Oleh MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia
Perbualan singkat dengan seorang pemandu yang membawa penulis dan tiga orang delegasi Universiti Sains Malaysia (USM) ke Arab Saudi dari sebuah Hotel di Riyadh ke lapangan terbang menarik perhatian betapa bertuahnya berada di bumi Malaysia. Pemandu yang amat ramah itu berasal dari sebuah negara kecil di Afrika yang baru kira-kira 20 tahun menikmati kemerdekaan. "Saya sudah lama di sini, merantau mencari rezeki tatkala negara kami masih terumbang ambing, dijajah dan berperang sesama sendiri dan sekarang kami bersyukur kerana politik negara telah agak stabil dan rakyat berpeluang mencari rezeki dan merasai nikmat kedamaian walau pun tidak sebaik di sini," katanya. Mengetahui kami datang dari Malaysia, dia menggeleng kepala sambil berkata, "anda bertuah kerana saya tahu negara anda aman dan rakyat dapat mencari rezeki dan mendapatkan pelajaran setinggi mungkin." Yang lebih menarik apabila dia berkata, "bagi saya demokrasi bermakna belajar, iaitu peluang untuk anak-anak belajar, peluang melanjutkan pengajian dan peluang menimba ilmu bagi membangunkan negara dan dalam 20 tahun ini banyak yang berlaku walaupun agak perlahan."
Tambahnya, kedamaian dan keharmonian yang ada di Malaysia tidak banyak dinikmati di kebanyakan negara terutamanya di benua Afrika dan beberapa negara lain yang masih bergolak. Di Mekah pula, seorang mutawif dari negara jiran bercerita kenapa lebih 15 tahun masih menjalankan tugas membawa para jemaah untuk mengerjakan umrah dan ziarah di Mekah dan Madinah dengan pendapatan purata bulanan sekitar SR2,000 sebulan. "Dengan wang itulah saya menanggung diri termasuk membayar sewa bilik kecil di Mekah di samping membantu keluarga di negara saya bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan baik di sana," katanya. Dengan dua orang anak yang dijaga oleh ibu bapa mertua di kampung, dia agak tersentuh apabila memberitahu hanya baru sekali bertemu anaknya yang sudah berusia 10 tahun. Ditanya kenapa tidak meneruskan kerjaya misalnya mengajar agama di negaranya, dia yang berkelulusan sekolah agama memberitahu, ia adalah sukar apatah lagi saudara-maranya yang berada di sana pun kebanyakannya tidak bekerja. Kisah mereka yang berhijrah mencari rezeki di negara-negara mana pun tentunya tidak banyak berbeza. Jika ada pilihan mereka ingin berada di tanah tumpah darah sendiri dan bersama keluarga, walau pun tidak hidup mewah.
Kita boleh tanya sahaja mereka yang banyak terdapat di negara ini pun. Kisahnya sama sahaja dan mereka amat bersyukur dengan kemewahan yang dinikmati di sini. Malangnya kita jarang bersyukur dengan nikmat ini. Kita merungut tentang pelbagai perkara saban hari tatkala orang lain menikmati dan mensyukurinya untuk menyara anak-anak dan keluarga di luar sana. Berapa banyak wang dari negara ini mengalir keluar ke banyak negara lain? Nikmat kemerdekaan misalnya, semakin kita lupa dan semakin kita ambil mudah. Kita melakukan banyak perkara yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan asal dapat mencapai matlamat. Kita memaksa pandangan kita diterima dan jika ditolak, kita cari pelbagai cara untuk menghalalkannya dengan menggunakan pelbagai saluran untuk menarik orang menerimanya. Menjelang pilihan raya umum negara sama ada tahun ini atau tahun hadapan, kilang khabar angin, ketidakpuasan hati tentang pelbagai perkara lagi akan dimanipulasi seluas-luasnya oleh banyak pihak untuk tujuan politik atau meraih sokongan yang sesetengahnya amat ideal dan membuat perbandingan yang tidak munasabah. Barangkali, sesekali kita perlu berbual panjang dan mendengar cerita anak rantau dan orang lain sama ada yang berada di sini atau sesekali apabila bertemu anak rantau di negara orang yang menghabiskan hampir seluruh hidupnya untuk membangun kehidupan dan tentang bagaimana mereka memanfaatkan peluang yang ada untuk kita lebih fahami di mana kita berada.
Malah kita perlu belajar tentang bagaimana mereka yang tidak berpeluang menikmati peluang pembelajaran berusaha keras untuk menjana ilmu dan menguasainya untuk mengubah nasib diri dan keluarga tatkala sebahagian anak-anak kita mengambil mudah peluang yang ada sehingga sesetengahnya mengabaikannya yang menyebabkan terkandas di tengah jalan atau hanya mencapai "cukup makan". Apatah lagi untuk memahami proses penjanaan ilmu untuk mengubah kehidupan dan melakukan anjakan dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara yang tentunya bermula dari diri, keluarga dan masyarakat. Malah proses pendidikan dan pengajian yang diikuti sewajarnya membuka mata untuk berusaha membangunkan idea baru tanpa banyak bergantung kepada orang lain selamanya. Begitu juga dengan nikmat kedamaian dan keharmonian yang ada, seharusnya digunakan untuk menerokai yang ada seluas-luasnya seperti mana yang kita tahu dilalui oleh ramai mereka yang menjadi peneroka dan usahawan berjaya pada masa ini. Mereka ini biasanya berjiwa kental, menghargai setiap peluang yang ada dan sentiasa bekerja keras untuk memberikan yang terbaik tanpa terus menuding jari dan merungut.
Bersyukurlah kerana menjadi rakyat Malaysia yang harmoni, makmur dan menjadi bumi bertuah yang rezekinya melimpah ruah dikongsi bersama oleh yang sanggup bermati-matian datang ke sini mencari rezeki secara sah mahu pun tidak kerana percaya di sini lubuk rezeki yang harus disyukuri dan dinikmati sepenuhnya. Kisah pemandu di Riyadh dan mutawif di Mekah adalah segelintir kecil dari kisah benar mereka yang melalui pengalaman mencari rezeki di negara orang yang sebenarnya juga ada di sekeliling kita. Hanya kita yang buta dan enggan belajar daripadanya.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan