JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Februari 2012

ISU EKONOMI : CONTOHI PRINSIP NIAGA YNNA

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Rakyat  Malaysia yang sering berurusan dengan syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mungkin tidak mengenali YNNA Holding sebuah konglomerat terbesar yang berpangkalan di Maghribi. Syarikat itu ditubuhkan oleh Miloud Chaabi, 83. Beliau diiktiraf oleh majalah Forbes sebagai individu keenam terkaya di Afrika pada 2011 dengan kekayaan sebanyak AS$3 bilion. Konglomerat yang ditubuhkan pada 1948 dengan nama Kumpulan Miloud Chaabi telibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk hartanah, rangkaian hotel Ryad Mogador, pasar raya besar Aswak Assalam, keluli, air mineral, simen dan tenaga boleh diperbaharui. Pada 1986, konglomerat itu telah ditukar nama kepada YNNA Holding. YNNA adalah perkataan dalam bahasa Berber bermaksud 'Ibu'. Ini selaras dengan prinsip konglomerat itu yang melihat hubungannya dengan anak- anak syarikatnya seperti hubungan ibu dan anak, berbeza dengan budaya kebanyakan syarikat Maghribi lain yang lebih kepada sifat kebapaan yang tegas dan bersifat dominan. Sebenarnya, konglomerat itu dikagumi ramai kerana dapat berkembang tanpa sokongan langsung daripada pihak istana, ahli politik dan golongan elit perniagaan, sehingga Miloud sering digelar 'tokoh perniagaan yang berjaya hasil daripada usahanya sendiri'.

Kejayaan konglomerat itu berkembang pesat turut menarik perhatian pegawai-pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang kehairanan bagaimana syarikat yang berasaskan kepada etika perniagaan Islam dapat semaju itu. Komen pegawai-pegawai terbabit terkandung dalam kabel diplomatik Konsulat AS di Casablanca pada 2006 yang didedahkan oleh Wikileaks. Antara faktor pegawai-pegawai AS menyifatkan YNNA berasaskan kepada etika perniagaan Islam adalah disebabkan ia tidak menjual arak dan rokok di semua pasar raya besar dan hotel miliknya dan syarikat itu paling lantang menentang pemberian rasuah bagi mendapat projek. Konglomerat itu turut membiayai semua pelaburan menggunakan dana dalaman dan enggan membuat pinjaman bank kerana tidak mahu membayar 'kadar bunga' tinggi sebanyak lapan peratus yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Anak beliau, Omar Chaabi yang diminta mengulas etika Islam yang dipegang syarikat itu menegaskan ia bukan semata-mata kerana mematuhi ajaran agama sebaliknya disebabkan ia adalah sesuatu yang praktikal untuk diamalkan. "Kita boleh menjual banyak barangan, oleh itu, kenapa kita perlu menjual barangan (arak dan rokok) yang boleh merosakkan orang ramai. "YNNA juga tidak membuat pinjaman bank kerana penggunaan dana dalaman akan membolehkan kos projek yang dijalankan lebih murah berbanding pesaing," tegasnya yang juga Naib Presiden syarikat itu.

Sementara itu, Omar yang ditanya mengenai adakah YNNA yang kini hanya menjalin kerjasama dengan syarikat di Asia Barat dan Afrika akan memperluaskan kerjasama dengan syarikat Malaysia berkata, pihaknya bersedia berbuat demikian. "Sikap keterbukaan kerajaan Maghribi kini membolehkan lebih banyak jalinan kerjasama perdagangan dapat dilakukan, bukan sahaja dengan Malaysia malah negara-negara ASEAN lain," ujarnya. Omar telah melawat Malaysia selama tiga hari berakhir Rabu lalu bagi meninjau peluang kerjasama untuk membina kilang pemasangan kereta dan menubuhkan bank Islam pertama di Maghribi. Sepanjang tempoh itu, beliau melawat kilang pemasangan kereta milik Proton Holdings Berhad di Shah Alam, Selangor dan mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan Affin Islamic Bank Berhad. Beliau juga melawat Taman Halal Pedas, Negeri Sembilan dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. Langkah meninjau peluang perniagaan itu adalah susulan kepada kerjasama YNNA dengan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita).

Kerjasama itu melibatkan penyenaraian produk terpilih Malaysia di tujuh cawangan rangkaian pasar raya besar, Aswak Assalam yang dimiliki oleh YNNA. Dari 15 hingga 20 Disember lalu, pasar raya itu turut menganjurkan Minggu Karnival 1Malaysia Best bagi mempamerkan pelbagai produk Malaysia termasuk rempah ratus, madu, sos, murtabak, rempeyek, cip pisang, kayu gaharu, bunga daun getah dan batik. Ketika karnival itu, Omar telah menyampaikan Anugerah Rakan Import Pertama 2011 kepada Komita sebagai pengiktirafan terhadap komitmen yang dimainkan oleh konsortium itu dalam memasarkan produk usahawan bumiputera Malaysia ke rangkaian pasar raya tersebut. Omar ketika diminta mengulas penyenaraian produk Malaysia terbabit melahirkan perasaan bangga kerana kerjasama itu memberi peluang kepada pengimport Maghribi untuk membawa masuk pelbagai produk bagi kegunaan penduduk tempatan. "Lagi pun sekarang, permintaan terhadap produk halal begitu menggalakkan termasuk daripada kalangan bukan Islam kerana ia dikaitkan dengan aspek kesihatan pengguna. "Pihak kami percaya dengan harga yang berpatutan dan berkualiti, ia sama sekali tidak menghalang produk Malaysia untuk menembusi pasaran Maghribi," katanya yang merupakan lulusan dalam bidang pemasaran dari Universiti San Francisco, AS.

Adalah diharapkan kerjasama YNNA dengan syarikat tempatan dapat ditingkatkan lagi bagi membolehkan usahawan Malaysia menjadikan Maghribi sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran di benua Afrika. Sikap YNNA untuk tidak terlalu mengharapkan bantuan kerajaan dan tidak berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam seharusnya dijadikan contoh oleh usahawan bumiputera. Jika konglomerat itu boleh berkembang pesat dengan mempunyai 18,000 pekerja di enam negara termasuk Mesir, Tunisia, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Equatorial Guinea tanpa hilang jati diri budaya dan prinsip keislaman, kenapa kita tidak boleh?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: