Langkah proaktif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM43 juta membiayai program pembangunan dan pembudayaan sukan di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk penawaran biasiswa dan dana penyelidikan sukan dilihat satu usaha memartabatkan bidang sukan secara profesional di negara ini. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sejak inisiatif dana penyelidikan diperkenalkan pada 2007, KPT menyalurkan peruntukan RM1.4 juta untuk merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan sukan di universiti tempatan. Justeru, langkah terbaru ini pasti akan membantu merancak dan memperkasakan lagi mutu sukan negara ini di persada antarabangsa. Dalam merealisasikan hasrat ini dua elemen penting perlu diberi perhatian iaitu penawaran biasiswa dan dana untuk penyelidikan sukan. Penawaran biasiswa kepada atlet IPT melalui peruntukan sebegini adalah satu bentuk galakan dan sokongan kepada mereka yang berprestasi cemerlang dan berpotensi besar dalam bidang sukan. Sepanjang tahun lalu, seramai 178 atlet ditawarkan menerima biasiswa KPT dengan peruntukan RM10 juta, sementara tahun ini KPT merancang menawarkan pemberian biasiswa kepada 200 atlet IPT baru yang cemerlang dengan anggaran peruntukan juga RM10 juta.
Usaha ini membakar semangat dan menyuntik motivasi atlet kerana bantuan kerajaan itu untuk menyediakan masa depan lebih baik kepada mereka terutamanya selepas bersara dari bidang sukan kelak. Ini kerana kita perlu akur seseorang atlet itu tidak akan bergelar ahli sukan selama-lamanya. Maka, persoalan utama ialah apa hala tuju dan masa depan golongan ini yang hanya bergantung harap kepada dunia sukan semata-mata sebagai punca pendapatan dan tempat bergantung sekian lama? Lebih malang lagi jika cedera serius memaksa mereka untuk bersara lebih awal walaupun dari segi usia, mereka masih muda dan boleh beraksi dengan baik. Dalam hal ini kita juga perlu menerima hakikat bahawa tidak semua atlet berpeluang menjadi jurulatih untuk menampung kehidupan selepas bersara kelak. Maka, di sinilah usaha murni KPT ini akan memainkan peranan kerana atlet diberi peluang kedua melanjutkan pengajian sebagai bekalan di masa depan. Pemberian biasiswa membolehkan mereka menumpukan perhatian dalam bidang sukan dan menjadi atlet sepenuh masa malah masa depan lebih baik dan terjamin. Dengan segulung ijazah di tangan, mereka kelak bebas mencari peluang pekerjaan sesuai tanpa terlalu bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN). Dalam pada itu peruntukan dana biasiswa ini juga pastinya akan membuka mata ibu bapa untuk lebih menggalakkan anak-anak menceburi dan meneruskan minat dalam bidang sukan yang diceburi.
Hal ini penting kerana masyarakat kita masih dibelenggu budaya lama iaitu bidang sukan semata-mata tidak menjanjikan masa depan cerah. Tambahan pula atlet kita belum lagi mencapai tahap dan taraf sehebat atlet antarabangsa yang menjadikan sukan sebagai profesion utama yang memberi pendapatan lumayan. Malah persekitaran sukan tanah air juga belum mampu menjurus ke arah era profesional seperti negara luar itu. Akibatnya majoriti atlet masih bergantung harap kepada elaun dan gaji yang masih rendah. Dalam pada itu peruntukan sejumlah besar dana untuk tujuan penyelidikan sukan juga bakal terus memartabatkan mutu sukan negara dalam erti kata lebih profesional. Bagi tahun ini KPT menyerahkan dana penyelidikan berjumlah RM475,000 kepada tiga penyelidik iaitu Prof Madya Wan Aasim Wan Adnan dari Univeristi Sains Malaysia; Dr Mohamed Najib Salleh (Universiti Utara Malaysia) dan Prof Dr Zahari Taha (Universiti Malaysia Pahang). Saya percaya ia adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk masa depan dunia sukan negara kita agar lebih mantap dan efektif secara kajian saintifik.
Hal ini penting kerana sukan pada hari ini bukan lagi seperti pada era 60-an ataupun 70-an yang sangat tradisional dan agak mundur dari segala aspek baik dari segi kaedah latihan mahupun kemudahan dan infrastruktur. Pada masa sekarang kajian demi kajian dilakukan oleh pakar dan penyelidik di seluruh dunia untuk terus membangunkan standard sukan yang lebih canggih, moden dan profesional dalam pelbagai aspek sukan sebagai memenuhi tuntutan semasa. Akibatnya atlet antarabangsa mampu menyerlah dan berjaya dalam sukan diceburi dengan cemerlang. Dalam hal ini kita perlu akui negara masih agak ketinggalan dan belum mampu melahirkan atlet yang hebat, cemerlang dan konsisten di peringkat antarabangsa. Justeru sudah tiba masanya untuk kita mengkaji dan mempelajari langkah-langkah yang dilaksanakan negara luar hingga atlet mereka berjaya di peringkat antarabangsa. Kajian haruslah lebih menjurus kepada aspek latihan dan tahap kemampuan fizikal atlet a di samping memberi fokus kepada kemudahan dan infrastruktur. Ini penting kerana selama ini dunia luar memang memuji dan memperakui mutu dan kualiti kemudahan dan infrastruktur sukan yang ada di negara kita hingga sering kali terpilih sebagai penganjur mahupun tuan rumah sukan berprestij dan bertaraf antarabangsa. Namun malangnya kita hanya mampu gah sebagai penganjur yang hebat tetapi gagal menampilkan atlet hebat dan berjaya.
Untuk itu diharapkan dana penyelidikan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu memperoleh hasil kajian yang bakal membantu meningkatkan prestasi dan mutu sukan atlet kita agar dapat bersaing dan berjaya di persada antarabangsa. Kita tidak mahu lagi gelaran jaguh kampung terus menghantui atlet tempatan. Semoga usaha murni KPT dengan kerjasama semua IPT, penyelidik, Majlis Sukan negara juga ibu bapa bukan saja mampu melahirkan atlet berilmu dan berdikari tapi juga cemerlang di peringkat antarabangsa demi memartabatkan mutu sukan negara.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
HARIAN METRO
27 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan