JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Januari 2012

ISU UMUM : BUDAYA MAKAN IKAN HIDUP-HIDUP


Ikan itu menggelupur semasa dikeluarkan dari akuarium sebuah restoran di Beijing, China. Seorang tukang masak kemudian membalut kepala ikan itu dengan sehelai kain basah agar ia boleh bernafas lebih lama. Sambil berborak dengan rakan sekerjanya di dapur, lelaki itu mencelup dua pertiga daripada badan ikan seberat kira-kira 700 gram itu ke dalam minyak panas di dalam kuali. Beberapa minit selepas digoreng, ikan itu masih hidup. Malah mulutnya tercungap-cungap semasa ia diletakkan di atas sebuah pinggan untuk dihidangkan kepada pelanggan restoran yang sudah sedia menanti. Mungkin untuk rasa yang lebih sedap, sos berperisa dituang ke atas badan ikan tersebut.

Nasib ikan-ikan lain yang ada di akuarium restoran berkenaan juga dipercayai bakal berakhir di atas meja hidangan dan dimakan hidup-hidup. Video mengenai hidangan pelik di China itu telah tersebar di laman YouTube pada tahun 2009 dan mencetuskan kritikan hebat masyarakat antarabangsa khususnya aktivis pencinta haiwan. Rakaman itu menunjukkan beberapa orang yang bersedia menikmati ikan itu sedang ketawa sambil melihat ikan itu tercungap-cungap sebelum mereka mencubit isinya menggunakan copstik. "Setiap orang yang waras akan terkejut melihat orang mempersendakan dan mendera seekor ikan yang hendak mati," kata seorang jurucakap kumpulan hak asasi haiwan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, PETA.


Kim Jong-il

Seorang rakyat China di luar negara yang mengeluarkan kenyataan bahawa budaya pemakanan secara ekstrem seperti itu menjadi pendorong kepada kepada kezaliman ke atas haiwan telah dikutuk oleh kedutaannya sendiri. "Kami mempunyai budaya sendiri. Adalah tidak adil untuk menuduh budaya orang lain mempunyai unsur negatif. Tradisi tetap tradisi," kata seorang jurucakap sebuah kedutaan China. Budaya memakan ikan segar seperti itu bukan baru bagi masyarakat Asia Timur. Malah, bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il merupakan penggemar hidangan ikan hidup seperti itu. Menurut bekas tukang masaknya, Kenji Fujimoto, Jong-il suka menikmati ikan yang masih bergerak itu bersama wain biarpun dia sedang sakit. Jong-il sering makan ikan segar. Ikan itu masih bernafas dan bergerak walaupun sudah dimasak. Dia akan menikmatinya dengan cukup berselera.

Fujimoto, 59, mendedahkan cerita itu selepas dia melarikan diri ke negara asalnya Jepun kerana tidak tahan melayan selera Jong-il sebelum pemimpin itu meninggal dunia pada 17 Disember lalu akibat serangan jantung. Selain ikan hidup, masyarakat Korea sering mengunjungi restoran yang menyediakan hidangan sotong kurita hidup. Sajian yang dikenali sebagai sannakji oleh warga tempatan itu dimakan bersama sedikit minyak, perasa dan sos. Sotong kurita daripada pelbagai saiz itu dimakan dengan cara badan dan kakinya dililit pada sepasang copstik sebelum dikunyah hidup-hidup. Udang juga menjadi mangsa kepada penggemar makanan laut mentah. Di China, udang itu direndam ke dalam sejenis alkohol yang dikenali sebagai baijiu untuk membuatnya lalai sebelum dimakan secara mentah. Cara sama turut dilakukan oleh warga Jepun yang dikenali sebagai odori. Cuma yang membezakan orang Jepun dan orang China ialah orang Jepun lebih sukakan anak udang.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO
9 JANUARI 2012

Tiada ulasan: