JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Januari 2012

ISU SBPA : DISEMAK SEMULA UNTUK SELESAI ISU BERBANGKIT


Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula. Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA. Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan. Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula. Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan. Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak. Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas. Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama. Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

KOMEN CIKGU ZUL

Sesuatu dasar kerajaan hendaklah dikaji dan bahaskan terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada umum untuk dilaksanakan. Pendapat semua pihak dan perkaitannya dengan dasar-dasar yang sedia ada hendaklah dilihat. Jangan sampai yang terabai terus terabai sehingga timbuk ketidakpuasan yang tidak berkesudahan. Kakitangan awam di negara kita terutamanya golongan guru yang sering diharubirukan dengan pelbagai syarat kenaikan pangkat yang nampak bias dan menjengkelkan memerlukan pengubahsuaian dengan kajian yang mendalam. Pengalaman dan kelulusan pegawai perkhidmatan awam yang berkhidmat dalam bidang pendidikan selalu diketepikan dalam soal kenaikan pangkat lantaran pihak atasan lebih mengutamakan tarikh lantikan ke DG41. Nasib sesetengah guru DG29-DG41 yang bagaikan melukut ditepian gantang, sewajarnya diberikan perhatian, jangan sampai luka yang terpendam membusung nanah hingga berulat. Keparahan itu susah diubat kerana hanya rawatan yang terbaik dan termahal sahaja mampu menyembuhkannya.

Kepincangan dalam pemilihan pegawai yang layak menjawat jawatan Guru Akademik Tingkatan Enam yang mengabaikan pengalaman sehingga menyebabkan ratusan guru berpengalaman mengajar Tingkatan Enam dianaktirikan sewajarnya dilihat, dikaji dan dipantau semula. Bayangkan seorang guru DG29-DG41 yang sudah mengajar Tingkatan Enam melebihi 10 tahun tidak dilantik menjadi Guru Akademik hanya kerana syarat yang ditetapkan oleh pihak Bahagian Kenaikan Pangkat, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada masa yang sama, guru yang langsung tidak pernah mengajar Tingkatan Enam dilantik dengan sewenang-wenangnya untuk mengisi kekosongan jawatan sedia ada. Hati siapa yang tidak sakit, Jiwa siapa yang tidak terluka. Pihak di atas sana hanya bersenang lenang meletakkan syarat dan menggubal dasar tanpa memikirkan nasib guru dan pelajar. Bayangkan seorang guru Kimia yang berpengalaman 10 tahun disisihkan dan digantikan dengan seorang guru yang langsung tidak pernah mengajar Tingkatan Enam tetapi diberi jawatan Guru Akademik. Pelajarlah yang menjadi mangsa!

Banyak lagi kepincangan yang perlu dikaji dan diambil kira dalam SBPA. Kita tidak boleh memandang sebelah mata masalah yang wujud terutamanya dalam soal gaji dan kenaikan pangkat kerana semua orang bekerja untuk menyara hidup bukannya untuk suka-suka. Kebajikan terbela, semangat untuk bekerja juga melonjak dan Negara juga yang mendapat manfaatnya. Tolonglah memahami dan jangan sesekali menyakiti.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 Januari 2012

Tiada ulasan: