JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Februari 2012

ISU ANTARABANGSA : KRISIS SYRIA : DIMANAKAH SUARA NEGARA-NEGARA ISLAM?

NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Pergolakan berterusan di negara-negara Arab nampaknya tidak akan berhenti dalam tempoh terdekat dan mungkin mencapai kemuncaknya dengan kejatuhan Syria dan Iran yang paling lantang menentang semua agenda Barat. Sebenarnya penduduk Tanah Arab dan seluruh dunia bukannya begitu bodoh untuk tidak nampak ada 'tangan asing' yang mencetus dan memarakkan pergolakan di negara-negara terbabit termasuk saranan resolusi sekatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seperti mana yang dilihat melalui penjajahan Iraq dan Afghanistan, semuanya tentu ada kaitan dengan simpanan minyak yang mahu dikawal pihak tertentu. Sama ada sebagai faktor utama atau pendorong, minyak tetap menjadi antara agenda utama pihak asing menghasut rakyat negara Arab bangkit menentang pemerintah mereka melalui kekerasan dan aktiviti subversif, seterusnya semua itu dihalalkan Barat sebagai perjuangan menentang kerajaan diktator. Libya yang dahulunya dipimpin Muammar Gaddafi merupakan contoh terbaik kejayaan tangan asing menjatuhkan pemerintah menggunakan rakyatnya sendiri, seterusnya menawarkan perkhidmatan 'menguruskan' sumber minyak negara tersebut. Iran pula merupakan sasaran puncak bagi membolehkan Barat mengawal bekalan minyak rantau itu tetapi keberanian keturunan Parsi masih digeruni mereka.

Namun, sebelum tiba masa untuk Iran, tangan asing ini dilihat cuba menjatuhkan sekutu kuatnya, Syria terlebih dahulu yang tidak 'sekuat 'segarang' jirannya itu. Persoalannya kini, di manakah negara-negara Islam lain di seluruh dunia ketika satu persatu negara Arab tumbang kepada anasir jahat asing dalam agenda kolonisasi global bentuk baru? Di mana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan ahli-ahlinya? Kebanyakan negara Islam kini dilihat sekadar mengangguk dengan media Barat dalam mengutuk pertumpahan darah yang berlaku tetapi tidak berani menegur campur tangan pihak luar dalam pentadbiran negara Arab. Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berpendapat masalah utama dalam menyelesaikan konflik di Syria kini adalah sokongan ekstrem kepada dua pihak bertelagah dan tiada negara yang mahu mengambil jalan tengah. "Jika dilihat draf resolusi Barat di PBB, ia amat berat sebelah dengan hanya memberi kata dua kepada Presiden Bashar al-Assad agar menghentikan kekerasan tetapi tidak pula ke atas pemberontak. "Amerika Syarikat dan Eropah lebih ekstrem ke arah menyokong pemberontak, sementara China dan Rusia pula ekstrem kepada Bashar. Jika ekstrem kepada sebelah pihak sahaja, konflik ini tidak akan selesai," tegasnya.

Menurut beliau, tiada pihak yang mahu menekan kedua belah pihak yang bertelagah termasuklah anggota OIC, Liga Arab mahupun PBB kerana setiap negara anggota mempunyai kepentingan masing-masing yang perlu dilindungi. Katanya, semua pihak sepatutnya lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat Syria, bukannya seperti negara Arab tertentu yang terikut-ikut dengan resolusi Barat yang berat sebelah. Jelasnya, pengikut Bashar sebenarnya lebih ramai di Syria tetapi cuba digambarkan pihak tertentu jumlahnya kecil dengan majoriti rakyat menentang kepimpinannya. "Malaysia juga dalam dilema dalam menyelesaikan konflik ini tetapi kita selaku peneraju gerakan kesederhanaan boleh mengambil jalan tengah untuk menyelesaikan perbalahan di Syria. Kita boleh mengambil pendekatan sederhana dengan memberi penekanan agar kedua belah pihak dipaksa menghentikan kekerasan," ujarnya. Bagi pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia , Mohamad Faisol Keling, keretakan dalaman negara-negara Islam itu sendiri yang membuka ruang untuk kuasa asing campur tangan.

Dalam konteks Syria, beliau berpendapat pertembungan antara fahaman Syiah dan Sunnah menjadi punca dalaman negara itu menjadi lemah, seterusnya membolehkan 'tangan asing' mengambil kesempatan. "Syria sememangnya turut menghadapi gelombang kejatuhan pemerintah negara Arab seperti Mesir, Libya dan lain-lain. Namun, konflik dalaman akibat perbezaan ideologi, agama dan bermacam lagi yang melemahkan sesebuah negara sehingga berlaku pergolakan besar," katanya. Beliau mengangkat Malaysia sebagai negara contoh di mana perpaduan dalaman dan kestabilan politik menjadi pelindung utama kepada keutuhan negara dan mengelak campur tangan anasir luar. Menurutnya lagi, Syria juga menjadi contoh jelas campur tangan Barat apabila wujudnya lopong dalam kestabilan politik dalaman, melalui pertembungan Syiah yang disokong Iran dan Sunnah yang disokong negara Arab lain. "Perbalahan antara dua fahaman ini menyebabkan tiada kesepakatan dalam jihad Islam dan hubungan antara rakyat serta antara negara-negara Islam lemah. Dalam konteks agama, tiada titik pertemuan antara fahaman Syiah dan Sunnah juga dieksploitasi Barat untuk terus 'menjajah' negara Islam seperti mana yang berlaku dalam perang Iran dan Iraq sebelum ini," ujarnya.

Jelasnya, ketika perang 1980 hingga 1988 antara dua jiran itu, Iran ditewaskan Barat dengan menggunakan Iraq dan beberapa tahun kemudian Iraq turut dijajah. Dari sudut politik, Mohamad Faisol berkata, Syria perlu 'ditewaskan' bagi mengecilkan jaringan kuasa Iran di Asia Barat, terutamanya dalam membina pangkalan tentera Barat sebelum menyerang Iran. "Barat akan cuba mengepung Iran dengan menawan Syria dan mungkin Lubnan selepas Afghanistan, Iraq, Kuwait, Pakistan, Oman dan Turkmenistan sudah dikuasai mereka. Negara rantau itu yang mengikut telunjuk mereka pula tidak akan diganggu asalkan tidak menggugat keselamatan Israel dan akhirnya membolehkan Barat mengawal bekalan minyak di Asia Barat," jelasnya. Untuk menghalang penjajahan bentuk baru ini, beliau berharap konflik dalaman negara-negara Islam dapat diselesaikan terlebih dahulu agar setiap negara Islam kukuh dan kuat seperti yang diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Tegasnya, dunia Islam mempunyai kekuatan dan kemampuan secukupnya termasuk sumber kewangan, sumber asli dan kemajuan teknologi tetapi tidak digunakan sewajarnya. "Ambil contoh Iran yang bertahan sejak 1979 di bawah pelbagai tekanan, sekatan dan peperangan tetapi masih mampu berdiri teguh sehingga kini dengan tahap kemajuan melangkaui negara lain di rantau tersebut. "Jika masalah dalaman dapat diselesaikan dan sumber dunia Islam digunakan sewajarnya untuk kemakmuran bersama, mungkin kita dapat kembalikan pemerintahan khalifah di bawah payung kredibiliti sebuah negara Islam yang kuat," katanya. Walaupun semua itu mungkin masih jauh, beliau menegaskan, ia tidak mustahil dan Malaysia atau Turki menjadi calon terbaik untuk mengepalai sistem khalifah untuk menyatukan dunia Islam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2012                                                 

Tiada ulasan: