JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Januari 2012

ISU SOSIAL : ILMU BERPAKSIKAN KEROHANIAN PERANGI RASUAH

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia.


Penulis bersyukur di kelilingi ilmuan-ilmuan yang hebat-hebat belaka di institusi menara gading, di tempat penulis bekerja. Yang sentiasa memberi pandangan berguna bukan sahaja untuk urusan kerja sebagai ahli akademik tetapi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Mendekati orang yang berilmu membuatkan kita berasa betapa banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari. Majlis-majlis ilmu sentiasa diadakan di sini menandakan menara gading ini tidak pernah sunyi daripada budaya percambahan ilmu pengetahuan. Baru-baru ini, penulis menghadiri majlis ilmu iaitu, Syarahan Pengukuhan Profesor yang disampaikan oleh "sifu" atau "tok guru" bidang perakaunan, Profesor Dr. Zakaria Abas. Bertemakan Memperakaunkan Ilmu Dalam Organisasi: Meluaskan Horizon banyak yang boleh dicungkil dalam syarahan beliau. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dan industri, pemikiran tajam beliau mengenai isu-isu semasa menampakkan dengan jelas kelompangan kehidupan masyarakat sekarang.

Antara yang menarik diketengahkan adalah dalam keadaan kehidupan serba maju, modal insan adalah aset tidak ketara yang berakauntabiliti untuk memakmurkan masyarakat dan negara. Namun, mengapakah sejak kebelakangan ini banyak kes penipuan, rasuah dan penyelewengan berlaku di kalangan golongan berilmu? Apakah penyebab utama masyarakat kita dibelenggu dengan masalah ini? Merenung kembali apa yang disampaikan beliau, terdapat kepincangan ilmu yang menyebabkan dunia kini berpaksikan ilmu sekular dan meminggirkan apa yang dikatakan ilmu wahyu yang wajar menduduki tempat teratas berbanding aliran empirisme dan aliran rasionalisme yang didukung oleh epistemologi sekular. Islam tidak menolak aliran empirisme dan aliran rasionalisme, namun ilmu wahyu menjadi jambatan utama epistemologi Islam.Mungkinkah kita terlalu mendukung ilmu barat sehingga apa yang dikatakan oleh barat diterima bulat-bulat tanpa diselidiki kebenarannya? Apabila ilmu wahyu yang diturunkan oleh Allah ditolak dan sistem sekular diamalkan, maka lahirlah ramai golongan yang berilmu tetapi tidak mampu memakmurkan masyarakat dan negara. Segala-gala kebenaran dilanggar, nafsu tamak haloba dan materialistik menjadi perkara pokok.

Sikap sebegini menjadikan masyarakat individualistik yang pentingkan diri semata-mata. Apa yang berlaku kepada orang lain tidak perlu difikirkan, yang penting kekayaan dikaut untuk kebahagiaan diri semata-mata. Bala petaka krisis ekonomi yang sedang berlaku di barat dan Amerika Syarikat adalah contoh terbaik bagaimana sistem sekular telah meranapkan institusi masyarakat. Apabila tamak, materialistik dan individualistik bersarang dalam masyarakat, maka, penipuan, penyelewengan, pecah amanah dan rasuah berleluasa. Hanya dengan ilmu berpaksikan kerohanian dan diamalkan dengan keikhlasan akan dapat memerangi kepincangan ini. Namun, perkara ini tidak berlaku di Barat. Mereka masih mempertahankan sistem sedia ada yang sekarang ini menampakkan kepincangan mereka. Demonstrasi yang diadakan o bagi membantah golongan yang bertuhankan sistem sekular dan kapitalis yang rakus mengaut kekayaan berprinsipkan matlamat menghalalkan cara, dengan jelas menunjukkan majoriti masyarakat mereka sendiri tidak boleh lagi bergantung harap pada kedua-dua sistem ini.

Tiada siapa yang boleh mendabik dada mendahului Allah dalam segala urusan. Tiada siapa boleh mengatakan akulah yang paling hebat ilmunya. Kesombongan menjadikan manusia lupa diri dan sukar ditegur. Ia menjadikan manusia berasa apa yang dilakukannya serba betul. Apabila ini berlaku, maka pincanglah kehidupan dengan pelbagai jenayah ekonomi dilakukan oleh golongan yang diiktiraf berilmu pada kaca mata sekular tetapi kosong jiwanya dengan ilmu wahyu. Inilah dikatakan sebagai berakauntabiliti dalam mengamalkan ilmu pengetahuan dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran duniawi semata-mata. Yang demikian itu, segala kepincangan melibatkan penipuan, pecah amanah, penyelewengan dan rasuah dapat segera ditangani, yang akhirnya memakmurkan negara dalam erti kata yang sebenar.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 JANUARI 2012

Tiada ulasan: