'ba ialah
pejuang kemerdekaan yang telah berjuang memimpin orang Melayu pada zamannya.
Beliau menyatakan: " Saya telah diminta memimpin orang Melayu yang ketika
itu tidak ada pemimpin, saya menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya
ingin menentang Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa
sebarang bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik Melayu." Membina
bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah.
Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang
jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat cintakan negara. Remaja
adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat patriotisme iaitu rasa cinta
akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara bangsa. Memupuk semangat
cintakan negara tidak seharusnya bergantung pada wahana sejarah semata-mata.
Ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni
dan semangat cintakan negara.
Pemupukan jati diri kepada pelajar
mestilah bermula daripada rasa cinta dan sayangkan negara. Negara ini adalah
tanah tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk
semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu. Menerapkan
kesedaran patriotisme mestilah melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah
air. Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu
sifat negara merdeka dan berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme
terhadap negara bersangkutan juga dengan identiti bangsa dan identiti ini
sewajarnya subur melalui bahasa kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk
sebagai pengantar pendidikan di sekolah.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012
3 ulasan:
Isi yang sangat baik dan sangat membantu
Sangat membantu
Sangat membantu
Catat Ulasan