JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Februari 2012

ISU ICT : USM BERJAYA BUAT PENYELIDIKAN TENTANG SISTEM PEMBUKTIAN KES SIBER


Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membangunkan satu sistem pembuktian jenayah siber dan pengawasan rangkaian lebih efektif serta menjimatkan yang diberi nama, Sistem Analisis dan pencarian Forensik (FADS).  Sistem menggunakan geran penyelidikan universiti sebanyak RM231,000, dihasilkan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Dr Aman Jantan, selepas melakukan penyelidikan sejak tiga tahun lalu. Aman berkata, sistem itu yang dibangunkan sepenuhnya Oktober tahun lalu, menggabungkan fungsi pengawasan rangkaian, sistem penganalisis bukti digital dan pemuliharaan bukti digital yang berlainan dengan sistem pengawasan rangkaian sedia ada di dunia. Melalui sistem itu, ia dapat mengenal pasti serangan siber yang berlaku dalam sesebuah rangkaian, menyimpan bukti digital berkaitan serangan terbabit dan menyediakan laporan lengkap untuk mempermudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan dan pendakwaan, katanya. Sistem itu apabila dipasang di rangkaian tertentu, ia akan diawasi secara aktif oleh Server FADS dan hasilnya akan disimpan dalam pangkalan data FADS sebelum dianalisis oleh FADS Client dengan mengenal pasti jenis serangan serta puncanya.  

Ia juga mampu melindungi rangkaian daripada diceroboh oleh sebarang kegiatan. Sistem itu hanya akan merekod dan menapis aktiviti mencurigakan tanpa perlu menyimpan kesemua aktiviti aktif, yang boleh menyebabkan kesesakan pangkalan.  Aman berkata, FADS mampu mengumpulkan data dengan tepat dan disimpan lama kerana sebelum ini, apabila sesuatu serangan berlaku, ia tidak disedari dan apabila dikesan, buktinya sudah hilang ataupun tidak kukuh.  Sistem itu mampu memantapkan semua sektor termasuk pertahanan, perbankan dan teknologi maklumat hingga memastikan rangkaian dilindungi, manakala jenayah siber dapat dikurangkan kira-kira 90 peratus.  Saya yang melakukan kajian dengan pelbagai agensi di negara ini, merekodkan sebanyak 30,000 serangan sehari tetapi hanya 1,000 yang berjaya, katanya.  Permohonan paten sistem terbabit sudah dikemukakan kepada Pejabat Inovasi USM dan dijangka dipasarkan akhir tahun ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
29 Februari 2012

ISU SOSIAL : ISYTIHAR HARTA KEPADA SPRM BUKTI KERAJAAN SERIUS PERANGI RASUAH


Kerajaan akhirnya bersetuju supaya semua menteri Kabinet, timbalan menteri termasuk anggota keluarga terdekat mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kalau selama ini hanya mereka diwajibkan mengisytihar harta kepada Perdana Menteri, tetapi kini mereka wajib mengisytihar harta ahli keluarga terdekat dan menyerahkan salinan pengisytiharan itu kepada pejabat SPRM. Keputusan terbaru kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin, bukan saja memberi peluang kepada menteri Kabinet membersihkan nama diri sendiri, keluarga dan kerajaan secara keseluruhannya, malah mampu mewujudkan ketelusan serta integriti dalam pentadbiran negara. Langkah itu membuktikan kerajaan benar-benar serius mewujudkan jentera kerajaan yang bersih daripada perbuatan salah guna kuasa untuk kepentingan diri dan keluarga mereka. Kita yakin banyak pihak mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memberi kebenaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakses dokumen pengisytiharan harta semua anggota pentadbiran kerajaan itu. Ia selaras dengan saranan Lembaga Penasihat SPRM supaya dokumen harta berkenaan diserahkan kepada suruhanjaya itu bagi meningkatkan ketelusan dan integriti kepada rakyat. Proses itu mewajibkan setiap tambahan dan pelupusan harta diisytiharkan dan dibuat secara berkanun.

Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, sebenarnya Barisan Nasional (BN) sudah lama mengamalkan proses itu, malahan jauh lebih awal berbanding pihak lain. Ketika meneliti dokumen berkenaan, apa yang ingin dilihat oleh SPRM ialah pertambahan harta individu atau keluarga yang berlaku secara mendadak ketika seseorang masih memegang jawatan berpengaruh atau mempunyai kuasa tertentu sehingga boleh menimbulkan syak atau keraguan. Namun harta sedia ada atau yang diperoleh sebelum seseorang memegang jawatan tidak diambil kira dalam semakan itu. Serentak dengan pengisytiharan harta itu, Perdana Menteri juga bersetuju dengan pandangan lembaga penasihat berkenaan agar suruhanjaya khas diwujudkan bagi proses pengambilan kakitangan SPRM. Tujuannya supaya wujud kebebasan dalam pelantikan pegawai dan kakitangan SPRM berbanding sekarang yang mana proses pelantikan dan pemecatan dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) seperti kakitangan awam lain. Suruhanjaya perkhidmatan khas ini membolehkan SPRM menapis, memilih, menemuduga, melantik dan memecat anggotanya sendiri. Kita yakin langkah penambahbaikan itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan keberkesanan suruhanjaya terbabit dalam usaha membanteras rasuah dalam pentadbiran kerajaan. Langkah itu juga dapat menangkis tuduhan liar terhadap barisan menteri Kabinet dan timbalan menteri daripada pelbagai salah guna kuasa dan rasuah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Ruangan Minda Pengarang
Berita Harian
29 Februari 2012

28 Februari 2012

ISU IPT : JANGAN SALAHKAN UNIVERSITI

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Sukar menafikan, namun hakikatnya ramai mahasiswa terpaksa menjadi penganggur terhormat sebaik menamatkan pengajian. Walaupun ada yang bertuah memperoleh pekerjaan, ramai terpaksa berpuas hati dengan jawatan ‘biasa’ biarpun mempunyai segulung ijazah. Malah, institusi pengajian tinggi sudah sehabis daya membantu dengan memperkenalkan pelbagai program serta kemahiran untuk meningkatkan lagi jenama graduan di persada kerjaya, namun masih ada lagi kepincangannya. Persoalannya, mengapa ini berlaku? Salah graduan atau salah institusi? Dan, benarkah tanggapan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi penyumbang terbesar terhadap isu itu? Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata meletakkan kesalahan atas bahu institusi atas alasan gagal membantu graduan adalah prejudis. Beliau berkata, jika ada pihak menganggap isu pengangguran sebagai mekanisme untuk menghentam kredibiliti institusi terutama IPTA, mereka seharusnya berfikir lebih matang dan memperbetulkan tanggapan itu.

Cubaan pihak tertentu meletak kesalahan itu di bahu institusi tidak adil kerana pengangguran bersifat global. Ia tidak akan habis dan sentiasa membelenggu institusi di seluruh dunia. Institusi selalunya menjadi mangsa apabila gagal mencapai standard diberikan pihak tertentu sedangkan dalam konteks ini, mereka perlu akur bukan semua graduan akan menjadi pilihan majikan. Meletak kesalahan pada institusi semata-mata adalah silap dan tidak adil. Institusi tidak pernah mengambil sikap sambil lewa malah berusaha keras memastikan mereka diterima industri. Tapi mengapa masih dipersalahkan?” katanya. Dikategori sebagai isu yang tidak pernah selesai dipertikaikan, pengangguran dijadikan alasan paling mudah dan sinonim untuk menyalahkan institusi hingga menimbulkan reaksi berbeza. Bukan saja mencalarkan kredibiliti serta nama baik malah dengan mudah dihukum masyarakat dengan tanggapan institusi lepas tangan dan membiarkan graduan terkapai - kapai mencari pekerjaan. Mengulasnya, beliau berkata jika tanggapan itu dilemparkan tiga dekad lalu, masih boleh diterima namun keadaan kini jauh berubah dengan institusi juga sama mengembleng usaha membantu graduan. Sudah banyak usaha dilakukan institusi untuk memastikan graduan dilengkapi kriteria diperlukan industri. Usaha itu bukan saja merangkumi keperluan akademik yang baik malah latihan, kemahiran, pendedahan kerjaya dan sebagainya.

Justeru, apabila masih ada pihak berterusan menyalahkan institusi, tindakan itu sangat tidak munasabah. Bukanlah bermakna institusi sempurna, namun melihat apa dilakukan, rasanya tidak adil meletakkan kesalahan pada satu pihak saja,” katanya yang juga menolak tegas graduan IPTA paling banyak menganggur. Itu persepsi salah kerana IPTA bukan penyebab peningkatan pengangguran malah kami antara penyumbang terbesar pasaran sumber manusia. Malah, ramai mendominasi pelbagai sektor profesional mahu korporat. Saya tegaskan, taraf institusi tidak memainkan peranan kejayaan graduan sebaliknya diri sendiri,” katanya. Antara faktor dikenal pasti menjadikan graduan ‘tidak laku’ di pasaran ialah kurang kemahiran diri, komunikasi, pengalaman, keputusan akademik serta program pengkhususan terhad. Faktor berkenaan, akuinya, banyak menyumbang kepada kegagalan graduan memasarkan diri kerana industri tidak mempunyai keyakinan teguh terhadap kemampuan mereka. Ini masalah paling utama kerana industri kurang yakin terhadap kemampuan orang baru yang tiada pengalaman. Mereka takut mengambil risiko. Bagi graduan pula, jika gagal menunjukkan kebolehan melebihi orang lain, peluang memperoleh pekerjaan juga sukar kerana majikan memerlukan calon yang tidak setara dengan orang lain.

Industri tidak gusar kerana pilihannya ramai, justeru graduan bukan saja perlu mempunyai kelayakan tapi mesti ada nilai tambah,” katanya. Beliau turut tegas menepis dakwaan kononnya IPTA tidak peka terhadap kehendak semasa selain sibuk mengejar taraf kedudukan. Dakwaan itu tidak benar kerana IPTA sentiasa komited dan bersedia mengikut serta melaksanakan pelbagai perubahan bagi menyaingi tuntutan dunia pendidikan global. Apabila tuntutan mengkehendaki kami melaksanakan pembaharuan, itu yang akan dilakukan,” katanya yang kurang bersetuju apabila segelintir pihak suka membandingkan kemampuan graduan IPTA dengan pengajian tinggi swasta. Setiap institusi ada fungsi dan kelebihannya. Jangan buat perbandingan semata-mata mahu memuaskan hati pihak lain. Fokus utama harus diselesaikan ialah bagaimana membantu graduan ini memperoleh pekerjaan,” katanya. Beliau turut menekankan mesej bahawa graduan perlu bersedia berubah dan jangan sesekali melepaskan peluang diberikan institusi. Peluang yang terbentang di kampus perlu direbut dan digunakan sewajarnya demi meningkatkan lagi potensi diri. Percayalah, apa yang dikatakan tidak penting atau remeh itulah yang akan menjadi penyelamat graduan sebaik saja tamat pengajian,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
20 FEBRUARI 2012

ISU IPT : IPT MAMPU MEMPERKASA SUKAN NEGARA


Langkah proaktif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM43 juta membiayai program pembangunan dan pembudayaan sukan di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk penawaran biasiswa dan dana penyelidikan sukan dilihat satu usaha memartabatkan bidang sukan secara profesional di negara ini. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sejak inisiatif dana penyelidikan diperkenalkan pada 2007, KPT menyalurkan peruntukan RM1.4 juta untuk merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan sukan  di universiti tempatan. Justeru, langkah terbaru ini pasti akan membantu merancak dan memperkasakan lagi mutu sukan negara ini di persada antarabangsa. Dalam merealisasikan hasrat ini dua elemen penting perlu diberi perhatian iaitu penawaran biasiswa dan dana untuk penyelidikan sukan.  Penawaran biasiswa kepada atlet IPT melalui peruntukan sebegini adalah satu bentuk galakan dan sokongan kepada mereka yang berprestasi cemerlang dan berpotensi besar dalam bidang sukan.  Sepanjang tahun lalu, seramai 178 atlet ditawarkan menerima biasiswa KPT dengan peruntukan RM10 juta, sementara tahun ini KPT merancang menawarkan pemberian biasiswa kepada 200 atlet IPT baru yang cemerlang dengan anggaran peruntukan juga RM10 juta.

Usaha ini membakar semangat dan menyuntik motivasi atlet kerana bantuan kerajaan itu untuk menyediakan masa depan lebih baik kepada mereka terutamanya selepas bersara dari bidang sukan kelak. Ini kerana kita perlu akur seseorang atlet itu tidak akan bergelar ahli sukan selama-lamanya. Maka, persoalan utama ialah apa hala tuju dan masa depan golongan ini yang hanya bergantung harap kepada dunia sukan semata-mata sebagai punca pendapatan dan tempat bergantung sekian lama?  Lebih malang lagi jika cedera serius memaksa mereka untuk bersara lebih awal walaupun dari segi usia, mereka masih muda dan boleh beraksi dengan baik. Dalam hal ini kita juga perlu menerima hakikat bahawa tidak semua atlet berpeluang menjadi jurulatih untuk menampung kehidupan selepas bersara kelak.  Maka, di sinilah usaha murni KPT ini akan memainkan peranan kerana atlet diberi peluang kedua melanjutkan pengajian sebagai bekalan di masa depan.  Pemberian biasiswa membolehkan mereka menumpukan perhatian dalam bidang sukan dan menjadi atlet sepenuh masa malah masa depan lebih baik dan terjamin. Dengan segulung ijazah di tangan, mereka kelak bebas mencari peluang pekerjaan sesuai tanpa terlalu bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN). Dalam pada itu peruntukan dana biasiswa ini juga pastinya akan membuka mata ibu bapa untuk lebih menggalakkan anak-anak menceburi dan meneruskan minat dalam bidang sukan yang diceburi.

Hal ini penting kerana masyarakat kita masih dibelenggu budaya lama iaitu bidang sukan semata-mata tidak menjanjikan masa depan cerah. Tambahan pula atlet kita belum lagi mencapai tahap dan taraf sehebat atlet antarabangsa yang menjadikan sukan sebagai profesion utama yang memberi pendapatan lumayan. Malah persekitaran sukan tanah air juga belum mampu menjurus ke arah era profesional seperti negara luar itu. Akibatnya majoriti atlet masih bergantung harap kepada elaun dan gaji yang masih rendah.  Dalam pada itu peruntukan sejumlah besar dana untuk tujuan penyelidikan sukan juga bakal terus memartabatkan mutu sukan negara dalam erti kata lebih profesional. Bagi tahun ini KPT menyerahkan dana penyelidikan berjumlah RM475,000 kepada tiga penyelidik iaitu Prof Madya Wan Aasim Wan Adnan dari Univeristi Sains Malaysia; Dr Mohamed Najib Salleh (Universiti Utara Malaysia) dan Prof Dr Zahari Taha (Universiti Malaysia Pahang).  Saya percaya ia adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk masa depan dunia sukan negara kita agar lebih mantap dan efektif secara kajian saintifik.

Hal ini penting kerana sukan pada hari ini bukan lagi seperti pada era 60-an ataupun 70-an yang sangat tradisional dan agak mundur dari segala aspek baik dari segi kaedah latihan mahupun kemudahan dan infrastruktur.  Pada masa sekarang kajian demi kajian dilakukan oleh pakar dan penyelidik  di seluruh dunia untuk terus membangunkan standard sukan yang lebih canggih, moden dan profesional dalam pelbagai aspek sukan sebagai memenuhi tuntutan semasa. Akibatnya atlet antarabangsa mampu menyerlah dan berjaya dalam sukan diceburi dengan cemerlang.  Dalam hal ini kita perlu akui negara masih agak ketinggalan dan belum mampu melahirkan atlet yang hebat, cemerlang dan konsisten di peringkat antarabangsa.  Justeru sudah tiba masanya untuk kita mengkaji dan mempelajari langkah-langkah yang dilaksanakan negara luar hingga atlet mereka berjaya di peringkat antarabangsa. Kajian haruslah lebih menjurus kepada aspek latihan dan tahap kemampuan fizikal atlet a di samping memberi fokus kepada kemudahan dan infrastruktur. Ini penting kerana selama ini dunia luar memang memuji dan memperakui mutu dan kualiti kemudahan dan infrastruktur sukan yang ada di negara kita hingga sering kali terpilih sebagai penganjur mahupun tuan rumah sukan berprestij dan bertaraf antarabangsa. Namun malangnya kita hanya mampu gah sebagai penganjur yang hebat tetapi gagal menampilkan atlet hebat dan berjaya.

Untuk itu diharapkan dana penyelidikan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu memperoleh hasil kajian yang bakal membantu meningkatkan prestasi dan mutu sukan atlet kita agar dapat bersaing dan berjaya di persada antarabangsa.  Kita tidak mahu lagi gelaran jaguh kampung terus menghantui atlet tempatan.  Semoga usaha murni KPT dengan kerjasama semua IPT, penyelidik, Majlis Sukan negara juga ibu bapa bukan saja mampu melahirkan atlet berilmu dan berdikari  tapi juga cemerlang di peringkat antarabangsa demi memartabatkan mutu sukan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
27 FEBRUARI 2012

ISU PENDIDIKAN : KENAPA PELAJAR SAINS SANGGUP TUKAR ALIRAN?

Oleh Ruhaiza Rusmin


Kemerosotan jumlah pelajar aliran sains yang semakin kritikal mencetuskan satu polemik baru dunia pendidikan negara yang selama ini mensasarkan hala tuju sebuah negara maju. Penurunan itu mencetuskan kebimbangan di kalangan pelbagai pihak selain persoalan mengapa aliran dianggap berprestij itu semakin kurang mendapat perhatian?  Biarpun tidak bersikap lepas tangan dan pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi melonjakkan kembali peningkatan kepada 60 peratus pelajar aliran sains, keadaannya masih samar. Justeru, timbul persoalan, adakah subjek yang dulunya menjadi simbol status pelajar sudah semakin tidak gah? Mengapakah pelajar drastik menukar ‘corak’ pemilihan pengajian? Timbalan Dekan Akademik Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Husin Wagiran, berkata rasa ingin bebas daripada belenggu aliran sains yang sukar serta menganggap aliran sastera mempunyai lebih peluang dalam kejayaan akademik menjadi faktor kemerosotan aliran berkenaan. Beliau berkata, biarpun sains dikategorikan aliran berprestij, ‘pulangannya’ yang tidak konsisten menyebabkan pelajar lebih rela bertukar aliran.

Dalam dunia persaingan hari ini, nilai prestij aliran tidak memainkan peranan penting sebaliknya jaminan yang mampu diberikan menjadi faktor tarikan utama. Sebagai golongan yang berada dalam situasi itu, tentu mereka membuat pemilihan aliran yang mampu memberikan pulangan selepas belajar. Pada pendapat mereka, apalah ada pada sains kalau kerjayanya terbatas. Masyarakat mungkin melihatnya dari perspektif berbeza, pelajar juga begitu. Rasionalnya, mereka memilih bidang diingini biarpun pemilihan itu akan menyebabkan sasaran ditetapkan tidak tercapai,” katanya. Sejak 2007, kemerosotan pelajar aliran sains ketara, sekali gus memperlahankan sasaran Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 yang memerlukan 60 peratus pelajar aliran sains dan selebihnya sastera. Senario itu berterusan ke tahap universiti apabila pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi melihat pembelajaran dalam bidang sains tidak berbaloi selain sukar dan membosankan. Beliau mengakui sains memang subjek sukar dan membosankan selain menjadi milik pelajar pandai, namun jika golongan itu turut tidak meminatinya, pasti ada sebabnya. Mengapa tidak mahu meneruskan pengajian dalam aliran itu sebaliknya memilih sastera? Adakah aliran ini tidak menjanjikan masa depan biarpun diiktiraf kerana statusnya? Banyak sebab perlu dikaji bagi menyelesaikan isu sedia ada. Sudah tentu kita tidak mahu mengorbankan masa depan mereka hanya kerana dibelenggu dengan masalah yang boleh diselesaikan.

Definisi sains sebagai ilmu mengenai alam semula jadi juga boleh berperanan membina pengukuhan minat terhadap sains kerana masyarakat sering mengaitkannya dengan subjek sukar seperti matematik, biologi, kimia dan fizik. Benar, subjek berkenaan terutama Matematik sukar namun tidak bermakna pelajar tidak boleh menguasainya. Rasa tidak minat boleh didorong dengan penjelasan terperinci. Ada pelajar meminati subjek Sains tapi tidak Matematik, justeru ia boleh mengganggu proses pemilihan aliran, katanya. Menurutnya, sains memang rumit berbanding sastera yang lebih menekankan konsep pemahaman. Budaya pelajar juga lebih suka menghafal daripada melakukan analisis. Ini menyebabkan minat terhadap aliran itu tidak berkembang kerana sesiapa pun mahu memilih aliran mudah yang boleh menjamin mereka lulus cemerlang, katanya. Ditanya adakah senario ini boleh menggugat usaha serta perancangan ditetapkan, katanya ia masih boleh diperbaiki meskipun sukar mencapai sasaran 60 peratus ditetapkan. Selama ini, kita disogokkan bahawa sains susah, tidak menarik, boleh mengakibatkan keputusan merudum dan sebagainya. Ini menyebabkan pelajar takut. Apa salahnya, tanggapan itu ditukar kepada perspektif berbeza seperti sains membantu melonjakkan imej seseorang, menyeronokkan atau boleh menjawab pelbagai persoalan. Saya percaya, jika ditekankan dengan konsep pemikiran ini, minat terhadap sains dapat berkembang, katanya.

Beliau berharap sekolah dapat mewujudkan kembali Minggu Sains dan Matematik sebagai peringkat asas menerapkan minat terhadap aliran itu. “Program ini satu berkesan mencambah minat pelajar kerana sudah didedahkan dengan ‘kecantikan’ sains pada peringkat rendah,” katanya. Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Shamim Salimon, berkata minatnya terhadap aliran sains dipupuk menerusi pembacaan serta kejayaan individu terutama saintis antarabangsa. Dia dulunya kurang meminati sains, tetapi pendekatan menarik diguna pakai guru menjadikan ia terus bercambah hingga mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam aliran itu. “Sains memerlukan pelajar gigih mengulang kaji kerana semua aspek saling berkaitan. Cara guru mendidik juga penting. “Alasan enggan kerana takut keputusan tidak cemerlang, sangat goyah kerana aliran sastera juga susah dan memerlukan usaha untuk berjaya.  “Pendapat saya, individu sendiri yang perlu mencabar diri dan menetapkan matlamat sama ada untuk berjaya atau tidak,” katanya.

INFO:

Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 mensasarkan 60 peratus pelajar aliran sains malangnya ia merosot dengan bidang sains dan matematik hanya 37 peratus dan 29 peratus bagi sains tulen.

Melalui kajian didapati ramai pelajar lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan dan bidang hospitaliti yang bukan saja memberi cabaran baru menarik tapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan bidang profesional.

Jumlah pelajar aliran sains di institusi pengajian tinggi tempatan kini hanya sekitar 35,000 orang setahun berbanding sasaran 100,000 pelajar setahun.

Malaysia memerlukan sekurang - kurangnya 500,000 tenaga kerja dalam aliran sains dan teknologi menjelang 2020 untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
27 FEBRUARI 2012

ISU ANTARABANGSA : KRISIS SYRIA : DIMANAKAH SUARA NEGARA-NEGARA ISLAM?

NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Pergolakan berterusan di negara-negara Arab nampaknya tidak akan berhenti dalam tempoh terdekat dan mungkin mencapai kemuncaknya dengan kejatuhan Syria dan Iran yang paling lantang menentang semua agenda Barat. Sebenarnya penduduk Tanah Arab dan seluruh dunia bukannya begitu bodoh untuk tidak nampak ada 'tangan asing' yang mencetus dan memarakkan pergolakan di negara-negara terbabit termasuk saranan resolusi sekatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seperti mana yang dilihat melalui penjajahan Iraq dan Afghanistan, semuanya tentu ada kaitan dengan simpanan minyak yang mahu dikawal pihak tertentu. Sama ada sebagai faktor utama atau pendorong, minyak tetap menjadi antara agenda utama pihak asing menghasut rakyat negara Arab bangkit menentang pemerintah mereka melalui kekerasan dan aktiviti subversif, seterusnya semua itu dihalalkan Barat sebagai perjuangan menentang kerajaan diktator. Libya yang dahulunya dipimpin Muammar Gaddafi merupakan contoh terbaik kejayaan tangan asing menjatuhkan pemerintah menggunakan rakyatnya sendiri, seterusnya menawarkan perkhidmatan 'menguruskan' sumber minyak negara tersebut. Iran pula merupakan sasaran puncak bagi membolehkan Barat mengawal bekalan minyak rantau itu tetapi keberanian keturunan Parsi masih digeruni mereka.

Namun, sebelum tiba masa untuk Iran, tangan asing ini dilihat cuba menjatuhkan sekutu kuatnya, Syria terlebih dahulu yang tidak 'sekuat 'segarang' jirannya itu. Persoalannya kini, di manakah negara-negara Islam lain di seluruh dunia ketika satu persatu negara Arab tumbang kepada anasir jahat asing dalam agenda kolonisasi global bentuk baru? Di mana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan ahli-ahlinya? Kebanyakan negara Islam kini dilihat sekadar mengangguk dengan media Barat dalam mengutuk pertumpahan darah yang berlaku tetapi tidak berani menegur campur tangan pihak luar dalam pentadbiran negara Arab. Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berpendapat masalah utama dalam menyelesaikan konflik di Syria kini adalah sokongan ekstrem kepada dua pihak bertelagah dan tiada negara yang mahu mengambil jalan tengah. "Jika dilihat draf resolusi Barat di PBB, ia amat berat sebelah dengan hanya memberi kata dua kepada Presiden Bashar al-Assad agar menghentikan kekerasan tetapi tidak pula ke atas pemberontak. "Amerika Syarikat dan Eropah lebih ekstrem ke arah menyokong pemberontak, sementara China dan Rusia pula ekstrem kepada Bashar. Jika ekstrem kepada sebelah pihak sahaja, konflik ini tidak akan selesai," tegasnya.

Menurut beliau, tiada pihak yang mahu menekan kedua belah pihak yang bertelagah termasuklah anggota OIC, Liga Arab mahupun PBB kerana setiap negara anggota mempunyai kepentingan masing-masing yang perlu dilindungi. Katanya, semua pihak sepatutnya lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat Syria, bukannya seperti negara Arab tertentu yang terikut-ikut dengan resolusi Barat yang berat sebelah. Jelasnya, pengikut Bashar sebenarnya lebih ramai di Syria tetapi cuba digambarkan pihak tertentu jumlahnya kecil dengan majoriti rakyat menentang kepimpinannya. "Malaysia juga dalam dilema dalam menyelesaikan konflik ini tetapi kita selaku peneraju gerakan kesederhanaan boleh mengambil jalan tengah untuk menyelesaikan perbalahan di Syria. Kita boleh mengambil pendekatan sederhana dengan memberi penekanan agar kedua belah pihak dipaksa menghentikan kekerasan," ujarnya. Bagi pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia , Mohamad Faisol Keling, keretakan dalaman negara-negara Islam itu sendiri yang membuka ruang untuk kuasa asing campur tangan.

Dalam konteks Syria, beliau berpendapat pertembungan antara fahaman Syiah dan Sunnah menjadi punca dalaman negara itu menjadi lemah, seterusnya membolehkan 'tangan asing' mengambil kesempatan. "Syria sememangnya turut menghadapi gelombang kejatuhan pemerintah negara Arab seperti Mesir, Libya dan lain-lain. Namun, konflik dalaman akibat perbezaan ideologi, agama dan bermacam lagi yang melemahkan sesebuah negara sehingga berlaku pergolakan besar," katanya. Beliau mengangkat Malaysia sebagai negara contoh di mana perpaduan dalaman dan kestabilan politik menjadi pelindung utama kepada keutuhan negara dan mengelak campur tangan anasir luar. Menurutnya lagi, Syria juga menjadi contoh jelas campur tangan Barat apabila wujudnya lopong dalam kestabilan politik dalaman, melalui pertembungan Syiah yang disokong Iran dan Sunnah yang disokong negara Arab lain. "Perbalahan antara dua fahaman ini menyebabkan tiada kesepakatan dalam jihad Islam dan hubungan antara rakyat serta antara negara-negara Islam lemah. Dalam konteks agama, tiada titik pertemuan antara fahaman Syiah dan Sunnah juga dieksploitasi Barat untuk terus 'menjajah' negara Islam seperti mana yang berlaku dalam perang Iran dan Iraq sebelum ini," ujarnya.

Jelasnya, ketika perang 1980 hingga 1988 antara dua jiran itu, Iran ditewaskan Barat dengan menggunakan Iraq dan beberapa tahun kemudian Iraq turut dijajah. Dari sudut politik, Mohamad Faisol berkata, Syria perlu 'ditewaskan' bagi mengecilkan jaringan kuasa Iran di Asia Barat, terutamanya dalam membina pangkalan tentera Barat sebelum menyerang Iran. "Barat akan cuba mengepung Iran dengan menawan Syria dan mungkin Lubnan selepas Afghanistan, Iraq, Kuwait, Pakistan, Oman dan Turkmenistan sudah dikuasai mereka. Negara rantau itu yang mengikut telunjuk mereka pula tidak akan diganggu asalkan tidak menggugat keselamatan Israel dan akhirnya membolehkan Barat mengawal bekalan minyak di Asia Barat," jelasnya. Untuk menghalang penjajahan bentuk baru ini, beliau berharap konflik dalaman negara-negara Islam dapat diselesaikan terlebih dahulu agar setiap negara Islam kukuh dan kuat seperti yang diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Tegasnya, dunia Islam mempunyai kekuatan dan kemampuan secukupnya termasuk sumber kewangan, sumber asli dan kemajuan teknologi tetapi tidak digunakan sewajarnya. "Ambil contoh Iran yang bertahan sejak 1979 di bawah pelbagai tekanan, sekatan dan peperangan tetapi masih mampu berdiri teguh sehingga kini dengan tahap kemajuan melangkaui negara lain di rantau tersebut. "Jika masalah dalaman dapat diselesaikan dan sumber dunia Islam digunakan sewajarnya untuk kemakmuran bersama, mungkin kita dapat kembalikan pemerintahan khalifah di bawah payung kredibiliti sebuah negara Islam yang kuat," katanya. Walaupun semua itu mungkin masih jauh, beliau menegaskan, ia tidak mustahil dan Malaysia atau Turki menjadi calon terbaik untuk mengepalai sistem khalifah untuk menyatukan dunia Islam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2012                                                 

27 Februari 2012

ISU SOSIAL : BELAJAR BERSYUKUR DENGAN NIKMAT DI MALAYSIA

Oleh MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia


Perbualan singkat dengan seorang pemandu yang membawa penulis dan tiga orang delegasi Universiti Sains Malaysia (USM) ke Arab Saudi dari sebuah Hotel di Riyadh ke lapangan terbang menarik perhatian betapa bertuahnya berada di bumi Malaysia. Pemandu yang amat ramah itu berasal dari sebuah negara kecil di Afrika yang baru kira-kira 20 tahun menikmati kemerdekaan. "Saya sudah lama di sini, merantau mencari rezeki tatkala negara kami masih terumbang ambing, dijajah dan berperang sesama sendiri dan sekarang kami bersyukur kerana politik negara telah agak stabil dan rakyat berpeluang mencari rezeki dan merasai nikmat kedamaian walau pun tidak sebaik di sini," katanya. Mengetahui kami datang dari Malaysia, dia menggeleng kepala sambil berkata, "anda bertuah kerana saya tahu negara anda aman dan rakyat dapat mencari rezeki dan mendapatkan pelajaran setinggi mungkin." Yang lebih menarik apabila dia berkata, "bagi saya demokrasi bermakna belajar, iaitu peluang untuk anak-anak belajar, peluang melanjutkan pengajian dan peluang menimba ilmu bagi membangunkan negara dan dalam 20 tahun ini banyak yang berlaku walaupun agak perlahan."

Tambahnya, kedamaian dan keharmonian yang ada di Malaysia tidak banyak dinikmati di kebanyakan negara terutamanya di benua Afrika dan beberapa negara lain yang masih bergolak. Di Mekah pula, seorang mutawif dari negara jiran bercerita kenapa lebih 15 tahun masih menjalankan tugas membawa para jemaah untuk mengerjakan umrah dan ziarah di Mekah dan Madinah dengan pendapatan purata bulanan sekitar SR2,000 sebulan. "Dengan wang itulah saya menanggung diri termasuk membayar sewa bilik kecil di Mekah di samping membantu keluarga di negara saya bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan baik di sana," katanya. Dengan dua orang anak yang dijaga oleh ibu bapa mertua di kampung, dia agak tersentuh apabila memberitahu hanya baru sekali bertemu anaknya yang sudah berusia 10 tahun. Ditanya kenapa tidak meneruskan kerjaya misalnya mengajar agama di negaranya, dia yang berkelulusan sekolah agama memberitahu, ia adalah sukar apatah lagi saudara-maranya yang berada di sana pun kebanyakannya tidak bekerja. Kisah mereka yang berhijrah mencari rezeki di negara-negara mana pun tentunya tidak banyak berbeza. Jika ada pilihan mereka ingin berada di tanah tumpah darah sendiri dan bersama keluarga, walau pun tidak hidup mewah.

Kita boleh tanya sahaja mereka yang banyak terdapat di negara ini pun. Kisahnya sama sahaja dan mereka amat bersyukur dengan kemewahan yang dinikmati di sini. Malangnya kita jarang bersyukur dengan nikmat ini. Kita merungut tentang pelbagai perkara saban hari tatkala orang lain menikmati dan mensyukurinya untuk menyara anak-anak dan keluarga di luar sana. Berapa banyak wang dari negara ini mengalir keluar ke banyak negara lain? Nikmat kemerdekaan misalnya, semakin kita lupa dan semakin kita ambil mudah. Kita melakukan banyak perkara yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan asal dapat mencapai matlamat. Kita memaksa pandangan kita diterima dan jika ditolak, kita cari pelbagai cara untuk menghalalkannya dengan menggunakan pelbagai saluran untuk menarik orang menerimanya. Menjelang pilihan raya umum negara sama ada tahun ini atau tahun hadapan, kilang khabar angin, ketidakpuasan hati tentang pelbagai perkara lagi akan dimanipulasi seluas-luasnya oleh banyak pihak untuk tujuan politik atau meraih sokongan yang sesetengahnya amat ideal dan membuat perbandingan yang tidak munasabah. Barangkali, sesekali kita perlu berbual panjang dan mendengar cerita anak rantau dan orang lain sama ada yang berada di sini atau sesekali apabila bertemu anak rantau di negara orang yang menghabiskan hampir seluruh hidupnya untuk membangun kehidupan dan tentang bagaimana mereka memanfaatkan peluang yang ada untuk kita lebih fahami di mana kita berada.

Malah kita perlu belajar tentang bagaimana mereka yang tidak berpeluang menikmati peluang pembelajaran berusaha keras untuk menjana ilmu dan menguasainya untuk mengubah nasib diri dan keluarga tatkala sebahagian anak-anak kita mengambil mudah peluang yang ada sehingga sesetengahnya mengabaikannya yang menyebabkan terkandas di tengah jalan atau hanya mencapai "cukup makan". Apatah lagi untuk memahami proses penjanaan ilmu untuk mengubah kehidupan dan melakukan anjakan dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara yang tentunya bermula dari diri, keluarga dan masyarakat. Malah proses pendidikan dan pengajian yang diikuti sewajarnya membuka mata untuk berusaha membangunkan idea baru tanpa banyak bergantung kepada orang lain selamanya. Begitu juga dengan nikmat kedamaian dan keharmonian yang ada, seharusnya digunakan untuk menerokai yang ada seluas-luasnya seperti mana yang kita tahu dilalui oleh ramai mereka yang menjadi peneroka dan usahawan berjaya pada masa ini. Mereka ini biasanya berjiwa kental, menghargai setiap peluang yang ada dan sentiasa bekerja keras untuk memberikan yang terbaik tanpa terus menuding jari dan merungut.

Bersyukurlah kerana menjadi rakyat Malaysia yang harmoni, makmur dan menjadi bumi bertuah yang rezekinya melimpah ruah dikongsi bersama oleh yang sanggup bermati-matian datang ke sini mencari rezeki secara sah mahu pun tidak kerana percaya di sini lubuk rezeki yang harus disyukuri dan dinikmati sepenuhnya. Kisah pemandu di Riyadh dan mutawif di Mekah adalah segelintir kecil dari kisah benar mereka yang melalui pengalaman mencari rezeki di negara orang yang sebenarnya juga ada di sekeliling kita. Hanya kita yang buta dan enggan belajar daripadanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 FEBRUARI 2012

ISU EKONOMI : KEJAYAAN MODEL 'MALAYSIA'

Khairuddin Mohd Zain
PENULIS ialah pemerhati sosio ekonomi


Data dan statistik mengenai pelaburan asing yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) boleh dianalisis melalui perspektif yang pelbagai. Ia boleh dinilai dan dianalisis dengan minda sempit kenegerian, pandangan terbatas kepartian dan ideologi ataupun melihatnya dalam konteks yang lebih besar iaitu – kerangka Malaysia. Menggunakan apa sahaja asas analisis sekalipun, ia tidak boleh menafikan Malaysia secara keseluruhannya berada di atas landasan ekonomi yang sangat meyakinkan. Inilah sebenarnya mesej ‘asas’ kepada data dan statistik yang diumumkan MITI. Ketika ekonomi dunia pada keseluruhannya masih berada dalam keadaan tidak menentu, pencapaian keseluruhan Malaysia dalam menarik minat pelaburan asing ini sebenarnya sangat memberi kesan langsung kepada ekonomi negara secara keseluruhannya. Tidak perlu kita menilai sesuatu melalui perspektif ‘perang politik’ yang tidak menguntungkan rakyat secara keseluruhannya. Apa yang lebih penting, Malaysia sebagai sebuah negara, berjaya menampilkan aspirasi ekonomi yang tinggi dan berminda hadapan. Jangan nafikan, bahawa strategi ekonomi Malaysia secara keseluruhannya lebih menjadi tarikan berbanding dengan faham ekonomi yang lebih tercarik-carik mengikut kononnya ‘strategi politik’ negeri secara berasingan. Kecualilah, memang kita mahu sampaikan kepada rakyat bahawa ‘model kita’ adalah lebih baik dan sama sekali tidak bergantung harap kepada wajah Malaysia secara keseluruhannya.

Penulis percaya bahawa ramai rakyat yang berasa sangat senang hati apabila Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan medianya bertarikh 22 Februari 2012, berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan dan Industri Malaysia dan MIDA yang banyak membantu InvestPenang dalam mengenal pasti pelaburan berkualiti yang boleh dihalakan ke negeri itu. Sudah pasti, apa yang bermain dalam pemikiran pegawai tertinggi MITI, MIDA dan kerajaan seluruhnya; bukan soal siapa atau parti apa yang berada di Pulau Pinang. Kebiasaannya, asas membuat keputusan kepada pelabur-pelabur antarabangsa adalah ‘kerangka negara’ secara keseluruhannya dan bukannya asas kenegerian semata-mata. Ini belum lagi mengambil kira ‘iklim ekonomi’ nasional, tawaran insentif ekonomi jangka sederhana dan panjang, kewujudan sumber tenaga manusia bersesuaian dan banyak angkubah lain yang perlu diambil kira. Oleh demikian, mengambil perhitungan simplistik bahawa ini semua berlaku kerana polisi dan dasar yang baru dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini bukanlah nilaian yang menyeluruh. Kita ambil sahaja contoh bagaimana Kedah Darul Aman yang mencatatkan jumlah pelaburan industri pembuatan agak baik. Apakah ini semua timbul dengan semberono dan begitu sahaja? Sudah pasti, semua ini hanya mampu berlaku apabila kesinambungan pembangunan lama dapat dirasai dan dinikmati oleh kerajaan negeri sedia ada.

Nilaian yang adil akan memberikan ‘merit politik’ yang wajar kepada kerajaan terdahulu yang mengusahakan kawasan perindustrian yang merata di Kedah. Kawasan Perindustrian Kulim Hi-Tech Park, Kawasan Perindustrian Bandar Darul Aman dan Kawasan Perindustrian MIEL Sungai Petani sudah pun dibangunkan jauh lebih awal daripada pertukaran kepimpinan yang hanya berlaku pada 2008. Elok dan amat wajar juga sekiranya kerajaan Pas di Kedah memberikan kenyataan hampir serupa seperti Pulau Pinang, menghargai pelan pembangunan industri di Kedah yang terbina lama oleh kerajaan BN selama ini. Tidak usah menafikan bahawa mereka pada hakikatnya bernasib baik untuk menerima sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan wibawa. Selain daripada infra, banyak strategi ekonomi yang ada hari ini hanyalah kesinambungan kepada apa yang sudah berjalan lama. Wujud ketika dan situasi, ahli politik mana sekalipun perlu mengurangkan ‘permainan dan kenyataan politik’ dan lebih menumpukan kepada impak dan kesan ekonomi secara keseluruhannya kepada rakyat. Jika minda ini dapat didahulukan, kita akan menerima angka, data dan statistik dengan lebih neutral dan tidak tertumpu kepada beberapa isu yang dirasakan memberikan kemenangan politik sementara. Merit wajar diberi di mana ia patut dan wajar diberikan.

Apa pun jua, apa yang penting kepada rakyat secara umumnya bukanlah data dan statistik semata-mata. Rakyat perlu disedarkan bahawa pelaburan ini juga membawa banyak keuntungan lain. Peluang pekerjaan, akses kepada peluang ekonomi yang lebih meluas dan keutuhan ekonomi negara secara total. Sebagai contoh, sepanjang 2007-2011 sahaja, berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan, hampir 340,000 peluang pekerjaan diwujudkan di seluruh negara. Sebahagian besar daripada angka ini menjurus kepada tenaga kerja berkemahiran, teknikal dan pengurusan. Sudah tentu, peluang pekerjaan ini memberikan lebih banyak peluang kepada tenaga muda Malaysia menikmati ‘makna’ pertumbuhan ekonomi negara yang sebenar. Adalah menjadi harapan masyarakat, agar peluang pelaburan yang merata di seluruh negara turut membawa ruang dan akses ekonomi bersemangat sama kepada rakyat. Tidak perlu kita bersikap terlalu ‘kenegerian’ dalam menilai angka ini. Apa yang lebih penting, lebih ramai anak muda Malaysia mampu diserapkan dalam dunia pekerjaan, langsung menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

Bayangkan, bagaimana kumpulan besar anak muda di Eropah merintih kerana tidak mempunyai peluang kerja – warga Malaysia menikmati peluang yang sangat luas dan terbuka. Pada tempoh yang sama (2007-2011), Greece misalnya, berdepan dengan isu pengangguran yang hampir mencecah 20.9 peratus setakat penghujung 2011. Ini belum lagi kita menganalisis beberapa negara lain yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat mencengkam dan kritikal. Rakyat juga perlu tahu, daripada lima pelaburan terbesar dalam pelaburan industri pembuatan, dua daripadanya adalah pelaburan domestik yang didokong oleh dua syarikat Malaysia sendiri. Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn Bhd (RM2.4b) dan Petronas Gas (RM1.3b). Bangga rasanya melihat syarikat tempatan mampu berada sebaris dengan pelabur luar seperti Panasonic, Intel dan Samsung. Ini juga seharusnya memberikan kita rasa senang hati kerana kalangan syarikat Malaysia juga boleh diurus dengan baik dan cemerlang, sekali gus mencipta ‘nilai pelaburan’ dalaman yang membantu pembangunan ekonomi domestik.

Dalam waktu sama, jangan kita terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai. Perlu juga kita menilai sebarang kelemahan yang mungkin ada sehingga kita terpaksa menangguhkan beberapa pelaburan sektor pembuatan kerana masalah sumber tenaga dan sebagainya. Jika tidak, pastilah Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan kepada syarikat-syarikat utama dunia. Pakej dan kerangka ekonomi Malaysia sudahpun berada di landasan yang terbaik, termasuk dengan kesungguhan pelaksanaan program transformasi ekonomi yang sedang dibawa oleh kerajaan pada ketika ini. Jangan sesekali kita memperkecilkan banyak negara yang semakin meningkat ‘magnet pelaburannya’. Negara seperti Vietnam, Myanmar dan Filipina pastinya mengintai peluang besar untuk menarik jumlah pelaburan yang lebih besar. Berdasarkan trend dunia seperti yang dilaporkan oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), pelaburan asing masih berada dalam keadaan tidak menentu. Apa yang dikemukakan oleh MITI secara jelas menunjukkan Malaysia masih berada di bawah radar dan carta zon pelaburan prolifik di peringkat dunia dan antarabangsa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 FEBRUARI 2012

26 Februari 2012

ISU UMUM : NEGARA PENGELUAR MINYAK TERKAYA DI DUNIA


Brunei Darussalam menduduki tangga kelima senarai 182 negara paling kaya di dunia hasil daripada kekayaan sumber minyak dan gas asli negara itu yang menyumbang pendapatan per kapita sebanyak AS$48,000 (RM144,581). Menurut majalah Forbes menerusi laporan dalam taliannya, kedudukan negara terkaya di dunia dinilai berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang diselaraskan dengan kuasa beli. Forbes turut menggunakan data yang dikumpulkan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bermula 2010 hingga yang terbaru. "Kuasa beli yang disesuaikan dengan KDNK digunakan oleh pakar ekonomi ketika membuat perbandingan antarabangsa kerana ia mengambil kira perbezaan kos sara hidup dan kadar inflasi berbanding hanya membuat perbandingan kadar pertukaran asing yang memutarbelit perbezaan sebenar dalam nilai," lapor majalah itu.

Awal bulan ini, Jabatan Pembangunan dan Perancangan Ekonomi (JPKE) melaporkan, indeks harga pengguna Brunei meningkat 1.8 peratus dari 2010 ke 2011, manakala purata pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus setiap tahun. Menurut JPKE, purata tahunan Indeks Harga pengguna (CPI) Brunei pada 2011 adalah 106.9 berbanding 104.8 pada 2010, dengan kadar inflasi dua peratus sepanjang tahun lalu. Ekonomi Brunei didominasi oleh industri minyak dan gas dengan 90 peratus daripada eksportnya dan lebih separuh daripada KDNK negara itu datang daripada sektor tersebut. Qatar dinamakan negara terkaya di dunia dengan jumlah KDNK per kapita lebih AS$88,000 (RM265,065) pada 2010, sementara Luxembourg di tangga kedua dengan KDNK per kapita lebih AS$81,000 (RM243,980) hasil daripada menjadi negara hab kewangan. Singapura berada di tangga ketiga dengan KDNK per kapita hampir AS$56,700 (RM243,980), manakala Norway di kedudukan keempat dengan jumlah KDNK per kapita AS$52,000 (RM156,629). – AGENSI

24 Februari 2012

ISU EKONOMI : CONTOHI PRINSIP NIAGA YNNA

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Rakyat  Malaysia yang sering berurusan dengan syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mungkin tidak mengenali YNNA Holding sebuah konglomerat terbesar yang berpangkalan di Maghribi. Syarikat itu ditubuhkan oleh Miloud Chaabi, 83. Beliau diiktiraf oleh majalah Forbes sebagai individu keenam terkaya di Afrika pada 2011 dengan kekayaan sebanyak AS$3 bilion. Konglomerat yang ditubuhkan pada 1948 dengan nama Kumpulan Miloud Chaabi telibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk hartanah, rangkaian hotel Ryad Mogador, pasar raya besar Aswak Assalam, keluli, air mineral, simen dan tenaga boleh diperbaharui. Pada 1986, konglomerat itu telah ditukar nama kepada YNNA Holding. YNNA adalah perkataan dalam bahasa Berber bermaksud 'Ibu'. Ini selaras dengan prinsip konglomerat itu yang melihat hubungannya dengan anak- anak syarikatnya seperti hubungan ibu dan anak, berbeza dengan budaya kebanyakan syarikat Maghribi lain yang lebih kepada sifat kebapaan yang tegas dan bersifat dominan. Sebenarnya, konglomerat itu dikagumi ramai kerana dapat berkembang tanpa sokongan langsung daripada pihak istana, ahli politik dan golongan elit perniagaan, sehingga Miloud sering digelar 'tokoh perniagaan yang berjaya hasil daripada usahanya sendiri'.

Kejayaan konglomerat itu berkembang pesat turut menarik perhatian pegawai-pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang kehairanan bagaimana syarikat yang berasaskan kepada etika perniagaan Islam dapat semaju itu. Komen pegawai-pegawai terbabit terkandung dalam kabel diplomatik Konsulat AS di Casablanca pada 2006 yang didedahkan oleh Wikileaks. Antara faktor pegawai-pegawai AS menyifatkan YNNA berasaskan kepada etika perniagaan Islam adalah disebabkan ia tidak menjual arak dan rokok di semua pasar raya besar dan hotel miliknya dan syarikat itu paling lantang menentang pemberian rasuah bagi mendapat projek. Konglomerat itu turut membiayai semua pelaburan menggunakan dana dalaman dan enggan membuat pinjaman bank kerana tidak mahu membayar 'kadar bunga' tinggi sebanyak lapan peratus yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Anak beliau, Omar Chaabi yang diminta mengulas etika Islam yang dipegang syarikat itu menegaskan ia bukan semata-mata kerana mematuhi ajaran agama sebaliknya disebabkan ia adalah sesuatu yang praktikal untuk diamalkan. "Kita boleh menjual banyak barangan, oleh itu, kenapa kita perlu menjual barangan (arak dan rokok) yang boleh merosakkan orang ramai. "YNNA juga tidak membuat pinjaman bank kerana penggunaan dana dalaman akan membolehkan kos projek yang dijalankan lebih murah berbanding pesaing," tegasnya yang juga Naib Presiden syarikat itu.

Sementara itu, Omar yang ditanya mengenai adakah YNNA yang kini hanya menjalin kerjasama dengan syarikat di Asia Barat dan Afrika akan memperluaskan kerjasama dengan syarikat Malaysia berkata, pihaknya bersedia berbuat demikian. "Sikap keterbukaan kerajaan Maghribi kini membolehkan lebih banyak jalinan kerjasama perdagangan dapat dilakukan, bukan sahaja dengan Malaysia malah negara-negara ASEAN lain," ujarnya. Omar telah melawat Malaysia selama tiga hari berakhir Rabu lalu bagi meninjau peluang kerjasama untuk membina kilang pemasangan kereta dan menubuhkan bank Islam pertama di Maghribi. Sepanjang tempoh itu, beliau melawat kilang pemasangan kereta milik Proton Holdings Berhad di Shah Alam, Selangor dan mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan Affin Islamic Bank Berhad. Beliau juga melawat Taman Halal Pedas, Negeri Sembilan dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. Langkah meninjau peluang perniagaan itu adalah susulan kepada kerjasama YNNA dengan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita).

Kerjasama itu melibatkan penyenaraian produk terpilih Malaysia di tujuh cawangan rangkaian pasar raya besar, Aswak Assalam yang dimiliki oleh YNNA. Dari 15 hingga 20 Disember lalu, pasar raya itu turut menganjurkan Minggu Karnival 1Malaysia Best bagi mempamerkan pelbagai produk Malaysia termasuk rempah ratus, madu, sos, murtabak, rempeyek, cip pisang, kayu gaharu, bunga daun getah dan batik. Ketika karnival itu, Omar telah menyampaikan Anugerah Rakan Import Pertama 2011 kepada Komita sebagai pengiktirafan terhadap komitmen yang dimainkan oleh konsortium itu dalam memasarkan produk usahawan bumiputera Malaysia ke rangkaian pasar raya tersebut. Omar ketika diminta mengulas penyenaraian produk Malaysia terbabit melahirkan perasaan bangga kerana kerjasama itu memberi peluang kepada pengimport Maghribi untuk membawa masuk pelbagai produk bagi kegunaan penduduk tempatan. "Lagi pun sekarang, permintaan terhadap produk halal begitu menggalakkan termasuk daripada kalangan bukan Islam kerana ia dikaitkan dengan aspek kesihatan pengguna. "Pihak kami percaya dengan harga yang berpatutan dan berkualiti, ia sama sekali tidak menghalang produk Malaysia untuk menembusi pasaran Maghribi," katanya yang merupakan lulusan dalam bidang pemasaran dari Universiti San Francisco, AS.

Adalah diharapkan kerjasama YNNA dengan syarikat tempatan dapat ditingkatkan lagi bagi membolehkan usahawan Malaysia menjadikan Maghribi sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran di benua Afrika. Sikap YNNA untuk tidak terlalu mengharapkan bantuan kerajaan dan tidak berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam seharusnya dijadikan contoh oleh usahawan bumiputera. Jika konglomerat itu boleh berkembang pesat dengan mempunyai 18,000 pekerja di enam negara termasuk Mesir, Tunisia, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Equatorial Guinea tanpa hilang jati diri budaya dan prinsip keislaman, kenapa kita tidak boleh?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : AKHLAK BURUK RUNTUHKAN PERADABAN BANGSA

Pandangan IKIM
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan
Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Kemajuan dan tamadun yang tinggi merupakan sesuatu yang dicita-citakan oleh semua bangsa. Pembinaan tamadun atau peradaban bangsa tidak boleh berlaku secara sekelip mata dan ia merupakan suatu proses yang memakan masa. Mengekalkannya juga bukan tugas mudah. Kekuatan dalam aspek pertahanan negara, ekonomi dan politik merupakan asas dan elemen utama untuk membina dan mengisi peradaban itu sendiri. Bangsa yang terjajah walaupun menikmati kemajuan secara fizikal masih tidak boleh dianggap sebagai bangsa yang berperadaban kerana kedaulatan serta maruah bangsa dan negara adalah prasyarat dalam pembentukan sesebuah negara. Peradaban dan tamadun merupakan nikmat sekali gus amanah yang perlu dipelihara, dipertahankan dan dikekalkan tanpa noktah masa. Di sinilah letaknya peranan akhlak yang sewajarnya menjadi teras kepada pembinaan tamadun, yang juga menjadi kubu pertahanan kepada pembangunan fizikal walaupun ia hanya dapat dilihat dan disentuh oleh mata hati.

Gaya hidup moden sebahagian daripada tanda bertamadunnya sesebuah bangsa atau negara. Namun, jika akhlak tidak dijadikan sebagai amalan dan darah daging, maka kemajuan fizikal boleh rosak dan mereput dari dalam. Rasuah, pecah amanah, penipuan adalah contoh-contoh perilaku yang berupaya merosakkan isi kepada tamadun. Kita perlu belajar daripada pengalaman lepas, bagaimana empayar Melaka yang sangat maju dan terbilang itu boleh jatuh tanpa mengambil masa yang lama. Sedangkan kubu pertahanan dan tembok yang melindungi kota Melaka amat kukuh dan ampuh. Malah dikhabarkan juga tahap persenjataan dan kekuatan tentera kesultanan Melayu Melaka juga bukan calang- calang hebatnya. Kekuatan dalam aspek fizikal sebenarnya masih tidak boleh dibandingkan dengan kesetiaan rakyat dengan sepenuh hati terhadap pemimpin dan juga negaranya. Dan itulah yang berlaku pada empayar Melaka lebih lima abad yang lalu. Bukan disebabkan rapuhnya tembok dan kubu pertahanan kota Melaka, tetapi adalah disebabkan wujudnya petualang dan pengkhianat bangsa seperti Si Kitul, Raja Mendaliar dan Laksamana Khoja Hassan yang sanggup bersekongkol dalam menabur fitnah dan mengadu-domba.

Walaupun tragedi malang ini terbalas dengan hukuman bunuh terhadap mereka, tetapi ia belum cukup untuk membayar kerugian yang terpaksa diterima oleh bangsa dan kesultanan Melayu secara keseluruhannya. Pengkhianatan ini menyebabkan harga diri bangsa Melayu menjadi murah, kedudukan mereka direndahkan dengan penjajahan yang berlaku sehingga beratus-ratus tahun lamanya. Faktor sama juga adalah antara penyebab kepada keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyah walaupun tidak dinafikan terdapat faktor lain yang menyebabkan keruntuhan tersebut berlaku. Pemimpin yang sangat leka pada hal-hal keduniaan dan pemabuk, pegawai dan pembesar yang gilakan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga kepentingan peribadi termasuk menyelewengkan kuasa dan rasuah, merupakan contoh anasir atau agen yang menyebabkan kebobrokan negara berlaku dari dalam.

Yang lebih malang lagi mereka tidak menjaga sistem ketenteraan dan pertahanan mereka dengan serius. Pemilihan dalam barisan pimpinan ketenteraan tidak disaring mengikut tradisi yang mengutamakan potensi dan kualiti, tetapi lebih kepada pertimbangan dan budi bicara. Kronisme yang berlaku di peringkat yang lebih rendah juga lebih merapuhkan kubu pertahanan. Antaranya memberi kenaikan pangkat kepada anak-anak pegawai atasan yang secara langsung menafikan individu lain yang lebih layak dan memiliki disiplin dan kemahiran ketenteraan yang tinggi. Bukan itu sahaja, hiburan dan arak lebih mendapat tempat dan sebaliknya, masjid- masjid menjadi lengang tanpa majlis-majlis ilmu, dakwah dan kerohanian. Malah, mereka lebih memberi tempat kepada perkara- perkara yang khurafat dan orang agama bersikap tidak komited terhadap ajaran al-Quran dan Sunah. Akhlak adalah salah satu komponen yang terkandung dalam agama Islam selain akidah dan syariah. Peranan akhlak amat penting sehinggakan antara tujuan undang-undang digubal adalah untuk menjaga akhlak manusia.

Sebagai agama yang sempurna dan melihat akhlak sebagai sebahagian daripada nyawa bagi kelangsungan kehidupan manusia secara teratur dan harmoni, maka agama Islam telah meletakkan adab dan akhlak dalam setiap dimensi kehidupan manusia. Bermula dengan akhlak hamba dengan Penciptanya, kemudian akhlak manusia dengan diri sendiri, ibu bapa dan ahli keluarga, sehinggalah kepada akhlak terhadap negara dan persekitaran individu, agama Islam telah mengajar manusia bagaimana untuk hidup secara berakhlak. Malah, agama Islam turut mengajar umatnya menunaikan hak selain manusia seperti binatang, pokok dan bahagian- bahagian bumi ini sebagai sebahagian daripada akhlak dan adab Islamiah. Jika setiap individu memahami fungsi akhlak dalam kehidupan dan mengamalkannya, nescaya setiap orang akan dapat hidup dengan aman dan setiap pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lancar. Seterusnya, pembangunan kebendaan dapat dibina dengan penuh integriti.
Individu yang berakhlak juga bukan sahaja tidak akan menjadi punca kegelisahan orang lain tetapi dengan akhlak yang baik turut menggambarkan jati diri yang kukuh. Inilah pengajaran yang diperlihatkan oleh Sultan Abdul Hamid II yang tegas menolak tawaran pihak Yahudi yang berjanji untuk memberikan wang 150 juta pound sterling emas sekiranya baginda bersetuju dengan permohonan pihak Yahudi untuk membentuk negara mereka di Palestin. Rumusannya, akhlak baik yang diamalkan oleh tiap individu dan rakyat akan membantu kelangsungan pembangunan negara membina peradaban. Selanjutnya akan memastikan peradaban bangsa terus kekal kelangsungannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 FEBRUARI 2012

23 Februari 2012

ISU UMUM : MEWUJUDKAN LEBIH RAMAI BILIONAIR MELAYU DI MALAYSIA

Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).


Beberapa akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau. Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia. Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.

Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes. Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”

Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu. Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Islam tidak anti kekayaan, malah kuat pro-bisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak anti harta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.

Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini. Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang. Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke 20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.

Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta? Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik.dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012